Category Archives: 1MDB

Najib Bersalah dan Perlu Masuk Penjara: Tahniah Tok Mat

Negara dikejutkan dengan laporan-laporan berita hasil satu wawancara di antara Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan dengan dua wartawan Nick Kochan dan Nile Bowie.

Berita yang bertajuk “UMNO’s No 2 thinks Najib should go to jail” atau “Pemimpin No. 2 UMNO berpendapat Najib perlu ke penjara” itu disiarkan oleh laman berita antarabangsa Asia Times.

Pautan berita penuh di

Dalam temu ramah ini, Tok Mat secara jelas menyatakan pendapatnya bahawa bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak adalah bersalah setelah mahkamah membuktikan Najib menyeleweng dana rakyat melalui 1MDB.

“Mahkamah adalah tempat kamu (Najib) boleh buktikan kamu bersalah atau tidak. Dia tidak buktikan dia tidak bersalah. (Malah) Dia tidak dapat buktikan dia tidak bersalah.”

“Setiap orang perlu menanggung kesan perbuatan mereka. Kalau kita (UMNO) mahu memberi pengampunan, dia (Najib) perlu melalui proses. Dia (Najib) perlu ke penjara dahulu.”

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tok Mat kerana masih ada suara-suara berani di dalam UMNO yang menyanggah kempen Najib yang cuba membodohkan rakyat (terutamanya orang Melayu) bahawa dia tidak bersalah.

Walaupun UMNO adalah saingan KEADILAN, masa depan negara bergantung kepada parti-parti politik (termasuk UMNO) dipimpin oleh mereka yang bersih dari rasuah, cekap mentadbir dan mempunyai wawasan. Jika pun parti yang menang (pada suatu masa nanti) adalah KEADILAN, negara masih memerlukan barisan pembangkang (seperti UMNO) yang cekap dan bersih untuk membawa isu-isu rakyat serta menyemak tindakan kerajaan.

Oleh sebab itu, kempen berterusan Najib yang ingin menyelewengkan fakta yang telah dibentangkan di mahkamah adalah berbahaya kepada UMNO dan negara. Apatah lagi apabila sebahagian besar dari rakyat Malaysia percaya bahawa Najib adalah bersalah dan telah menyeleweng dana rakyat melalui 1MDB.

Dalam satu kaji selidik dan laporan kepada organisasi korporat dan perbankan yang melantik syarikat saya untuk memberi pandangan mengenai populariti Najib (dan pimpinan politik lain) dalam tahun 2021, dapatan menunjukkan lebih 80% rakyat Malaysia percaya Najib bersalah (termasuklah dari kalangan orang Melayu dan ahli UMNO sendiri).

Negara kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya cabaran ekonomi. Rakyat terpaksa berdepan dengan bebanan sara hidup yang lebih tinggi dan kemampuan kerajaan untuk membantu rakyat makin terbatas kerana ruang fiskal yang sempit. Sebahagian dari punca kebuntuan kewangan kerajaan ini adalah disebabkan bebanan hutang 1MDB yang diwariskan oleh Najib kepada rakyat.

Sebab itu, untuk negara bergerak ke hadapan dan menerima hakikat kita akan terus dibebankan dengan bencana kewangan yang berpunca dari 1MDB, sekurang-kurangnya kita wajar diberi keadilan bermula dengan dalang-dalang utama 1MDB dihukum seadilnya oleh mahkamah. Walaupun kita tidak akan dapat kembali semua wang yang telah diselewengkan, sekurang-kurangnya rakyat mendapat keadilan apabila dalang-dalang utama 1MDB dihukum.

Dalam konteks itu, keberanian Tok Mat menyuarakan apa yang terbuku di hati rakyat kebanyakan wajar mendapat pujian dan sokongan semua pihak.

RAFIZI RAMLI

Najib Belanja RM3.3 juta Membeli Belah Guna Duit Pencen Rakyat

Beberapa tahun lalu, saya tampil mendedahkan bagaimana Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Seri Najib Razak membelanjakan sejumlah RM3.28 juta membeli barang kemas mewah di gedung De Grisogono.

Pembelian itu dibuat menggunakan kad kredit peribadinya, yang kemudian dibayar menggunakan wang rakyat dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).

Beberapa tahun sebelum itu, jaguh penyatuan ummah Umno-PAS itu telah meluluskan rompakan wang rakyat dari tabung pencen kepada anak syarikat 1MDB yang menjadi tabung peribadinya.

Semua ini saya dedahkan secara bersiri sejak tahun 2014.

Pendedahan saya mengenai keborosan Najib membeli belah barang kemas mewah di De Grisogono itu disiarkan pada 3 Mei 2017, seperti di bawah:

SPRM Perlu Sahkan Senarai Penerima Dana SRC Yang Masuk Dari Akaun Peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

Minggu ini, maklumat secara terperinci yang saya dedahkan dua tahun lalu kini menjadi bahan bukti rasmi di mahkamah.

Selama bertahun-tahun, penyokong Umno menjadi kuda tunggangan Najib dengan menjerit fitnah setiap kali bukti penyelewengan dibentangkan.

Kata mereka, semua ini direka oleh Rafizi untuk memfitnah Najib.

Mereka tidak kisah yang Najib tidak saman saya atas pendedahan-pendedahan ini.

Mereka hanya tahu menjerit fitnah.

Kata mereka, kalau ada bukti, bentangkanlah di mahkamah.

Kini, semua bukti dibentangkan satu persatu di mahkamah. Tepat seperti yang pernah saya dedahkan selama ini.

Tapi saya tahu penyokong bawahan Umno akan terus menjadi kuda tunggangan Najib dan akan terus menjerit fitnah, walaupun bukti itu terbentang di depan mata.

Malah, Najib sekarang ada lebih banyak kuda yang boleh ditunggangnya untuk menutup kes jenayah penyelewengan yang dihadapinya.

Tidak cukup dengan kuda-kuda dari Umno, dia sekarang juga berjaya menggunakan kuda-kuda dari PAS untuk menjerit fitnah setiap kali bukti penyelewengannya dikemukakan.

Maka selepas ini bertempiklah kuda-kuda penyatuan ummah PASU (PAS dan UMNO) menjerit fitnah, walaupun satu persatu bukti terus dibentangkan.

Mereka yakin kerana kononnya orang Melayu paling ramai, dengan memainkan api perkauman, mereka akan dapat undi Melayu dan akan menjadi kerajaan balik, yang seterusnya memberi nyawa kepada Najib.

Kira-kira politik itu ada logiknya, tetapi tidak semestinya tepat.

Benar orang Melayu adalah pengundi paling ramai.

Tetapi bukan semua orang Melayu adalah kuda yang boleh ditunggang oleh seorang bekas Perdana Menteri yang mahu menyembunyikan jenayahnya dengan menghasut api perkauman.

In Sha Allah, akan ada cukup orang Melayu yang memahami bahawa bukti-bukti setakat ini menunjukkan watak Najib yang sebenarnya.

Biarlah kuda-kuda PASU terus menjerit fitnah.

Semoga mata dan hati kita tidak ditutup dari melihat kebenaran.

– Rafizi Ramli

Menjawab “Spin” Penyokong PAS Menidakkan Hubungan Dato’ Seri Rameli Musa Dengan Presiden PAS

 

4

1. Sejak semalam, penulis tidak bernama dari kalangan penyokong yang wala’ kepada pimpinan PAS terus mengeluarkan pelbagai teori konspirasi politik.

2. Tujuan mereka adalah untuk menyucikan presiden mereka (yang mereka anggap suci) dari fakta yang kini tidak lagi boleh dinafikan: Ada bayaran RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown untuk membolehkan perbicaraan di mahkamah UK tidak diteruskan.

3. Pada mulanya PAS menafikan membayar jumlah RM1.4 juta itu. Ketika ini, Setiausaha Agung PAS sendiri lantang menafikan PAS membayar RM1.4 juta.

4. Apabila Clare Rewcastle Brown menunjukkan dokumen-dokumen sebagai bukti, Setiausaha Agung PAS itu terus diam dan tidak ada satu pun kenyataan rasmi dari beliau. Tugas putar belit (atau “spin”) diberikan pula kepada Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Tantawi.

5. Nasruddin Tantawi memutar dengan menyatakan bahawa nombor akaun Bank Islam dalam dokumen yang didedahkan Clare Rewcastle Brown itu adalah palsu. Maka beribu-ribu anggota PAS mula menyebarkan berita palsu dengan ratib “itu akaun palsu sebab nombor akaun Bank Islam ada 14 digit, bukan 10 digit”.

6. Tidak sampai 2 jam selepas putaran berbelit Nasruddin Tantawi itu, saya buktikan bahawa akaun itu benar-benar wujud dan dimiliki oleh seorang yang bernama Rameli Musa. Peguam Clare Rewcastle Brown juga telah mengesahkan wang RM1.4 juta telah pun masuk ke akaun Clare Rewcastle Brown.

7. Selepas kantoi, Nasruddin Tantawi tidak lagi berbunyi. Sama juga seperti Setiausaha Agung PAS, Nasruddin Tantawi terus diam dan senyap. Tiada lagi putaran.

8. Kini tugas putar belit itu diambil oleh penyokong wala’ tidak bernama (rujukan dalam dialek pop adalah “walaun”) yang kini mencipta pelbagai cerita yang karut dan berbohong, seolah-olah bohong itu tidak mendatangkan dosa.

9. Walaupun ada pendirian yang dikeluarkan oleh PAS membenarkan pembohongan demi menutup tindakan mereka mengambil wang UMNO, hukum itu tidak betul. Saya yakin majoriti ulama’ di seluruh dunia bersetuju berbohong itu (apatah lagi untuk menutup tindakan mengambil duit dari lawan, iaitu satu tindakan tidak jujur) adalah berdosa.

10. Ada beberapa pembohongan yang kini disebarkan oleh penyokong wala’ PAS sejak semalam.

11. Pertamanya, menggunakan logik katak (di bawah tempurung): oleh kerana wang RM1.4 juta itu datang dari akaun Dato’ Seri Rameli Musa, maka ia mengesahkan Dato’ Seri Hadi Awang atau PAS tidak membayar RM1.4 juta itu.

12. Dokumen-dokumen yang difailkan oleh Clare Rewcastle Brown untuk memuktamadkan persetujuan tidak meneruskan kes itu di mahkamah secara jelas menunjukkan dan menyatakan bahawa pembayaran RM1.4 juta dari akaun Bank Islam itu adalah sebahagian dari syarat penyelesaian kes di mahkamah UK.

13. Pembohongan walaun yang cuba menyucikan presiden mereka ada kesan undang-undang kepada presiden mereka: jika Dato’ Seri Hadi tidak membayar wang itu seperti yang dipersetujui dengan Clare Rewcastle Brown, itu bermakna dia (Hadi) tidak menepati perjanjian.

14. Itu membolehkan saman terhadapnya oleh Clare Rewcastle Brown diteruskan di mahkamah UK kerana perjanjian untuk sama-sama tidak meneruskannya (seperti dokumen yang didedahkan) boleh terbatal. Sudah tentu penyokong wala’ PAS tidak tahu bahawa apabila presiden mereka menyaman Clare Rewcastle Brown di mahkamah UK, Clare juga telah menyaman balas presiden mereka.

15. Walaupun Dato’ Seri Hadi Awang bermati-matian mahu menarik balik saman itu untuk mengelakkan risiko kalah di mahkamah, tindakan itu sia-sia jika Clare Rewcastle Brown berkeras mahu meneruskan saman balas yang difailkan.

16. Sebab itu ada perjanjian tepi yang mana Presiden PAS itu (sebagai plaintif yang memfailkan saman di mahkamah UK) membayar RM1.4 juta supaya bukan saja dia boleh menarik balik samannya, tetapi Clare Rewcastle Brown tidak meneruskan samannya terhadap Presiden PAS itu.

17. Oleh kerana taksubnya penyokong wala’ PAS ini terhadap kesucian presiden, mereka tidak sedar cerita rekaan mereka (kononnya bayaran itu tidak ada kena mengena dengan presiden mereka) itu boleh membawa kesukaran baru kepada presiden mereka.

18. Satu lagi pembohongan ialah kononnya Dato’ Seri Rameli Musa ini adalah sahabat karib Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan tindakan menamakan beliau sebenarnya menunjukkan ini semua perancangan untuk memfitnah Presiden PAS. Atau ia sebenarnya mendedahkan kepincangan PH sendiri kerana kononnya Dato’ Seri Rameli Musa ini orang PH, bukan orang PAS.

19. Satu lagi kebodohan mereka yang terlalu ghairah mahu menyucikan Dato’ Seri Hadi Awang sehingga mereka sanggup memfitnah penyokong besar parti mereka dan sahabat karib keluarga presiden mereka, yang diketahui umum banyak memberi sumbangan kewangan kepada PAS.

20. Memang Dato’ Seri Rameli Musa ini belajar di MCKK dulu dan pernah berada di dalam ABIM.

21. Ia tidak ubah seperti saya orang Terengganu (seperti mana Dato’ Seri Hadi Awang orang Terengganu) dan Hadi Awang sendiri pernah menjadi pimpinan ABIM Terengganu.

22. Tetapi itu tidak menjadikan saya orang kuat PAS (hanya kerana saya ada sedikit persamaan dengan Dato’ Seri Hadi Awang) atau Dato’ Seri Anwar Ibrahim ahli PAS (hanya kerana beliau pernah menjadi presiden ABIM dan presiden PAS kini pernah menjadi pimpinan bawahan beliau di dalam ABIM dahulu).

23. Sepanjang saya menjadi pimpinan kanan KEADILAN sejak dari tahun 2010, tidak pernah sekali pun Dato’ Seri Rameli Musa terlibat dengan KEADILAN atau menjadi penyokong/rakan rapat kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam agenda KEADILAN.

24. Secara umumnya, kami kenali beliau dari jauh dan hormati beliau sebagai penyokong PAS yang ada perniagaan besar (maka keperluan beliau untuk juga dilihat kekal rapat dengan sesetengah pimpinan UMNO).

25. Pada pandangan kami, beliau dikenali sebagai bekas aktivis ABIM dan ahli perniagaan yang menyokong gagasan Unity Government, iaitu menyatukan UMNO dan PAS sejak dari tahun 2008 lagi.

26. Laporan-laporan dari laman rasmi PAS sendiri menyebut bagaimana beliau mengiringi Dato’ Seri Hadi Awang dalam beberapa program, malah disertai dengan gambar-gambar bersama.

27. Laporan berita sejak dari semalam menyatakan Dato’ Seri Rameli Musa adalah sahabat karib Dato’ Seri Hadi Awang dan sering ke rumah menantu presiden PAS itu.

28. Sehingga kini, berita-berita itu tidak disangkal.

29. Tidak ada salahnya Dato’ Seri Rameli Musa rapat dengan Dato’ Seri Hadi Awang. Saya juga tidak terkejut beliau (Rameli) sanggup membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah rakan karibnya itu. Ia satu tindakan terpuji.

30. Yang salahnya ialah bila PAS berlaku tidak jujur dengan cuba memutar belit demi modal politik. Salah apabila pimpinan PAS tidak membetulkan penyokong wala’ di bawah yang menabur pelbagai fitnah terhadap Dato’ Seri Rameli Musa, sedangkan tokoh perniagaan itu begitu banyak membantu kewangan PAS selama ini.

31. Akibat pelbagai tuduhan tidak benar yang dikilang oleh penyokong wala’ di bawah, ia menimbulkan pandangan buruk mengenai Dato’ Seri Rameli Musa.

32. Ini mengundang rakyat keseluruhannya mempersoalkan kredibiliti Dato’ Seri Rameli Musa, yang akhirnya akan mempersoalkan kenapa rakan karib presiden PAS (yang membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah presiden PAS ini) dilantik sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) oleh kerajaan PH.

33. Sedangkan Dato’ Seri Rameli Musa memang seorang niagawan Melayu yang berjaya dan tanpa cerita yang dikilang oleh penyokong wala’ PAS yang menuduh beliau menjadi kuli suruhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (sedangkan beliau sebenarnya rakan karib Dato’ Seri Hadi Awang), tiada apa yang pelik sangat dengan lantikan beliau sebagai Pengerusi KTMB oleh kerajaan PH.

34. Ia menunjukkan betapa terbuka dan profesionalnya kerajaan PH yang tidak menghukum seseorang atas pegangan politik, sehingga rakan karib presiden PAS pun dilantik sebagai ketua GLC yang besar.

35. Namun, dengan kerja-kerja putar belit (“spin”) kini diserahkan sepenuhnya kepada penyokong wala’ dan pimpinan PAS mencuci tangan, kemungkinannya korban paling besar dalam cubaan menutup kemaluan presiden PAS ini adalah rakan karib beliau sendiri.

36. Dalam kesemua kekecohan ini, tidak sekali pun Dato’ Seri Hadi Awang menjawab fakta-fakta yang dikeluarkan satu persatu. Setiausaha Agung telah jawab dan kantoi. Ketua Penerangan telah jawab dan kantoi.

37. Dan kini beliau melihat sahaja penyokong-penyokong yang wala’ kepada beliau menghina rakan karib beliau yang sanggup membayar RM1.4 juta untuk menyelamatkan maruah beliau yang tercalar akibat strategi “kingmaker” dan “cash is king” yang gagal.

38. Sehingga kini beliau tidak membela Dato’ Seri Rameli Musa dan menyatakan bahawa Dato’ Seri Rameli Musa itu sahabat karib beliau. Atau mengiyakan bahawa memang Dato’ Seri Rameli Musa membayar RM1.4 juta sebagai sebahagian dari perjanjian untuk menamatkan kes saman beliau di mahkamah UK.

39. Tetapi begitulah untungnya menjadi pimpinan tertinggi di dalam PAS. Anggota bawahnya diasuh dengan sifat wala’ dan menelan bulat-bulat apa yang disebut oleh pimpinan mereka, termasuk strategi politik ke laut yang menjerumuskan PAS menjadi khadam kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.

40. Mudah menjadi presiden kepada parti yang anggotanya wala’. Kalau presidennya salah, presiden tidak boleh ditegur. Kalau presiden tersalah saman di mahkamah UK, tin-tin milo diedarkan untuk mengutip derma dari anggota yang miskin.

41. Bila tindakan membayar RM1.4 juta untuk menamatkan kes saman terkantoi, penyokong-penyokong wala’ mencipta cerita yang memfitnah rakan karib presiden dan jika presiden berdiam sahaja pun tidak mengapa, kerana mereka wala’ kepada beliau.

42. Sebab itu saya tidak hairan kalau PAS tidak kisah terus kalah dalam pilihanraya umum dan kekal menjadi pembangkang paling lama dalam sejarah negara.

43. Sebab Presiden PAS, dalam keadaan sekarang, hidupnya lebih bahagia dan senang dari Perdana Menteri: tidak perlu dipersoal, tidak boleh dikritik anggota dan tabung tin milo sentiasa ada untuk membayar apa yang diperlukan.

Ini Buktinya Akaun Yang Membayar RM1.4 Juta Wujud Dan Siapa Yang Tolong Bayarkan

1. Saya telah dimaki secara berjemaah oleh penyokong-penyokong PAS sejak pagi tadi kerana memberi ulasan mengenai pendedahan bahawa Presiden PAS, Dato’ Seri Hadi Awang telah membayar Clare Rewcastle Brown sebanyak RM1.4 juta untuk membolehkan beliau (Hadi Awang) menarik balik saman di mahkamah UK.

2. Saya dituduh menyebarkan fitnah kerana penyokong-penyokong PAS ini memberikan hujah bahawa nombor akaun Bank Islam yang terkandung di dalam perjanjian yang mengesahkan pembayaran (iaitu akaun Bank Islam bernombor 9010001388) itu dikatakan nombor akaun palsu.

53373560_2344780385556455_9061682319345057792_n

3. Penyokong-penyokong PAS telah cuba memindahkan wang ke akaun Bank Islam bernombor 9010001388 ini untuk mengesahkan akaun itu wujud. Cubaan itu gagal kerana akaun Bank Islam mempunyai 14 digit dan nombor yang dimasukkan ke dalam perjanjian itu hanya ada 10 digit.

4. Lalu mereka (penyokong-penyokong PAS) telah menyebarkan komen-komen bahawa ini satu lagi penipuan terancang untuk memfitnah presiden dan parti mereka.

5. Mereka juga menindakkan kononnya pembayaran itu tidak pernah berlaku.

6. Saya pun mengambil keputusan untuk membuat sedikit penyelidikan mudah untuk mengesahkan nombor akaun itu benar-benar wujud. Saya tahu bahawa nombor 10 digit yang terkandung di dalam perjanjian itu hanyalah sebahagian dari nombor akaun penuh 14 digit.

7. Saya bermula dengan mengenal pasti corak nombor akaun 14 digit dari cek-cek Bank Islam yang ada di internet. Saya mengamati 3 cek iaitu dari akaun-akaunTetuan LC Signature, Tetuan Yayasan Taqwa dan Tetuan Sabasun, seperti yang ditunjukkan di bawah:

IMG-20150526-WA0054

yaysan taqwa cek_0002

CEK-sumbangan-SABASUN

8. Saya mendapati ada pola khusus iaitu cek-cek dan akaun nombor Bank Islam mempunyai susunan “40”, diikuti dengan nombor 5 digit dan diakhiri dengan nombor 10 digit (lihat di kaki cek). Nombor 10 digit itu semuanya bermula dengan digit “9”, sama dengan kod “40” yang berulang-ulang.

9. Ini memberi gambaran bahawa digit “40” dan digit “9” adalah kod pengenalan yang bukan menjadi sebahagian dari nombor akaun 14 digit itu.

10. Saya juga menyemak nombor-nombor akaun Bank Islam yang sah dan mendapati banyak yang bermula dengan 14XXX.

11. Lalu saya menyimpulkan bahawa digit-digit “40” dan “9” adalah kod pengenalan dan nombor akaun sebenar ialah 5 digit bermula “14XXX” diikuti dengan 9 digit yang berkepalakan angka 9.

12. Ini bermakna nombor akaun bagi Tetuan Yayasan Taqwa adalah 14023010039425 dan nombor akaun individu yang membayar RM1.4 juta bagi pihak Dato’ Seri Hadi Awang ini ialah 14032010001388.

52946169_2344780398889787_4015638737785454592_n

13. Seterusnya, saya memindahkan wang RM10 ke akaun Bank Islam Tetuan Yayasan Taqwa untuk mengesahkan bahawa kesimpulan saya mengenai peraturan kod akaun Bank Islam adalah betul.

14. Sistem CIMBClicks mengesahkan bahawa akaun Tetuan Yayasan Taqwa memang bernombor 14023010039425. Ini membuktikan bahawa teori saya mengenai peraturan kod akaun Bank Islam adalah betul.

bank islam - yayasan taqwa

15. Saya seterusnya memindahkan RM10 ke akaun bernombor 14032010001388 yang dinamakan di dalam perjanjian antara Clare Rewcastle Brown dan Dato’ Seri Hadi Awang.

16. Akaun itu wujud di bawah nama Rameli Musa dan pindahan wang RM10 itu lepas.

bank islam - rameli musa

17. Ini mengesahkan bahawa akaun yang dinamakan itu wujud, sumber wang untuk RM1.4 juta itu juga wujud.

18. Tokoh yang ceknya dan akaunnya digunakan untuk membayar RM1.4 juta juga wujud.

19. Saya berharap penyokong-penyokong PAS dan pembangkang berhenti dari memaki hamun dan menerima hakikat bahawa presiden mereka telah membayar Clare Rewcastle Brown untuk tidak meneruskan perbicaraan.

Cincin Datin Seri Rosmah: Rafizi Disiasat Polis Lagi

Penyokong Umno dan PAS selalu menuduh pihak berkuasa (terutamanya polis, pendakwaraya, hakim dan lain-lain) tunduk kepada kemahuan Pakatan Harapan. Banyak komen-komen memberi contoh bagaimana kes-kes yang melibatkan pimpinan PH digugurkan satu per satu, kononnya akibat campur tangan ini.

Saya tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain, tetapi boleh berkongsi pengalaman saya sendiri. Saya memilih untuk tidak membuat apa-apa rayuan atau perbincangan dengan mana-mana pihak (baik peguam, pendakwaraya, menteri atau pegawai) untuk kes-kes saya kerana saya tidak setuju dengan campur tangan dalam pentadbiran undang-undang di negara ini.

Saya mempertaruhkan kebebasan dengan hanya merayu budi bicara hakim-hakim mengikut peruntukan undang-undang agar tidak memenjarakan saya. Jika pada 1 Jun lalu, hakim tidak bersetuju – maka saya sepatutnya berada di dalam penjara. Kawan saya kata itu kerja gila kerana berisiko besar, tetapi saya tidak bersama gerakan reformasi selama 20 tahun hanya untuk melakukan perkara yang sama (campur tangan dalam pentadbiran undang-undang) bila PH sudah berkuasa.

Nak dijadikan cerita, saya balik rumah semalam ada satu surat dari IPD Sentul, menyatakan saya kini sedang disiasat oleh pihak polis. Saya agak terkejut – apa pula aku buat kali ini.

Merujuk kepada surat, ada satu laporan yang dibuat oleh Datin Seri Rosmah yang kononnya saya telah memutar belitkan pembelian berlian dan barang kemas sehingga menjejaskan reputasi beliau dan keluarga.

cincinrosmah

Saya kata: bagus juga PDRM ni, walaupun Dato’ Seri Najib sudah bukan Perdana Menteri, mereka tetap siasat laporan yang dibuat sebelum-sebelum itu (sebelum 9 Mei).

Hari ini, saya telefon Pegawai Penyiasat untuk tetapkan tarikh hadir memberi keterangan. Saya sebut yang saya tak ingat bila kali terakhir saya ulas mengenai berlian dan barang kemas Datin Seri Rosmah.

Pegawai Penyiasat memaklumkan ini adalah laporan baru yang dibuat selepas 9 Mei.

Saya tersenyum besar dan berasa lega dengan tindakan polis membuka kertas siasatan terhadap saya. Selalunya ada juga rasa kecewa bila disiasat polis, dalam perkara-perkara yang berkepentingan awam.

Tetapi kali ini sangat berlainan. Apabila pihak yang tewas (iaitu Umno) membuat laporan terhadap seorang pemimpin PH, walaupun ia berkenaan kes yang sudah diketahui umum (berlian dan barang kemas), pihak polis tetap membuka kertas siasatan untuk menyiasat saya.

Ini yang sepatutnya berlaku. Semua aduan, laporan – tidak kira dari siapa, yang kaya, yang miskin, yang menang dan yang tewas – perlu disiasat.

Bunyinya pelik, tetap saya berasa puas hati bila dipanggil pihak polis kali ini untuk memberi keterangan. Maksudnya, pihak polis sedang belajar menjadi lebih bebas dan tidak terikut dengan kehendak politik.

In Sha Allah saya akan memberi keterangan hari Jumaat ini di IPD Sentul.