Category Archives: Skandal @ Balak di Sabah

Michael Chia Dijatuhkan Hukuman: Buka Kembali Siasatan Terhadap Musa Aman

Saya alu-alukan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengenai hukuman penjara dan sebatan yang dijatuhkan ke atas Michael Chia. Kes yang membabitkan permit membalak di Sabah itu adalah salah satu kes utama yang memberi gambaran bagaimana permit membalak telah disalahgunakan oleh ahli-ahli politik dan pegawai awam untuk membina kekayaan peribadi.

Kejayaan pendakwaan terhadap Michael Chia itu membuktikan bahawa SPRM berkemampuan mengumpul bukti yang baik untuk memastikan pendakwaan yang berjaya.

Hukuman bersalah ke atas Michael Chia itu menghidupkan kembali banyak pertanyaan mengenai siapa di belakangnya?

Michael Chia tidak mempunyai apa-apa pengaruh atau jawatan di dalam kerajaan, maka dia sendiri tidak ada kuasa untuk memberikan permit membalak. Hakikatnya dia boleh mengutip wang dari syarikat-syarikat balak memberi gambaran bahawa syarikat dan pengusaha balak tahu bahawa dia menjadi orang tengah bagi pihak-pihak tertentu yang mempunyai kuasa dan pengaruh dalam menentukan pemberian permit balak.

Sebab itu, keputusan bersalah yang dijatuhkan kepada Michael Chia menguatkan spekulasi mengenai kes wang RM40 juta yang sebelum ini menjadi kontroversi melibatkan Ketua Menteri Sabah, Dato Sri Musa Aman. Fakta kes sebelum ini melalui pelbagai bukti pemindahan wang, keterangan SPRM dan maklumat dari ICAC di Hong Kong menunjukkan bahawa memang ada pemindahan wang berjumlah RM40 juta tetapi ia tidak disiasat sebagai rasuah keraa wang itu dikatakan derma politik kepada Umno Sabah.

Dengan keputusan bersalah ini, saya menyeru supaya SPRM membuka kembali siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman dalam kes wang RM40 juta yang dikaitkan dengan kutipan dari syarikat-syarikat balak kerana bukti-bukti pemindahan wang melibatkan Michael Chia sendiri.

Keputusan bersalah terhadap Michael Chia ini juga adalah satu tamparan kepada Dato’ Seri Nazri Aziz yang mempunyai hubungan dengan Michael Chia, terutamanya apabila anak beliau menggunakan kereta mewah milik Michael Chia seperti yang saya dedahkan sebelum ini. Apatah lagi apabila Dato’ Seri Nazri Aziz sendiri yang tampil di Parlimen menjelaskan bahawa tidak ada unsur rasuah di dalam kes-kes melibatkan Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia yang mengundang kontroversi sebelum itu.

Walaupun keputusan terhadap Michael Chia ini adalah satu peningkatan baik yang ditunjukkan SPRM, rakyat memerhati sama ada SPRM bakal mendakwa penjawat-penjawat awam berpangkat tinggi yang terlibat sama.

Jika tidak, selama-lamanya SPRM dilihat hanya mendakwa bilis sedangkan jerung terus terlepas.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

27 Februari 2014

Pertemuan Dengan ICAC Positif, Yakin Kes Dibuka Semula

Delegasi KEADILAN telah mengadakan pertemuan dan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) pada jam 230 petang, 13 Disember 2012. Bukti-bukti dan dokumen juga telah diserahkan kepada ICAC dalam pertemuan yang memakan masa satu jam itu.

Delegasi KEADILAN juga mengadakan pertemuan susulan dengan YB James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang juga Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang Majlis Perundangan yang bertanggungjawab menyelia ICAC.

Delegasi KEADILAN disertai oleh YB William Leong (Ahli Parlimen Selayang), YB Hee Loy Sian (Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan), YB Chang Li Kang (ADUN Teja), Saudara Darell Leiking (Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang Penampang) dan saya sendiri.

Semasa pertemuan tersebut, saya yakin bahawa bukti-bukti dan dokumen yang diserahkan, termasuklah keseluruhan penyata bank dan urusniaga keluar masuk wang ke dalam akaun bank dua buah syarikat yang dikaitkan dengan Michael Chia (iaitu Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd) di Hong Kong merupakan bukti baru dan dokumen yang belum diperolehi oleh ICAC.

Begitu juga dengan akuan bersumpah oleh Dato’ Seri Lajim Ukin yang menafikan bahawa wang RM40 juta adalah derma politik kepada Umno kerana ia tidak pernah diumumkan kepada pengurusan Umno Pusat atau Umno Sabah, yang dipandang serius oleh ICAC.

Malah, saya yakin bahawa ICAC akan memanggil saksi rahsia yang telah tampil untuk memberi keterangan dan maklumat dalaman mengenai Michael Chia kepada ICAC. Saya juga yakin Dato’ Seri Lajim Ukin akan dipanggil untuk memberi keterangan di Hong Kong.

Pun begitu, ICAC memohon kerjasama kami untuk tidak membuat kenyataan lanjut mengenai kes ini mengikut prosedur mereka bagi melindungi kerahsiaan siasatan. Oleh yang demikian, kami tidak boleh menyatakan secara terperinci hasil perbincangan atau pun mendedahkan rancangan seterusnya seperti yang diputuskan oleh ICAC.

Saya beranggapan bahawa permintaan ICAC supaya butiran siasatan setakat ini dirahsiakan mengesahkan bahawa ICAC memandang serius kes ini dan akan mengambil tindakan susulan termasuklah memanggil saksi-saksi.

Oleh itu, walaupun ICAC tidak akan mengesahkan secara rasmi bahawa kes ini dibuka semula, keseriusan dan perhatian yang diberikan mengenai kerahsiaan kes membayangkan bahawa siasatan penuh akan menyusul.

Pertemuan dengan YB James To juga membuahkan hasil. Beliau turut menerima salinan bukti dan dokumen atas tanggungjawab beliau sebagai Naib Pengerusi, Panel Keselamatan dan Undang-undang.

YB James To memaklumkan kepada delegasi bahawa ada kemungkinan besar Dato’ Seri Musa Aman boleh didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram (“money laundering”) yang undang-undangnya lebih ketat di Hong Kong berbanding di negara-negara lain. Jika didapati bersalah, pihak berkuasa Hong Kong boleh mengeluarkan waran tangkap melalui Interpol dan boleh dikuatkuasakan di Malaysia.

Perkembangan sihat di Hong Kong ini akan terus disusuli dengan kempen-kempen penerangan terbaru di Sabah dan seluruh Malaysia untuk meningkatkan tekanan supaya pihak SPRM dan Peguam Negara menyiasat kembali kes ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
13 DISEMBER 2012

Akuan Bersumpah Datuk Seri Lajim Ukin Mengenai Wang RM40 juta

STATUTORY DECLARATION
Saya, Lajim Ukin (550615-12-5069) yang beralamat di Pejabat Perhubungan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Lot 18 & 19, Tingkat 1 & 2, Blok C, Millenium Centre, Jalan Lintas Kepayan, Penampang 88200 Kota Kinabalu dengan sesungguhnya dan sebenarnya membuat perakuan berikut:

1. Saya adalah seorang ahli politik yang telah memegang pelbagai jawatan kanan di dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) iaitu parti yang telah memerintah Malaysia sejak merdeka dalam tahun 1957;

2. Saya telah memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah sehingga tahun 2004 dan telah menjadi wakil rakyat bagi beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen sejak 1994. Jawatan terakhir saya di dalam Kerajaan Malaysia adalah sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan;

3. Saya meninggalkan Kerajaan Malaysia dalam bulan Ogos 2012 berhubung perbezaan pendapat dan rasa tidak setuju mengenai pelbagai perkara terutamanya nasib rakyat Sabah yang telah lama diabaikan oleh Kerajaan Malaysia;

4. Sepanjang penglibatan saya dengan UMNO, saya telah dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO sejak tahun 2000. Majlis Tertinggi UMNO adalah badan pembuat keputusan yang tertinggi di dalam UMNO dan bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO, termasuklah hal ehwal kewangannya;

5. Saya juga menganggotai Badan Perhubungan UMNO Sabah yang bertanggungjawab terhadap segala keputusan UMNO di peringkat negeri, termasuklah hal ehwal kewangannya;

6. Pada 9 Oktober 2012, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Nazri Aziz mengejutkan Parlimen apabila beliau mengumumkan bahawa dakwaan rasuah terhadap Ketua Menteri Sabah, Dato’ Seri Musa Aman (berhubung dakwaan wang rasuah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan dengan beliau) telah digugurkan;

7. Menteri berkenaan telah juga mengumumkan bahawa pihak berkuasa turut menggugurkan dakwaan rasuah terhadap seorang niagawan balak dari Sabah bernama Michael Chia, yang sebelum ini dikaitkan dengan tuduhan rasuah berhubung lesen pembalakan melibatkan Dato’ Seri Musa Aman;

8. Menurut kenyataan menteri tersebut di Parlimen, dakwaan rasuah terhadap Dato’ Seri Musa Aman dan Michael Chia digugurkan atas alasan wang RM40 juta yang disiasat itu merupakan derma politik kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi Ketua Menteri;

9. Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa sepanjang penglibatan dan pengalaman saya dalam pelbagai kedudukan kepimpinan dan pengurusan di dalam UMNO di peringkat pusat dan negeri, saya tidak pernah tahu atau diberitahu mengenai:

i. Sebarang perbincangan yang berlaku di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah mengenai usaha mendapatkan derma politik sebesar jumlah RM40 juta, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

ii. Sebarang pengisytiharan yang dibuat di peringkat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah bahawa derma politik sejumlah RM40 juta telah dibuat kepada UMNO Sabah, seperti yang didakwa menteri berkenaan di Parlimen;

iii. Sebarang bukti urusniaga, transaksi atau urusan yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah yang boleh membuktikan bahawa UMNO Sabah adalah penerima derma politik RM40 juta itu; dan

iv. Sebarang laporan atau bukti yang dibentangkan kepada Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO Sabah bahawa UMNO telah mendapat manfaat dari derma politik RM40 juta itu;

10. Oleh yang demikian, saya menyimpulkan bahawa kenyataan menteri berkenaan kepada Parlimen adalah tidak benar, menyeleweng dan berniat untuk menutup isu yang lebih besar iaitu dakwaan salahguna kuasa dalam anugerah lesen pembalakan di Sabah yang hanya menguntungkan beberapa orang sedang rakyat dan negeri Sabah tidak mendapat pulangan setimpal;

11. Buat sekian lama, pembalakan telah menjadi sumber untuk mengkayakan diri bagi segelintir ahli politik dan pemimpin kerajaan Sabah. Dari pengalaman saya sendiri sebagai Timbalan Ketua Menteri, saya mengesyaki bahawa lesen pembalakan sering dianugerahkan kepada individu yang rapat dengan pemimpin kerajaan Sabah;

12. Wang haram dari kegiatan rasuah ini disyaki disimpan di luar negara menggunakan ejen yang mengendalikan penjualan balak pada harga yang rendah dan merugikan Kerajaan Negeri. Keuntungan dari penjualan balak pada harga rendah ini kemudiannya disalurkan sebagai rasuah dan dimasukkan ke pelbagai akaun di luar negara, yang akhirnya dipindahkan semula untuk manfaat ahli politik utama dan pemimpin kerajaan Sabah;

13. Saya bersedia untuk memberi kenyataan kepada mana-mana pihak berkuasa dari mana-mana negara yang menyiasat perkara ini untuk menghentikan jaringan rasuah yang melibatkan anugerah lesen pembalakan yang telah lama merugikan rakyat Sabah;

14. Saya yakin pengalaman, pengetahuan dan maklumat dalaman yang saya ada mengenai perjalanan UMNO dan kerajaan di peringkat pusat dan negeri akan membantu siasatan.

Dan saya membuat Surat Akuan Sumpah ini dengan kepercayaan bahawa apa-apa yang tersebut di dalamnya adalah benar serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.

Diperbuat dengan sebenarnya dan
diakui oleh yang tersebut namanya
di atas di Kota Kinabalu
dalam negeri Sabah
pada 10 haribulan Disember, 2012

………………………………
LAJIM BIN UKIN

Dihadapan saya,

…………………………………….
PESURUHJAYA SUMPAH

Bukti-Bukti Baru Dikemukakan Kepada ICAC Untuk Buka Semula Siasatan

Delegasi KEADILAN yang dianggotai oleh:

1. YB William Leong, Ahli Parlimen Selayang
2. YB Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan
3. YB Chang Li Kang, ADUN Teja
4. Saudara Darell Leiking, Timbalan Setiausaha Agong/Ketua Cabang Penampang
5. Saudara Rafizi Ramli, Pengarah Strategi

akan membuat lawatan kedua ke Hong Kong pada 12 dan 13 Disember 2012 dalam usaha membuka semula siasatan pihak berkuasa Hong Kong mengenai tuduhan rasuah RM40 juta membabitkan Dato’ Seri Musa Aman melalui orang pertengahannya iaitu Michael Chia.

Delegasi akan mengadakan pertemuan dengan YB James To, ahli Majlis Perundangan Hong Kong yang bertanggungjawab menyelia perjalanan Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC), selain mengadakan pertemuan khusus dengan pegawai penyiasat ICAC untuk menyerahkan bukti-bukti lanjut kes.

KEADILAN telah berjaya mengumpulkan bukti-bukti baru terutamanya bukti urusniaga dan butiran pemindahan wang di Hong Kong seperti berikut:

Urusniaga Melalui Akaun HSBC Milik Michael Chia di Singapura

Michael Chia mempunyai beberapa bank akaun yang dibuka dengan HSBC di Singapura sekitar tahun 2005 hingga 2006.
Bersama-sama ini disertakan salinan pengesahan pemindahan wang (telegraphic transfer credit advice) ke dalam akaun-akaun Michael Chia bertarikh 7 Jun 2005, 16 Jun 2005, 22 Februari 2006 dan 16 Mac 2006.

Pemindahan wang yang setiap satunya bernilai jutaan ringgit ini dimasukkan ke akaun Michael Chia oleh syarikat-syarikat yang sebelum ini dinamakan sebagai pengusaha balak melalui konsesi balak yang dianugerahkan oleh Kerajaan Sabah kepada mereka, termasuklah Ever Fame Enterprises Limited, Borion Enterprise Limited dan Wayco Enterprise Limited.

Salinan pengesahan pemindahan wang ini dengan jelas memberi butiran bahawa pemindahan wang ini adalah bayaran deposit kepada konsesi, merujuk kepada konsesi balak yang diusahakan oleh syarikat-syarikat ini.

Kewujudan akaun ini yang dimiliki Michael Chia dan pemindahan wang oleh pemegang konsesi kepadanya bagi tujuan deposit konsesi mengesahkan bahawa Michael Chia bertindak sebagai orang tengah kepada individu tertentu untuk mengutip wang hasil dari konsesi balak yang dikeluarkan Kerajaan Sabah.

Mengikut Enakmen Perhutanan Sabah 1968 dan Peraturan Permit Pembalakan Sabah 1969, kelulusan permit dan kutipan hasil dari pembalakan dikendalikan sepenuhnya oleh Kerajaan Sabah dan tidak melibatkan sebarang pihak lain.

Oleh yang demikian, sebarang kutipan wang bagi deposit konsesi oleh pihak lain berkemungkinan besar adalah wang rasuah yang dibayar untuk mendapatkan konsesi.

Michael Chia perlu disiasat segera oleh SPRM untuk mengenalpasti individu yang mewakilkannya untuk mengutip wang dari syarikat-syarikat pemegang konsesi balak, yang disalurkan ke dalam akaun HSBC miliknya di Singapura.

Urusniaga Melalui Akaun UBS di Hong Kong Milik Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd

Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd adalah 2 buah syarikat yang diperbadankan di pusat perniagaan pesisir luar pantai (offshore business centre) iaitu di British Virgin Island, yang melindungi maklumat pemilik serta pegangan sahamnya. Oleh itu, adalah mustahil untuk orang awam mendapatkan maklumat pemiliknya dari pihak berkuasa dan syarikat-syarikat ini tidak perlu mengemukakan akaun setiap tahun seperti syarikat-syarikat lain.

Pun begitu, salah satu pihak yang menguasai Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd secara bersama dengan Michael Chia telah tampil dan menawarkan maklumat mengenai kedua-dua syarikat ini. Mereka juga telah menyerahkan sepenuhnya penyata bank dan segala slip urusniaga melibatkan akaun kedua-dua syarikat tersebut dengan Bank UBS di Hong Kong.

Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd digunakan oleh Michael Chia bagi tujuan yang sama seperti akaunnya di HSBC Singapura – iaitu menyalurkan wang suapan hasil dari konsesi balak yang dianugerahkan oleh Kerajaan Sabah kepada pemegang-pemegang konsesi.

Bersama-sama ini disertakan slip pengesahan urusniaga (debit or credit advice slips) yang melibatkan Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd.

Satu pemindahan wang berjumlah US$277,975 bertarikh 13 Februari 2007 misalnya, dibuat oleh Multilink Star Pte. Ltd. Kepada Zenique Investments Ltd bagi pembayaran deposit konsesi pembalakan, seperti yang dapat disahkan oleh slip pengesahan urusniaga.

Dari semasa ke semasa, wang dari kedua-dua syarikat ini dipindahkan ke sebuah syarikat BVI milik Michael Chia iaitu CTF International Ltd.

Pada 25 May 2007 pula, Zenique Investments Ltd memindahkan wang sebanyak AU$2,350 terus ke akaun Mohammed Hayssam Musa, iaitu anak kepada Dato’ Seri Musa Aman.

Semakan terhadap slip-slip pengesahan urusniaga ini menunjukkan pemindahan wang ke akaun yang dikawal Michael Chia oleh syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan konsesi balak di Sabah, selain dari perbelanjaan dan pemindahan peribadi seperti pembelian kereta mewah, pemindahan kepada isteri Michael Chia dan lain-lain.

Helah yang digunakan adalah sama, iaitu mengumpul wang rasuah hasil dari konsesi balak yang dianugerahkan Kerajaan Sabah melalui akaun-akaun di luar negara yang didaftarkan di atas nama syarikat BVI yang penuh kerahsiaan.

Pihak ketiga yang turut terlibat di dalam Zenique Investments Ltd dan Blisstop Corporation Ltd telah menyatakan kesudian mereka untuk memberikan keterangan sepenuhnya kepada ICAC bagi membuktikan bahawa pemindahan wang di Hong Kong yang melibatkan kedua-dua syarikat BVI itu adalah bersabit wang rasuah konsesi balak di Hong Kong.

Ini menepati kehendak ICAC untuk membuka semula siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman, iaitu bukti berlakunya urusniaga melibatkan bank di Hong Kong dan bukti bahawa urusniaga itu melibatkan wang hasil dari rasuah.

Akuan Bersumpah Dato’ Seri Lajim Ukin

Bersama-sama ini disertakan akuan bersumpah oleh Dato’ Seri Lajim Ukin yang menafikan sepenuhnya bahawa Umno Sabah pernah menerima sumbangan RM40 juta seperti yang didakwa oleh Dato’ Seri Nazri Aziz.

Kedudukan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan ahli Badan Perhubungan Umno Sabah sepatutnya menjamin bahawa beliau juga akan dimaklumkan sekiranya ada sumbangan sebesar itu kepada Umno Sabah.

Akuan bersumpah beliau yang turut menawarkan diri untuk memberi kenyataan termasuklah pengalaman beliau sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam menguruskan pentadbiran konsesi balak di Sabah akan diserahkan kepada ICAC untuk tindakan lanjut ICAC.

Ketiga-tiga bukti ini adalah mencukupi, seperti yang dibincangkan dengan ICAC, untuk membuka semula siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman.

Sekiranya pihak berkuasa Malaysia terus mendiamkan diri dan tidak mengambil tindakan, bukti-bukti ini akan terus tersebar dan melemahkan lagi keyakinan rakyat terhadap SPRM dan Peguam Negara.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
11 DISEMBER 2012

Blisstop Corporation Ltd

Zenique Investments Ltd – 1

Zenique Investments Ltd – 2

Zenique Investments Ltd – 3

HSBC1

HSBC2

HSBC3

HSBC4

HSBC5

HSBC5

Surat ICAC Tidak Membersihkan Nama Dato’ Seri Musa Aman, Perlu Isytihar Penyumbang RM40 Juta

Saya merujuk kepada laporan oleh Clara Chooi yang disiarkan pada 27 November 2012 oleh The Malaysian Insider bertajuk “ICAC Letter Shows Musa Aman Cleared of Graft Last December”.

Laporan itu memetik kenyataan Dato’ Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belud bagi pihak Dato’ Seri Musa Aman bahawa kes telah ditutup oleh ICAC Hong Kong berdasarkan satu surat yang dihantar secara peribadi kepada Dato’ Seri Musa Aman.

Berdasarkan laporan tersebut, saya ingin menegaskan beberapa fakta berikut:

1. Surat yang diutuskan oleh ICAC itu sekali-kali tidak menyatakan bahawa Dato’ Seri Musa Aman dibersihkan dari tuduhan rasuah, atau membayangkan bahawa ICAC yakin Dato’ Seri Musa Aman bersih dari rasuah seperti yang cuba diwar-warkan oleh Umno/Barisan Nasional.

2. Surat itu hanya memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat-maklumat yang ICAC perolehi setakat itu, ICAC mengambil keputusan untuk tidak meneruskan siasatan terhadap Dato’ Seri Musa Aman.

Jika Dato’ Seri Musa Aman tidak bersetuju dengan fakta-fakta ini, maka wajarlah beliau mendedahkan kandungan keseluruhan surat tersebut, bukannya menggunakan Dato’ Abdul Rahman Dahlan untuk menyampaikan secara lisan sahaja kepada wartawan.

Keputusan ICAC untuk tidak meneruskan siasatan berdasarkan maklumat-maklumat yang mereka perolehi setakat itu menimbulkan lebih banyak persoalan. Ia juga menguatkan pandangan beberapa pihak bahawa ICAC tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari pihak berkuasa Malaysia untuk meneruskan siasatan kerana mereka tidak mempunyai kuasa menyiasat dan mengumpulkan bukti.

Oleh yang demikian, mereka bergantung sepenuhnya kepada Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan bukti.

Kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zevros baru-baru ini bahawa pihak berkuasa Hong Kong mengambil keputusan untuk menghentikan siasatan berdasarkan maklumat pihak berkuasa Malaysia mengesahkan bahawa tangan ICAC terikat dari meneruskan siasatan.

Oleh yang demikian, saya menegaskan pendirian saya bahawa surat yang disebut oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan itu tidak membersihkan nama Dato’ Seri Musa Aman, sebaliknya menguatkan pandangan bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama pihak berkuasa Malaysia.

Saya dan pasukan dari KEADILAN (YB William Leong, YB Hee Loy Sian dan YB Chang Lih Kang) sedang giat mengumpulkan bukti termasuk penyata-penyata kewangan dan urusniaga di Hong Kong untuk dilaporkan kepada ICAC agar siasatan baru dibuka, seperti persetujuan dengan ICAC baru-baru ini.

Rombongan kami akan menemui ICAC pada 11 Disember 2012 dalam kunjungan yang kedua.

Saya juga menggesa Dato’ Seri Musa Aman supaya tidak terus mengheret Umno ke dalam permasalahan peribadi beliau. Cara terbaik untuk membersihkan nama beliau adalah dengan mengisytiharkan secara terperinci maklumat sumbangan RM40 juta yang diterima beliau, termasuklah:

 Siapa yang menderma/memberi sumbangan?
 Apa hubungan penderma/penyumbang ini dengan beliau dan Umno?
 Apa kontrak-kontrak atau konsesi yang pernah diberikan kepada penderma/penyumbang ini?
 Di mana wang itu disimpan dan atas nama siapa?

Saya percaya maklumat-maklumat di atas bukan sahaja dituntut oleh rakyat Malaysia, malah turut ditanya oleh pimpinan Umno sendiri.

Apabila Umno/Barisan Nasional menyerang pimpinan KEADILAN bersabit sumbangan (termasuklah isu bas jelajah Merdeka Rakyat dan penggunaan jet peribadi), pimpinan KEADILAN yang terbabit dengan segera mengisytiharkan butiran penyumbang, supaya rakyat dapat menilai sendiri sama ada berlaku unsur salah guna kuasa.

Sikap yang sama perlulah juga ditunjukkan oleh Dato’ Seri Musa Aman, jika beliau benar-benar yakin tidak ada unsur rasuah dan salah guna kuasa di dalam kes sumbangan RM40 juta kepada beliau/Umno seperti yang didakwanya.

Kegagalan beliau berterus terang akan terus memanjangkan kes ini dan saya akan terus menumpukan perhatian untuk mendapatkan maklumat dan bukti baru untuk dibentangkan kepada rakyat.

Sebab itu, saya tidak sedikit pun merasa tergugat dengan ancaman tindakan undang-undang seperti yang disebut oleh Dato’ Abdul Rahman Dahlan. Saya yakin saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dan bersedia untuk mempertahankan kes yang saya bawa di mahkamah pada bila-bila masa.

Persoalannya: Apakah Dato’ Seri Musa Aman bersedia untuk bertemu di mahkamah dan mendedahkan butiran penderma-penderma beliau di mahkamah seperti mana bersedianya saya?

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

28 NOVEMBER 2012