Category Archives: ECRL Keretapi Pantai Timur

Rangkaian Keretapi Menghubungkan Kompleks  Perindustrian Kerteh – Kuantan Sudah Ada


Kenyataan Media
AHLI PARLIMEN PAKATAN HARAPAN

Sehingga kini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas pembinaan Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL) iaitu Datuk Rahman Dahlan masih enggan membentangkan laporan kebolehlaksanaan projek (“feasibility study”) projek tersebut seperti yang kami tuntut. Kajian itu dimulakan sejak 2009 dan dilaporkan siap sepenuhnya dalam tahun 2012 seperti yang pernah dilaporkan The Sun[1] dan dilaporkan kembali dalam tahun 2013 oleh Business Times[2].

Selagi laporan tersebut tidak dibentangkan secara telus di Parlimen dan kepada rakyat umumnya, sebarang hujah yang dikemukakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak untuk menyokong pelaksanaan projek ini adalah tidak telus. Jika benar projek keretapi ini mempunyai potensi kesan berganda ekonomi (“economic multiplying effects”) seperti yang diwar-warkan, sepatutnya laporan kebolehlaksanaan projek tidak disembunyikan.

Kajian awal kami mendapati ada beberapa perkara yang menimbulkan keraguan sama ada projek tersebut boleh membawa kesan berganda ekonomi yang berbaloi dengan hutang RM55 bilion yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Majoriti rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa sebenarnya, PETRONAS memang sudah pun membina satu rangkaian keretapi khas untuk membawa kargo dari dua kompleks perindustrian berasaskan petroleum iaitu dari Kompleks Petrokimia Berintegrasi Kerteh (KIPC) ke Kompleks Petrokimia Berintegrasi Gebeng (GIPC) yang seterusnya bersambung ke Pelabuhan Kuantan.

Kewujudan rangkaian keretapi khas sepanjang 77 km ini dipaparkan di laman web Invest In Pahang iaitu portal rasmi pelaburan Kerajaan Pahang di URL http://www.investinpahang.gov.my/index.php?ch=en_investinpahang&pg=en_connectivity&ac=11

Pelaburan dalam industri petrokimia di koridor perindustrian Kerteh/Paka ke Gebeng/Pelabuhan Kuantan adalah kawasan perindustrian terbesar di Pantai Timur dengan pelaburan melebihi RM30 bilion. Tidak ada kawasan di Pantai Timur yang menjana lebih banyak hasil ekonomi dan pekerjaan dari koridor perindustrian ini.

Rakyat juga umumnya tidak mengetahui bahawa walaupun PETRONAS telah membelanjakan wang membina rangkaian keretapi sepanjang 77 km di antara Kerteh ke Gebeng ini, khidmatnya tidak lagi digunakan seawal 2012 seperti yang dilaporkan oleh laman Property Guru[3] kerana kos pengangkutan menggunakan rangkaian itu terlalu mahal dan tidak berbaloi.

Semasa saya (Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan) berkhidmat di PETRONAS, saya pernah menjawat jawatan Pengurus Kanan, Perancangan Perniagaan, Operasi dan Teknologi Petrokimia dari 2005 hingga 2007. Rangkaian keretapi 77 km ini tertakluk juga kepada bidang tugasan saya dan saya boleh mengesahkan kos pengangkutan menggunakan rangkaian ini mahal, lalu menyebabkan unit-unit petrokimia PETRONAS tidak menggunakannya atas sebab-sebab seperti berikut:

1. Produk terbesar di kedua-dua kawasan perindustrian tersebut adalah bahan asas petrokimia (“feedstock”) seperti “ethylene” dan “propylene” yang digunakan terus di kilang-kilang polymer yang dibina bersama-sama dengan kilang-kilang bahas asas tersebut. Oleh itu, ia tidak melibatkan aktiviti pengangkutan yang kadarnya tinggi sehingga memerlukan rangkaian keretapi

2. Produk polymer yang dikeluarkan dalam bentuk resin plastik seperti polyethylene (PE), polypropylene (PP) atau PVC banyak dijual dalam pasaran tempatan dan tidak dieksport. Maka, kedua-dua kompleks tidak memerlukan rangkaian keretapi atau pelabuhan bagi tujuan mengedarkan polymer ini kerana ia diedarkan menggunakan lori

3. Produk lain dalam bentuk bahan petrokimia cecair atau aromatics dieksport terus dari Pelabuhan Kerteh yang mempunyai loji-loji simpanan cecair atau dihantar terus dari Gebeng ke Pelabuhan Kuantan.

Oleh yang demikian, sehingga kini tidak ada asas yang masuk akal yang membuktikan kesan ekonomi berganda yang berbaloi untuk menjana keuntungan bagi membayar hutang sebanyak RM55 bilion ini.

Jika pun ada pertambahan kapasiti yang memungkinkan kos per unit menggunakan rangkaian keretapi sedia ada boleh diturunkan (kerana lebih banyak produk secara pukal boleh menggunakannya), adalah lebih baik menaiktaraf saja rangkaian sedia ada yang dijangkakan hanya menelan belanja RM2 bilion. Itu pun sukar berlaku kerana PETRONAS telah membuat pelaburan baru di RAPID, maka semua kapasiti baru dibina di Pengerang dan bukannya di Kerteh atau Gebeng.

Oleh itu, kami tetap bertegas bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak masih gagal membuktikan ada justifikasi ekonomi yang berbaloi untuk melaksanakan projek yang akan membebankan rakyat dengan hutang.

Kami akan terus membongkarkan kepincangan-kepincangan ini sementara kami menyiapkan laporan awal kebolehlaksanaan projek yang sedang diusahakan.

RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
TONY PUA, AHLI PARLIMEN PETALING JAYA UTARA
WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA
HATTA RAMLI, AHLI PARLIMEN KUALA KRAI
ONG KIAN MING, AHLI PARLIMEN SERDANG


21 NOVEMBER 2016

[1] http://www.thesundaily.my/news/451481

[2] http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/20130418001634/Article/index_html

[3] http://www.propertyguru.com.my/property-news/2013/3/33895/kerteh-kuantan-railway-to-undergo-rm2b-revamp

Maklumbalas Kepada Rahman Dahlan: Syarikat RM2 MRL Sdn Bhd Tidak Dimiliki Kerajaan Malaysia, Najib Terburu-Buru Kerana Masalah Hutang 1MDB Atau Wang Pilihanraya?

111016_ecrl_hutang_1_copy_2

Saya telah meneliti jawapan-jawapan yang diberikan oleh Dato’ Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu temuramah ringkas yang diberikan kepada SinarTV. Secara ringkasnya, Dato’ Rahman Dahlan mendakwa bahawa:

1. Syarikat bermodal RM2 yang mewakili Kerajaan Malaysia iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dimiliki oleh Kementerian Kewangan. Oleh itu, walaupun modalnya hanyalah RM2 ia masih lagi sebuah syarikat yang kukuh kerana dimiliki Kementarian Kewangan

2. Jumlah kontrak yang dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat milik Kerajaan China iaitu CCCC sebanyak RM46 bilion hanyalah melibatkan pembinaan sistem keretapi dari Tumpat ke Gombak sepanjang 600 km. Ia tidak termasuk sistem dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km.

3. Kerajaan Barisan Nasional menganggarkan sistem keretapi dari Gombak ke Pelabuhan Kelang sepanjang 88 km yang kosnya belum dimuktamadkan bernilai RM9 bilion. Oleh itu, jumlah kos yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah RM55 bilion.

Saya ingin memberi maklumbalas dan bidasan bagi setiap perkara yang ditimbulkan seperti berikut:

i. MRL dimiliki oleh Kementerian Kewangan
Saya sertakan paparan skrin dari maklumat syarikat MRL Sdn Bhd yang saya perolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) semasa saya mendedahkan mengenai syarikat RM2 ini dua hari lalu di lobi Parlimen:

ssm1
Mengesahkan MRL ditubuhkan pada 26 September 2016

ssm2
Mengesahkan MRL hanya bermodal berbayar RM2

ssm3
Mengesahkan bahawa pengarah-pengarahnya adalah individu yang bekerja dengan Kementerian Kewangan

ssm4
Mengesahkan bahawa saham RM2 dimiliki individu bukan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc)

Sementara saya tidak mahu memanjangkan isu syarikat RM2 ini kerana saya yakin dua orang pegawai kanan Kementerian Kewangan itu telah menjadi kambing hitam, saya perlu memperbetulkan pembohongan fakta oleh Dato’ Rahman Dahlan.

Setakat hari ini, MRL Sdn Bhd tidak dimiliki oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) seperti yang didakwa oleh beliau semalam. Ia dimiliki oleh dua orang individu yang bekerja di Kementerian Kewangan. Jika MRL Sdn Bhd dimiliki oleh MOF Inc, maka dua saham bernilai RM1 setiap satu itu akan didaftarkan di atas nama MOF Inc.

Maka apabila Dato’ Rahman Dahlan mendakwa isu modal berbayar RM2 itu sepatutnya tidak ditimbulkan kerana MRL Sdn Bhd dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc, itu sebenarnya satu pembohongan.

Malah, jika pun kedua-dua orang pemilik saham sekarang iaitu Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail bersetuju memindahkan saham mereka kepada MOF Inc, apa proses kelulusan yang akan digunapakai untuk membenarkan MOF Inc yang dimiliki rakyat mewarisi hutang bernilai RM46 bilion yang ditandatangani oleh sebuah syarikat yang pada masa kontrak ditandatangani tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Malaysia?

Kenyataan Dato’ Rahman Dahlan semalam mengesahkan bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak berhasrat untuk menggunakan muslihat yang sama yang digunapakai semasa memindahkan hutang 1MDB melalui SRC International kepada rakyat: SRC berhutang RM4 bilion semasa ia masih anak syarikat penuh 1MDB, selepas wang sudah diambil maka MOF Inc bersetuju menerima pemindahan saham dari 1MDB kepada MOF Inc.

Akhirnya, hutang RM4 bilion yang sebenarnya diambil oleh 1MDB melalui SRC telah dimiliknegarakan dan dibebankan kepada rakyat.

Perkara yang sama juga akan berlaku dengan MRL yang mengendalikan ECRL ini.

ii. Perbezaan kos RM46 bilion dan RM55 bilion
Jawapan-jawapan yang diberikan Dato’ Rahman Dahlan mengenai panjang sistem keretapi dari Tumpat ke Gombak sepanjang 600 km dan lain-lain boleh dipatahkan dengan laporan-laporan lain yang menyebut pelbagai angka lain.

Namun saya mahu menumpukan kepada perkara yang paling pokok: kenapa Dato’ Seri Najib terlalu terburu-buru untuk menandatangani kontrak menganugerahkan kerja-kerja bernilai RM46 bilion ini kepada syarikat milik Kerajaan China sekarang?

Adakah perkara yang paling mustahak dan menjadi keutamaan tertinggi ialah satu laluan keretapi dari Tumpat ke Pelabuhan Klang sehingga Dato’ Seri Najib tidak boleh menunggu sehingga rundingan pakej pembinaan keseluruhan dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang dimuktamadkan dahulu?

Bukankah jika kontrak pembinaan EPCC dirundingkan secara bersekali dan dalam satu pakej iaitu dari Tumpat ke Pelabuhan Kelang, secara logiknya ia lebih murah kerana kontraktor tidak perlu membuat kerja dua kali, tidak perlu membayar kos mobilization dan de-mobilisation dua kali dan kontraktor boleh mendapatkan harga material yang lebih murah kerana membeli secara pukal (“economies of scale”)?

Sebab itu, isu sebenarnya ialah kenapa projek ini ditandatangani dan dilaksanakan secara terburu-buru?

Saya bimbang ia berkaitan dua peristiwa besar yang boleh berlaku dalam tahun 2017: pembayaran hutang-hutang 1MDB termasuk satu bayaran berjumlah RM14 bilion (atau USD3.5 bilion) kepada IPIC jika 1MDB kalah dalam proses timbangtara (“arbitration”) dan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14). Kedua-dua ini menelan belanja yang besar dan wang segera diperlukan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kontrak Keretapi Pantai Timur (ECRL) Telah Ditandatangani, Malaysia Diwakili Oleh Syarikat RM2

110716_syarikat_rm2_1_copy_2

Kami merujuk kepada satu kenyataan media yang disiarkan oleh New Straits Times bertarikh 2 November 2016 seperti keratannya yang dilampirkan di bawah:

ecrl

Berita ini disemak dengan pengumuman yang dibuat sendiri oleh China Communication Construction Company Ltd (CCCC) dalam bahasa Inggeris dan Mandarin seperti dipaparkan di laman web syarikat itu seperti berikut:

ecrl2

image-2

Berita-berita ini mengesahkan bahawa satu perjanjian menganugerahkan kontrak pembinaan ECRL berjumlah RM46 bilion kepada CCCC telah ditandatangani. Syarikat yang mewakili Kerajaan Malaysia itu dan menandatangani perjanjian bagi pihak Kerajaan Malaysia adalah Malaysia Rail Link Sdn Bhd.

Kami telah menyemak dokumen penubuhan syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd ini yang dilampirkan bersama dan boleh mengesahkan bahawa:

1. Ia adalah syarikat bermodalkan RM2 yang ditubuhkan pada 26 September 2016

2. Saham RM2 dipegang oleh Ahmad Suhaimi Endut dan Dr Yusof Ismail. Kedua-dua mereka adalah pegawai-pegawai kanan berpangkat Timbalan Setiausaha di Kementeria Kewangan mengikut maklumat yang ada di internet

Download (PDF, 221KB)

Apabila kontrak ini ditandatangani oleh sebuah syarikat yang bermodal RM2 dan ditubuhkan pada 26 September 2016, ia menimbulkan tanda tanya sama ada kelulusan yang sewajarnya mengikut peraturan kerajaan telah diikuti.

Pada kebiasaannya, sebuah syarikat khusus (“special purpose vehicle”) yang ditubuhkan kerajaan untuk menjalankan projek infrastruktur besar negara perlu mendapat kelulusan Parlimen untuk mendapatkan modal. Contohnya, semasa Kerajaan Persekutuan mahu menjalankan projek keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura, Dato’ Seri Najib terpaksa membentangkan usul di Parlimen untuk meluluskan pendanaan syarikat khusus itu sebanyak RM10 juta.

Jelas proses itu tidak berlaku sehingga sebuah syarikat yang bermodal RM2 digunakan untuk menandatangani sebuah kontrak bernilai RM46 bilion. Malah, kami ingin mempersoalkan sama ada Dato’ Seri Najib Tun Razak membawa isu ini mesyuarat Jemaah Kabinet untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Kabinet agar sebuah syarikat yang mewakili Kerajaan Malaysia menandatangani sebuah projek bernilai RM46 bilion?

RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
DR HATTA RAMLI, AHLI PARLIMEN KUALA KRAI
WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA
DR ONG KIAN MING, AHLI PARLIMAN SERDANG