Category Archives: Skandal @ Puspahanas/Tanah Angkatan Tentera

Awan Megah Sdn. Bhd. Akan Memeterai Perjanjian Perkongsian Tanah Dengan Jendela Hikmat Sdn. Bhd.

Semakan perjanjian membangunkan tanah-tanah seluas 223 ekar milik Kerajaan Persekutuan yang akan diserahkan kepada Awan Megah Sdn Bhd (milik Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno) menunjukkan bahawa ada beberapa urusniaga tanah yang belum didedahkan sepenuhnya oleh Umno/Barisan Nasional.

Perkara 3.2 (Article 3.2) perjanjian di antara Awan Megah Sdn Bhd dan Bakti Wira Sdn Bhd itu menyebut bahawa Awan Megah Sdn Bhd akan menandatangani satu Perjanjian Perkongsian Tanah (Land Sharing Agreement) dengan Jendela Hikmat Sdn Bhd, satu lagi anak syarikat milik Boustead Holdings Berhad termasuklah bagi tujuan pemindahan hakmilik tanah kepada Awan Megah Sdn Bhd.

Jendela Hikmat Sdn Bhd adalah syarikat pemaju milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melalui Boustead Holdings Berhad. Selain diberikan pelbagai projek penswastaan untuk membina kem tentera dan lain-lain, ia juga dianugerahkan bank tanah yang luas bagi membiayai aktivitinya. Salah satu bank tanah terbesar adalah bersebelahan dengan tanah seluas 223 ekar yang kini mahu dipindahmilik kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah melalui Awan Megah Sdn Bhd.

Oleh sebab itulah, perjanjian baru di antara Awan Megah Sdn Bhd dan Jendela Hikmat Sdn Bhd melalui Perjanjian Perkongsian Tanah ini menimbulkan syak wasangka bahawa akan ada lot-lot tanah yang akan dipindahmilik kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah sebagai ganti kepada tanah seluas 200 ekar yang diserahkan kepada Bakti Wira Sdn Bhd, seperti mana perjanjian sedia ada masih memperuntukkan tanah seluar 23 ekar secara senyap-senyap kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah disamping wang pampasan RM130 juta yang diterima beliau.

Saya menyeru Dato’ Seri Zahid Hamidi supaya berterus terang mengenai perkara ini dan mendedahkan secara terperinci berapa ekar tanah yang akhirnya akan dipindahmilikkan.

kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah, melalui pelbagai perjanjian yang dimeterai di antara anak-anak syarikat LTAT dengan Awan Megah Sdn Bhd?

Walau bagaimana pun, perjanjian sedia ada memberi sedikit ruang untuk menghentikan keseluruhan urusniaga yang merugikan anggota tentera dan rakyat ini.

Perkara 8.1(e) (Article 8.1(e)) menyebut bahawa Awan Megah Sdn Bhd memberi jaminan ia tidak pernah dan masih belum menerima sebarang notis pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.

Perkara 8.1(g) (Article 8.1(g)) pula adalah berkenaan jaminan Awan Megah Sdn Bhd bahawa tidak ada sebarang tindakan dari mana-mana badan kerajaan yang mempengaruhi kemampuannya melaksanakan tanggungjawabnya mengikut kontrak itu.

Perkara 8.2 (Article 8.2) memberi kuasa kepada Astacanggih Sdn Bhd (kini milik LTAT) untuk membatalkan perjanjian ini sekiranya semua jaminan yang dibuat di dalam Perkara 8.1(e) dan 8.1(g) itu tidak tepat dan tidak lagi sah.

Oleh yang demikian, saya telah menulis secara rasmi kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor agar mempertimbangkan mengeluarkan notis pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960. Apabila notis ini dikeluarkan, secara automatik Perkara 8.2 di dalam perjanjian berkuatkuasa dan wajarlah keseluruhan urusniaga ini dibatalkan seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian.

Jika Dato’ Seri Zahid Hamidi melalui Boustead Holdings Berhad masih berkeras mempertahankannya, bermakna beliau terpaksa tunduk kepada tekanan politik tertentu.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

26 FEBRUARI 2013

Urusniaga Boustead Memberi Durian Runtuh Kepada Raja Ropiaah

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan ibu pejabat di Menara Boustead yang memberikan sepenuh kerjasama kepada saya sebagai pemegang saham minoriti Boustead Holdings Berhad.

Saya berkesempatan meneliti dua perjanjian yang telah ditandatangani di antara Bakti Wira Sdn Bhd (BWSB), sebuah anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan secara langsung dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan dua syarikat berikut:

1.     Astacanggih Sdn Bhd (ACSB) yang dimiliki dan dikuasai oleh Deepak Jaikishan

2.     Awan Megah Sdn Bhd (AMSB) yang dimiliki dan dikuasai oleh Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor

Dua perjanjian yang dipaparkan untuk semakan pemegang saham adalah:

1.     Perjanjian Membangunkan 3 Bidang Tanah di antara BWSB, ACSB dan AMSB (Perjanjian Pertama)

2.     Perjanjian Membeli Saham yang melibatkan BWSB dan pemegang saham ACSB (Perjanjian Kedua)

Saya menumpukan perhatian kepada bahagian-bahagian perjanjian yang memberi maklumat mengenai kepentingan kesemua individu yang terbabit serta peruntukan-peruntukan yang membolehkan perjanjian ini terbatal.

Ada beberapa klausa utama yang pada pandangan saya, telah membatalkan Perjanjian Pertama secara automatik kerana ketidakpatuhan syarat-syarat di pihak AMSB. Perkara ini akan dibawa ke perbincangan Biro Politik KEADILAN petang ini untuk mendapat pandangan pakar guaman parti dan Kerajaan Negeri Selangor. Dalam masa terdekat, saya akan mengumumkan tindakan selanjutnya sama ada dari segi undang-undang atau di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri yang akan membatalkan Perjanjian Pertama serta-merta.

Ini matlamat utama KEADILAN agar urusniaga melibatkan RM130 juta dapat dihentikan dan menyelamatkan wang pencen angkatan tentera.

Namun, saya benar-benar terkejut dengan beberapa urusniaga yang sebelum ini disembunyikan dari pengetahuan umum dan pemegang saham yang lain kerana tidak difailkan kepada Bursa Malaysia. Urusniaga-urusniaga ini dirancang dan dimeterai dengan satu tujuan iaitu memberikan durian runtuh kepada Raja Ropiaah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor.

Saya boleh mendedahkan klausa-klausa berikut dalam Perjanjian Pertama yang memberi keuntungan beratus juta ringgit kepada Raja Ropiaah (selain dari pembayaran RM130 juta yang telah diumumkan sebelum ini):

§  Kementerian Pertahanan telah menganugerahkan kontrak tambahan sebanyak RM15,054,408.31 kepada AMSB melalui satu surat lantikan bertarikh 26 Jun 2012. Kontrak ini tidak diumumkan sebelum ini.

§  Walaupun sudah dibayar RM130 juta atas alasan mengembalikan tanah-tanah kepada anak syarikat LTAT, sebenarnya hanya 200 ekar dari keseluruhan 223.2 ekar yang akan dipindahkan kepada BWSB. Perjanjian Pertama secara jelas menegaskan bahawa sebanyak 23.2 ekar kekal dalam tangan Raja Ropiah, yang nilaiannya boleh mencecah puluhan juta ringgit.

§  Boustead Holdings Berhad juga mendahulukan wang sebanyak RM4 juta kepada Raja Ropiaah melalui proksinya yang bernama Putra Nazrain Abdul Jalil untuk membeli dan menguasai 20% pegangan di dalam ACSB. Melalui Perjanjian Pertama, ACSB akan menguasai tanah seluas 200 ekar yang akan dibangunkan menjadi projek berbilion ringgit. Secara langsung, urusniaga ini memberi pegangan 20% dari projek bernilai berbilion ringgit kepada Raja Ropiaah.

§  Perjanjian Pertama mensyaratkan agar BWSB menguruskan segala komitmen kewangan Raja Ropiaah dengan GuppyUnip Sdn Bhd, termasuk menjelaskan apa-apa hutang agar perjanjian usahasama di antara Raja Ropiaah dan GuppyUnip dapat dibatalkan. Komitmen kewangan sedia ada tidak dinyatakan dan akan diuruskan oleh BWSB.

§  Perjanjian Kedua secara jelas mensyaratkan agar Deepak Jaikishen tidak membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran Boustead Holdings Berhad, mengesahkan dakwaan saya sebelum ini bahawa perjanjian bertujuan menutup mulut Deepak.

Ini hanyalah sebahagian dari pelbagai perkara yang saya temui dari semakan perjanjian.

Saya akan berbincang dengan pakar guaman parti dan selepas mendapat pandangan profesional, akan mengambil tindakan selanjutnya untuk mendedahkan pelbagai urusniaga lain yang merugikan rakyat.

Buat masa sekarang, saya ingin menegaskan kembali bahawa Dato’ Seri Zahid Hamidi telah gagal dalam menjaga kepentingan dan kebajikan angkatan tentera. Saya juga masih menunggu saman beliau yang belum lagi dihantar kepada saya, agar perkara ini boleh didedahkan juga di mahkamah.

 

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI
20 FEBRUARI 2013 

Tiada Sebarang Kenyataan Maaf Kepada Zahid Hamidi, Lawan di Mahkamah

Saya dimaklumkan bahawa laman-laman Facebook yang berkaitan dengan saya ada menyiarkan satu kenyataan maaf terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi sekitar jam 7 petang ini. Sejurus selepas itu juga, laman-laman blog pro-Umno menyiarkan berita melaporkan kononnya kenyataan maaf tersebut.

Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan maaf. Saya tetap dengan pendirian sebelum ini bahawa perkara ini akan diteruskan di mahkamah dan saya tidak akan berganjak dari terus membawa soal salahguna dana Angkatan Tentera Malaysia.

Kenyataan tersebut adalah palsu, berniat jahat dan direncanakan oleh laman-laman blog pro-Umno bertujuan memfitnah saya dan mengelirukan rakyat. Apabila mereka tidak dapat berdepan dengan pendedahan-pendedahan yang memalukan pimpinan mereka, laman-laman ini secara tidak beretika menggunakan muslihat untuk menggodam akaun dan laman-laman berkaitan Pakatan Rakyat, termasuklah laman-laman pimpinan Pakatan Rakyat dan laman Facebook.

Laman Facebook saya adalah yang kedua dalam tempoh dua hari yang digodam, selepas laman Facebook YB Azmin Ali, Timbalan Presiden KEADILAN. Ini juga rentetan kepada siri godaman terhadap laman Malaysiakini setiap kali ada perkembangan politik penting negara yang merugikan Umno/Barisan Nasional.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya muslihat dan tipu helah yang digunakan oleh cybertrooper Umno ini kerana ia tidak beretika dan memfitnah. Sikap pimpinan Umno yang berdiam diri menunjukkan mereka juga sama-sama mendokong muslihat dan tipu helah kotor ini.

Saya sekali lagi menegaskan bahawa saman Dato’ Seri Zahid Hamidi akan saya jawab di mahkamah. Isu salahguna dan penyelewengan dana LTAT dan kebajikan anggota angkatan tentera yang diabaikan tidak boleh dipadamkan dengan muslihat jahat dan tipu helah cyber seperti ini.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi KEADILAN
27 Januari 2013

Awan Megah Sdn Bhd Sepatutnya Digugurkan Dari Projek Puspahanas Apabila Bon Tanah Luput Pada 3 Februari 2011

Tinjauan ke tapak pembinaan Puspahanas di Presint 1, Putrajaya menunjukkan bahawa hanya 2 daripada 12 bangunan utama sedang dibina. Menurut maklumat yang diperolehi dari kakitangan sub-kontraktor di tapak pembinaan, kerja-kerja pembinaan hanya bermula dalam bulan Ogos 2011.

Ini bertepatan dengan maklumat yang diberikan oleh Awan Megah Sdn Bhd sendiri bahawa ia hanya mula melakukan kerja-kerja penyediaan tapak setakat September 2010, seperti terkandung di dalam suratnya kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor bertarikh 24 September 2010 yang disertakan bersama.

awanmegah1

awanmegah2

awanmegah3

Anggaran kos yang dibelanjakan setakat penyediaany tapak hanyalah RM10 juta, iaitu jauh lebih rendah dari bayaran yang bakal dibuat oleh Bakti Wira Sdn Bhd (anak syarikat Boustead Holdings Berhad) iaitu RM130 juta.

Oleh kerana pembinaan Puspahanas lewat dimulakan oleh Awan Megah Sdn Bhd walaupun perjanjian dimeterai dalam tahun 2005, maka tidak hairanlah projek ini tidak dapat disiapkan mengikut jadual seperti yang didaftarkan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) iaitu:

Tarikh mula projek : 25 September 2008
Tarikh projek siap : 24 Januari 2011

Sebab itulah, Kementerian Pertahanan mensyaratkan penyediaan bon tanah bernilai RM72.5 juta sebagai jaminan projek ini akan siap dalam tempoh masa yang ditetapkan. Seperti mana amalan biasa di dalam projek pembinaan, sekiranya Awan Megah Sdn Bhd gagal menyiapkan projek Puspahanas di dalam tempoh yang ditetapkan, Kementerian Pertahanan berhak menunaikan bon tanah untuk mendapatkan jumlah RM72.5 juta sebagai ganti rugi.

Oleh yang demikian, Kementerian Pertahanan sepatutnya bertindak tegas dengan menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd apabila ia gagal menyiapkan projek Puspahanas dalam tempoh yang ditetapkan iaitu menjelang Januari 2011.

Lebih membimbangkan adalah apabila bon tanah tersebut luput secara automatik pada 3 Februari 2011 seperti mana kandungan bon tanah yang disertakan bersama.

landbond1

landbond2

landbond3

Dengan luputnya bon tanah ini pada 3 Februari 2011, Kementerian Pertahanan perlu menjawab perkara-perkara berikut:

1. Adakah Awan Megah Sdn Bhd menyediakan bon tanah yang baru bagi menggantikan bon tanah asal yang telah luput pada 3 Februari 2011?

2. Kenapakah Kementerian Pertahanan tidak menggunakan haknya untuk menunaikan bon tanah dan mendapatkan RM72.5 juta dari Awan Megah Sdn Bhd akibat kegagalan menyiapkan projek, apabila wang RM72.5 juta itu boleh digunakan untuk menampung kos pembinaan Puspahanas?

3. Kenapakah Kementerian Pertahanan tidak menggugurkan Awan Megah Sdn Bhd dari projek ini apabila sudah terbukti ia tidak mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk melaksanakannya sehingga mengakibatkan kelewatan sedemikian rupa?

Perkara-perkara ini menguatkan lagi syak wasangka bahawa keputusan membayar RM160 juta kepada Astacanggih Sdn Bhd dan Awan Megah Sdn Bhd bukanlah berasaskan pertimbangan komersil tetapi bermotif politik untuk menutup mulut Deepak Jaikishen dan Raja Ropiaah Raja Abdullah.

Satu laporan SPRM terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang dibuat oleh Sdr Fariz Musa berhubung perkara ini pada jam 11 pagi di SPRM Shah Alam.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
9 JANUARI 2013

Bayaran RM160 Juta Dana Pencen Angkatan Tentera Kepada Astacanggih & Awan Megah Tiada Asas

Kenyataan Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Dato’ Sri Mohd Anwar Mohd Nor bahawa urusan pembelian Astacanggih dan Awan Megah oleh Boustead Holdings Berhad (“Boustead”) merupakan satu pelaburan yang baik adalah tidak masuk akal.

Sekiranya LTAT benar-benar berminat untuk mengambilalih syarikat ini, ada dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan dalam menentukan nilaian syarikat-syarikat ini, iaitu:

1. Tanah yang dimiliki oleh Awan Megah yang menentukan bayaran kepada Awan Megah. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM130 juta kononnya untuk membeli tanah 223 ekar yang didakwa milik Awan Megah

2. Nilai projek penswastaan dan keuntungan yang bakal diperolehi dari projek penswastaan Puspahanas. Nilaian yang dibuat oleh Boustead adalah RM30 juta untuk membeli saham Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah

Saya telah meneliti dokumen-dokumen yang diserahkan kepada saya untuk menentukan nilaian yang adil bagi urusan ini, jika LTAT dan Boustead benar-benar berminat mengambilalih syarikat ini berdasarkan pertimbangan komersil.

NILAIAN TANAH 223 EKAR
Saya merujuk kepada surat bertarikh 17 Julai 2009 dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (Persekutuan) kepada Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor yang dilampirkan bersama.

ptgfederal

Kandungan surat tersebut menyatakan rayuan Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada keputusan Kerajaan Selangor yang menolak permohonan Kerajaan Persekutuan untuk memindahmilik tanah seluas 223 ekar kepada Awan Megah.

Ini bermakna, tanah seluas 223 ekar yang kononnya dibeli oleh Boustead itu masih lagi hakmilik Kerajaan Persekutuan dan tertakluk kepada kebenaran Kerajaan Selangor bagi kelulusan pindahmilik dan kelulusan pelan pembangunan.

Status terkini tanah 223 ekar itu adalah jelas: ia bukan hakmilik Awan Megah dan Kerajaan Selangor telah menetapkan bahawa ia tidak boleh dibangunkan kecuali bagi tujuan pembinaan markas, seperti mana tujuan asal tanah itu dipohon oleh Kerajaan Persekutuan dahulu.

Oleh yang demikian, pembayaran RM130 juta oleh anak syarikat Boustead kepada Awan Megah yang dimiliki Raja Ropiah Raja Abdullah, Ketua Wanita Umno Selangor samalah dengan memberi wang RM130 juta kepadanya tanpa ada apa-apa hasil kepada Boustead.

Jika urusniaga ini tetap berlaku, Boustead akan menyalahgunakan RM130 juta dana pencen anggota tentera untuk membayar 223 ekar tanah kepada Awan Megah yang tidak mempunyai hakmilik tanah itu.

PROJEK PENSWASTAAN PUSPAHANAS
Boustead terpaksa menyiapkan Puspahanas yang kini tergendala mengikut perjanjian dengan Astacanggih dan Awan Megah. Salah satu pertimbangan nilaian berjumlah RM160 juta (iaitu RM30 juta kepada Astacanggih dan RM130 juta kepada Awan Megah) adalah kos projek yang telah dilaksanakan oleh Awan Megah.

Tanggungan Awan Megah kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan projek ini boleh dirujuk kepada Perjanjian Penswastaan muka surat 13, Perkara 3.3 mengenai Bon Tanah (“Land Bond”) yang perlu dibayar oleh Awan Megah.

landbond

Bon Tanah ini adalah satu bentuk jaminan kewangan yang bersamaan dengan jumlah keseluruhan projek penswastaan, iaitu pembinaan Puspahanas yang perlu dilaksanakan oleh Awan Megah. Sekiranya Awan Megah gagal menyiapkan projek, Kerajaan Persekutuan berhak menuntukan Bon Tanah ini untuk digunakan bagi menyiapkan projek tersebut.

Perjanjian Penswastaan secara jelas menyatakan bahawa Bon Tanah sebagai jaminan Awan Megah untuk menyiapkan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja. Ini bermakna, kos keseluruhan Puspahanas hanyalah RM72.5 juta sahaja.

Dalam keadaan Puspahanas masih belum disiapkan dan nilainya RM72.5 juta sahaja, pembayaran RM160 juta oleh Boustead sudah tentu satu harga yang tidak masuk akal.

Oleh yang demikian, jelas bahawa urusniaga membabitkan RM160 juta ini hanyalah bayaran rasuah oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini.

Pembayaran sedemikian rupa bagi membeli tanah yang hakmiliknya tidak wujud dan projek yang jumlahnya jauh lebih rendah adalah satu pengkhianatan kepada anggota tentera dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
7 JANUARI 2013