Category Archives: MARA

UMNO Guna Surat Tawaran Kemasukan MRSM Untuk Kepentingan Politik

Saya mendapat banyak keluhan dan aduan dari ibu bapa yang tidak berpuas hati apabila mereka diarah untuk hadir ke majlis-majlis menerima surat tawaran kemasukan MRSM di pejabat-pejabat Umno di seluruh negara.

Perkara ini turut dilaporkan oleh Sinar Harian pada hari Isnin (semalam), seperti laporan majlis yang diadakan sendiri oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, iaitu menteri yang bertanggungjawab menguruskan Majlis Amanah Rakyat (MARA) seperti paparan skrin berikut:

01 - 23 - MARA sinar harian

Saya dapati di seluruh negara sejak minggu lalu, pimpinan UMNO di bahagian-bahagian telah ditugaskan oleh MARA untuk menyampaikan surat tawaran ini kepada ibu bapa yang diarahkan hadir ke dewan-dewan UMNO untuk mengambil surat tawaran tersebut; atau ke dewan lain yang keseluruhannya dikendalikan oleh UMNO.

Bukti yang saya boleh kongsikan di sini:

1 - 23 - Sg Petani

Majlis yang bernama “Majlis Penyampaian Sijil Kemasukan Pelajar Baru Ke MRSM” yang disempurnakan oleh Dato’ Haji Abdul Rahim Haji Saad, Ketua Bahagian UMNO Sungai Petani, pada hari Khamis 18 Januari 2018

1 - 23 - Kepala BatasMajlis yang sama di Kepala Batas oleh Datuk Reezal Marican Naina Marican, Ketua Bahagian UMNO Kepala Batas, dilaporkan pada hari Sabtu lepas

Saya meminta supaya pihak MARA menghentikan dengan segera majlis yang membuang masa dan wang rakyat ini kerana surat tawaran boleh sahaja dihantar melalui pos atau dimuat turun melalui laman web, tanpa menganjurkan majlis khusus yang melibatkan pimpinan UMNO bahagian.

Ada dua perkara utama yang mewajarkan bantahan kepada majlis-majlis seperti ini:

i. Penganjurannya membuang dana rakyat dan masa kakitangan MARA yang sepatutnya menumpukan dana dan tenaga untuk membantu banyak lagi penuntut-penuntut MARA serta kakitangan MARA yang terkesan dari pemotongan peruntukan kepada MARA; dan

ii. Penyalahgunaan MARA bagi tujuan berpolitik adalah sangat tidak kena terutamanya dalam keadaan tokoh-tokoh UMNO masih belum menjelaskan sebaiknya bagaimana dana MARA berjumlah ratusan juta ringgit hangus begitu sahaja dalam pelaburan-pelaburan hartanah yang menipu dana MARA di luar negara.

Saya mendesak Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan kepada orang ramai berapa dana MARA yang telah dibelanjakan setakat ini untuk program yang membuang masa ibu bapa dan membazirkan wang rakyat ini; dan supaya beliau mengeluarkan arahan menghentikannya dengan serta merta.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Bila Khairy Jamaluddin Mahu Ambil Tindakan Ke Atas Pemuda UMNO Yang Terlibat Di Dalam Skandal MARA Di Australia?

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan telah menolak rayuan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang sebelum ini kalah dalam saman beliau berhubung skandal MARA yang saya dedahkan dalam tahun 2015.

Saya telah menyenaraikan individu-individu yang nama mereka telah disebut di dalam dokumen perbicaraan kes yang sama di Mahkamah Australia, yang merupakan pimpinan Pemuda Umno atau individu yang ada hubungan dengan pimpinan Pemuda Umno seperti berikut:

1. Erwan Azizi adalah Pengarah Eksekutif Optimus Capital Sdn Bhd. Selain beliau, pengarah dan pemegang saham Optimus Capital Sdn Bhd yang lain adalah seorang yang bernama Mazrul Haizad Maarof. Individu ini (Mazrul Haizad Maarof) adalah abang ipar kepada Dazma Shah Daud, EXCO Pemuda Umno. Dokumen-dokumen di Mahkamah Australia menunjukkan senarai syarikat-syarikat yang menerima komisen hasil dari penjualan bangunan-bangunan kepada MARA pada harga yang berlipat ganda yang ada kaitan dengan Dazma Shah Daud, EXCO Pemuda Umno Malaysia dan abang iparnya Mazrul Haizad Maarof.

2. Erwan Azizi juga adalah pengarah bukan eksekutif Biosis Group Berhad yang dipengerusikan oleh Khairul Azwan Harun, Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Semasa perbicaraan, peguam saya William Leong telah menunjukkan kepada mahkamah bagaimana Erwan Azizi dan Khairul Azwan Harun adalah rakan kongsi perniagaan. Mereka (dan seorang lagi kenalan Khairul Azwan Harun) mengawal sehingga 30.5% saham di dalam Biosis Group Berhad.

(Untuk maklumat penuh individu-individu yang dinamakan terlibat di dalam skandal MARA, semak http://rafiziramli.com/2015/07/individu-terbabit-di-dalam-urusniaga-mara-perlu-tampil-memberi-penjelasan/)

Khairul Azwan Harun sebagai Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia menyaman saya apabila saya mendedahkan perkara ini atas alasan saya telah memfitnah beliau.

Dalam kenyataan asal saya yang disaman kerana kononnya memfitnah, saya sebenarnya menuntut supaya pimpinan Pemuda Umno yang dinamakan atau yang ada kaitan perniagaan dengan individu yang dinamakan sebagai dalang kepada urusniaga yang menipu MARA itu tampil memberi penjelasan.

Saya juga menuntut supaya Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin menjawab apakah tindakan yang akan diambil oleh beliau ke atas pimpinan Pemuda Umno yang dinamakan terlibat dengan skandal MARA. Pada ketika itu, beliau menepis begitu sahaja isu ini dengan mendakwa saya hanya mengaitkan Pemuda Umno sedangkan tidak ada bukti mereka terlibat.

Setelah kes penyelewengan (yang menyaksikan MARA ditipu di dalam urusniaga membeli asrama-asrama pelajar sehingga terlebih bayar sekitar RM129 juta berbanding dengan harga sebenar) telah melalui proses mahkamah di Australia dan Malaysia, sudah sampai masanya YB Khairy Jamaluddin dan YB Senator Khairul Azwan Harun menyatakan apakah tindakan yang akan diambil ke atas Dazma Shah Daud, EXCO Pemuda Umno yang tidak pernah sekali pun menafikan keterlibatan beliau di dalam skandal MARA ini.

Saya juga berminat untuk mengetahui apakah YB Senator Khairul Azwan Harun kini akan membuat penjelasan mengenai hubungan perniagaan beliau dengan Erwan Aziz yang dinamakan sebagai individu yang terbabit di dalam urusniaga-urusniaga hartanah yang merugikan MARA itu, setelah saman beliau ditolak di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan?

Saya akan menumpukan kembali kepada prestasi dan kedudukan semasa MARA bersempena perlantikan pengerusi MARA yang baru iaitu Tan Sri Awang Adek Hussin. Oleh itu, saya mencadangkan adalah lebih baik kedua-dua pimpinan Pemuda Umno ini menyatakan apakah mereka akan mengambil tindakan ke atas Dazma Shah Daud, EXCO Pemuda Umno dan Khairul Azwan Harun sendiri setelah keputusan mahkamah bersetuju bahawa kenyataan-kenyataan saya adalah bersifat kepentingan awam dan bukannya fitnah.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Annuar Musa Patut Derma RM50,000 Sebagai Biasiswa Pelajar Cemerlang UniKL

Saya terkejut membaca berita terkini mengenai tawaran Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi MARA yang digantung (tetapi masih berkhidmat sebagai Pro-Canselor UniKL) yang telah menaikkan hadiah esei kepada RM50,000 (dari tawaran asal RM10,000 sebelum ini).

Walaupun saya sangat-sangat tidak berminat untuk masuk gelanggang dalam isu-isu yang tidak menguntungkan rakyat seperti ini, tawaran menaikkan hadiah kepada RM50,000 dari seorang Pro-Canselor UniKL dalam keadaan bebanan kewangan warga UniKL yang meningkat; adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Saya ingin ingatkan Tan Sri Annuar Musa mengenai perkara-perkara ini:

1. Beliau masih menerima elaun dan imbuhan lain sebagai Pengerusi MARA dan jawatan-jawatan lain yang berkaitan, seperti mana yang diakui beliau sendiri dalam satu video temuramah di Parlimen minggu lalu

2. Warga UniKL masih terbeban dengan pelbagai masalah kewangan. Hanya selepas saya membantah kenaikan yuran asrama di tiga kampus yang telah diputuskan melalui satu pekeliling, barulah menteri terbabit mengarahkan UniKL untuk membatalkan hasrat untuk menaikkan yuran itu

3. Masih ramai anak-anak Melayu/Bumiputra dari keluarga berpendapatan rendah yang belum mendapat pembiayaan sepenuhnya dari MARA atau pihak lain sedangkan Tan Sri Annuar Musa mengumumkan seolah-olah semua isu pembiayaan pendidikan telah selesai (rujuk kenyataan media saya http://rafiziramli.com/2017/02/masalah-pembiayaan-unikl-annuar-musa-berbohong-umum-kelulusan-pembiayaan-berjumlah-rm237-juta/)

4. Ada pensyarah sambilan UniKL yang tidak disambung kontrak bermula Januari 2017 (seperti yang dimaklumkan kepada saya) kerana kedudukan kewangan UniKL yang tidak baik

Dalam keadaan begini, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila Tan Sri Annuar Musa, sebagai Pro-Canselor UniKL lebih ghairah bermain politik sehingga sanggup menawarkan wang hadiah RM50,000 untuk memperlekehkan musuh politik beliau, Lim Kit Siang.

Saya juga berpendapat ia hanya gimik politik beliau untuk menjadi jaguh agar berpeluang bertanding jawatan kanan dalam pemilihan Umno akan datang, memandangkan masa depan politik beliau mundar mandir akibat pelbagai kes dan kontroversi yang melibatkan beliau kebelakangan ini.

Oleh itu, saya menasihati Tan Sri Annuar Musa supaya kembali kepada amanah asal beliau iaitu menjaga kebajikan pendidikan anak-anak bangsa di institusi di bawah seliaan beliau seperti UniKL.

Saya menasihati beliau mengumumkan bahawa wang RM50,000 itu akan ditukar menjadi hadiah biasiswa kepada pelajar miskin cemerlang di UniKL.

Saya juga menasihati pimpinan Pakatan Harapan supaya tidak lagi melayan karenah Tan Sri Annuar Musa dan jangan terperangkap dengan permainan tawar menawar wang untuk memperlekehkan lawan politik seperti ini.

Sesungguhnya rakyat mencemuh kegilaan politik seperti ini dalam keadaan mereka sengsara dengan bebanan ekonomi.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Masalah Pembiayaan UniKL: Annuar Musa Berbohong Umum Kelulusan Pembiayaan Berjumlah RM237 Juta?

Pendedahan saya mengenai masalah pembiayaan pelajar-pelajar di Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dan kenaikan yuran di 3 kampus UniKL akhirnya mendapat perhatian menteri terbabit, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Maklumbalas beliau yang dilaporkan oleh Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/nasional/menteri-perjelas-isu-tajaan-mara-yuran-asrama-unikl-1.632224
boleh saya ringkaskan seperti berikut:

1. Beliau mengakui bahawa pendedahan saya mengenai kenaikan yuran di kampus-kampus UniKL kepada RM150 sebulan (dari RM120 sebulan iaitu peningkatan 25%) adalah benar. Sebab itu beliau sekadar menyebut yuran asrama di kampus-kampus UniKL dikekalkan kepada RM120.

Sementara saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana mendengar rintihan rakyat, saya juga berharap beliau lebih prihatin kepada masalah yang berlaku dan tidak hanya bersuara atau mengambil tindakan setelah masalah itu didedahkan. Jika tidak, lebih baik beliau jangan menjadi Menteri MARA.

2. Pelajar IPMa yang masih belum menerima kemudahan pinjaman MARA sedang dalam tindakan dan akan diusahakan dalam masa terdekat.

Sekali lagi saya hargai keterbukaan beliau yang tidak menyerang peribadi saya apabila saya bersuara mengenai nasib pelajar-pelajar ini dan keluarga mereka, bukan seperti reaksi Pengerusi MARA yang digantung, Tan Sri Annuar Musa ketika saya mula-mula membangkitkan isu ini.

Masalahnya, saya telah membangkitkan isu ini sejak setahun lalu. Setiap kali saya bersuara, pimpinan tertinggi Umno yang bertanggungjawab mengendalikan urusan MARA akan memberi jaminan masalah akan diselesaikan dalam masa terdekat tetapi sehingga kini masih belum selesai.

Saya berikan rentetan peristiwa (beserta gambar) untuk menunjukkan “tempoh masa yang terdekat” mengenai isu ini yang telah berlanjutan lama:

i. 10 Februari 2016 – saya membuat sidang media menuntut supaya MARA menyediakan bantuan pembiayaan kepada pelajar-pelajar di IPMa yang terbabit. Rujuk http://rafiziramli.com/2016/02/masalah-pembiayaan-di-universiti-kuala-lumpur-dan-lain-lain-mara-perlu-senaraikan-semua-pembiayaan-pendidikan-yang-disediakan/

ii. 12 Februari 2016 – Prof. Dato’ Dr Mazliham Mohd Su’ud, Presiden/CEO mengumumkan di laman Facebook beliau keputusan MARA yang diumumkan oleh Tan Sri Annuar Musa untuk menaja SEMUA pelajar-pelajar IPMa berdasarkan 3 jenis pembiayaan. Rujuk
https://www.facebook.com/ProfMazliham/photos/a.122402514611746.1073741828.121512901367374/474888126029848/?type=3&theater

 

iii. 13 Februari 2016 – Tan Sri Annuar Musa, Pro-Canselor UniKL dan Pengerusi MARA dengan gah memperlekehkan isu masalah pembiayaan MARA di laman Facebook beliau. Rujuk https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1010494519022873&set=a.239004476171885.58693.100001870036702&type=3

 

iv. 15 Februari 2016 – Tan Sri Annuar Musa, Pro-Canselor UniKL dan Pengerusi MARA konon turun ke UniKL untuk menyampaikan surat kelulusan penajaan MARA kepada 10,000 pelajar Bumiputra di IPMa dengan peruntukan berjumlah RM237 juta. Rujuk https://www.facebook.com/tansri.annuarmusa/posts/1011703252235333

 

Oleh itu, apabila Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jawapan bahawa masalah pembiayaan pelajar IPMa yang tertunggak sedang diuruskan dan akan diselesaikan “dalam masa terdekat”, saya ingin mengingatkan supaya beliau menyemak dahulu surat kelulusan pembiayaan yang disampaikan oleh Tan Sri Annuar Musa kepada pelajar-pelajar IPMa (terutamanya pelajar UniKL) lebih setahun lalu.

Sudah tentu jawapan beliau yang memberi tempoh masa “terdekat” itu menimbulkan kemarahan rakyat kerana setahun lalu, Tan Sri Annuar Musa memberitahu dunia bahawa MARA telah bersetuju untuk membiayai kesemua pelajar di IPMa. Malah, beliau turut menyampaikan surat kelulusan pembiayaan kepada pelajar-pelajar.

Sebab itu saya menyiarkan rintihan seorang bapa yang juga pesara yang menunggu saban bulan bermulanya pembiayaan MARA kepada pelajar-pelajar IPMa seperti yang diumumkan Tan Sri Annuar Musa tahun lalu.

Saya menggesa supaya Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jawapan berkenaan kepada rakyat:

1. Adakah Tan Sri Annuar Musa berbohong apabila beliau mengisytiharkan bahawa MARA telah meluluskan pembiayaan kepada kira-kira 10,000 pelajar Bumiputra di IPMa berjumlah RM237 juta?

2. Dengan pendedahan ini yang menunjukkan lagi ketempangan kepimpinan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA, adakah Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri untuk terus menggugurkan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengerusi MARA atas kegagalan beliau menyelesaikan masalah pembiayaan pendidikan pelajar Bumiputra di IPMa?

Saya akan membawa isu ini ke Parlimen dalam sessi yang akan datang yang bermula Mac ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Tan Sri Annuar Musa Jangan Abaikan Tanggungjawab Selesaikan Masalah Di MARA, Memenangi Kerusi FAM Aktiviti Sambilan

Saya mengikuti dengan dekat perkembangan MARA dan krisis kepimpinannya yang melibatkan Tan Sri Annuar Musa sehinggalah kepada perkembangan terkini berhubung pencalonan beliau untuk bertanding kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara saya tidak mahu campur di dalam urusan bolasepak di negara ini kerana ramai lagi yang lebih layak dan itu bukan bidang saya, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen untuk mengingatkan Tan Sri Annuar Musa bahawa penglibatan beliau sebagai calon Presiden FAM tidak boleh mengatasi tugas bergaji beliau sebagai Ahli Parlimen dan Pengerusi MARA.

Apatah lagi dalam keadaan kebajikan siswazah dan keluarga yang bergantung nasib kepada MARA untuk menyediakan peluang pendidikan menjadi semakin buruk sejak beliau menyandang jawatan Pengerusi MARA.

Saya pernah perjuangkan sebelum ini nasib siswazah yang menuntut di institusi pendidikan MARA (IPMa) yang berdepan dengan pelbagai kesempitan kewangan akibat dasar pembiayaan MARA yang berubah-ubah. Sepanjang beliau menjadi Pengerusi MARA, kedudukan MARA sebagai institusi pembiayaan (baik melalui biasiswa atau pinjaman) semakin merosot berdasarkan masalah pembiayaan yang semakin menjadi-jadi terutamanya di institusi pendidikan MARA (IPMa) seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysia Institute (GMI) dan lain-lain.

Aduan dan rintihan yang paling kerap dibawa kepada saya ialah bersabit pembiayaan siswazah UniKL. Selain daripada beratus-ratus kes yang saya pernah suarakan tahun lepas, saya terus mendapat aduan termasuklah yang terbaru (saya bacakan satu email dari seorang ayah):

“ Anak saya belajar di UNIKL MFI Bangi.Sekarang sudah hampir masuk ke sem 2 masih lagi tidak mendapat borang agreement pinjaman pelajaran.Dokumen telah dihantar pd hujung sem satu.Persoalannya bilakah wang pinjaman akan di bayar.Saya terpaksa mengeluarkan rm700 setiap bulan untuk sarahidup anak saya.Saya sudah menyara anak selama 7 bulan.sedankan saya hanyalah seorang pesara.Harap yb dpt membantu.”

Aduan sebegini berlaku secara berterusan; sebab itu rakyat begitu marah apabila dokumen yang menunjukkan penajaan pasukan bolasepak di bawah kelolaan Tan Sri Annuar Musa menggunakan dana Universiti Kuala Lumpur mula menjadi tular. Nasib baik dokumen itu tidak datang dari saya dan datang dari YTM Tengku Mahkota Johor, jika tidak sudah tentu saya terpaksa bermalam di dalam lokap.

Maka pada hari ini saya ingin mengingatkan Tan Sri Annuar Musa bahawa walaupun beliau digantung perkhidmatan sebagai Pengerusi MARA, beliau masih lagi Pro-Canselor II UniKL. Beliau masih lagi bertanggungjawab menyelesaikan segala kemelut kewangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran pembiayaan sedangkan pelbagai janji telah diberikan sebelum ini.

Terbaru, saya dimaklumkan bahawa UniKL telah menaikkan sewa bulan bagi beberapa kampusnya iaitu UniKL MIIT (Kuala Lumpur), UniKL MICET (Alor Gajah) dan UniKL MITEC (Masai) menjadi RM150 sebulan. Semakan kepada yuran bulanan (mengikut sistem semester yang lama iaitu 5-2-5) menunjukkan sewa bulanan sebelum ini ialah di antara RM110 ke RM120 sebulan; iaitu peningkatan sehingga 25%.

Pekeliling Yuran Baru Asrama

https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgcHFWWnRyQ2NuWk0

Perkara ini berlaku dalam keadaan UniKL menaja pasukan bolasepak di bawah kelolaan Tan Sri Annuar Musa; seolah-olah pelajar terpaksa membayar lebih dan sebahagian wang yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan politik pemimpin tertentu.

Saya menunggu maklumbalas dari Tan Sri Annuar Musa, MARA dan UniKL dengan desakan supaya kenaikan yuran ini dihentikan serta merta. Saya akan terus memberi tumpuan kepada soal pembiayaan pendidikan MARA dan prestasi MARA dalam beberapa minggu yang akan datang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg