Category Archives: Reformasi

Akuan Bersumpah Pengisytiharan Harta

Saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI (No kad pengenalan: XXXXXX-XX-XXXX) yang beralamat di [XXXXXXXXXXX] dengan ini membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 bagi tujuan mengisytiharkan harta saya sebagai seorang yang berminat menjadi calon bagi Pilihan Raya Umum ke 15. Akuan bersumpah ini di buat sejajar dengan sebahagian dari syarat-syarat yang ditetapkan oleh Parti Keadilan Rakyat sebagai calon bertanding di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat.

Oleh itu, saya dengan ini mengisytiharkan perkara-perkara berikut:   

  1. Saya adalah calon Ahli Parlimen Pandan (P100) Pilihan Raya Umum ke 15.
  2. Saya sudah berumah tangga dan mempunyai seorang isteri dan seorang anak yang berumur sembilan (9) tahun.
  3. Sepanjang masa saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen (penggal 2013 – 2018), saya tidak pernah menyalahgunakan kuasa saya untuk memperkayakan diri saya, isteri saya, anak saya atau mana-mana ahli keluarga saya. Saya tidak pernah memegang jawatan awam lain selain dari menjadi Ahli Parlimen (penggal 2013 – 2018).
  4. Jumlah nilai aset bersih saya pada 31 hari bulan Oktober 2022 adalah dianggarkan sebanyak RM 18,851,350. Senarai harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya terkandung di dalam Lampiran 1.
  5. Kesemua anggaran yang terkandung di dalam pengisytiharan ini di buat dengan usaha terbaik dan berdasarkan dokumen, rekod dan/atau ingatan saya. Semua aset yang diberi nilai pasaran terkini adalah berdasarkan anggaran terbaik saya.

Saya dengan ini mengesahkan kesemua kenyataan di atas serta maklumat di dalam Lampiran 1 adalah pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan saya. Saya membuat akuan ini dengan percaya bahawa akuan ini benar dan mengikut peruntukan Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dan sesungguhnya                                )

diakui oleh saya, MOHD RAFIZI BIN RAMLI         )

di Sungai Besi, Kuala Lumpur                                )

pada 2 November 2022                                         )

Di hadapan saya

Najib Jangan Perasan: Minat Kerana Najib Wajar Ke Penjara

Walaupun berlagak popular, bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak nampak bimbang dengan susunan semula kepimpinan parti-parti Pakatan Harapan. Kebelakangan ini, terutamanya selepas selesainya pemilihan barisan kepimpinan baru KEADILAN, jentera penerangan UMNO nampak ditumpukan untuk menyerang saya dan KEADILAN/Pakatan Harapan.

Terbaru, semasa berucap di Konvensyen BN Selangor, berulang kali dia menumpukan ucapannya mengenai saya, termasuk mengungkit kononnya saya “berminat” kepadanya.

Sementara lagak Najib sudah diketahui umum dan ada segelintir masyarakat yang berpendapat lagaknya wajar diabaikan, saya memilih untuk berdepan dengan sarkas politik mainan Najib kerana ada isu pokok yang cuba disembunyikan Najib.

Hakikatnya, Najib telah bersalah menyeleweng dana rakyat yang kesannya akan ditanggung oleh rakyat untuk jangka masa berpuluh tahun akan datang. Selain tanggungan hutang 1MDB berjumlah RM50 bilion, projek-projek mega yang kosnya naik berkali ganda (seperti MRT, LRT3, ECRL dan sebagainya) membebankan rakyat dengan hutang melebihi RM100 bilion dalam tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang.

Najib telah menggunakan sumber kewangannya untuk menggerakkan kempen penipuan melalui media sosial untuk menyucikan dirinya seolah-olah dia tidak bersalah.

Lebih teruk dari itu, dia juga cuba menyelewengkan pemikiran rakyat dengan memainkan propaganda terhadap tokoh-tokoh terbilang yang patriotisme mereka bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan Najib. Cubaan propaganda Najib untuk memburukkan integriti hakim Yang Arif Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali, semata-mata untuk menutup kesalahannya mencuri dana rakyat, tidak wajar dibiarkan tanpa disanggah.

Oleh itu, saya menyeru keseluruhan pimpinan KEADILAN/Pakatan Harapan di segenap lapisan terus menjawab untuk mematikan propaganda Najib yang merosakkan pemikiran rakyat.

Sementara kita membentangkan idea-idea untuk memperbaiki kebajikan rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat, kita juga wajib menunjukkan bahawa sebahagian besar dari masalah rakyat ini berpunca dari salah tadbir sepanjang sembilan tahun Najib menjadi Perdana Menteri.

Keupayaan pimpinan KEADILAN/Pakatan Harapan mengutarakan kedua-dua perkara ini (memberi idea penyelesaian dan mematahkan propaganda Najib) secara serentak adalah kunci kemenangan KEADILAN/Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum akan datang.

Misalnya, adalah satu kebodohan jika kita membiarkan Najib dan konco-konconya memperlekehkan kewibawaan seorang anak Malaysia terbilang seperti YA Dato’ Mohd Nazlan. Beliau seorang yang pintar lulusan University of Oxford dan mempunyai rekod kerjaya yang menjadi kebanggaan negara. Beliau juga tidak gentar dengan asakan politik dan sanggup berdepan dengan mainan propaganda Najib.

Bandingkan dengan Najib yang rekod akademik dan kerjayanya hanyalah sebagai seorang bangsawan yang tidak pernah ada pencapaian baik selain yang datang dari kedudukannya sebagai seorang bangsawan.

Jika ada anak Melayu yang wajar menjadi kebanggaan dan inspirasi generasi muda Melayu, tokoh seperti YA Dato’ Mohd Nazlan inilah yang perlu kita angkat.

Sebaliknya, propaganda Najib dengan tanpa segan silu, sementara memainkan isu perkauman, dia juga menghina dan memperkecilkan tokoh-tokoh seperti YA Dato’ Mohd Nazlan demi untuk menyelamatkan dirinya yang semakin dekat dengan hari penghakiman.

Sebab itu, telatah Najib tidak lebih dari seorang yang perasan dan merasa takut pada masa yang sama.

Saya tidak berminat dengan Najib.

Sebagai pimpinan utama parti-parti pro-rakyat di negara ini, memang menjadi tanggungjawab saya untuk terus mendedahkan kesalahan Najib. Fokus kepada kesalahan Najib yang membebankan rakyat ini telah menjatuhkan Najib dalam PRU14 dalam tahun 2018. Dengan konsistensi yang sama, lebih ramai rakyat yang akan menolak UMNO/Barisan Nasional akibat penyelewengan-penyelewengan Najib yang terus membebankan UMNO/Barisan Nasional.

Minat sebenar saya ialah untuk memastikan Najib menanggung kesalahan-kesalahannya kepada rakyat dan berakhir dengan menjalani hukuman penjara.

Secara langsung, ini akan membela dan mengangkat tokoh-tokoh seperti YA Dato’ Mohd Nazlan, yang nilai profesionalisme dan patriotisme mereka perlu menjadi kompas moral baru kepada generasi muda Malaysia.

RAFIZI RAMLI

Potong Gaji Menteri Kerana Gagal, Bukan Untuk Kawal Inflasi

Kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Pasukan Khas “Jihad Tangani Inflasi” yang memperlekehkan desakan agar gaji menteri dipotong akibat krisis kenaikan harga barang adalah bongkak.

Beliau membentak gesaan itu dengan menuduh kononnya itu satu permainan politik kerana “tidak ada negara yang berjaya turunkan inflasi selepas memotong gaji menteri”.

Beliau lupa bahawa di negara-negara lain, layanan kepada menteri-menteri yang gagal menguruskan ekonomi sehingga menyusahkan rakyat adalah lebih keras dari potongan gaji. Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan.

Oleh itu, desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji bukanlah untuk mengurangkan harga barang. Ia perlambangan hasrat rakyat kebanyakan mengenai beberapa perkara berhubung kemelut kenaikan harga barang sekarang:

  • Potongan gaji menteri adalah satu isyarat dari rakyat bahawa menteri-menteri telah gagal menjalankan tugas menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga tidak terkawal dan menekan rakyat
  • Potongan gaji menteri memaklumkan rakyat bahawa menteri-menteri sensitif kepada kepayahan yang dialami rakyat dan ia satu bentuk solidariti bersama-sama rakyat
  • Potongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali dari penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam, jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama

Saya berharap lebih ramai pimpinan masyarakat dan orang ramai meneruskan desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji untuk membentak kembali keangkuhan menteri seperti Annuar Musa ini.

Jika tidak, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil berbulan lama sebelum sesuatu keputusan konkrit diambil. Setelah satu keputusan diambil, berbulan pula masa yang diperlukan untuk melaksanakan keputusan. Apabila keputusan hendak dilaksanakan, jawatankuasa yang lain pula ditubuhkan untuk mengkaji masalah yang sama.

Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang kena kepada poket menteri-menteri, barulah mereka berasa keutamaan (“urgency”) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat.

RAFIZI RAMLI

Rakyat Rasa Rasuah Tidak Ditangani: Kenapa SPRM Tidak Dakwa Pesalah Dalam Skandal RM1.5 Bilion Bank Pembangunan?

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki baru-baru ini dilaporkan berkata kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara yang makin merudum hanyalah persepsi dan bukanlah kedudukan sebenar keadaan rasuah di Malaysia.

Saya fikir kenyataan beliau itu adalah untuk mempertahankan rekod beliau yang menyaksikan CPI semakin merosot sejak beliau menjadi Ketua Pesuruhjaya sejak pertukaran Kerajaan Persekutuan dalam tahun 2020. Kedudukan Malaysia terus turun dari 62 (2017), 61 (2018), 51 (2019), 57 (2020) dan 62 (2021).

CPI membandingkan tanggapan masyarakat mengenai berleluasanya amalan rasuah di sektor awam di antara 180 buah negara di seluruh dunia.

Pada kedudukan terkini di paras 62 dari 180 buah negara, ia membayangkan rakyat negara ini merasakan amalan rasuah kebelakangan ini sudah sampai ke peringkat semasa skandal 1MDB memuncak dahulu (2017). Jika saya menjadi Azam Baki, saya akan meletakkan jawatan kerana di bawah kepimpinan saya segala usaha rakyat menolak rasuah seolah-olah sia-sia apabila rakyat merasakan keadaan sekarang tidak banyak berbeza dengan semasa skandal 1MDB memuncak.

Indeks ini penting kerana ia diterima pakai di seluruh dunia. Pelabur asing menggunakan indeks ini untuk menilai tahap rasuah di negara kita. Lebih penting lagi, ia satu-satunya kayu ukur yang paling bebas mengenai tanggapan rakyat terhadap amalan rasuah.

Kita tidak boleh salahkan rakyat biasa jika mereka merasakan amalan rasuah semakin berleluasa sehingga telah mencapai tahap 2017 ketika skandal 1MDB memuncak.

Tanggapan rakyat ini dibentuk dengan mengamati tindakan dan gerak-geri SPRM (terutamanya Ketua Pesuruhjayanya) dalam menangani skandal-skandal besar yang melibatkan berbilion wang negara. Walaupun ada saja ikan-ikan bilis yang ditangkap setiap hari, tanggapan rakyat mengenai amalan rasuah tidak akan berubah jika tidak ada tindakan terhadap jerung-jerung besar.

Dalam hal ini, saya mengikuti dengan dekat perkembangan usaha Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dalam usahanya untuk mendapatkan kembali sekitar RM1.5 bilion dana awam yang telah diselewengkan oleh peminjam-peminjam.

Ia melibatkan pinjaman-pinjaman kepada syarikat-syarikat yang mempunyai “kabel” besar dan diluluskan oleh pengurusan BPMB semasa Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Jumlah pinjaman RM1 bilion yang telah diselewengkan (termasuk dipindahkan ke akaun-akaun luar negara dalam kes-kes tertentu) adalah skandal terbesar dari sebuah bank pembangunan milik kerajaan dalam sejarah negara kita.

Media perniagaan membuat liputan meluas mengenai peminjam-peminjam berkabel besar ini dan usaha BPMB untuk mendapatkan kembali wang rakyat. Laporan-laporan menyebut urusniaga pinjaman dan ekuiti yang diluluskan BPMB semasa Najib menjadi Perdana Menteri, seperti berikut:

  1. Pinjaman RM400 juta yang diluluskan dalam tahun 2012 kepada Aries Telecoms (M) Bhd
  2. Ambil alih Syarikat Borcos Shipping Sdn Bhd melibatkan dana berjumlah RM337 juta. Syarikat itu jatuh muflis hujung tahun 2017
  3. Pinjaman berjumlah RM450 juta kepada Asian Broadcasting Network (ABN) untuk melancarkan stesen TV berbayar. ABN ialah syarikat milik Kenneth Eswaran, seorang yang diketahui sangat rapat dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor
  4. Pinjaman berjumlah RM305 juta kepada Nautical Resort Sdn Bhd dan Garuda Suci Sdn Bhd, dua syarikat milik Tan Sri Peter Sondakh yang juga sahabat baik Najib dan isterinya Rosmah Mansor

Kesemua dana rakyat berjumlah RM1.5 bilion yang lesap ini diluluskan semasa Najib merupakan Menteri Kewangan dan BPMB melaporkan terus kepadanya.

Saya telah membangkitkan pinjaman-pinjaman yang disyaki diselewengkan ini sepanjang saya menjadi Ahli Parlimen dari 2013 ke 2018. Isu ini saya bawa berkali-kali ke Parlimen dan dilaporkan secara meluas:

https://www.theedgemarkets.com/article/abn-loan-was-subject-debate-dewan-rakyat-two-years-ago

Kesemua kes ini adalah kes awam yang sepatutnya disiasat oleh SPRM sejak 2014 lagi tanpa pun perlu ada aduan.

Malangnya, saya bersimpati dengan pengurusan BPMB yang terpaksa mengambil jalan saman sivil untuk mendapatkan kembali dana rakyat ini kerana nampaknya tiada tindakan dari SPRM. Pengurusan baru BPMB nampaknya proaktif dengan mengambil jalan saman sivil dengan menyaman dan membekukan aset bekas CEO BPMB (pada ketika itu) dan 26 individu dan syarikat lain yang dituduh menyelewengkan RM400 juta pinjaman kepada Aries Telecom.

Tindakan BPMB ini wajar dipuji dan telah diberi liputan besar-besaran oleh media perniagaan:

https://www.theedgemarkets.com/article/bank-pembangunan-sues-former-md-plus-26-others-fraud-and-bribery

Yang saya pelik, setelah membaca bukti-bukti yang difailkan oleh BPMB melalui saman sivilnya, saya yakin bukti-bukti itu lebih dari cukup untuk SPRM mengambil tindakan jenayah terhadap pelaku-pelaku di bawah Akta SPRM. Lebih penting lagi, untuk memastikan tokoh-tokoh yang belum lagi dihadapkan ke muka keadilan, terutama yang rapat dengan Najib seperti Kenneth Eswaran dan Peter Sondakh juga disiasat sepenuhnya setelah syarikat mereka menyebabkan dana rakyat hangus.

Sudah tentu soalan paling utama: kenapa sehingga sekarang Najib, sebagai Menteri Kewangan yang menjadi bos kepada BPMB ketika itu belum disiasat oleh SPRM mengenai kes-kes ini apabila pinjaman-pinjaman itu kepada kenalan-kenalan rapat beliau?

Ini adalah perkara-perkara yang diperhatikan dan dinilai oleh rakyat.

Apabila kes-kes yang sudah jelas bukti-buktinya ini pun tidak diambil tindakan, sehingga BPMB terpaksa mengambil tindakan saman sivil untuk mendapatkan kembali dana awam, sudah tentu rakyat merasakan amalan rasuah semakin berleluasa di negara ini.

Sebab itu kalau saya Azam Baki, saya akan letak jawatan.

RAFIZI RAMLI

Tuntutan Aset Waris Sulu: Laporan Polis Seluruh Negara Terhadap Najib

Minggu lalu, saya telah menunjukkan bahawa masalah yang diwarisi oleh tiga Kerajaan Persekutuan berturut-turut mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu sebenarnya bermula di zaman pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri.

Apabila negara mula mengetahui mengenai tuntutan waris Kesultanan Sulu yang melibatkan aset PETRONAS bernilai sekitar RM9 bilion baru-baru ini, Najib cepat-cepat cuba mengalihkan fokus rakyat dengan menuding jari kepada pentadbiran-pentadbiran selepas beliau, sedangkan kertas timbang tara secara jelas menunjukkan fakta notis tuntutan itu telah disampaikan kepada pentadbiran beliau bertarikh 2 November 2017. Tuntutan itu juga bermula selepas pentadbiran beliau menghentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013 lagi.

Oleh itu, saya berpendapat wajarlah Najib turut mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan kecuaiannya semasa menjadi Perdana Menteri di antara 2013 hingga 2017 yang membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu yang kini dibebankan kepada setiap pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas beliau.

Undang-undang memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan undang-undang, sama ada di bawah Kanun Jenayah (“Penal Code”) atau tindakan saman sivil, terhadap mana-mana penjawat awam yang telah cuai dalam menjalankan tugas awam. Dalam kes ini, kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri telah mendedahkan negara kepada tuntutan aset sebanyak RM67.5 bilion.

Dengan ini, saya telah meminta cabang-cabang dan pimpinan KEADILAN seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kecuaian Najib semasa menjadi Perdana Menteri sehingga membawa kepada tuntutan waris Sulu. Saya juga memanjangkan jemputan kepada aktivis akar umbi AMANAH dan DAP di seluruh negara untuk bersama-sama dengan KEADILAN menyertai siri laporan polis.

Maklumat dan panduan mengenai laporan polis adalah seperti berikut:

Tarikh:

Selasa, 19 Julai 2022

(hari Selasa dipilih untuk mengingatkan Najib janjinya untuk menyaman Wall Street Journal mengenai skandal 1MDB pada hari Selasa, tetapi tidak pernah berlaku)

Tempat:

Balai Polis di seluruh negara

Penyertaan:

Pimpinan KEADILAN semua peringkat di seluruh negara

Draf laporan polis:

“.. Saya, (nama) __________________, No. Kad Pengenalan (IC) ____________, seorang rakyat Malaysia dan pemimpin KEADILAN, ingin membuat laporan polis mengenai kecuaian bekas Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang telah menyebabkan negara berdepan dengan tuntutan berjumlah sekitar RM67.5 bilion dari waris Kesultanan Sulu.

Tuntutan ini bermula ekoran keputusan pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu (seperti kehendak perjanjian) dalam tahun 2013. Sepatutnya, sekiranya beliau tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau telah memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan.

Keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia.

Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Dato’ Seri Najib masih menjadi Perdana Menteri.

Sebagai rakyat Malaysia, saya meminta supaya pihak berkuasa menyiasat Dato’ Seri Najib di bawah peruntukan Kanun Jenayah sedia ada (Akta 574) dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan, seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395) untuk menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Dato’ Seri Najib dalam menangani isu ini.

Saya berharap laporan ini membolehkan kertas siasatan dibuka untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara.

Saya membuat laporan ini demi menjalankan tanggungjawab sivik saya sebagai seorang rakyat…..”

Saya sendiri akan membuat laporan polis di Balai Polis Setiawangsa bersama-sama YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa jam 11 pagi esok, Selasa 19 Julai 2022.

Selepas membuat laporan polis, saya galakkan semua yang terlibat membuat kenyataan media, menyebarkan berita dan menghantar berita/visual ke media sosial untuk mendidik rakyat mengenai kesan kecuaian penjawat awam di peringkat tertinggi kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI