Category Archives: SOSMA

Penahanan Anggota Polis Korporal Jusninawati Abdul Ghani Di Bawah SOSMA: Masyarakat Perlu Ambil Perhatian Risiko Salahguna SOSMA

Kebelakangan ini dengan pelbagai perkembangan politik yang tidak menentu di dalam negara, ada kecenderongan pimpinan politik dan civil society yang terlepas pandang beberapa isu penting melibatkan rakyat yang sepatutnya diketengahkan. Salah satu dari isu tersebut adalah berhubung penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang berleluasa tetapi tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari masyarakat.

Saya telah mengikuti perkembangan penggunaan SOSMA ini daripada rakan-rakan peguam yang secara sukarela membela tahanan-tahanan ini. Maklumbalas yang saya dapati setakat ini menunjukkan bahawa:

1. Sebahagian besar (sekitar 90%) dari tahanan-tahanan mengaku bersalah tanpa melalui perbicaraan yang sewajarnya

2. Kes mereka tidak mendapat perhatian awam

Keadaan ini membimbangkan saya kerana ia boleh mewujudkan satu suasana yang mana pihak berkuasa boleh menggunakan SOSMA tanpa timbang tara (”check and balance”) yang sewajarnya dari masyarakat. Ini akan menjadikan SOSMA satu undang-undang yang sangat berbahaya kerana sesiapa yang didakwa di bahawa SOSMA mungkin tidak mendapat hak yang sewajarnya di bawah Perlembagaan. Kebimbangan saya ialah masyarakat secara umumnya mempunyai stigma dengan kes-kes di bawah SOSMA dan dengan mudah membuat kesimpulan bahawa mereka yang didakwa adalah pengganas; lalu masyarakat tidak mengambil perhatian tentang nasib dan hak tahanan-tahanan yang didakwa.

Oleh yang demikian, National Oversight & Whistleblowers telah bekerjasama dengan satu pasukan peguam untuk mula membela beberapa kes SOSMA yang dirasakan wajar dibawa ke perhatian umum untuk menimbulkan kesedaran rakyat mengenai risiko salahguna SOSMA jika tidak disemak secara berterusan oleh masyarakat.

Kes yang pertama yang akan kami bela dan ketengahkan ialah melibatkan seorang pegawai polis wanita iaitu Korporal Jusninawati Abdul Ghani yang ditahan di bawah SOSMA atas tuduhan menyembunyikan maklumat mengenai kegiatan keganasan.

Saya telah menyemak setakat yang termampu dan mengumpulkan maklumat-maklumat berikut mengenai kes Korporal Jusninawati:

i) Beliau ialah seorang ibu tunggal yang mempunyai dua anak kecil dan menanggung seorang ibu tua

ii) Beliau menjalankan perniagaan kecil-kecilan di internet melalui Facebook menjual kopi, pakaian kanak-kanak dan beberapa barangan lain

iii) Kopi yang dijual melalui Facebook dibekalkan oleh seorang pembekal dari Kedah. Setelah berurusan hampir setahun, beliau menjadi akrab secara online dan dijemput pembekal itu (rakan Jusninawati) ke Kedah untuk melawat

iv) Semasa di Kedah, Jusninawati mengikuti rakannya hadir ke satu kenduri dan bergambar bersama-sama tetamu/kenalan lain

v) Salah seorang dari kenalan yang turut bergambar (tetapi tidak dikenali oleh Jusninawati) telah ditahan di bawah SOSMA

vi) Hasil dari siasatan terhadap tahanan itu, beberapa orang yang turut bergambar ditahan di bawah SOSMA termasuklah Jusninawati dan seorang remaja berumur 16 tahun

Ini adalah maklumat awal yang saya perolehi dari semakan dengan keluarga, Jusninawati sendiri dan semakan bebas di laman media sosial (rujuk di bawah) dan berita-berita.

https://www.facebook.com/Hanalmaina-1085285574824444/?fref=ts

https://www.facebook.com/profile.php?id=100010528846556&fref=nf

sosma-nina

sosma-fb1

sosma-fb2

sosma-fb3

Walaupun saya tidak mempunyai maklumat yang menyeluruh mengenai kes ini, saya khuatir berdasarkan maklumat yang saya perolehi setakat ini ada risiko Jusninawati boleh teraniaya jika beliau terus mengaku bersalah seperti 90% tahanan yang lain (yang kes mereka tidak mendapat bantuan guaman yang sewajarnya atau tidak mendapat perhatian awam).

Peguam NOW telah berjaya melawat Jusninawati di Penjara Kajang sekali setakat ini. Ada dakwaan bahawa beliau tidak dibenarkan memakai tudung di dalam tahanan yang sedang kami semak dengan pihak berkuasa.

Saya percaya tumpuan masyarakat perlu kembali kepada isu-isu ketidakadilan dan keluhuran undang-undang seperti ini. NOW akan menganjurkan forum dan kempen untuk mengenengahkan isu ini kepada rakyat bermula hari ini.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH EKSEKUTIF
AHLI PARLIMEN PANDAN