Category Archives: Skandal @ NFC

TINDAKAN MAYBANK SINGAPURA TARIK BALIK SAMAN NFC MELUKAKAN HATI RAKYAT

Berita melaporkan hari ini bahawa Maybank Singapore Limited, anak syarikat Maybank (milik institusi pelaburan awam) telah menarik balik saman hutang terhadap Pengerusi National Feedlot Corporation (NFC), Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan dua anaknya, Wan Shahinur Izran dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Saman hutang oleh Maybank Singapore itu bersabit dua pinjaman kondominium mewah di Singapura berjumlah RM8 juta.

Keputusan Maybank Singapore itu juga bermakna bank tersebut tidak boleh mengemukakan saman baru untuk menuntut jumlah hutang yang tidak dibayar.

Bagi mereka yang telah lupa mengenai skandal National Feedlot Corporation (NFC), kes ini bermula dalam tahun 2011 dan merupakan salah satu skandal kewangan dana rakyat yang mula-mula saya dedahkan.

Dalam tahun 2012, saya dan Akmal Nasir (kini Ahli Parlimen Johor Baharu) menyamar sebagai pelanggan di restoran mewah milik NFC di Singapura untuk menjejaki kondominium-kondominium mewah yang dipercayai dibeli menggunakan dana awam. Kes NFC menjadi hangat memandangkan sejumlah RM250 juta diperuntukkan kepada syarikat milik keluarga Tan Sri Shahrizat Jalil (ketika itu Ketua Wanita Umno dan menteri persekutuan) untuk membina industri ternakan lembu tetapi berakhir dengan kegagalan. Sebahagian dana awam itu sebaliknya digunakan untuk membeli kondominium mewah di Malaysia dan Singapura.

Bukti siasatan yang mendedahkan pembelian tiga unit kondominium mewah di Singapura boleh dibaca di sini:

Keputusan Maybank Singapore untuk tidak meneruskan usaha mendapatkan kembali hutang dari pemilik NFC (yang juga keluarga pembesar negara) sangatlah tidak sensitif kepada kepayahan rakyat biasa yang menanggung hutang sejak wabak COVID.

Rakyat tidak lupa bagaimana sukarnya untuk mendapat pelepasan dan kelonggaran dari pihak bank (termasuk Maybank) untuk menguruskan ansuran hutang mereka sepanjang tempoh dua tahun yang lepas. Ramai juga rakyat biasa yang jatuh muflis kerana gagal melunaskan hutang mereka (yang jumlahnya jauh lebih kecil dari hutang NFC kepada Maybank Singapore).

Pada masa yang sama, keluarga Tan Sri Shahrizat Jalil yang memiliki NFC dan berhutang puluhan juta wang rakyat seolah-olah mendapat layanan yang istimewa, tidak seperti rakyat kebanyakan.

Contohnya, walaupun telah kalah kes saman di Mahkamah Persekutuan, sehingga sekarang mereka belum membayar kembali sejumlah wang yang diarahkan oleh mahkamah kepada saya. Perkara ini sedang diuruskan oleh peguam saya mengikut proses undang-undang supaya mereka akur dengan perintah mahkamah dengan sewajarnya.

Dalam bulan Januari tahun ini, pemilik NFC memaklumkan kepada mahkamah mereka sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan di luar mahkamah saman kerajaan menuntut kembali RM250 juta dana yang tertunggak. Pemilik NFC mengutus surat kepada Kamar Peguam Negara agar kes saman kerajaan itu diselesaikan melalui satu kertas cadangan penyelesaian di luar mahkamah.

Berita mengenai wujudnya saman Maybank Singapore terhadap salah seorang pemilik NFC iaitu Wan Izzana Fatimah Zabedah menimbulkan tanda tanya yang lebih serius.

Bagaimana seorang yang berdepan tindakan saman hutang dan ada kemungkinan muflis (jika kalah saman hutang yang dibawa bank) boleh dilantik menjadi ahli lembaga pengarah sebuah badan penting kerajaan iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia MDEC?

Dia juga adalah pengarah di TalentCorp dan ahli panel pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Lantikan-lantikan yang berlaku ketika dia berdepan saman hutang berhubung salah guna dana awam NFC perlu disemak semula serta-merta.

Sejak UMNO kembali menjadi Kerajaan Persekutuan, ada tanda-tanda seolah-olah satu per satu kes bersabit NFC diselesaikan tanpa melalui jalan undang-undang yang sewajarnya (seperti yang perlu dilalui rakyat biasa).

Ini gambaran bagaimana sekiranya UMNO kembali berkuasa sepenuhnya di Putrajaya, skandal-skandal penyelewengan wang rakyat berkemungkinan akan ditutup begitu sahaja dan bekas-bekas pimpinan UMNO yang terpalit dengan rasuah akan bebas begitu sahaja.

Walaupun kes NFC sudah berlaku lebih sedekad, saya akan terus memantau dan tidak akan teragak-agak mempertimbangkan tindakan undang-undang dan tindakan politik untuk menuntut kembali RM250 juta dana rakyat. Jumlah itu boleh membantu petani dan penternak kecil untuk meningkatkan bekalan makanan negara, lebih-lebih lagi ketika rakyat berdepan dengan kenaikan mendadak harga makanan.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden

Jumlah Saman NFC Akan Dipulangkan Kepada Rakyat Sebagai Biasiswa Pelajar

Saya baru dimaklumkan oleh peguam mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pagi tadi yang membenarkan rayuan saya dalam kes saman berhubung NFC. Saya tidak hadir ke mahkamah kerana dimaklumkan ada permintaan peguam plaintif untuk menangguhkan perbicaraan pada hari ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Arif Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer, Datuk Hanipah Farikullah and Datuk Wira Kamaludin Md Said yang membenarkan rayuan saya.

Saya juga sedia maklum bahawa Yang Arif Hakim-Hakim telah mengarahkan Datuk Seri Salleh Ismail sebagai plaintif memulangkan kembali sejumlah RM300,000 yang telah saya bayar kepada beliau sebelum ini, di samping membayar RM110,000 lagi sebagai kos guaman.

Saya pasti plaintif akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan dan jumlah yang diarahkan tidak perlu dibayar sehingga selepas selesai kes di Mahkamah Persekutuan.

Jika ada pembayaran, jumlah tersebut akan disimpan oleh peguam di dalam akaun amanah sehingga kes ini selesai di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Sekiranya saya kekal menang di peringkat Mahkamah Persekutuan, saya tidak akan mengambil satu sen pun dari apa jua jumlah yang dianugerahkan oleh mahkamah akibat kes NFC ini.

Jumlah RM300,000 yang dibayar kepada Datuk Seri Salleh Ismail adalah hasil sumbangan biayaramai (“crowdfunding”) oleh orang ramai dalam bulan Julai 2017.

Sebarang jumlah yang diarahkan dibayar kepada saya oleh mahkamah, akan dikembalikan seperti berikut:

1. Jumlah yang diarahkan sebagai kos guaman akan dibayar kepada peguam-peguam saya iaitu Ranjit Singh (Tetuan Ranjit Singh & Yeoh), Razlan Hadri Zulkifli (Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri), Ng Siau Sun dan Michele Navinder Kaur (Tetuan Sun & Michele). Mereka telah mengendalikan semua kes-kes mahkamah saya berhubung skandal NFC (sebanyak 3 kes) secara percuma (pro bono) sejak 2012;

2. Semua bayaran selain kos guaman yang diarahkan oleh mahkamah akan dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk hadiah pendidikan kepada pelajar cemerlang universiti dari berpendapatan rendah (sebanyak RM5,000 seorang) dan pelajar cemerlang Tingkatan 5 dari berpendapatan rendah (sebanyak RM500 seorang). Pemenang hadiah pendidikan akan dipilih dari kalangan seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa yang cemerlang dalam bidang masing-masing walaupun datang dari keluarga berpendapatan rendah.

Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak jemu membantu saya dalam kes NFC walaupun memakan masa yang panjang sejak tahun 2011 lagi.

Walaupun proses mendapatkan kembali dana RM250 juta nampaknya lebih panjang dari yang sepatutnya, saya berharap tindakan memulangkan jumlah yang perlu dibayar oleh plaintif dalam bentuk hadiah pendidikan, sebagai satu langkah awal ke arah mendapatkan kembali kesemua RM250 juta wang rakyat itu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Shahrizat dan Perbicaraan BAFIA: Antara Lembu dan Kondo

Sebentar tadi, saya mengangkat sumpah memberi keterangan membela diri atas tuduhan menzahirkan maklumat sulit perbankan milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Saya telah memilih untuk menyediakan Penyataan Saksi terlebih dahulu untuk memudahkan proses soal jawab dan membolehkan keterangan saya membela diri dibaca oleh orang ramai. Esok saya akan disoal balas oleh pendakwaraya iaitu Lailawati Ali di hadapan hakim YA Zamri Bakar.

Mohon baca dan sebarkan Penyataan Saksi di bawah untuk memahami selok-belok kes ini:

PERNYATAAN SAKSI SD1 (YB Rafizi Ramli) – Final

Saya tidak dituduh memfitnah atau mereka-reka cerita. Saya hanya dituduh membocorkan maklumat sulit perbankan milik suami Dato’ Seri Shahrizat dan syarikat-syarikat milik keluarga mereka. Jika bersalah, saya boleh dihukum denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya sekali. Saya adalah orang pertama yang didakwa di bawah seksyen kerahsiaan BAFIA.

Perbicaraan akan bersambung esok jam 9 pagi di Mahkamah Sesyen (Jenayah 3), Tingkat 8, Kompleks Mahkamah Shah Alam.

Doakan supaya Allah permudahkan urusan saya di mahkamah esok dan dalam beberapa kes yang didengari di mahkamah dalam 2-3 minggu akan datang.

Saya berasa tenang dan lega semasa membacakan Penyataan Saksi di atas. Tidak ada rasa takut, tidak ada rasa bersalah. Terpulanglah kepada Yang Arif Hakim untuk menghakimi saya, terpulang kepada pendakwaraya untuk membuktikan kenapa saya patut dipenjarakan, masing-masing kita ada tanggungjawab dan tugas yang kita perlu jawab di hadapan Allah SWT kelak.

Satu hari nanti, saya akan menulis buku mengenai skandal ini. Oleh kerana Sheila Majid tengah panas sekarang, mengambil inspirasi dari “Antara Anyir dan Jakarta”, saya mungkin menamakan buku itu “Antara Lembu dan Kondo”.

 

Keputusan Mahkamah Rayuan Kes NFC & Bayaran RM306,999.18


Esok (Isnin 2 Oktober 2017, jam 9 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya), Mahkamah Rayuan akan memutuskan sama ada menerima atau menolak permohonan rayuan saya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes saman NFC yang berpihak kepada Dato’ Seri Salleh Ismail.

Perbicaraan di Mahkamah Rayuan selalunya adalah jauh lebih cepat dari di mahkamah tinggi kerana perayu (dalam kes ini saya) hanya mengemukakan hujah undang-undang yang khusus untuk menunjukkan bahawa hakim mahkamah yang lebih rendah telah melakukan kesilapan (sama ada dari segi penggunaan undang-undang yang salah tafsirannya, tidak mempertimbangkan perkara-perkara yang penting atau kesilapan prosedur dan lain-lain) sehingga berlaku ketidakadilan.

Penghujahan bertulis telah pun diuruskan oleh peguam-peguam saya yang terdiri dari Ranjit Singh (dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh www.ranjityeoh.com), Razlan Hadri Zulkifli (dari Tetuan Gan, Ho & Razlan Hadri), Ng Siau San dan Michele Navinder Kaur (dari Tetuan Sun & Michele).

Pasukan peguam ini unik dan telah membantu saya sejak 2012 lagi. Mereka tidak menerima sebarang bayaran dan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka di mahkamah seperti mana saya melaksanakan tanggungjawab saya di Parlimen. Tanpa peguam-peguam seperti ini, saya tidak boleh membongkarkan pelbagai penyelewengan kerajaan yang saya usahakan selama ini.

Ranjit Singh adalah kacukan Sikh dan Cina. Kali pertama saya bertemu beliau, saya berasa pelik kerana namanya Ranjit tetapi wajahnya lebih mirip Cina. Beliau adalah salah seorang pemidato (“litigator”) terbaik di mahkamah yang saya pernah saksikan setakat ini. Hujah beliau adalah jelas dan pidatonya selalu disertakan dengan kelucuan yang pintar (“wits”).

Razlan Hadri Zulkifli adalah anak Terengganu. Selain dari berasal dari negeri yang sama, kami juga adalah bekas murid tua MCKK (walaupun beliau dari tahun 80an ha3). Juga seorang peguam yang hujahnya lancar dan tajam, beliau adalah peguam kanan yang menguruskan kes-kes saman berprofail tinggi seperti NFC dan saman Najib.

Siau San dan Michele adalah peguamcara (“solicitor”) bagi kes-kes saman saya. Peguamcara adalah sama penting dengan lead counsel semasa perbicaraan kerana mereka menguruskan semua dokumen dan penghujahan yang perlu disediakan dan difailkan. Saya bertemu Siau San setelah diperkenalkan oleh seorang lagi peguam yang menjadi sukarelawan di Pandan yang memaklumkan Siau San sanggup membantu kes-kes saya yang makin meningkat jumlahnya. Michele adalah rakan kongsi firma Siau San dan mereka bergilir menguruskan kes-kes saya.

Keyakinan saya mengusahakan INVOKE kerana saya telah lebih awal ditemukan dengan rakyat Malaysia seperti mereka yang hanya mahu membantu dalam bentuk yang mereka mampu. Mereka juga tidak mendapat apa-apa habuan dan tidak berminat untuk mendapat apa-apa publisiti. Sebab itu saya yakin ada ramai rakyat Malaysia seperti ini dan meyakinkan saya bahawa platform yang bebas dari campur tangan kepartian boleh menarik minat dan sokongan ramai lagi rakyat Malaysia seperti mereka.

Saya memohon supaya sahabat-sahabat yang membaca ini berdoa dan meminta kepada Allah SWT agar saya diberikan keadilan esok.

Walau apa pun keputusannya, ia tidak mengubah keadaan bahawa projek penternakan lembu negara sudah gagal dan RM250 juta itu sebahagiannya telah dibelanjakan untuk membeli kondominium.

Dato’ Seri Salleh dan NFC juga telah mendapat wang mereka sebanyak RM306,999.18 yang dikejar-kejar itu. Cek disampaikan kepada peguam mereka pada hari Selasa 26 September 2017. Saya menyemak sekitar jam 1 pagi Rabu 27 September 2017 dan akaun bank INVOKE menunjukkan jumlah itu telah pun dikeluarkan seawal itu.

Saya tersenyum memikirkan wartawan-wartawan NST yang sibuk mengejar saya pada hari Rabu dan Khamis bertanyakan adakah saya telah membayar Dato’ Seri Salleh dan NFC. Bukankah lebih mudah mereka menelefon saja Dato’ Seri Salleh untuk mengesahkan perkara itu?

Dato’ Seri Salleh tidak pula memaklumkan kepada dunia bahawa dia telah mendapat wang itu seperti mana dia menghebahkan saya tidak menghubunginya atau dia belum dibayar sehari sebelum itu.

Watak-watak begini sepatutnya meyakinkan kita Malaysia sudah berada dalam keadaan yang terbalik dan perlukan perubahan segera.

 Watak-watak seperti Ranjit, Razlan, Siau San dan Michele meyakinkan kita bahawa semangat rakyat Malaysia untuk berlaku adil adalah sangat jitu dan jangan rendahkan rakyat Malaysia yang mungkin senyap tetapi telah berazam untuk menukar kerajaan.

Warkah Kepada Dato’ Seri Salleh

Assalamualaikum wbth

Ke hadapan Dato’ Seri Salleh Ismail yang dikasihi

Saya ada terbaca berita mengenai keluhan Dato’ Seri yang menghubungi Berita Harian sekitar jam 7 malam tadi kerana Dato’ Seri belum menerima cek dari saya.


Saya ada sertakan petikan skrin dari Berita Harian sebab saya khuatir Dato’ Seri ingat saya memfitnah Dato’ Seri. Kalau Dato’ Seri failkan saman terhadap saya sekali lagi kerana berita ini, nanti Dato’ Seri kena bayar peguam yang mahal untuk menguruskan kes saman yang baru itu.


Saya minta maaf kalau sedikit kelewatan beberapa jam itu begitu meresahkan Dato’ Seri sehingga mendorong Dato’ Seri menghubungi wartawan (Rafidah) selepas waktu kerja biasa. Lagi pun saya tengok Rafidah telah pun menghubungi salah seorang peguam saya (En Razlan Hadri) yang telah mengesahkan bahawa saya telah menyerahkan cek kepada peguam saya. En Razlan juga telah pun memaklumkan Rafidah yang cek itu akan disampaikan kepada peguam Dato’ Seri esok.

Semasa saya dan peguam saya berbincang mengenai kepada siapa saya patut menulis cek berjumlah RM306,999.18 itu, saya dinasihatkan untuk menulisnya kepada peguam Dato’ Seri yang berbulan-bulan kononnya tidak dapat mencari saya. Padahal saya tiap-tiap hari ada buat #liveFB. Pusat Khidmat saya pun terbuka sepanjang minggu tetapi peguam Dato’ Seri ini tidak dapat cari saya seperti mana pihak berkuasa tidak berjaya mencari Jho Low.

Mungkin sebab muka saya ada iras Cina sedikit dan saya pun tembam-tembam juga, agaknya kerani dari firma peguam Dato’ Seri tersalah cari Jho Low!

Mulanya saya mahu membayar kesemua RM306,999.18 itu kepada Dato’ Seri. Saya pun bersimpati dengan Dato’ Seri. Setiap kali kita bertemu di mahkamah, Dato’ Seri nampak murung sekali.

Saya tak salahkan Dato’ Seri kerana bebanan hidup kebelakangan ini sangat menekan. Saya yakin Dato’ Seri juga ada terkesan dengan GST, tambah-tambah dalam keadaan perniagaan Dato’ Seri tidak begitu baik. Saya tahu pasaraya di Singapura itu ditutup dan mungkin juga perniagaan-perniagaan lain.

Oleh kerana saya memang tidak setuju dengan pengenalan GST sekarang, saya harap Dato’ Seri bersabar selagi kita tidak menukar kerajaan kerana selagi itulah kita kena bayar GST.

Hati saya memang mahu membayar kesemua RM306,999.18 kepada Dato’ Seri.

Kemudian barulah peguam saya mengingatkan bahawa RM306,999.18 bukan semuanya milik Dato’ Seri.


Mengikut notis mahkamah yang peguam Dato’ Seri tampal di pintu rumah saya minggu ini, hanya RM150,000 yang perlu dibayar kepada Dato’ Seri (beserta faedah).

RM50,000 lagi (beserta faedah) sebenarnya diarahkan dibayar kepada NFC. Saya pun tidak ingat berapa lagi wang baki dari RM250 juta yang belum dibelanjakan yang telah dipulangkan kepada kerajaan, tetapi jumlah yang dibelanjakan untuk membeli kondominium dan harta lain adalah lebih dari RM50,000.

Jadi wang RM50,000 ini diperlukan oleh NFC untuk membayar balik wang rakyat yang sudah dibelanjakan tetapi NFC masih berhutang dengan rakyat Malaysia.

Baki RM100,000 lagi adalah jumlah khusus untuk dibayar kepada peguam-peguam Dato’ Seri. Saya tahu peguam Dato’ Seri tidak mengambil kes ini secara percuma seperti peguam- peguam saya.

Untuk meringankan beban kewangan Dato’ Seri yang sudah banyak (dengan GST dan lain-lain), saya kena pastikan wang RM100,000 ini sampai kepada peguam.

Daripada menulis 3 cek yang berasingan kepada 3 pihak, saya telah menulis kesemuanya kepada peguam Dato’ Seri yang bernama Khalek Awang itu. Saya telah meminta peguam saya Siau Sun & Michele untuk berhubung dengan peguam Dato’ Seri supaya cek dapat diserahkan secepat mungkin. Saya ingat agaknya dengan cara itu juga peguam Dato’ Seri boleh belajar kaedah yang lebih mudah untuk menghubungi saya iaitu melalui peguam masing-masing.

Itu pun saya agak keberatan untuk menulis cek sekaligus kepada peguam Khalek Awang kerana saya ingat Dato’ Seri mungkin lebih memerlukannya. Tetapi saya tidak mahu menyusahkan Dato’ Seri takut-takut Dato’ Seri ingat wang kepada peguam atau NFC boleh digunakan sesuka hati. Saya takut Dato’ Seri terbelanja wang yang milik NFC atau peguam Dato Seri untuk menternak lembu, seperti dulu Dato’ Seri terbelanja wang RM250 juta untuk membeli kondominium.

Saya harap menjelang jam 7 petang esok Dato’ Seri dapatlah cek itu. Saya harap kalau Dato’ Seri gembira pun jangan sampai tidur dengan cek itu.

Satu perkara lagi, ada kawan saya di Pandan tanya sama ada Dato’ Seri sudah bayar kesemuanya wang RM250 juta yang diambil untuk bela lembu dahulu. Kata kawan saya, kalau Dato’ Seri cepat-cepat bayar, boleh juga kami gunakan wang itu untuk kurangkan GST atau kurangkan harga petrol.

Kalau boleh Dato’ Seri bayarlah sebelum pukul 7 petang esok, saya bimbang kawan saya itu akan sawan dan mula menelefon wartawan Berita Harian kerana belum menerima RM250 juta milik rakyat itu.

Baiklah Dato’ Seri anak saya sudah marah kerana saya sibuk menulis surat kepada Dato’ Seri. Katanya dulu saya selalu tiada di rumah kerana mencari lembu di dalam kondominium-kondominium di Bangsar. Sekarang masih lagi berpusing-pusing dengan kes lembu ini.

Sampaikan salam kepada anak-anak Dato’ Seri juga.

Sampaikan salam hormat dan simpati kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil kerana beliau masih terpaksa bekerja pada umur ini walaupun dipencenkan sejak tahun 2008 lagi. Namun dalam keadaan serba GST ini, kita boleh bernafas lega sedikit kalau isteri kita ada pendapatan tetap. Lebih-lebih lagi Dato’ Seri Shahrizat dapat gaji menteri tiap-tiap bulan.

Sehingga kita ketemu lagi minggu depan di Mahkamah Rayuan kerana mahkamah akan memutuskan permohonan rayuan saya membatalkan keputusan yang berpihak kepada Dato’ Seri.

Jika saya menang, In Sha Allah saya akan menampal notis tuntutan sebesar pintu rumah di pintu pagar rumah Dato’ Seri untuk membayar kembali jumlah RM306,999.18 ini.

Saya bergurau sahaja. Saya yakin jika pun Dato’ Seri diarahkan mengembalikan wang itu minggu depan, seminggu dapat merasa wang itu bolehlah mengurangkan beban beberapa sen membayar GST untuk minggu ini.

Saya mendoakan Dato’ Seri sekeluarga bahagia dan kekal sampai bila-bila.

Yang benar
Rafizi
25 September 2017
1130 malam

PS: Dato’ Seri masih menjual daging lembu di Meatworks? Kalau masih ada, ingat nak singgah belanja Tun Mahathir minggu depan.