Category Archives: Kos Sara Hidup @ Barang Naik

Potong Gaji Menteri Kerana Gagal, Bukan Untuk Kawal Inflasi

Kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Pasukan Khas “Jihad Tangani Inflasi” yang memperlekehkan desakan agar gaji menteri dipotong akibat krisis kenaikan harga barang adalah bongkak.

Beliau membentak gesaan itu dengan menuduh kononnya itu satu permainan politik kerana “tidak ada negara yang berjaya turunkan inflasi selepas memotong gaji menteri”.

Beliau lupa bahawa di negara-negara lain, layanan kepada menteri-menteri yang gagal menguruskan ekonomi sehingga menyusahkan rakyat adalah lebih keras dari potongan gaji. Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan.

Oleh itu, desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji bukanlah untuk mengurangkan harga barang. Ia perlambangan hasrat rakyat kebanyakan mengenai beberapa perkara berhubung kemelut kenaikan harga barang sekarang:

  • Potongan gaji menteri adalah satu isyarat dari rakyat bahawa menteri-menteri telah gagal menjalankan tugas menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga tidak terkawal dan menekan rakyat
  • Potongan gaji menteri memaklumkan rakyat bahawa menteri-menteri sensitif kepada kepayahan yang dialami rakyat dan ia satu bentuk solidariti bersama-sama rakyat
  • Potongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali dari penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam, jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama

Saya berharap lebih ramai pimpinan masyarakat dan orang ramai meneruskan desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji untuk membentak kembali keangkuhan menteri seperti Annuar Musa ini.

Jika tidak, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil berbulan lama sebelum sesuatu keputusan konkrit diambil. Setelah satu keputusan diambil, berbulan pula masa yang diperlukan untuk melaksanakan keputusan. Apabila keputusan hendak dilaksanakan, jawatankuasa yang lain pula ditubuhkan untuk mengkaji masalah yang sama.

Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang kena kepada poket menteri-menteri, barulah mereka berasa keutamaan (“urgency”) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat.

RAFIZI RAMLI

Subsidi Bersasar: Kaji Balik Klasifikasi B40 M40 T20

Ekoran kenaikan kos sara hidup dan beban inflasi yang semakin tinggi, pentadbiran UBP (UMNO-BERSATU-PAS) dijangka akan mempercepatkan penyelarasan subsidi untuk mengurangkan peruntukan subsidi kepada rakyat. Kenyataan-kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kebelakangan ini konsisten menyatakan usaha ke arah pendekatan subsidi bersasar (“targeted subsidy”) sedang giat diusahakan.

Sementara pendekatan subsidi bersasar secara konsepnya dilihat lebih masuk akal sekiranya diuruskan dengan baik, ia juga mendatangkan risiko keciciran (“exclusion risk”) dan ketirisan (“leakage risk”).

Risiko keciciran merujuk kepada kebarangkalian ada kumpulan yang sepatutnya mendapat manfaat subsidi terkeluar dari kumpulan sasaran. Ini sering berlaku setiap kali bantuan-bantuan tunai diumumkan apabila ramai yang status sosial ekonominya rendah tidak mendapat bantuan berbanding penerima-penerima yang datang dengan kereta besar untuk menerima bantuan.

Risiko ketirisan sedang menjadi perbincangan hangat kebelakangan ini, terutamanya berhubung minyak masak bersubsidi yang diselewengkan kepada golongan tertentu sehingga rakyat biasa sukar mencari bekalan minyak masak bersubsidi.

Sebab itu selama ini saya sering mengingatkan kerajaan supaya mengatasi masalah-masalah berkait risiko keciciran dan ketirisan sebelum melaksanakan subsidi bersasar kerana sekarang pun, sudah ramai golongan yang sepatutnya menerima bantuan putih mata akibat kelemahan-kelemahan pentadbiran.

Namun, kecenderungan kerajaan UBP jelas condong ke arah melaksanakan subsidi bersasar secepat mungkin.

Oleh itu, adalah sangat penting untuk rakyat memainkan peranan bersama-sama memberi pandangan untuk menentukan kayu ukur kelayakan (untuk menerima subsidi) ditetapkan dengan seadil mungkin.

Kayu ukur yang dipakai sekarang ialah mengikut klasifikasi pendapatan isi rumah, iaitu B40 (40% keluarga yang pendapatan isi rumahnya terbawah), M40 (40% keluarga yang pendapatan isi rumahnya berada selepas B40), dan T20 (20% keluarga yang pendapatan isi rumahnya teratas).

Kaedah ini diperkenalkan semasa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Ia telah menjadi kayu ukur kelayakan yang digunakan dalam penggubalan dasar-dasar ekonomi dan kebajikan rakyat sejak beliau menjadi Perdana Menteri.

Klasifikasi B40, M40 dan T20 ditetapkan melalui Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah (“Household Income Survey”) yang dijalankan Jabatan Statistik setiap 2-3 tahun. Data terkini klasifikasi B40, M40 dan T20 adalah berdasarkan dapatan Kaji Selidik Pendapatan Isi Rumah 2019.

Berikut adalah dapatan-dapatan utama:

Had pendapatan:

  • Pendapatan isi rumah berjumlah RM4,850 ke bawah diklasifikasikan sebagai B40
  • Pendapatan isi rumah antara RM4,851 ke RM10,959 diklasifikasikan sebagai M40
  • Pendapatan isi rumah melebihi RM10,960 diklasifikasikan sebagai T20

Jumlah individu yang berpendapatan (“penerima pendapatan”) bagi setiap isi rumah

  • Seorang penerima pendapatan: 46%
  • Dua penerima pendapatan: 38%
  • Tiga penerima pendapatan: 11%
  • Empat (dan lebih) penerima pendapatan: 5%

Kenaikan pendapatan dari 2016 ke 2019

  • B40: Pendapatan hanya naik 1.8% setiap tahun dari 2016 ke 2019
  • M40: Pendapatan naik 4.1% setiap tahun dari 2016 ke 2019
  • T20: Pendapatan naik 4.5% setiap tahun dari 2016 ke 2019

Agihan pendapatan

  • B40: Hanya 16% dari keseluruhan pendapatan rakyat
  • M40: 37.2% dari keseluruhan pendapatan rakyat
  • T20: 46.8% dari keseluruhan pendapatan rakyat

Walaupun kaedah menentukan penerima subsidi dan bantuan kebajikan berdasarkan klasifikasi B40, M40 dan T20 ini ringkas dan membolehkan pelaksanaan dengan cepat, ia mempunyai beberapa kelemahan utama:

Pertama:

Ia berasaskan kepada pendapatan semata-mata dan tidak mengambil kira faktor perbelanjaan sara hidup dalam menentukan kedudukan ekonomi sesebuah isi rumah. Faktor perbelanjaan sara hidup melibatkan jumlah isi rumah.

Misalnya, sebuah isi rumah yang mempunyai dua penerima pendapatan (suami dan isteri) yang dikategorikan sebagai B40 (setiap orang berpendapatan RM2,000) dan mempunyai seorang anak, tinggal di kawasan separa bandar, sudah tentu mempunyai pendapatan boleh belanja (“disposable income”) yang lebih tinggi berbanding satu lagi isi rumah yang mempunyai seorang penerima pendapatan (suami) yang dikategorikan sebagai M40 (pendapatan RM4,860), mempunyai lima orang anak dan tinggal di kawasan bandar besar.

Kedua:

Had pendapatan yang ditentukan secara statistik semata-mata iaitu mengikut bilangan isi rumah 40% terbawah, 40% pertengahan dan 20% teratas tidak menterjemahkan situasi sebenar kesukaran ekonomi setiap keluarga.

Malah, ia memanjangkan lagi ketidakadilan agihan pendapatan yang berlaku (akibat kegagalan kerajaan memastikan agihan gaji yang adil kepada pekerja-pekerja bawahan) kepada sistem kebajikan negara.

Contohnya, hanya kerana had atas (“upper cut-off point”) B40 adalah RM4,850 sebulan, semua keluarga yang berpendapatan RM4,851 ke atas dikategorikan sebagai tidak layak untuk menerima subsidi sedangkan kepayahan yang dialami sama dengan keluarga berpendapatan RM4,850 sebulan.

Begitu juga dengan “cut off point” yang lain, iaitu had M40 pada RM10,959. Bagi keluarga yang berpendapatan RM11,000 sebulan, tiba-tiba mereka dikira sebagai orang kaya (yang datang dengan konotasi merekalah yang mengambil subsidi dari orang yang layak menerima) sedangkan kedudukan ekonomi mereka sama dengan mereka yang berpendapatan RM10,959 sebulan.

Oleh itu, saya menyarankan supaya Menteri Kewangan tampil lebih awal untuk menerangkan apakah pendekatan yang sama (menggunakan B40, M40 dan 20) akan dipakai dalam menentukan kumpulan penerima sasaran apabila subsidi bersasar dilaksanakan kelak.

Keputusan untuk menetapkan kriteria kelayakan penerimaan subsidi (petrol bersubsidi, bantuan tunai, subsidi makanan dan lain-lain) adalah keputusan nasional yang perlu dibahaskan dan dikupas supaya diterima rakyat keseluruhan, bukannya keputusan beberapa pegawai di dalam bilik mesyuarat.

Saya berpandangan kita perlu memansuhkan pendekatan menggunakan had pendapatan B40, M40 dan T20, sebaliknya memperkenalkan pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja (“disposable income”) dengan mengambil kira pendapatan, kos perbelanjaan dan jumlah tanggungan setiap isi rumah.

Saya akan menghuraikan cadangan ini dengan lebih terperinci dalam kenyataan-kenyataan media yang akan datang.

RAFIZI RAMLI

ZAHID TIDAK FAHAM: DARI FORMULALAH DATANG PENYELESAIAN

Pimpinan UMNO kelam-kabut mahu menutup kemaluan apabila idea paling hebat yang datang dari mereka hanyalah untuk menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Negara bagi menangani krisis bekalan makanan yang menyebabkan harga barang naik melambung.

Setiap kali saya bersuara, satu-satunya jawapan yang datang dari pimpinan UMNO ialah kononnya saya hanya tahu membentangkan formula-formula. Mereka memberi contoh bagaimana kononnya formula-formula ini tidak dapat dilaksanakan semasa PH memerintah selama 22 bulan.

Inilah satu-satunya sudut jawapan yang dibawa oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Zahid Hamidi semalam dalam menjawab kritikan saya terhadap cadangan Lembaga Unggas (Ayam) Negara yang dibawa UMNO.

Alasan pimpinan UMNO ini ada beberapa kelompangan.

Apabila mereka cukup takut dengan “formula-formula” saya sehinggakan beberapa pimpinan mereka bersuara serentak setiap kali saya mengutarakan idea penyelesaian, itu maknanya mereka mengakui (dalam diam) bahawa mereka tandus idea untuk mentadbir negara. Mereka bimbang sekiranya politik Malaysia berkisar mengenai idea (bukannya sentimen kaum, agama atau siapa yang berkuasa), mereka akan ditolak rakyat seperti yang berlaku dalam PRU14.

Hakikatnya, UMNO kalah dalam PRU14 atas dua sebab utama:

  • Skandal rasuah terbesar dunia 1MDB yang melibatkan Presiden UMNO, Najib Razak, dan
  • Segala dasar UMNO yang menyusahkan rakyat seperti pemotongan subsidi, pengenalan cukai-cukai baru seperti GST, rasuah dan sebagainya, yang tidak dapat dipertahankan apabila berdepan dengan pelbagai lontaran idea dari kami ketika itu.

Sebab itu, pimpinan UMNO akan cuba memperlekehkan sebarang idea penyelesaian dari pihak lawan kerana mereka tahu mereka sebenarnya tidak ada idea. Lebih banyak mereka cuba memperlekehkan idea saya, lebih jelas ketakutan mereka.

Pimpinan UMNO juga lupa bahawa sedang mereka cuba memperlekehkan idea saya, rakyat sebenarnya tahu bahawa formula penetapan harga petrol dan diesel yang digunakan oleh tiga kerajaan berturut-turut (dari PH, PN dan sekarang Kerajaan Keluarga 69) diperjuangkan oleh saya sejak 2013 semasa Najib Razak gigih mahu menghapuskan subsidi.

Dalam mereka mengatakan formula saya tidak dapat dilaksanakan, formula itu juga yang dipakai oleh Perdana Menteri dari UMNO sendiri. Kalau ada satu formula penyelesaian yang berjaya melindungi rakyat dari harga petrol yang naik mendadak (seperti di zaman Najib), formula itu dibawa oleh saya. Manfaatnya, rakyat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang stabil sejak Mei 2018 hingga sekarang.

Sebab itu, saya yakin rakyat menghargai pimpinan politik yang mengutarakan formula. Formula bermula dari idea dan formula yang dilaksanakan dengan baik akan menghasilkan penyelesaian. Tanpa idea dan formula, tidak akan ada penyelesaian.

Sebab itu, kenyataan Zahid Hamidi tidak sedikit pun dapat menjawab asas bantahan saya kepada penubuhan lebih banyak lembaga yang menambah birokrasi serta membazirkan wang rakyat.

Kenyataan itu juga bercanggah dengan kenyataan ahli MKT UMNO yang baru dilantik, Isham Jalil yang mengatakan bahawa kerajaan pimpinan UMNO sekarang sudah pun melaksanakan dasar stok penimbal dengan mengimport ayam sejak beberapa minggu lepas.

Presiden UMNO mengatakan idea saya (agar kerajaan membina stok penimbal) hanyalah formula yang tidak boleh dilaksanakan, tetapi orang kanannya yang baru dilantik menjadi ahli MKT (yang konon terpaling pandai di dalam UMNO) pula menyebut idea itu telah pun dipakai oleh UMNO.

Jadi yang mana satu: idea saya untuk membina stok penimbal tidak boleh dilaksanakan, atau UMNO lebih dahulu memikirkan idea stok penimbal ini (sebelum mengumumkan ingin menubuhkan Lembaga Ayam Negara)?

Formula untuk membina stok penimbal bagi bahan-bahan keperluan asas negara (petrol, diesel, minyak masak, beras, tepung dan sumber protein) adalah penyelesaian jangka panjang yang memberi keupayaan kepada kerajaan untuk mengimbangi gangguan bekalan yang menyebabkan harga naik mendadak.

Ia satu mekanisme yang berpeluang lebih berkesan berbanding dengan bergantung kepada pendekatan kawalan harga barang melalui harga siling semata-mata. Sementara ada keperluan dalam industri dan kes tertentu untuk diperkenalkan harga siling (terutamanya untuk mengelakkan kegiatan pencatutan dan mengambil keuntungan yang berlebihan), kaedah harga siling semata-mata tidak berjaya menyelesaikan masalah dalam keadaan gangguan bekalan yang mendadak.

Melalui mekanisme stok penimbal, kerajaan berupaya meredakan gangguan bekalan dengan melepaskan stok penimbal untuk memenuhi permintaan, sementara usaha menyelesaikan gangguan bekalan dijalankan. Ia sama seperti mempunyai set penjana elektrik (“generator set”) untuk membekalkan elektrik ketika berlaku gangguan elektrik sementara menunggu bekalan dipulihkan.

Saya akan terus mengutarakan formula-formula untuk dipertimbangkan rakyat setiap dua ke tiga hari untuk membawa kembali persaingan politik Malaysia kepada persaingan idea.

Saya nasihatkan Zahid Hamidi dan UMNO mencari jawapan lain untuk berdepan dengan saya kerana jawapan “UMNO ada penyelesaian bukan formula” ini telah ditolak rakyat dalam PRU14 yang lepas.

RAFIZI RAMLI

KELANGSUNGAN MAKANAN: LAKSANA STOK PENIMBAL (“STOCKPILE”) DAN GABUNG KEMENTERIAN

Kebimbangan mengenai kelangsungan makanan (“food security”) bukanlah perkara baru. Dunia pernah melalui krisis inflasi dan kekurangan bekalan makanan yang mendadak akibat peperangan dan konflik geopolitik dekad 1970an dahulu.

Ketika itu, harga minyak mentah naik mendadak akibat sekatan bekalan oleh OPEC (kumpulan negara pengeluar minyak mentah terbesar dunia) sebagai reaksi kepada Perang Arab-Israel yang tercetus. Konflik ini bertembung pula dengan kekurangan bekalan bijirin yang mendadak sehingga menyebabkan krisis kebuluran di banyak negara di Asia dan Afrika.

Krisis bekalan makanan dan kenaikan kos mendadak yang dialami sekarang tidaklah banyak berbeza dengan yang pernah dilalui dalam dekad 1970an. Negara-negara yang lebih bersedia (dari segi dasar kelangsungan makanan, keupayaan kerajaan menyelaraskan kembali bekalan makanan dan kekukuhan kewangan negara) berjaya menangani gangguan sebegini tanpa menyebabkan kesengsaraan rakyat, sedangkan negara-negara yang lemah tadbir urusnya akan menyeksa rakyat (seperti yang berlaku di Sri Lanka sekarang).

Sebab itu, pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO-BERSATU-PAS (saya selalu memanggil pakatan ini sebagai “Kerajaan Keluarga 69”) tidak boleh menyalahkan konflik antarabangsa untuk menutup kegagalan mereka.

Kegagalan itu ditonjolkan sekali lagi semalam selepas Mesyuarat MKT UMNO. Apa yang dihebohkan sebagai pengumuman besar yang akan membantu rakyat berakhir dengan satu pengumuman jenaka:

Idea UMNO untuk menangani masalah kenaikan kos makanan dan sara hidup ialah dengan menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Kebangsaan. Selepas ini apabila harga kambing pula naik, UMNO akan menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan.

Akhirnya, tindakan ini hanya menambah bebanan kewangan kepada rakyat yang terus menanggung gaji, elaun dan belanja ahli-ahli politik dari parti-parti mereka yang dilantik untuk menjadi bos-bos kepada lembaga ayam, lembaga kambing dan lain-lain.

Semalam, saya memulakan kempen digital dengan siaran mingguan yang menyentuh isu-isu utama rakyat yang memerlukan idea radikal sebagai jalan penyelesaian. Dalam siaran digital itu, kebetulan saya membincangkan krisis kelangsungan makanan dan kos sara hidup yang naik mendadak.

Berikut ialah ringkasan kepada kupasan-kupasan saya:

  • Masalah kelangsungan makanan (dari segi bekalan dan harga yang perlu dibayar rakyat) perlu ditangani di peringkat bekalan (“supply side”).
  • Ada langkah-langkah yang perlu dilaksanakan segera dan ada yang akan mengambil masa yang lebih panjang.
  • Memperbetulkan rantaian bekalan makanan adalah satu projek yang akan mengambil masa lebih panjang kerana tanah-tanah perlu dikhususkan dan industri pertanian tempatan perlu masa untuk menggantikan import makanan.
  • Sementara projek-projek yang memakan masa ini dilaksanakan, Kerajaan Persekutuan boleh mengambil langkah radikal yang boleh mempengaruhi rantaian bekalan makanan dalam tempoh masa pendek dan sederhana.
  • Lebih penting lagi, setiap dasar yang pernah diumumkan sebelum ini gagal kerana pelaksanaan yang penuh keciciran akibat rasuah, penyelewengan dan ketidakcekapan urusan.
  • Oleh itu, selagi struktur pentadbiran kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang bertanggungjawab tidak diselaraskan dan dijajarkan semula, semua perancangan yang gah akan berakhir dengan kegagalan.

Oleh itu, sebagai jalan penyelesaian yang boleh dipertimbangkan, saya telah mencadangkan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan memulakan langkah untuk melaksanakan dua dasar penting seperti berikut:

Pelaksanaan Dasar Stok Penimpal “Stockpile”

Konsep stok penimbal adalah konsep ekonomi yang telah teruji dan digunakan sejak krisis makanan dan kos sara hidup dekat 1970an. Ia masih beroperasi dan menjadi sebahagian dasar penting bagi negara-negara yang mengambil berat mengenai kelangsungan makanan dan kos sara hidup.

Dasar stok penimbal memberi kuasa dan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan untuk menggunakan peruntukan untuk membeli dan menyimpan secara pukal bekalan makanan dan keperluan utama rakyat (termasuk petrol dan diesel). Simpanan pukal stok penimbal ini akan digunakan dengan disuntik ke pasaran apabila ada gangguan bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak.

Adanya stok penimbal yang boleh mengurangkan kesan kekurangan bekalan mendadak (yang berlaku kebelakangan ini) akan membolehkan kerajaan mengawal kenaikan mendadak harga barang-barang makanan dan keperluan asas.

Ada pelbagai cara dan instrumen kewangan yang boleh digunakan untuk membina stok penimbal negara, termasuklah menggunakan “hedging” atau kontrak pembelian masa depan (“future contracts”) dan lain-lain.

Oleh itu, saya menggesa supaya sebuah Suruhanjaya Bekalan dan Kelangsungan Kebangsaan, seperti fungsi National Commission on Supplies and Shortages di Amerika Syarikat ditubuhkan sebagai badan bebas yang bertanggungjawab membina stok penimbal bagi tujuan mengurangkan risiko kekurangan bekalan makanan dan kenaikan mendadak harga makanan.

Suruhanjaya ini perlulah bertanggungjawab kepada Parlimen dan dipantau sekeras-kerasnya untuk mengelakkan peruntukan membina stok penimbal disalahgunakan oleh unsur-unsur rasuah.

Pelarasan dan penggabungan kementerian-kementerian dan agensi-agensi

Untuk mengelakkan karenah birokrasi dan kelemahan pelaksanaan dasar-dasar berhubung kelangsungan makanan dan kos sara hidup, keseluruhan struktur kementerian dan agensi yang bertanggungjawab perlu dirombak.

Sepatutnya, kuasa dan tanggungjawab yang menggubal, melaksana, menyelia dan menguatkuasa dasar dan undang-undang yang melibatkan keseluruhan rantaian bekalan makanan (dari huluan yang menghasilkan bekalan makanan kepada hiliran yang mengedar dan menetapkan harga makanan) dipusatkan di sebuah kementerian sahaja.

Ini membolehkan perancangan menyeluruh bagi seluruh rantaian bekalan makanan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan apabila pertindihan-pertindihan kuasa (seperti yang berlaku sekarang) dihapuskan.

Di bawah Kerajaan Keluarga 69 sekarang, kuasa dan tanggungjawab bersabit keseluruhan rantaian makanan dibahagikan kepada beberapa kementerian (dan agensi-agensi di bawah setiap kementerian) iaitu:

  1. Kementerian Industri Asas Tani – bagi penghasilan sumber makanan
  2. Kementerian Perusahaan Utama – bagi guna tanah untuk tujuan industri pertanian dan perladangan
  3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna – bagi kawalan harga pengguna dan bekalan hiliran
  4. Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa – bagi tujuan pelesenan perkilangan bahan-bahan makanan

Ini belum lagi dikira berpuluh-puluh agensi yang ada di bawah kementerian-kementerian ini.

Sebab itulah sebarang tindakan yang hendak dilaksanakan mengambil masa yang panjang tanpa seorang menteri pun yang perlu bertanggungjawab. Urusan mentadbir negara akhirnya dihabiskan dengan mesyuarat demi mesyuarat yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya kerana ada ramai menteri yang perlu membuat keputusan. Oleh kerana menteri-menteri lebih sibuk berpolitik (atau membuka parti baru), keputusan-keputusan penting ini akhirnya tidak diambil.

Saya akan menunggu maklum balas Kerajaan Persekutuan kepada idea-idea ini yang sepatutnya telah difikirkan dan dilaksanakan lebih awal.

Jika keputusan sebegini telah diambil lebih awal, kita tidaklah menjadi bahan tertawa dunia apabila keseluruhan Jemaah Menteri tidak boleh menyelesaikan isu bekalan dan harga ayam yang bertukar-tukar keputusannya.

Sementara itu, saya akan terus mengupas isu-isu bersabit kelangsungan makanan dan kenaikan kos sara hidup dalam siri digital yang disiarkan setiap beberapa hari. Kupasan saya yang seterusnya ialah untuk melonjakkan industri pertanian negara dan menghapuskan pergantungan kepada import makanan.

RAFIZI RAMLI

DIA YANG HAPUS SUBSIDI, DIA YANG NAK JADI JUARA SUBSIDI

Malaysia memang negara yang berbakat. Hampir semua bakat yang rakyat kita ada menambah seri kepada negara kita.

Tapi ada satu bakat yang buat kita tidak kering gusi. Bakat unik ini lebih lucu dari bakat pelawak agung. Bakat ini selalunya ada di kalangan pak dan mak menteri. Dari semua pak dan mak menteri yang ada, yang paling berbakat ialah Najib Razak, bekas Perdana Menteri.

Bakat unik ini ialah bakat belit dan putar sehingga terbelit diri sendiri.

Baru-baru ini, Najib menulis untuk membentangkan formula beliau kononnya untuk menyelamatkan rakyat dari inflasi. Formula itu boleh dibaca di sini https://www.malaysiakini.com/news/623297

Antara lain, Najib berhujah:

  1. Mencukai PETRONAS dan syarikat-syarikat perladangan (contohnya Felda dan FGV) supaya dana lebih kerajaan dapat diagihkan kepada rakyat
  2. Program penanaman makanan berskala besar dimulakan
  3. Subsidi bahan makanan ditingkatkan

Sekilas pandang, jika ada yang tidak prihatin dengan fakta dan sejarah, boleh juga terbelit dengan putaran Najib.

Cadangan-cadangan itu masuk akal, malah telah disuarakan jauh lebih awal sebelum krisis kenaikan kos sara hidup meruncing seperti sekarang. Dasar-dasar yang bertujuan menggunakan dana awam secekapnya untuk membina jaringan keselamatan sosial kepada rakyat ini telah lama dibawa oleh KEADILAN.

Ucapan-ucapan saya di Dewan Rakyat semasa saya Ahli Parlimen dahulu hampir semuanya berkisar mengenai subsidi untuk rakyat dan mempertahankan PETRONAS demi rakyat.

Putar belit Najib ini mungkin ditelan hidup-hidup oleh pengikutnya tetapi majoriti rakyat masih ingat kebencian Najib terhadap subsidi.

Sebaik menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009, antara dasar pertama yang dilaksanakan ialah memotong subsidi dengan sasaran menghapuskan terus subsidi.

Oleh kerana ini zaman internet, semua putar belit Najib boleh sahaja dibongkar dengan bantuan Pak Cik Google. Untuk adik-adik yang masih di sekolah semasa Najib mula-mula jadi Perdana Menteri, berikut ialah bukti-bukti bencinya Najib kepada subsidi untuk rakyat:

22 Oktober 2009:

Malaysia akan potong subsidi minyak, potong perbelanjaan untuk kurangkan defisit

https://www.theedgemarkets.com/article/malaysia-may-revamp-fuel-subsidy-cut-spending-trim-deficit

2 September 2013:

Malaysia potong subsidi minyak untuk biayai perbelanjaan

https://finance.yahoo.com/news/malaysia-cuts-fuel-subsidies-fund-112911241.html

31 Disember 2013:

Najib potong subsidi untuk kurangkan defisit

https://www.ft.com/content/e6f8458e-7204-11e3-bff7-00144feabdc0

4 Oktober 2014:

Potongan subsidi satu keperluan: Najib

https://www.thestar.com.my/news/nation/2014/10/04/najib-subsidy-cut-necessary-move-was-for-economic-wellbeing-of-country-says-pm

Sebab itu, tugas saya di Dewan Rakyat dahulu ialah bergaduh dengan Najib demi mengekalkan bantuan kepada rakyat dalam bentuk subsidi.

Pada 31 Mac 2017, saya membidas Najib kerana ada tanda-tanda kerajaan BN ketika itu mengekalkan harga minyak lebih tinggi dari harga yang sepatutnya dan secara tidak langsung mengutip cukai dari rakyat (baca: https://themalaysianreserve.com/2017/03/31/najib-urged-to-break-silence-over-fuel-subsidy/amp/)

Malah, setelah kalah dalam PRU14, Najib mula cuba untuk putar belit memberi alasan kenapa dia memansuhkan subsidi.

1 Ogos 2018:

Pemansuhan subsidi minyak untuk membantu rakyat: Najib

https://www.nst.com.my/news/nation/2018/08/396915/removing-fuel-subsidy-helps-poor-says-najib

Semakin kita menghampiri PRU15, semakin banyaklah putar belit dari Najib. Dia lupa kita simpan setiap satu rekodnya sebelum ini.

Dia ingat mudah untuk membentangkan formula-formula untuk rakyat sedangkan rekodnya yang menyusahkan rakyat sudah disimpan di mana-mana.

Dia mahu mencukai PETRONAS dengan lebih tinggi untuk rakyat, padahal dia mencipta sejarah sebagai Perdana Menteri yang paling banyak mengambil duit PETRONAS sepanjang tempoh berkuasa.

Dia mahu mengusahakan pertanian dan penanaman makanan, padahal dia juga yang terus membuang dasar Tun Abdullah Badawi yang mahu memberi tumpuan kepada makanan. Najib gemarkan projek besar, tidak suka projek pertanian.

Dia mahu syarikat perladangan dicukai lebih, padahal dia juga yang menggadai Felda dan FGV sehingga hampir muflis.

Dia mahu menambah subsidi kepada rakyat.

Tak payahlah saya ber-padahal lagi, sebab rakyat tahu ini semua putar belit Najib.

Kalau Najib masuk Roda Impian, dialah yang paling kuat menjerit “wang besar, wang besar” sambil memekik #SayaPutarJib