Category Archives: Ayuh Malaysia

Panel Pakar Dari Kalangan Rakyat Untuk Menggubal Dasar

Malaysia berada di persimpangan yang sangat kritikal. Bukan sahaja ruang kewangan negara semakin sempit (akibat salah urus dan sektor ekonomi yang semakin mencabar), masalah-masalah yang membebankan rakyat tidak lagi boleh diselesaikan dengan kerangka dan pendekatan pemikiran yang sama.

Misalnya masalah kenaikan harga barang yang telah berlaku sejak lebih sedekad lalu. Kekalahan UMNO/BN dalam PRU12 (2008) sebenarnya banyak berpunca dari kenaikan mendadak harga barang sehingga BN disamakan dengan jolokan “Barang Naik”.

Namun, selama lebih sedekad, pendekatan UMNO/BN (yang menjadi kerajaan sepanjang 2008 hingga 2022 kecuali 2018 ke 2020) tetap sama: apabila kemarahan rakyat memuncak, ada campur tangan di sana secara tidak terancang (“ad hoc”) yang tidak menyelesaikan masalah punca (“root cause”) kepada krisis kenaikan harga barang.

Begitu juga dengan masalah perumahan yang dihadapi rakyat. Pendekatan UMNO/BN selama ini hanyalah dengan menggunakan dana rakyat untuk disuntik kepada syarikat-syarikat perumahan milik kerajaan yang fungsi dan model perniagaannya sama dengan syarikat pemaju swasta. Akhirnya, berlaku lambakan rumah yang tidak mampu dimiliki rakyat kerana tidak tepat dengan kedudukan dan kehendak ekonomi rakyat.

Masalah-masalah utama rakyat yang saya gagaskan dalam lima kelompok isu memerlukan pendekatan yang lebih radikal dan futuristik. Negara memerlukan idea-idea untuk dijadikan dasar yang lebih praktikal, berteknologi dan membawa rakyat ke arah masyarakat moden yang tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan masalah.

Lima kelompok isu itu telah saya huraikan sebelum ini, iaitu:

  1. Merubah landskap ekonomi negara untuk beralih dari kegiatan pertanian komoditi semata-mata ke arah industri pemakanan bersepadu berteraskan teknologi yang menekankan penyertaan kumpulan ekonomi yang pelbagai (individu, usahawan kecil, syarikat kecil sehinggalah kepada syarikat konglomerat). Ini untuk memastikan keterjaminan sumber makanan negara dan menyelesaikan masalah rantaian bekalan untuk mengawal kenaikan harga barang.
  2. Merubah portfolio penjanaan dan penggunaan tenaga negara ke arah tenaga boleh diperbaharui (“renewable energy”). Selain mengelakkan pergantungan kepada sumber alam yang harganya turun naik, ia juga membantu menurunkan beban elektrik isi rumah. Paling penting, ia akan dapat melonjakkan guna pakai tenaga profesional berkemahiran dalam sektor ini untuk mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi.
  3. Merubah pendekatan penyediaan perumahan di negara ini dari segi model pemilikan (dari pembiayaan berfaedah rumah yang belum siap dibina ke arah pembelian rumah sudah siap dibina dan pemilikan berkonsep sewa-untuk-dimiliki) dan kos pembinaan, dengan melonjakkan aplikasi teknologi pada skala industri.
  4. Merubah pendekatan pedagogi dan capaian pendidikan ke arah aplikasi digital secara besar-besaran untuk memastikan pendidikan bermutu disediakan kepada seberapa ramai rakyat tanpa kekangan kos, sementara pelaburan sebenar ditumpukan kepada pembangunan perisian pendidikan (“software and content”) bukannya pembinaan infrastruktur semata-mata.
  5. Merubah portfolio sumber tenaga kerja dan modal insan negara untuk beralih kepada tenaga kerja berasaskan teknikal, teknologi, keusahawanan dan vokasional (TTKV) dengan meningkatkan aplikasi teknologi dan mesin dalam bidang-bidang yang banyak menggunakan tenaga manual seperti pembinaan dan perladangan. Secara langsung, ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bergaji berpatutan dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Perkara-perkara melibatkan dasar dan program kerajaan seperti ini tidaklah menarik seperti polemik politik yang dimainkan oleh segelintir ahli politik. Namun, adalah menjadi tanggungjawab pimpinan politik untuk mengajak seluruh masyarakat menumpukan perhatian dan idea kepada perkara-perkara ini kerana masalah yang berpunca dari isu-isu ini akan terus membebankan rakyat.

Oleh itu, saya mengajak semua rakyat Malaysia yang mempunyai idea dan kepakaran dalam bidang-bidang ini untuk tampil menyumbangkan idea untuk membina kerangka dasar yang kami boleh bawa kepada rakyat untuk dipertimbangkan.

Usaha ini akan melibatkan proses berikut:

  1. Saringan sukarelawan yang menawarkan untuk menyertai kumpulan dasar bagi setiap isu
  2. Agihan sukarelawan mengikut kumpulan masing-masing
  3. Proses membangunkan dasar dan program khusus, termasuk menganggarkan kos pelaksanaan serta pindaan kepada akta dan peraturan sedia ada untuk melancarkan pelaksanaan
  4. Sesi “pitching” iaitu menjelaskan kerangka idea dan pelan pelaksanaan kepada orang ramai di bandar-bandar utama seluruh negara

Saya menjemput semua yang berminat untuk mendaftar di capaian https://ayuhmalaysia.org/expert-contribution dan menyertai kumpulan sukarelawan rakyat yang membangunkan dasar-dasar ini.

Satu bengkel utama yang mengumpulkan semua tenaga pakar yang tampil akan dianjurkan dalam tempoh dua minggu dari sekarang. Setakat pendaftaran dibuka 12 jam lalu, lebih 100 dari tenaga profesional pelbagai bidang telah mendaftar. Saya yakin gerakan Ayuh Malaysia akan dapat mengumpulkan lebih 500 tenaga profesional dalam masa terdekat bagi tujuan ini.

Selain dari kempen politik biasa, kita juga wajar keluar dari kepompong polemik politik yang dimainkan UMNO/BN dalam usaha kita meyakinkan rakyat. Bagi rakyat biasa yang cintakan kemajuan dan kemakmuran negara yang adil, kita juga bertanggungjawab menyumbang idea dan kehendak kita ke arah Malaysia yang kita ingini.

RAFIZI RAMLI

KEMPEN PRU15:

PROGRAM BERMULA 1 JULAI 2022

Saya akan mula berkempen secara tersusun setiap minggu bermula 1 Julai 2022 sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15). Jangkaan saya ialah Dewan Rakyat akan dibubarkan seawal Ogos atau September 2022 untuk membolehkan Bajet 2023 dibentangkan oleh kerajaan baru.

Tumpuan utama saya ialah untuk meyakinkan pengundi-pengundi dari tiga kumpulan iaitu:

  • Pengundi tegar KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan
  • Pengundi atas pagar yang akan mengundi di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan
  • Pengundi kali pertama (dari kalangan pengundi muda bawah 25 tahun dan mereka yang tidak pernah mengundi selama ini) di kerusi-kerusi utama yang perlu dipertahankan

Saya berpendapat bahawa KEADILAN dan Pakatan Harapan boleh menjadi blok terbesar di Dewan Rakyat selepas PRU15 sekiranya:

  • Jumlah pengundi tegar pelbagai bangsa yang sebelum ini mengundi KEADILAN dan Pakatan Harapan dapat ditingkatkan untuk mencecah 70% jumlah keluar mengundi (dari purata 60% sedia ada sejak beberapa pilihanraya negeri, iaitu peningkatan 10%)
  • KEADILAN dan Pakatan Harapan berjaya memikat kembali 5% dari pengundi atas pagar yang beralih sokongan selepas PRU14 dalam tahun 2018 dahulu untuk kembali mengundi KEADILAN dan Pakatan Harapan
  • KEADILAN dan Pakatan Harapan berjaya mendapat 30% dari jumlah pengundi kali pertama pelbagai kaum

Saya akan berkempen menggunakan pentas Ayuh Malaysia memandangkan tahap kelesuan pengundi terhadap parti-parti sedia ada adalah tinggi.

Kempen akan bermula dengan satu latihan peringkat nasional kepada sukarelawan-sukarelawan Ayuh Malaysia yang akan diadakan pada hari Sabtu, 2 Julai 2022 dari jam 2 petang ke 5 petang di Kuala Lumpur. Kami meletakkan sasaran 30,000 sukarelawan dari seluruh negara untuk berkempen bagi KEADILAN dan Pakatan Harapan di kerusi-kerusi marginal.

Latihan peringkat nasional akan memberi tugasan dan latihan kepada sukarelawan-sukarelawan dalam bidang khusus seperti Ejen Tempat Mengundi (PACA), kempen rumah ke rumah, kempen menelefon pengundi dan kempen media sosial.

Saya menjemput seberapa ramai rakyat Malaysia yang pernah menjadi sukarelawan, atau yang ingin menyumbang untuk hadir sebagai sukarelawan dan melalui latihan pusat pada 2 Julai ini. Mereka yang berminat boleh mula mendaftar minggu ini dan butiran pendaftaran akan diberikan di laman www.ayuhmalaysia.org

Ayuh Malaysia juga akan mengadakan satu majlis kutipan dana pada hari yang sama, Sabtu 2 Julai 2022 bermula jam 8 malam bertempat di SJKC Chung Kwo, Kuala Lumpur. Tiket-tiket boleh mula dibeli minggu ini secara atas talian di laman www.ayuhmalaysia.org

Majlis kutipan dana itu adalah untuk melancarkan Tabung Trak bagi membiayai perbelanjaan menyediakan sebuah trak kempen untuk dibawa ke seluruh negara, seperti mana saya pernah berkempen di atas trak selama dua tahun sebelum PRU14 yang lalu.

Majlis kutipan dana itu akan diteruskan di Johor Bahru pada hari Khamis, 7 Julai 2022 (8 malam) dan Pulau Pinang pada hari Sabtu, 23 Julai 2022 (8 malam). Program serupa ke bandar-bandar lain akan diumumkan kemudian.

Selain dari dua majlis ini, bermula minggu ini, siaran kempen Ayuh Malaysia akan bermula setiap 2-3 hari di laman media sosial bermula hari Jumaat, 24 Jun 2022 ini. Kandungan utama siaran kempen Ayuh Malaysia akan tertumpu kepada kupasan idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi rakyat Malaysia sekarang termasuk lima teras kempen Ayuh Malaysia yang telah diumumkan sebelum ini.

Saya akan mengumumkan jadual kempen mengikut bandar dan kerusi-kerusi Parlimen minggu ini. Kempen ini meliputi dua pendekatan:

  • Kempen dengan trak secara ceramah kepada orang ramai untuk menarik minat rakyat kepada penyelesaian masalah secara membina dan kesan undi mereka kepada pentadbiran negara
  • Diskusi dengan kumpulan tertentu mengenai isu-isu khusus yang diadakan di dalam dewan untuk mengupas pandangan pakar dan orang ramai dalam mencari penyelesaian kepada masalah-masalah negara

Kempen akar umbi sebegini akan disiarkan secara langsung melalui laman media sosial untuk diikuti seluruh rakyat Malaysia.

Saya sedang mengkaji beberapa masalah teknikal penganjuran kempen di peringkat akar umbi untuk mematuhi segala SOP yang masih perlu dititikberat sepanjang kempen ini.

Saya menyeru semua sukarelawan dan pendukung KEADILAN/Pakatan Harapan yang bersama-sama kempen saya dahulu untuk turut serta dalam kempen yang bermula 1 Julai 2022 ini. Walaupun keadaan telah banyak berubah, saya percaya kesungguhan kita mendekati rakyat akan dapat memenuhi sasaran kempen untuk meningkatkan kadar keluar mengundi serta menarik minat pengundi atas pagar dan pengundi kali pertama.

Nantikan pengumuman-pengumuman kempen minggu ini untuk membina gelombang baru Ayuh Malaysia.

RAFIZI RAMLI