Tabung Haji & Skandal Kewangan: Jangan Mudah Berpuas Hati

2019 - 1 - 5 -1

Lebih kurang seminggu lalu, di London, Presiden PAS Dato’ Seri Hadi Awang mengulas mengenai skandal kewangan Tabung Haji di hadapan penyokong PAS dari kalangan penuntut Malaysia di London.

Laporan mengenai ulasan beliau itu disiarkan oleh Harakahdaily, yang kemudiannya dipetik oleh Malaysiakini seperti laporan berikut:
https://www.malaysiakini.com/news/457888

Antara lain, Dato’ Seri Hadi menyebut:

“Mereka hentam Tabung Haji melalui media, bukan melalui mahkamah. Media menjadi hakim, ini tak betul, salah! Apa membimbangkan kita, digunakan isu ini untuk merendahkan imej Islam.

“Itu agenda itu ada. Ini kita kena sedar. Padahal pihak lain banyak juga buat salah. Tapi dibesarkan di media, agenda yang tersirat ialah untuk menjatuhkan imej Islam,” katanya.

Bukti-Bukti Penyelewengan

Isu pengurusan dan penyelewengan kewangan di Tabung Haji ini telah saya huraikan sejak 2013 iaitu tahun pertama saya berada di Parlimen dahulu. Dari pengalaman saya sebagai juruaudit dan akauntan bertauliah, terlalu jelas ada benda yang tidak kena mengenai pengurusan kewangan Tabung Haji.

Sejak 2013, saya telah menulis 33 analisis dan pandangan, termasuk membongkar pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang merugikan penabung sehingga mencecah berbilion ringgit. Semuanya boleh dibaca di sini, jika Dato’ Seri Hadi sudi meluangkan sedikit masa menimba ilmu yang di luar kepakaran beliau (kewangan):

https://rafiziramli.com/category/tabung-haji/

Apa yang dituduh oleh Dato’ Seri Hadi sebagai “agenda menjatuhkan imej Islam” itu adalah salah urus yang jelas, seperti yang telah dilaporkan secara meluas hasil dari audit terperinci PriceWaterhouseCoopers, iaitu:

1. Sebanyak RM549 juta kerugian dalam pelaburan Tabung Haji yang gagal (sebahagian besarnya kerana penyelewengan) telah disembunyikan. Ini untuk membolehkan Tabung Haji melaporkan keuntungan yang lebih tinggi untuk membayar dividen (keuntungan dari simpanan) kepada penabung, sedangkan keuntungan itu tidak wujud dan wangnya tiada

2. Keuntungan dari penjualan saham Bank Islam sebanyak RM533 juta seperti yang direkodkan oleh Tabung Haji, sebenarnya hanya helah perakaunan untuk “mencipta” keuntungan yang tidak wujud. Tabung Haji kononnya “menjual” saham-saham itu kepada empat broker saham iaitu UOB, Kenanga, TA Securities and Affin untuk menunjukkan keuntungan, sebelum membeli balik saham-saham itu pada harga yang sama.

3. Sebanyak RM436 juta keuntungan anak-anak syarikat Tabung Haji yang diisytiharkan sebagai dividen dan sepatutnya dibayar kepada Tabung Haji, kekal tertunggak sehingga 30 September 2018. Ini bermakna Tabung Haji merekodkan keuntungan dari anak-anak syarikat dan ia mendapat pendapatan apabila dividen dibayar oleh anak-anak syarikat. Masalahnya, dividen itu belum dibayar, bermakna pendapatan RM436 juta Tabung Haji itu tidak ada.

Kesemua ini boleh dibaca dengan terperinci di dalam laporan PwC yang dibentangkan di Parlimen, dan dirumuskan dalam laporan-laporan The Edge di bawah:

http://www.theedgemarkets.com/article/tabung-haji-fails-recognise-rm549m-impairment-%E2%80%94-pwc

http://www.theedgemarkets.com/article/tabung-haji-cooks-higher-profits-two-deals-pay-dividends

 

Jangan Mudah Terkeliru

Saya faham kalau Dato’ Seri Hadi terkeliru dengan beberapa alasan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib dan pemuka-pemuka UMNO, tetapi wajar juga beliau mendalami ilmu kewangan untuk mengetahui sejelas-jelasnya kedudukan kewangan Tabung Haji.

Ada yang berkata kesemua angka kewangan itu hanyalah angka-angka yang dimanipulasi untuk memburukkan Dato’ Seri Najib, kononnya wang tidak hilang dan masih ada di situ.

Kerugian RM549 juta dalam pelaburan-pelaburan Tabung Haji itu benar-benar berlaku, maknanya wang benar-benar hilang. Sejak sedekad lalu, Tabung Haji melabur secara besar-besaran membeli anak-anak syarikat. Contohnya pelaburan di dalam syarikat roti, pelaburan di dalam syarikat kejuruteraan minyak TH Heavy Engineering, syarikat IT dan lain-lain.

Ia satu perubahan kepada model pelaburan Tabung Haji, iaitu daripada melabur membeli saham tanpa terlibat menguruskan perniagaan (seperti KWSP) kepada mewujudkan anak-anak syarikat yang terlibat secara langsung di dalam perniagaan (seperti PETRONAS).

Dalam contoh THHE, Tabung Haji terus menyuntik dana (dalam bentuk saham, pinjaman dan dana didahulukan) apabila THHE terus mengalami kerugian. Sahamnya terus merudum.

Dana yang disuntik oleh Tabung Haji itu hilang, kerana ia diselewengkan oleh orang-orang yang diberikan amanah menguruskan pelaburan Tabung Haji itu. Akhirnya syarikat itu digantung kerana sudah mencecah tahap muflis.

Sepanjang sedekad, Tabung Haji memang telah menyuntik melebihi RM600 juta ke dalam THHE (dalam pelbagai bentuk). Di dalam rekod kewangan Tabung Haji, ia menunjukkan lebih RM600 juta telah disuntik.

 

Dana Rakyat Benar-Benar Hilang

Tetapi saya, juruaudit dan seluruh dunia (yang tidak mudah berpuas hati) mengetahui dana itu telah hilang kerana telah diselewengkan. Kalau Tabung Haji menuntut kembali dana itu, ia tidak akan mendapat balik kerana THHE tiada lagi nilai.

Mengikut peraturan kewangan, pelaburan-pelaburan seperti ini mestilah direkodkan susut nilainya untuk menunjukkan nilai terkini yang realistik. Walaupun lebih RM600 juta telah dilaburkan dan disuntik, tetapi jika RM600 juta itu tidak menjana pendapatan dan dana itu tidak dapat diambil balik, maka nilai pelaburan itu menjadi sifar. Jumlah RM600 juta yang telah dilaburkan itu perlulah direkodkan sebagai susut nilai (“impairment”) akibat kerugian pelaburan.

Tetapi Tabung Haji mengubah peraturan kewangannya agar susut nilai ini tidak direkodkan, yang bermakna ia menyembunyikan kerugian yang benar-benar telah berlaku.

Bukan sahaja wang simpanan orang miskin lesap, ia cuba pula disembunyikan.

 

Penyelewengan Cuba Disembunyikan

Tujuan ia disembunyikan ialah supaya Tabung Haji dapat membayar dividen kepada penabung, walaupun undang-undang tidak membenarkan dividen dibayar kecuali ia menjana keuntungan. Maka, ia menyembunyikan kerugian dan mencipta keuntungan untuk menidakkan hujah orang-orang seperti saya yang membongkar kelemahan urus tadbir kewangan Tabung Haji.

Bila tiada keuntungan dan kerugian disembunyikan tetapi dividen tetap dibayar, dari mana wang itu datang? Wang itu datang dari wang baru yang ditabung oleh penabung-penabung Tabung Haji.

Skim pelaburan begini tidak ubah seperti skim cepat kaya atau skim piramid, iaitu memberi gambaran untung besar untuk menarik dana baru, dan menggunakan dana baru itu untuk membayar keuntungan (yang dicipta) untuk membayar penabung asal. Lama-lama, piramid itu akan runtuh.

Sebab itu bila Dato’ Seri Hadi berselindung di belakang hujah “ini rancangan jahat menjatuhkan Islam”, ia satu mainan politik yang tidak bertanggungjawab.

 

Mainan Politik

Sebagai presiden sebuah parti yang mengaku mempertahankan Islam, sepatutnya PAS lah yang paling gusar jika ada penyelewengan di dalam Tabung Haji. Sepatutnya beliaulah yang paling ke depan meneliti setiap langkah Tabung Haji, supaya institusi itu menjadi tabung kewangan Islam yang paling handal dan disegani di dunia.

Beliau terpaksa bermain politik dan mengheret sentimen perkauman (konon ada agenda bukan Islam mahu memangsakan Tabung Haji) akibat satu strategi politik yang telah gagal menjelang PRU14 dahulu.

Beliau dinasihati oleh orang-orang seperti Dr Zuhdi Marzuki kononnya PAS boleh menjadi “king maker”. Untuk menjadi “king maker”, PAS mesti nampak berbaik-baik dengan Dato’ Seri Najib dan UMNO.

Maka, apabila saya mendedahkan pelbagai penyelewengan dan salah laku di Tabung Haji, pentadbiran Dato’ Seri Najib pada ketika itu menggunakan PAS untuk “menyucikan” keadaan di Tabung Haji.

Rombongan PAS mengunjungi Tabung Haji, mendapat taklimat dan seterusnya mengumumkan bahawa “PAS berpuas hati dengan tadbir urus kewangan Tabung Haji”. Secara tidak langsung, menjadi “king maker” dalam isu Tabung Haji dengan menghantar isyarat kononnya saya mereka-reka cerita mengenai Tabung Haji.

Jadi, apabila bukti-bukti mula keluar bahawa apa yang saya bongkar itu betul, PAS terperangkap.

Jika mereka bersetuju, jatuh air muka Presiden PAS kerana sebelum ini mereka juga yang menjadi panel menyucikan penyelewengan di Tabung Haji.

Akhirnya, walaupun bukti-bukti itu terlalu kukuh, Dato’ Seri Hadi terpaksa bermain politik sekali lagi. Kali ini, bukan sebagai panel penyuci, tetapi untuk membina sentimen kebencian terhadap orang bukan Islam dengan menuduh kononnya ini sebahagian dari agenda menjatuhkan Islam, seolah-olah kerosakan kewangan di Tabung Haji itu tidak berlaku.

Ia permainan politik yang hebat dan bulat-bulat ditelan oleh penyokong PAS. Dato’ Seri Najib tersenyum puas, kerana beliau masih boleh berharap dengan panel penyuci.

Tetapi ia memangsakan jutaan penabung Tabung Haji dan akan membenamkan Tabung Haji. Jika amalan ala skim piramid tidak dihentikan, akhirnya nasib Tabung Haji sama seperti nasib skim Pak Man Telo.

 

Mentua Dan Menantu Yang Mencuri

Bagi saya, sikap Dato’ Seri Hadi ini tidak ubah dengan sikap lama dalam masyarakat Melayu.

Kalau seorang mentua tahu bahawa menantunya mencuri, dia akan berdolak dalih. Dia lebih bimbangkan malu yang ditanggung oleh besannya (maklumlah besannya itu orang bangsawan) dan malunya sendiri, kerana dia juga yang berbangga-bangga dengan besannya (walaupun orang kampung kurang selesa dengan besannya).

Akhirnya, dia bersekongkol menyembunyikan dan menafikan yang menantunya mencuri, walaupun menantunya mencuri dari dalam rumah dia sendiri!

Bila ditanya, dia lebih rela menuding jari kepada anak jiran di sebelah rumah dari menerima hakikat yang menantunya yang duduk dengannya yang mencuri dari dalam rumah.

Kita akan terus berdepan dengan cerita-cerita penyelewengan begini. Ada yang berpunca dari pentadbiran Dato’ Seri Najib dahulu, ada yang datang dari pentadbiran Pakatan Harapan di masa depan.

Nasihat dan ingatan saya kepada diri sendiri dan orang ramai: jangan mudah berpuas hati, teliti terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan menyucikan sesuatu.

Sebabnya, lama-kelamaan bukti akan keluar juga, jika penyelewengan benar-benar berlaku.

 

3 thoughts on “Tabung Haji & Skandal Kewangan: Jangan Mudah Berpuas Hati”

  1. Kesian hj hadi
    Masih tak sedar bahawa sebenarnya beliau lah yg sentiasa mengeluarkan kata2 yg kesannya, merendahkan imej islam

  2. Tuan, kalau ada info penyelewengan di mana boleh saya salurkan ya? Mohon tunjukkan laluan. Terima kasih.
    Boleh reply di sini semula atau sebagainya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.