Kesemua Geran Tanah-Tanah FELDA Di Jalan Semarak Masih Hakmilik Pemaju

Saya masih berminat untuk meneruskan siasatan ke atas tanah-tanah Felda di Jalan Semarak kerana saya percaya penyelesaian yang diumumkan oleh Tan Sri Shahrir Samad hanyalah satu helah. Jika tanah-tanah ini terus diserahkan kepada pemaju untuk dimajukan, peneroka-peneroka Felda dan rakyat keseluruhannya akan kerugian besar.

Saya ingin kembali kepada titik mula isu ini, iaitu:

i. Tan Sri Shahrir Samad mula-mula mendedahkan perkara ini kerana kata beliau, Felda tidak mahukan projek pembangunan yang melibatkan pemaju dan hanya mahukan tanah-tanah itu kembali kepada Felda

ii. Selepas isu tanah-tanah Felda diambil tanpa pengetahuan pengurusan Felda menjadi polemik sehingga hampir sebulan, pada 15 Januari 2018, Tan Sri Shahrir Samad sendiri memanggil sidang media mengumumkan bahawa tanah-tanah itu telah kembali kepada Felda.

Ekoran dari sidang media 15 Januari 2018 itu, akhbar-akhbar utama melaporkan kononnya “Felda telah dapat kembali hak milik tanah-tanah (di Jalan Semarak)”.

Ini dilaporkan oleh akhbar-akhbar yang dikawal oleh Barisan Nasional, contohnya Utusan Malaysia:

02 - 08 - felda1

Untuk mengelakkan saya tersalah baca, saya juga menyemak akhbar-akhbar yang dilihat lebih beas, contohnya The Sun:

02 - 08 - felda2

Kedua-dua laporan dengan secara jelas menyebut bahawa Felda telah mendapat kembali hak milik. Laporan The Sun (yang lebih bebas) dengan lebih jelas menyebut bahawa “all of the property ownership letters have been registered back under Felda’s name” yang memberi maksud kesemua hak milik tanah itu telah didaftarkan kembali di atas nama Felda.

Saya telah membuat pelbagai siasatan dan telah berjaya mendapatkan geran hak milik untuk kesemua 16 lot tanah Felda yang dipindahkan kepada pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd. Semua geran ini diperolehi dengan menjejaki nombor-nombor geran hak milik, yang seterusnya membolehkan saya membeli setiap geran yang bernilai RM30 setiap satu.

Saya tunjukkan geran-geran ini setiap satu persatu seperti berikut:

1. Hakmilik Lot43 – SPSB

2. Hakmilik Lot390 – SP KLVC SB

3. Hakmilik Lot4234 – SPSB

4. Hakmilik Lot4235 – SPSB

5. Hakmilik Lot4236 – SPSB

6. Hakmilik Lot4237 – SPSB

7. Hakmilik Lot4238 – SPSB

8. Hakmilik Lot4239 – SPSB

9. Hakmilik Lot4240 – SPSB

10. Hakmilik Lot4241 – SPSB

11. Hakmilik Lot4573 – SPSB

12. Hakmilik Lot4574 – SPSB

13. Hakmilik Lot9096 – SPSB

14. Hakmilik Lot14120 – SPSB

15. Hakmilik Lot22524 – SPSB

16. Hakmilik Lot29788 – SPSB

Saya ingin menunjukkan beberapa persoalan nyata yang perlu dijawab oleh Tan Sri Shahrir Samad ekoran dari sidang media beliau bertarikh 15 Januari 2018 kononnya Felda telah memperolehi kembali hak milik tanah-tanah tersebut:

i. Tidak ada satu pun dari tanah-tanah itu yang telah dipindah milik kembali kepada Felda. Setakat 31 Januari 2018 iaitu seminggu lalu ketika geran-geran ini diperolehi, kesemua 16 lot tanah masih lagi milik syarikat pemaju iaitu Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd (Lot 390) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (15 lot yang lain)

ii. Apabila Tan Sri Shahrir mengumumkan pada 15 Januari yang lalu kononnya Felda telah memiliki kembali hak milik, apakah maksud beliau sedangkan geran-geran hak milik secara jelas menunjukkan ia masih lagi hak milik pemaju?

iii. Apabila beliau dipetik oleh akhbar The Sun sebagai berkata “semua surat pemilikan tanah telah didaftarkan kembali atas nama Felda”, surat apa yang dimaksudkan beliau? Satu-satunya instrumen undang-undang yang diguna pakai adalah geran hak milik yang menunjukkan tidak ada satu pun geran hak milik didaftarkan atas nama Felda

Lebih tenat lagi, saya ingin mengingatkan Tan Sri Shahrir bahawa syarat nyata yang dimasukkan bagi geran hak milik tanah-tanah lot 4573, 4574, 9096, 14120 dan 22524 adalah bagi tujuan pejabat Felda sahaja, seperti yang ditunjukkan oleh geran-geran lot 4573 dan 4574 di bawah (boleh rujuk setiap geran yang disertakan bersama):

02 - 08 - felda3

02 - 08 - felda4

Maka, apabila pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd mahu membangunkan menara-menara perniagaan dan kediaman mewah untuk dijual kepada orang ramai, itu telah pun melanggar syarat-syarat nyata berhubung 5 lot tanah yang diambil dari Felda itu.

Ini adalah soalan-soalan awal yang saya ingin tanyakan kepada Tan Sri Shahrir Samad agar beliau dapat menerangkan kepada rakyat.

Saya tahu bahwa tujuan sandiwara ini dimainkan adalah untuk menunjukkan bahawa pengurusan Felda di bawah kepimpinan Tan Sri Shahrir Samad tidak terlibat di dalam pelbagai urusniaga yang merugikan peneroka Felda dan sedang berusaha menyelamatakan Felda. Ini bertujuan meyakinkan peneroka Felda dan orang Melayu kononnya pelbagai isu yang dibawakan oleh saya dan pimpinan Pakatan Harapan yang lain adalah tidak benar.

Hakikatnya tidak ada satu pun lagi tanah-tanah itu yang diumumkan “telah kembali” kepada Felda yang hak miliknya didaftarkan kembali atas nama Felda. Jika saya tidak berusaha mendapatkan geran-geran ini, sudah tentu peneroka akan tidur lena kerana percaya tanah-tanah itu kekal dalam tangan Felda, sedangkan semua gerak hak milik menunjukkan ia telah dipindahkan sepenuhnya kepada pemaju dan tidak satu pun yang dikembalikan.

Saya akan terus menunggu jawapan dari Tan Sri Shahrir dan terus berdebat dengan beliau melalui media sehinggalah tanah-tanah itu kembali sepenuhnya kepada Felda, bukannya sandiwara yang dimainkan setakat ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.