Category Archives: Turun Harga Kereta

Najib Ciplak Lagi: Cukai Eksais Dihapus Bagi Kereta Pertama Untuk Orang Muda

10082016-cukaieksaiskereta

Saya merujuk kepada laporan Sinar Harian Online hari ini bertajuk “Beli Kereta Tanpa Cukai Eksais” mengenai berita tidak rasmi Belanjawan 2017 akan mengecualikan cukai eksais ke atas pembelian kereta pertama enjin bersaiz kecil.

Saya mula menggerakkan kempen #turunhargakereta sejak tahun 2012. Dari awal saya mengkritik tindakan Umno/Barisan Nasional mengenakan cukai di antara 80% hingga 100% ke atas kereta yang dibeli rakyat biasa sehingga menjadikan kereta di Malaysia secara relatifnya antara yang termahal di dunia. Harga kereta yang mahal dan ditambah pula kegagalan kerajaan persekutuan menyediakan sistem pengangkutan awam yang baik menyebabkan sebahagian besar keluarga terpaksa berhutang dengan bank; kadang-kadang sehingga mencecah 9 tahun.

Sepanjang saya berkempen agar cukai eksais dihapuskan sejak tahun 2012, tidak pernah sekali pun menteri-menteri Umno atau Barisan Nasional mengakui bahawa hujah yang saya bawa itu ada benarnya. Malah, mereka menuduh dan menyerang saya dengan pelbagai panggilan. Akhbar-akhbar mereka berterusan melaporkan bahawa Pakatan Rakyat (hasil dari cadangan saya untuk menghapuskan cukai eksais agar #turunhargakereta) akan memufliskan negara, seperti laporan Utusan Malaysia yang saya sertakan dalam grafik di bawah.

Tetapi dalam senyap-senyap Dato’ Seri Najib Tun Razak meniru dasar yang kami bawa.

Dalam manifesto Barisan Nasional memasuki PRU13, Dato’ Seri Najib berjanji akan menurunkan harga kereta sehinga 30% secara berperingkat-peringkat. Pada masa mereka menyerang cadangan saya, mereka menciplak cadangan saya.

Kali ini, jika benar cukai eksais akan dihapuskan bagi kelas enjin bersaiz kecil yang digunakan kebanyakannya oleh model kereta-kereta Proton – sekali lagi Dato’ Seri Najib menciplak cadangan saya tetapi tidak mahu mengaku.

Apa yang saya kesalkan ialah keengganan Dato’ Seri Najib mendepankan rakyat dan berhenti mempolitikkan idea-idea bernas yang diberikan Pakatan Harapan. Beliau dan Jemaah menteri tahu bahawa cadangan saya untuk menghapuskan cukai eksais adalah baik untuk rakyat dan baik untuk ekonomi negara. Akibat bongkaknya mereka, cadangan ini tidak dilaksanakan lebih cepat iaitu dalam tahun 2012 pada masa saya mula-mula mencadangkannya; sebaliknya hanya dilaksanakan 5 tahun kemudian iaitu 2017.

Di antara 2012 hingga 2017, ratusan ribu rakyat Malaysia terpaksa menanggung hutang yang lebih gara-gara Dato’ Seri Najib bongkak tidak mahu menerima idea yang dibawa oleh orang lain.

Pesan saya kepada Dato’ Seri Najib – jika mahu menciplak, maka ciplaklah sepenuhnya dan bukan sebahagian sahaja.

Maka, saya mendesak supaya penghapusan cukai eksais dilaksanakan kepada semua kenderaan persendirian kecuali kenderaan mewah. Penghapusan cukai eksais tidak boleh diberikan mengikut saiz enjin kereta kerana ada kereta MPV yang saiz enjinnya lebih besar tetapi digunakan oleh keluarga berpendapatan rendah, berbanding ada kereta mewah yang saiz enjinnya kecil tetapi hanya mampu dimiliki golongan berada.

Penghapusan cukai eksais juga perlu diberikan kepada motosikal kecuali motosikal berenjin besar yang dikategorikan sebagai motosikal mewah (Rujuk tulisan saya mengenai penghapusan cukai eksais ke atas motosikal di http://rafiziramli.com/2013/04/penghapusan-cukai-eksais-meliputi-cukai-eksais-ke-atas-motor-aliran-tunai-kerajaan-tetap-berimbang/)

Sementara saya mendapat kepuasan kerana 5 tahun selepas saya mula-mula memperjuangkan penghapusan cukai eksais ia mula berlaku, saya juga berharap ia bukan tindakan tersepit yang bersifat sementara kerana sekarang ini penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib yang sangat rendah.

Oleh sebab itu, Dato’ Seri Najib mestilah menghapuskan cukai eksais ke atas semua kenderaan persendirian kecuali kenderaan-kenderaan mewah. Saya juga menuntut supaya beliau menarik balik tuduhan-tuduhan sebelum ini bahawa cadangan saya itu akan memufliskan negara kerana beliau sendiri yang menciplak idea tersebut.

Untuk mengikuti kembali fakta-fakta dan hujah-hujah kenapa cukai eksais perlu dihapuskan, lawati arkib penulisan saya di bitly.com/turunhargakereta.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Hapuskan Cukai Eksais, Kempen Turunkan Harga Kereta

Minggu ini, KEADILAN telah mendedahkan dalam perbahasan Belanjawan bahawa Kerajaan Persekutuan dijangka akan mengutip RM17.3 bilion cukai-cukai, lesen dan bayaran pendaftaran berkaitan pemilikan dan penggunaan kenderaan di negara ini bagi tahun 2014. Cukai-cukai kenderaan yang terbesar adalah cukai eksais (RM8 bilion), cukai jualan (RM4.5 bilion), duti import (RM1.1 bilion) dan lesen kenderaan (RM2.4 bilion).

Jumlah kutipan cukai-cukai kenderaan berjumlah RM17.3 bilion ini menjadikan Malaysia salah sebuah negara yang mengenakan cukai tertinggi ke atas pemilikan dan penggunaan kereta dan kenderaan. Cukai-cukai ini juga secara langsung menaikkan harga kereta, kenderaan, alat gantian dan lain-lain sehingga menjadikan bayaran ansuran kereta bulanan dan penyenggaraan kereta menjadi salah satu tanggungan yang terbesar oleh setiap isi rumah di negara ini.

Selama ini, Kerajaan Persekutuan memberi alasan cukai-cukai yang tinggi ke atas pemilikan dan penggunaan kenderaan ini adalah wajar kerana kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang tinggi setiap tahun. Menteri-menteri berhujah bahawa kos keseluruhan operasi kenderaan (bayaran pemilikan dan kos petrol dan diesel) adalah lebih rendah berbanding negara-negara lain.

Oleh kerana dua kenaikan harga minyak dalam tempoh setahun (20 sen dalam September 2013 dan 20 sen awal Oktober 2014), jumlah subsidi petrol dan diesel yang ditanggung oleh kerajaan berkurangan dengan mendadak. Bagi tahun 2014, Kerajaan Persekutuan diunjurkan menanggung subsidi petrol dan diesel sebanyak RM13.7 bilion.

Jumlah ini adalah lebih sedikit berbanding dengan cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat kepada kerajaan untuk menggunakan kereta dan kenderaan iaitu RM17.3 bagi tahun 2014.

Oleh kerana kerajaan tidak lagi menanggung subsidi yang besar untuk petrol dan diesel, maka alasan cukai-cukai kenderaan yang tinggi dikenakan tidak lagi boleh dipakai.

Oleh itu, KEADILAN akan menghidupkan kembali kempen #turunkanhargakereta yang berjaya menekan Barisan Nasional sebelum Pilihanraya Umum 13 dahulu untuk menjanjikan penurunan harga kereta sebanyak 30%. Sehingga kini, janji itu belum lagi dipenuhi atau belum ada langkah-langkah pun ke arah itu.

Kempen #turunkanhargakereta kali ini adalah lebih menyeluruh untuk meliputi perkara-perkara berikut:

1. Desakan supaya cukai eksais ke atas kereta dihapuskan secara berperingkat menjelang tahun 2017;

2. Desakan supaya alat gantian dan keperluan kereta/kenderaan tertentu dikenakan GST pada kadar sifar;

3. Kajian pasaran dan harga munasabah akan dijalankan untuk melihat margin keuntungan dan kos alat-alat gantian yang dikenakan terhadap pengguna;

4. Desakan supaya lesen-lesen dan yuran tertentu berkenaan penggunaan kenderaan/kereta dihapuskan;

5. Desakan supaya satu sistem Bus Rapid Transit (BRT) diwujudkan di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Baru menjelang 2017

Kami yakin Barisan Nasional tidak lagi ada alasan untuk terus mengenakan cukai-cukai yang tinggi ke atas pemilikan dan penggunaan kereta/kenderaan yang menjadi punca keberhutangan rakyat selama ini.

RAFIZI RAMLI
Setiausaha Agong/Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

WONG CHEN
Pengerusi Biro Perdagangan dan Industri KEADILAN
Ahli Parlimen Kelana Jaya

15 Oktober 2014

Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) Tidak Akan Menurunkan Harga Kereta

Keengganan Barisan Nasional melaksanakan beberapa reformasi dasar yang penting berhubung industri automotif negara akan terus mengekalkan harga kereta di Malaysia pada kadar antara yang termahal di dunia.

Pengumuman Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP2014) semalam tidak sedikit pun menyentuh beberapa perkara pokok yang selama ini menyebabkan harga kereta di Malaysia begitu tinggi, iaitu:

1. Pengenaan cukai eksais yang begitu tinggi terhadap setiap pembelian kereta di antara 85% hingga 110%

2. Pelaksanaan dasar permit mengimport (AP) yang tidak telus yang telah mengkayakan kroni tertentu

3. Pemberian rebat cukai eksais yang tidak telus sehingga menyembunyikan struktur kos yang ditanggung oleh industri automotif, ini memberi ruang kepada manipulasi margin keuntungan dalam rantaian pembuatan dan penjualan kereta

Barisan Nasional terus enggan memotong cukai eksais yang begitu tinggi dengan alasan kedudukan kewangan negara tidak mengizinkan. Kenyataan Dato’ Seri Mustapha Mohamad, Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa (MITI) mengiyakan bulat-bulat kritikan terhadap Barisan Nasional selama ini bahawa pengurusan kewangannya yang lemah telah menyebabkan rakyat terpaksa menanggung pelbagai cukai langsung dan tidak langsung yang tinggi, termasuk cukai eksais kereta.

Pengumuman pemberian rebat dan potongan cukai eksais bagi model dipasang di Malaysia (CKD) terpilih tidak akan menurunkan harga kereta secara keseluruhannya kerana ia hanya melibatkan segmen kereta yang kecil. Tanpa potongan cukai eksais yang melibatkan keseluruhan industry automotif, langkah-langkah terpencil yang hanya melibatkan beberapa jenis kenderaan sahaja adalah tidak lebih dari gimik (gimmick) untuk meredakan kemarahan rakyat.

Malah, penerusan sistem pemberian rebat sedia ada yang tidak telus dan bergantung kepada budi bicara Menteri akan terus menyembunyikan struktur kos industri automotif dari difahami rakyat. Apabila tidak ada satu kadar tetap cukai eksais yang dibayar oleh pengguna kerana ia bergantung kepada jumlah rebat cukai eksais yang diberikan atas budi bicara Menteri, boleh berlaku manipulasi harga jualan kereta yang memberi margin keuntungan yang tinggi kepada pengedar/pembuat kereta.

Oleh sebab itulah, KEADILAN berkali-kali mendesak supaya sistem cukai eksais sedia ada dihapuskan sama sekali untuk mengurangkan harga kereta serta-merta apabila pengguna tidak lagi menanggung cukai dan boleh membandingkan harga kereta secara telus dan kompetitif.

Kami juga terus membidas pendekatan Barisan Nasional yang tetap mewar-warkan kononnya harga kereta telah turun apabila beberapa model baru kereta yang diperkenalkan di pasaran pada harga yang kononnya lebih rendah. Tindakan ini cuba menipu rakyat kerana perbezaan harga dari model lama atau sedia ada yang diperkenalkan bukanlah satu bentuk penurunan harga kereta yang kekal merentasi industri (non-permanent across the board price reduction). Malah, ada beberapa model yang diperkenalkan dengan diskaun merupakan model lama yang kos pembangunannya sudah pun diperolehi oleh syarikat kereta, lalu membolehkan model itu dijual pada harga yang lebih rendah.

Rakyat menuntut janji Barisan Nasional untuk menurunkan harga kereta secara keseluruhan melibatkan semua model kereta merentasi industri seperti yang diutarakan oleh Pakatan Rakyat. Untuk menunaikan janji ini, hanya ada satu cara iaitu pemotongan atau penghapusan cukai eksais ke atas kereta secara keseluruhan dan bukannya dihadkan kepada model tertentu seperti yang diumumkan semalam.

Kami juga kecewa dengan dolak-dalih baru yang diberikan oleh Barisan Nasional untuk terus mengekalkan sistem AP dengan alasan lebih banyak kajian yang diperlukan. Ini tidak lebih dari alasan untuk terus membenarkan golongan tertentu yang rapat dengan Barisan Nasional mendapat keuntungan atas angin sedangkan rakyat terus terbeban dengan harga kereta yang tinggi.

Sepatutnya, Dato’ Seri Mustapha Mohamad sebagai menteri yang bertanggungjawab membuat kajian yang secukupnya terlebih dahulu sebelum memasukkan janji untuk menurunkan harga kereta di dalam akujanji Barisan Nasional dalam PRU13.

Pendekatan berjanji terlebih dahulu dan kemudiannya membeli masa dengan mengumumkan kajian demi kajian adalah satu helah Barisan Nasional yang semakin kerap diamalkan akhir-akhir ini untuk kegagalan mereka mengotakan janji-janji PRU13.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi
Ahli Parlimen Pandan

NIK NAZMI NIK AHMAD
Timbalan Speaker Selangor

21 JANUARI 2014

Menteri Sahkan Rancangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta, Motif Kutip Cukai

Dato’ Seri Hishamuddin Hussin semalam dipetik sebagai berkata “kerajaan mungkin perlu menggunakan cadangan yang sedia ada di samping mencari mekanisme untuk tidak membebankan rakyat” menguatkan lagi spekulasi bahawa keputusan untuk melaksanakan had jangka hayat kereta sudah hamper dibuat.

Alasan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan demi keselamatan rakyat di jalanraya nampak dangkal tanpa bukti yang kukuh bahawa majoriti kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kenderaan yang berusia lebih 12 tahun. Tidak ada satu keterangan saintifik dan empirikal pun setakat ini yang menunjukkan risiko kereta yang berusia 12 tahun naik mendadak berbanding kereta yang berusia 11 tahun.

Malah, dalam keadaan pelbagai faktor lain yang mempengaruhi kemalangan seperti keadaan jalanraya yang tidak selamat, papan tanda yang mengelirukan, sikap pemandu yang tidak berwaspada, sistem penggajian pemandu bas yang tidak mementingkan keselamatan dan lain-lain – alasan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan jalanraya nampak remeh dan tidak ikhlas.

Saya mengesyaki bahawa alasan sebenar Barisan Nasional mahu melaksanakan had jangka hayat kereta adalah untuk mengutip cukai GST yang bakal dilaksanakan. Setiap urusniaga pembelian dan penjualan kereta (baru atau terpakai) akan dikenakan GST, maka lebih kerap rakyat bertukar kereta lebih banyaklah GST yang akan dikutip.

Rakyat yang majoriti mengundi PR (52%) terus dihukum oleh kerajaan minoriti BN melalui dasar-dasar yang menambahkan beban sara hidup demi membiayai keborosan dan ketirisan BN.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

20 NOVEMBER 2013

Jangan Laksanakan Had Jangka Hayat Kereta Selagi Cukai Eksais Kereta Tidak Dihapuskan

Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.

Lebih membimbangkan apabila Datuk Abdul Aziz Kaprawi turut dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan “perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat”.

Pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia. Kebanyakan pembeli kereta dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang. Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta.

Keadaannya lebih parah bagi pembeli dari keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia. Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta-kereta ini, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.

Cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan dari tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak Barisan Nasional menang (dengan tipu helah) dalam PRU13. Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, Barisan Nasional menaikkan pula harga minyak. Kini dengan cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun, ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.

Masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia yang pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung. Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.

Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara-negara lain. Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus.

Akibatnya harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Oleh sebab itulah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif KEADILAN telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu. Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca dari tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta. Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara-negara lain bagi model yang sama.

Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan. Dasar had jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

18 NOVEMBER 2013