Pembelian Eagle High Plantations Oleh FELDA: Dedahkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA Berkenaan Had Pelaburan Dana FELDA

Sejak isu pembelian saham 37% di dalam PT Eagle High Plantations didedahkan, sehingga kini tidak ada sebarang kenyataan dari Lembaga Pengarah Felda yang menjawab pelbagai isu kewangan yang ditimbulkan. Malah, pengerusi Felda yang baru, Tan Sri Shahrir Samad lebih selesa mempertahankan pembelian itu walaupun Felda terpaksa menjual harta dan meminjam wang untuk membiayai pembelian berjumlah RM2.263 bilion itu.

Sehingga sekarang, saya menunggu maklumbalas dari mana-mana ahli Lembaga Pengarah Felda memandangkan merekalah yang akan didakwa di mahkamah satu hari nanti sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau dasar Felda bersabit pembelian tersebut.

Saya merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010: Pengurusan Kewangan Dan Aktiviti Serta Pengurusan Syarikat Subsidiari Badan Berkanun Persekutuan yang boleh dimuat turun dari laman Jabatan Audit Negara www.audit.gov.my (muka surat pertama ditunjukkan di bawah):

 

Dalam laporan tersebut, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang telah membuat satu laporan khusus mengenai pelanggaran peraturan dan dasar pelaburan yang ditetapkan sendiri oleh Lembaga Pengarah Felda yang telah pun berlaku dalam tempoh auditan iaitu Oktober hingga Disember 2010.

Saya sertakan muka surat khusus dari laporan tersebut mengenai pelanggaran tersebut iaitu di muka surat 313 dan 314 seperti berikut:

 

 

Perkara 23.2.1 di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 secara jelas menyebut bahawa “Manual Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan FELDA yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah telah menetapkan peratusan pengagihan sumber dana untuk pelaburan portfolio oleh FELDA.” Ini adalah perkara biasa supaya pengurusan kanan sesebuah syarikat (apatah lagi sebuah badan berkanun milik rakyat seperti Felda) tidak berbuat sesuka hati untuk melaburkan dana syarikat dan terikat kepada langkah-langkah berhati-hati di dalam pelaburan.

Mengikut laporan Tan Sri Ambrin Buang itu, pelaburan dari dana Felda di dalam syarikat (melalui pembelian saham sama ada harga yang disiar/quoted atau harga tidak disiar/unquoted) tidak boleh melebihi 24% dari keseluruhan dana dari akaun Felda (akaun yang tidak melibatkan dana peneroka).

Laporan tersebut juga telah mendapati pelaburan Felda di dalam syarikat telah pun melanggar Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan Felda sejak tahun 2008 lagi dan memuncak dalam tahun 2010.

Dalam tahun 2010, Felda masih mempunyai simpanan wang yang besar dan jumlah pelaburannya ketika itu pun (tanpa menggunakan dana dari hutang) telah didapati melanggar Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan Felda oleh Ketua Audit Negara.

Berbalik kepada pembelian PT Eagle High Plantations oleh Felda baru-baru ini, Felda terpaksa berhutang bagi membayar pembelian tersebut. Saya menjangkakan pembelian itu melanggar Dasar dan Strategi Pelaburan Kumplan Felda kerana jika pelaburan yang menggunakan lebihan simpanan wang Felda pun dihadkan kepada 24% sahaja (dari jumlah baki simpanan wang) untuk mengurangkan risiko, pelaburan yang menggunakan hutang pada harga yang lebih tinggi sudah tentu membawa risiko yang lebih besar.

Pembelian PT Eagle High Plantations bolehlah dikira melanggar dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh Felda sendiri. Mana-mana ahli Lembaga Pengarah yang bersekongkol meluluskan pembelian itu (bertentangan dengan dasar pelaburan); atau yang bersetuju memansuhkan had itu; suatu hari nanti boleh disiasat dan didakwa sekiranya keputusan itu menjejaskan kepentingan Felda.

Oleh yang demikian, saya mencabar Tan Sri Shahrir Samad sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Felda untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa Felda melanggar peraturan dan dasar yang mengawalselia pelaburannya yang ditetapkan sendiri oleh Lembaga Pengarah Felda?

Jika Tan Sri Shahrir Samad percaya keputusan membeli PT Eagle High Plantations itu tidak melanggar peraturan dan dasar pelaburan Felda, saya cabar beliau mendedahkan minit-minit mesyuarat Lembaga Pengarah untuk menunjukkan bahawa peraturan dan dasar Felda yang menghadkan jumlah pelaburan di dalam syarikat (melalui pembelian saham-saham) telah dimansuhkan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/watch?v=V04XJSXtW0s

One thought on “Pembelian Eagle High Plantations Oleh FELDA: Dedahkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah FELDA Berkenaan Had Pelaburan Dana FELDA”

  1. Apa hendak jadi pemimpinan Negara Malaysia asyik mendapat habuan malah rakyat felda dan rakyat marhean tidak mendapat apa apa habuan hasil yang sepatutnya diperolihi…

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.