Category Archives: PTPTN @ Pendidikan Percuma

Kelewatan Elaun Siswazah Yang Dibiaya Kerajaan (Biasiswa Atau Pinjaman)

Saya merujuk kepada kenyataan PTPTN mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada siswazah di 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti yang dilaporkan semalam.

Sebelum ini pun, saya telah menerima aduan-aduan mengenai kelewatan pembayaran pembiayaan kepada siswazah, baik yang mendapat pinjaman atau biasiswa dari badan-badan kerajaan. Saya telah mengumpulkan maklumat dan dapat mengesahkan bahawa berlaku kelewatan yang ketara dalam beberapa kes yang sangat membebankan siswazah dan keluarga.

Saya sertakan 2 dari 15 email yang kandungannya hampir sama mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada siswazah tajaan IPTA di politeknik:

Email 1



Email 2

 

Kedua-dua email ini secara jelas menunjukkan kelewatan yang perlu diterangkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Malah, bukan ini sahaja aduan yang saya terima mengenai kelewatan pembayaran elaun kepada pelajar-pelajar. Saya telah juga mendapat aduan yang sama dari pelajar-pelajar di bawah tajaan MARA di luar negara yang mendakwa berlaku kelewatan pembayaran elaun; serta pelajar-pelajar di Institut Pendidikan Guru (IPG).

Oleh yang demikian, kelewatan pembayaran oleh PTPTN dan kelewatan pembayaran pembiayaan oleh badan-badan kerajaan yang lain seperti JPA bukan sesuatu yang berlaku sekali sahaja (“isolated cases”). Saya bimbang sekiranya kelewatan pembayaran pembiayaan ini sebenarnya adalah simptom kepada masalah yang lebih besar iaitu keupayaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak memenuhi keperluan kewangan sektor pendidikan; terutamanya setelah peruntukan kepada IPTA telah dipotong secara mendadak.

Saya menyeru supaya menteri-menteri yang bertanggungjawab iaitu Dato’ Seri Idris Jusuh (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Dato’ Seri Johari Ghani (Menteri Kewangan II) memberi maklumbalas segera dengan menyiarkan rekod pembayaran pembiayaan pendidikan kepada pelajar-pelajar tajaan (biasiswa atau pinjaman) badan-badan kerajaan supaya rakyat boleh menentukan bahawa kelewatan ini bukan berpunca dari meruncingnya kedudukan kewangan kerajaan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1415580235143146/?type=3&theater

Youtube |
https://www.youtube.com/watch?v=fIJMoV7DISs

Negara Berdepan Dengan Krisis Pendidikan Tinggi: PTPTN Tidak Lagi Mampu Menanggung Keperluan Pembiayaan Pendidikan Tinggi

092016-ptptn_1-copy-2

Saya mula mencadangkan dan berkempen agar Malaysia memperkenalkan pendidikan tinggi percuma sejak 2012 lagi. Walaupun ramai yang menuduh bahawa cadangan pendidikan percuma adalah helah murahan untuk meraih sokongan undi, saya sebenarnya lebih bimbangkan kelangsungan kemudahan pendidikan tinggi negara yang menggunakan model pinjaman PTPTN kerana saya yakin dalam beberapa tahun (dari 2012) PTPTN akan mengalami krisis kewangan yang meruncing.

Baru-baru ini (17 September 2016), saya membentangkan cadangan reformasi pendidikan tinggi negara yang antara lainnya meliputi penghapusan biasiswa ke luar negara untuk ijazah pertama. Sekali lagi saya dituduh sebagai bodoh, tidak berfikir dan bermacam-macam lagi tanpa mereka yang mengkritik meneliti angka-angka yang saya bentangkan.

Cadangan menghapuskan biasiswa ke luar negara untuk ijazah pertama secara berperingkat menjelang 2030 adalah sebahagian dari cadangan reformasi pendidikan tinggi yang berpunca dari krisis pendidikan tinggi negara yang tidak diwar-warkan.

Saya akan terus fokus kepada isu ini terutamanya kegagalan PTPTN membiayai pendidikan rakyat seperti yang sewajarnya sehinggalah masalah ini selesai.

Di antara tahun 2010 hingga 2015, jumlah pembiayaan yang dikeluarkan oleh PTPTN kepada peminjam telah jatuh mendadak.

Saya merujuk kepada buku Info PTPTN 2011 dan sumber-sumber lain untuk melengkapkan senarai pinjaman yang dikeluarkan oleh PTPTN dari penubuhannya (1997) hingga 2010 mengikut pecahan IPTA dan IPTS, seperti berikut:

Download (PDF, 200KB)

Oleh kerana PTPTN tidak lagi menerbitkan jumlah pinjaman yang diberikan mengikut tahun dan perincian seperti sebelum ini, saya terpaksa menyemak jawapan-jawapan di Parlimen untuk menganggarkan berapa pembiayaan terkini yang telah dikeluarkan.

Jawapan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mary Yap pada 19 November 2015 menunjukkan pembiayaan baru (diluluskan dan diagihkan) bagi 9 bulan pertama 2015 hanyalah RM2.08 bilion. Walaupun saya belum mendapat jawapan bagi pembiayaan sepanjang 2015, oleh kerana semester pengajian bermula sebelum September, saya merasakan bahawa pembiayaan setakat September adalah anggaran yang baik bagi pembiayaan baru yang diluluskan bagi setiap tahun.

Berdasarkan angka-angka ini, saya boleh timbulkan perkara-perkara berikut:

1. Jumlah pembiayaan pendidikan baru yang diluluskan oleh PTPTN bagi 2015 (sekitar RM2 bilion) adalah satu pertiga dari jumlah pembiayaan baru yang diluluskan oleh PTPTN bagi 2010 (sekitar RM6 bilion);

2. Jika ini benar, ia bermakna bahawa jumlah pelajar yang tidak mendapat pembiayaan pendidikan sama ada di IPTA atau IPTS bagi tahun 2015 dan sehingga kini naik mendadak kerana jika pada 2010 jumlah yang diperlukan untuk membiayai pinjaman baru adalah RM6 bilion, sudah tentu bagi 2015 jumlahnya lebih tinggi dari itu.

Malah, beberapa tindakan drastik oleh PTPTN seperti menyenarai hitam peminjam, memotong gaji secara automatik sehingga baki yang kecil tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan bulanan, menghadkan pembiayaan penuh kepada peminjam dari keluarga penerima BR1M sahaja menunjukkan bahawa ada krisis aliran tunai yang dihadapi PTPTN.

Oleh kerana sistem pendidikan tinggi di negara ini (IPTA dan IPTS) bergantung sebahagian besarnya kepada PTPTN untuk membiayai pelajar, kegagalan PTPTN membiayai pelajar pada jumlah yang drastik (anggaran satu pertiga dalam 2015 berbanding 2010) bermakna sistem pendidikan tinggi yang ada sekarang sedang berdepan krisis yang runcing.

Saya akan membentangkan analisa saya mengenai aliran tunai PTPTN dalam masa terdekat untuk memastikan perkara ini tidak dipendamkan dan satu penyelesaian dicari segera bagi membantu keluarga yang terbeban akibat kelemahan kewangan PTPTN ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Aduan Pembiayaan Pendidikan Tinggi

Aduan-Pendidikan Tinggi-01

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai MARA dan jawapan Dato’ Jazlan Yaakub janji beliau untuk menambah biasiswa dan pembiayaan pendidikan.

Kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab dan mempolitikkan pembiayaan pendidikan pada ketika banyak keluarga dan pelajar-pelajar di semua peringkat sekarang terpaksa berdepan dengan kesukaran kewangan akibat pemotongan pelbagai peruntukan pembiayaan pendidikan di semua peringkat oleh semua agensi di bawah pentadbiran beliau.

Salah satu beban kewangan terbesar sekarang ini ialah perubahan dasar melibatkan PTPTN yang menghadkan jumlah pembiayaan PTPTN. Peraturan bahawa hanya pemohon dari keluarga yang menerima BR1M boleh dipertimbangkan untuk pembiayaan penuh telah menyebabkan ribuan keluarga terperangkap dengan beban kewangan yang mereka tidak jangka. Begitu juga dengan perubahan dasar mendadak melibatkan skim-skim di bawah MARA, myBrain, penajaan PhD dan lain-lai. Malah saya terus mendapat aduan bahawa ramai pemohon pembiayaan MARA masih belum mendapat pembiayaan berbeza dengan kenyataan menteri dan Pengerusi MARA.

Oleh itu, saya akan terus membawa isu pembiayaan pendidikan tinggi yang banyak menekan keluarga. Saya menyeru seberapa ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan pembiayaan pendidikan tinggi untuk mengisi borang aduan di bit.ly/pendidikantinggi agar saya boleh perjuangkan secara berkesan bermula minggu ini.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Hentikan Potongan Maksimum PTPTN; Bayaran Balik Jika Pendapatan Sebelum Cukai RM4,000 Sebulan

Saya menyeru Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dato’ Shamsul Anuar Nasarah supaya mengeluarkan arahan serta merta kepada pengurusan PTPTN untuk menghentikan amalan membuat potongan bayaran maksimum PTPTN secara automatik bagi penjawat awam yang mengundang kontroversi setakat ini.

Saya telah menerima pelbagai aduan bagaimana sistem potongan cukai maksimum ini mengejutkan peminjam kerana mereka tidak dimaklumkan atau diberi sebarang amaran mengenai jumlah maksimum yang akan dipotong. Ini menyebabkan ada kakitangan kerajaan yang gajinya berbaki puluh-puluh ringgit setelah dibuat potongan maksimum oleh PTPTN.

Sudah tentu tidak ada sesiapa di negara ini yang boleh menampung sara hidup dengan baki gaji puluhan ringgit apatah lagi dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi.

Oleh yang demikian, wajarlah amalan ini dihentikan serta merta sementara satu langkah yang lebih adil dan praktikal dapat dikenalpasti untuk dilaksanakan.

Saya telah berulang kali mencadangkan supaya PTPTN mengambil contoh amalan di Australia yang mana peminjam pinjaman pendidikan hanya perlu mula membayar balik pinjaman sekiranya gajinya lebih tinggi dari paras tertentu. Dasar ini bertujuan untuk memastikan peminjam yang terdiri dari graduan muda dapat memulakan hidup kerjaya tanpa terlalu dibebankan dengan hutang pendidikan. Setelah keadaan kewangan mereka lebih stabil, mereka akan mula dikenakan bayaran ansuran yang berkadar dengan pendapatan mereka ketika itu.

Maka, saya mencadangkan supaya PTPTN merubah kembali peraturan agar bayaran pinjaman PTPTN hanya bermula selepas peminjam memperolehi gaji sebelum cukai sebanyak RM4,000 sebulan. Sebagai pertukaran, peminjam perlu mengemaskini butiran pekerjaan dan gaji yang disahkan oleh majikan setiap 6 bulan bagi memastikan mereka mula membayar secara potongan automatik mengikut jadual yang dipersetujui setelah gaji mereka mencecah RM4,000 sebulan.

Mana-mana peminjam yang tidak mengemaskini butiran pekerjaan dan gaji bolehlah dikenakan tindakan undang-undang kerana mereka engkar walaupun skim bayaran yang lebih adil telah ditawarkan kepada mereka.

Saya akan memfailkan satu usul di dalam sidang Parlimen Mac 2016 untuk membawa kembali isu PTPTN kerana ia telah menjadi beban kepada banyak keluarga muda. Saya juga akan mengusahakan dengan aktivis dan tokoh-tokoh anak muda untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan memperjuangkan nasib peminjam PTPTN dalam masa terdekat.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dapatan Kajian Keberhutangan PTPTN

Kajian keberhutangan peminjam PTPTN yang dijalankan oleh KEADILAN telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 1,053 responden dalam tempoh seminggu ia dijalankan secara dalam talian. Jumlah responden yang setara dengan kajiselidik-kajiselidik lain (di antara 1,000 hingga 1,500 responden) membayangkan isu ini adalah isu penting terutamanya dikalangan orang muda.

Dapatan dari kajiselidik tersebut disertakan bersama untuk makluman dan penelitian media dan orang ramai.

Download (PDF, 334KB)

Dapatan-dapatan penting dari kajiselidik tersebut adalah seperti berikut:

1. Masalah keberhutangan PTPTN bukanlah dipengaruhi oleh pilihan jurusan seperti yang selalu disebut-sebut oleh sesetengah pimpinan Barisan Nasional. Kajiselidik menunjukkan hanya 23% dari responden adalah dari jurusan seni dan sastera. Majoriti responden adalah dari jurusan sains, kejuruteraan dan IT yang sering dikaitkan dengan peluang kerja yang lebih baik.

2. 90% dari responden ini telah pun bekerja dan majoritinya adalah di tahap professional/eksekutif (iaitu 38% dari responden, diikuti dengan perkeranian/bukan eksekutif sebanyak 29%). 94% dari responden mengakui bahawa PTPTN membebankan, tidak kira jawatan atau gaji mereka.

3. Masalah gaji yang tidak sepadan dengan kos sara hidup adalah masalah terbesar yang dihadapi oleh peminjam. 53% dari peminjam tergolong di dalam kategori kumpulan 40% termiskin (berpendapatan isirumah kurang RM1,900 sebulan), sementara 80% dari peminjam berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan. Gaji yang rendah ini menyebabkan bayaran bulanan PTPTN menjadi bebanan berat kepada mereka.

4. 54% dari responden pernah membayar ansuran PTPTN. Peratusan yang besar iaitu 29% pernah membayar tetapi kemudiannya berhenti atas sebab-sebab tertentu.

5. 36% responden menyalahkan kos pentadbiran yang tinggi dan tidak adil sebagai sebab kenapa mereka tidak membayar ansuran PTPTN dengan sempurna, sementara 39% lagi menyebut kekangan kewangan akibat gaji yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi sebagai sebab utama.

6. Dua tema utama yang dituntut oleh peminjam PTPTN adalah sama ada pemansuhan terus PTPTN (41%) atau pemansuhan kos pentadbiran/kadar faedah yang membebankan (42%).

Berdasarkan dapatan ini, KEADILAN percaya bahawa langkah seterusnya sementara menunggu pelaksanaan pendidikan percuma bila mana Pakatan Rakyat berkuasa kelak ialah dengan menggerakkan kempen untuk menuntut penghapusan kos pentadbiran pinjaman PTPTN. Kami percaya dengan suntikan sebanyak RM800 juta setahun untuk menghapuskan faedah ini, lebih ramai peminjam PTPTN yang akan mula membayar dan mereka yang telah berhenti membayar akan turut membayar kembali.

KEADILAN juga sedang berbincang dengan aktivis-aktivis PTPTN agar satu pertubuhan peminjam PTPTN ditubuhkan untuk membela nasib peminjam PTPTN. Pertubuhan ini perlu bebas dari parti politik dan pandangan mereka sangat berguna dalam menyelesaikan kemelut peminjam PTPTN. Saudara Nik Nazmi telah dipertanggungjawabkan mengetuai pasukan KEADILAN berunding dan bekerjasama dengan aktivis-aktivis PTPTN ke arah itu.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

NIK NAZMI AHMAD
Pengarah Komunikasi

3 SEPTEMBER 2013