Category Archives: Pilihanraya

Tolak Kerjasama Dengan PN: Bukan Pendapat Peribadi Saya, Keputusan PH

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meremehkan kenyataan saya bahawa Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk tidak menjalankan kerjasama dengan PN. Katanya itu pendapat peribadi saya, bukan keputusan PH.

Yang jadi Timbalan Presiden KEADILAN dan duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia.

Ada beberapa perangai pimpinan-pimpinan dalam PN yang masih belum dicuci sepenuhnya walaupun mereka mahu memimpin negara.

Pertama, mereka memandang rendah mereka yang lebih muda. Walaupun saya sudah berusia 45 tahun, telah berada dalam barisan kepimpinan KEADILAN sejak berusia awal 20an, di mata Muhyiddin saya hanya budak hingusan.

Sebab dalam PN, orang muda ini fungsinya bukan untuk membuat keputusan. Fungsi pimpinan berumur 40an ke bawah dalam PN hanyalah mengikut telunjuk mereka yang dua atau tiga dekad lebih tua. Ini budaya parti yang cuba menarik undi anak-anak muda yang menjadi majoriti pengundi kali ini.

Kedua, mereka pakar dalam bab-bab runding belakang. Pendirian rasmi parti lain mereka tidak hormat atau terima kerana mereka percaya mereka boleh berurusan dengan watak-watak tertentu yang sama berkepentingan seperti mereka.

Mereka bangga dengan budaya runding belakang yang membelakangi parti-parti lain ini kerana budaya inilah yang membolehkan Muhyiddin jadi Perdana Menteri. Mereka tidak hormat soal mandat, soal pilihan rakyat atau pilihan akar umbi parti. Mereka tidak hormat demokrasi.

Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini ialah keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir. Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah.

Kalau ada satu dua orang pimpinan dari parti-parti dalam PH yang masih mahu berbincang dengan PN, itu pandangan peribadi mereka. Kalau Muhyiddin yakin akan ada Azmin kedua dalam PH, itu juga hak beliau.

Sebarang pandangan peribadi mana-mana pemimpin dalam parti-parti PH tidak akan mengikat keputusan bersama Majlis Presiden PH yang telah memberikan noktah kepada PN.

Rasional utama keputusan ini kerana kita tahu pelawaan PN untuk bekerjasama dengan PH bukanlah untuk menyelamatkan negara, seperti yang didakwa Muhyiddin. Ia untuk menyelamatkan jawatan dan kedudukan mereka yang mendapat jawatan hasil dari mengkhianati mandat rakyat dalam PRU14.

Rekod pentadbiran PN juga tidak baik.

Semasa watak-watak yang kini menjadi menteri PN berada dalam kerajaan PH dahulu, watak-watak inilah yang mengundang kekecewaan rakyat terhadap PH. Azmin Ali gagal sebagai menteri ekonomi, sumbangan terbesar Redzuan Yusof (Pak Wan) hanyalah idea kereta terbang. Sehingga sekarang PH dipersalahkan atas kebodohan idea watak-watak PPBM yang kini berada dalam PN.

Seorang lagi watak PN, Rina Harun dilantik menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar yang mengawal agensi-agensi penting yang sepatutnya boleh mengubah kehidupan rakyat di desa. Sehingga sekarang, tidak ada sebarang idea baru yang pernah diketengahkan Rina Harun. Yang hanya berubah penampilan Rina Harun, rakyat desa hidupnya sama.

Semua menteri-menteri besar dari PPBM kecundang dan sudah dilupakan kini. Tidak ada seorang pun menteri-menteri besar PPBM yang pentadbirannya ada kesan berpanjangan kepada rakyat.

Portfolio PTPTN juga diambil oleh PPBM. Pengerusi PTPTN adalah orang kuat PPMB. Kegagalan PPBM menjaga portfolio PTPTN itu juga yang digunakan sebagai peluru oleh UMNO dan BN.

Muhyiddin memberi alasan negara perlu diselamatkan dari UMNO dan BN sebagai alasan untuk bekerjasama dengan PH. Kata Muhyiddin, kalau tidak kita berdepan dengan rasuah, penyelewengan kuasa dan lain-lain.

Sedang Muhyiddin takut dengan rasuah dan penyelewengan kuasa UMNO, Muhyiddin juga yang menerima ahli-ahli Parlimen UMNO yang terpalit dengan rasuah masuk ke PPBM demi untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin takut dengan kerosakan yang akan dibawa UMNO, tetapi Muhyiddin dan PN juga yang membentuk kerajaan bersama-sama dengan UMNO. Perdana Menteri dan menteri-menteri kanan sekarang bukan dari PH, mereka dari UMNO.

Lebih baik Muhyiddin menyatakan secara terbuka PN ingin bekerjasama dengan PH demi kepentingan peribadi dan kuasa (bukan untuk kepentingan negara) sebab kami tidak bodoh.

Kami mungkin muda tapi kami tidak bodoh.

KEADILAN dan PH akan terus meyakinkan rakyat melalui usaha kami menentang rasuah, membasmi politik kebencian perkauman dan membawa idea-idea baru untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Kalau kami jadi kerajaan, kami akan tadbir kerajaan dengan prinsip dan pendekatan kami. Kalau kami kekal pembangkang, kami akan pastikan kerajaan tidak sakau duit rakyat.

Itu lebih bermaruah dari berpakat hanya untuk mendapat kuasa.

RAFIZI RAMLI

RM10 Juta Tok Mat

Mat_Hassan_-_RM10juta-02

Cerita kekayaan Dato’ Seri Mohamad Hassan (Tok Mat) kembali berlegar. Saya mulanya tidak mahu mencelah tetapi ada beberapa perkara yang nampaknya cuba mengalihkan perhatian dari isu sebenar.

Tok Mat Memang Kaya

Pimpinan UMNO mempertahankan kemampuan Tok Mat memindahkan wang RM10 juta secara sembunyi untuk membeli kediaman di London dengan alasan “Tok Mat memang kaya”. Mereka menyenaraikan semua jawatan korporat yang pernah dipegang oleh Tok Mat untuk menunjukkan pemangku presiden UMNO intu memang berduit.

Tok Mat pula nampaknya lebih faham isu sebenar yang cuba dialihkan. Mungkin kerana beliau orang baik, beliau terkias dengan sendiri. Katanya, soal pemindahan wang RM10 juta itu tidak berbangkit kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun membersihkan beliau sepuluh tahun lalu.

Eh! Kenapa pula timbul soal SPRM, kan Tok Mat memang kaya?

Orang memang tidak hairan kalau Tok Mat membawa satu kereta lembu penuh dengan wang tunai masuk kampung di Rantau, kerana Tok Mat memang kaya.

Malah, Tok Mat tidak perlu bersembunyi pun untuk memindahkan RM10 juta untuk membeli kediaman di London. Boleh saja Tok Mat arahkan bank untuk memindahkan wang tersebut mengikut saluran yang betul, tidak akan ada yang mempersoalkan kerana Tok Mat memang kaya.

Pindah Wang Sembunyi-Sembunyi

Habis, kenapa Tok Mat takut sangat orang tahu sehingga menggunakan saluran yang melanggar undang-undang?

Hakikatnya, Tok Mat telah memindahkan wang RM10 juta secara sembunyi menggunakan pengurup wang sehingga melanggar lesen operasi pengurup wang. Pengurup wang dilesenkan untuk menukar matawang asing kepada ringgit (atau sebaliknya), bukannya untuk memindahkan wang keluar negara.

Pemindahan wang keluar negara melibatkan pelbagai peraturan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Bila Tok Mat cuba menyembunyikan pemindahan wang itu dengan menggunakan saluran tidak betul, ia bukan lagi soal Tok Mat kaya atau tidak.

Soalnya, kenapa perlu disembunyikan? Apa yang Tok Mat cuba sembunyikan, sehingga sanggup berdepan kemungkinan melanggar undang-undang bersabit pemindahan wang di bawah Bank Negara Malaysia.

Tok Mat Langgar Undang-undang?

Semasa pemindahan wang RM10 juta itu berlaku sekitar tahun 2007 ke 2008, peraturan pemindahan wang keluar negara adalah seperti yang terkandung di dalam Laporan Tahunan 2007 Bank Negara Malaysia (muka surat P6), yang saya sertakan di bawah:

1004-1

Bagi rakyat Malaysia yang tidak mempunyai hutang dalam negara, tidak ada halangan untuk memindahkan wang membeli apa-apa harta di luar negara, tanpa ada had.

Bagi rakyat Malaysia yang mempunyai hutang dalam negara dan menukar wang ringgit ke matawang asing untuk membeli harta di luar negara, had pemindahan dan pembelian adalah sebanyak RM1 juta sahaja setiap tahun.

Kalau Tok Mat tidak mempunyai hutang dalam negara pada ketika itu, beliau boleh sahaja memindahkan RM10 juta itu mengikut kaedah bank biasa tanpa melanggar apa-apa peraturan.

Tetapi kalau Tok Mat ada mempunyai hutang, jika beliau hendak memindahkan RM10 juta untuk membeli kediaman di London itu, sudah tentu beliau tidak boleh kerana hadnya adalah RM1 juta sahaja.

Kalau Tok Mat ada mempunyai hutang dalam tahun 2007, tindakan beliau memindahkan wang sebanyak RM10 juta untuk membeli kediaman di London itu memang telah melanggar peraturan. Jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum denda dan penjara.

Apa Sebabnya Pindah Sembunyi?

Sebab itu isu utama dalam soal wang RM10 juta ini bukanlah Tok Mat kaya atau tidak.

Isunya ialah kenapa Tok Mat ambil risiko melanggar undang-undang untuk menyembunyikan pemindahan wang itu, sedangkan semua orang tahu beliau kaya?

Ada beberapa kemungkinan kenapa beliau mahu menyembunyikan pemindahan wang RM10 juta untuk membeli kediaman di London itu.

Pertama, kerana wang itu bukan dari sumber beliau sendiri.

Jika dipindahkan mengikut saluran biasa yang tidak melanggar undang-undang, beliau perlu mengisytiharkan juga sumber dari mana wang RM10 juta itu datang.

Adakah beliau menjual hartanah? Adakah beliau mengeluarkan RM10 juta dari akaun beliau? Adakah beliau menjual saham? Punca RM10 juta itu akan dapat dijejaki dari urusniaga di bank atau urusniaga lain.

Kalau wang itu bukan dari sumber sendiri (bukan dari bank, bukan dari penjualan harta), maka sukar untuk beliau mengisytiharkan sumber wang RM10 juta itu apabila beliau hendak mengarahkan bank memindahkan jumlah tersebut. Kalau beliau membuat pengisytiharan palsu, itu melanggar undang-undang dan beliau boleh disiasat.

Maka, jika wang yang hendak dipindahkan bukan dari sumber sendiri, cara yang mudah ialah menggunakan kaedah memindahkan wang yang melanggar undang-undang, iaitu menggunakan pengurup wang.

Sebab yang kedua beliau mungkin mahu menyembunyikan pemindahan wang tersebut ialah kerana beliau mempunyai hutang dengan bank pada ketika itu (hutang kereta, hutang rumah, hutang saham dan lain-lain) yang menyebabkan beliau tidak boleh memindahkan wang atau membeli aset luar negara melebihi RM10 juta.

Untuk mengelak daripada had itu kerana Bank Negara Malaysia tidak akan meluluskan arahan pemindahan wang itu, satu-satu caranya ialah memindahkan wang secara senyap-senyap menggunakan pengurup wang.

Lebih Baik Berterus Terang

Kedua-dua kemungkinan di atas mempunyai implikasi undang-undang.

Kalau pemindahan wang itu disembunyikan kerana wang itu bukan dari sumber sendiri, maka Tok Mat perlu menjawab: sumber dari mana sebenarnya wang RM10 juta itu?

Kalau pemindahan wang itu disembunyikan untuk mengelakkan had pemindahan wang Bank Negara Malaysia, maka Tok Mat perlu menjawab: jadi benarlah Tok Mat telah melanggar undang-undang dan boleh di penjara (jika disabitkan).

Jika wang itu dari sumber Tok Mat sendiri dan Tok Mat tiada hutang (lalu tiada sekatan jumlah hendak dipindahkan), kenapa pula Tok Mat bersusah payah menyembunyikan pemindahan RM10 juta itu?

Tok Mat bercita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana yakin strategi memainkan isu perkauman oleh gabungan PAS-UMNO akan berjaya.

Saya nasihatkan jika Tok Mat mahu terus bercita-cita menjadi Perdana Menteri, lebih baik Tok Mat berterus-terang dari sekarang mengenai sebab musabab beliau memindahkan wang RM10 juta itu secara sembunyi, sedangkan Tok Mat kan kaya?

Rafizi Ramli

 

Ramalan Keputusan PRU14 Berdasarkan Kajiselidik 11,991 Pengundi Setakat 4 Mei 2018

Laporan penuh:

Download (PDF, 551KB)

Kesimpulan:

  1. PH dijangka menang 111 kerusi di Semenanjung berbanding 54 kerusi kepada BN. Ini bermakna PH boleh membentuk Kerajaan Persekutuan dengan 10 – 15 kerusi tambahan dari Sabah dan Sarawak.
  2. PAS dijangka tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen.
  3. Beberapa menteri kanan dijangka akan tewas dalam PRU14.

Saman Khairy Jamaluddin: Mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau Adalah Pegawai SPR Yang Menghalang Calon PH Kemuka Pencalonan

Saya mengesahkan bahawa satu surat tuntutan (“letter of demand”) telah dihantar oleh peguam Khairy Jamaluddin, Tetuan Rashid Zulkifli kepada saya mengenai kenyataan saya berhubung peristiwa calon Pakatan Harapan, Dr S Streram yang dihalang dari mengemukakan pencalonan Sabtu lalu.

Saya akan menyerahkan perkara itu kepada peguam saya yang akan menguruskannya dengan pihak mahkamah.

Saya bersedia untuk berdepan dengan Ketua Pemuda Umno itu di mahkamah, seperti mana saya telah berdepan dengan pimpinan Umno yang lain sebelum ini.

Namun, itu tidak menghapuskan tanggungjawab moral Khairy untuk menjelaskan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan orang ramai mengenai pembabitan individu yang pernah berjawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno Rembau yang menyebabkan calon Pakatan Harapan itu dihalang.

Sejak beberapa hari yang lalu, warga maya telah menunjukkan bukti-bukti dalam bentuk video dan gambar-gambar dari Facebook yang mengesahkan bahawa pegawai SPR yang bertanggungjawab menghalang Dr Streram adalah mantan Ketua Penerangan, Pergerakan Pemuda Umno Rembau yang bernama Hafidzan Idris.

Saya sertakan petikan dari posting di Facebook miliknya sendiri yang mengakui bahawa dialah pegawai SPR yang bertugas:

05 - 02 - 2

Sejak identitinya terdedah kepada warga maya dan dikecam hebat, dia telah memadamkan akaun Facebook.

Walau bagaimana pun, semakan di pelbagai akaun Facebook orang lain mengesahkan bahawa Hafidzan Idris adalah mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau yang aktif berkempen untuk mantan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin sendiri, seperti berikut (kredit page BR1M Beri Rasuah 1Malaysia https://www.facebook.com/BeriRasuah1Malaysia/)

05 - 02 - 3

05 - 02 - 4

05 - 02 - 5

05 - 02 - 6

05 - 02 - 7

05 - 02 - 8

05 - 02 - 9

05 - 02 - 10

05 - 02 - 11

 

Identiti Hafidzan Idris dan tindakannya yang menghalang Dr Streram mengemukakan borang pencalonan dirakam oleh warga maya, seperti video berikut:

Melalui video itu, jelas perkara-perkara ini tidak disanggah sendiri oleh Hafidzan Idris:

i. bahawa maklumat keperluan mengambil tag hanya dimaklumkan kepada calon pada saat-saat akhir sehari sebelum penamaan calon dan tidak pernah ditaklimatkan sebelum itu;

ii. bahawa Dr Streram telah menjelaskan beliau telah cuba mendapatkan pas pada hari sebelumnya tetapi tidak berjaya mendapatkan pas dari SPR;

iii. bahawa calon-calon lain pun mengkritik pengurusan SPR yang hanya memaklumkan pada saat-saat akhir

Oleh sebab itu, Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno ada tanggungjawab untuk berterus terang kepada orang ramai, terutamanya pengundi-pengundi di Rantau dan Rembau:

1. Adakah dia kenal secara peribadi pegawai SPR yang bertugas yang bernama Hafidzan Idris ini?

2. Adakah dia tahu bahawa seorang anggota Pemuda Umno dan mantan Ketua Penerangan Pemuda Umno Rembau sedang menghalang calon Pakatan Harapan mengemukakan pencalonan?

3. Adakah dia sedar bahawa pas masuk bukan peraturan pilihanraya dan tertakluk kepada budi bicara Pengurus Plihanraya (RO) SPR?

4. Sepanjang peristiwa itu berlangsung selama dua setengah jam (dari jam 8 pagi hingga 1030 pagi), apa tindakan Khairy sebagai seorang pimpinan kanan negara yang turut bertanggungjawab memastikan kewibawaan proses pilihanraya di negara ini dipertahankan?

Khairy boleh membuli saya dengan mengenakan saman tetapi dia tidak boleh memadamkan soalan-soalan ini yang akan terus menjadi bualan rakyat dan pengundi di Rembau.

Tindakan menyaman saya dengan serta merta menunjukkan Khairy sendiri bimbang dengan kemarahan pengundi (terutamanya pengundi India) yang boleh menjejaskan peluangnya di kerusi Rembau.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

21,848 Orang Rakyat Malaysia Mendaftar Sebagai Sukarelawan PACA Melalui INVOKE

Sejak 2 minggu lalu, INVOKE telah memberi tugasan PACA (ejen kira undi) kepada 21,848 sukarelawan berdaftar yang menawarkan diri untuk menjadi PACA. Maklum balas ini dihantar melalui:

i) Sistem Pengurusan Sukarelawan INVOKE di https://volunteer.invokemalaysia.org
ii) SMS
iii) Email
iv) Whatsapp

Sukarelawan INVOKE diminta mengesahkan penerimaan tugasan PACA itu melalui sistem untuk membolehkan INVOKE menghantar senarai nama PACA kepada penyelaras PACA di setiap parlimen di seluruh negara.

Setakat 1 Mei 2018, hanya 3,238 sukarelawan yang mengesahkan tugasan PACA melalui sistem dan melayakkan mereka diberi surat kuasa untuk menjadi PACA di kerusi-kerusi yang mereka ditugaskan. Mereka akan dihubungi oleh wakil calon-calon PH dalam masa terdekat untuk urusan surat sumpah dan pendaftaran dengan SPR.

Masih ada 18,610 sukarelawan di seluruh negara yang belum mengesahkan penerimaan tugasan PACA. INVOKE perlu memuktamadkan proses agihan ini supaya surat lantikan dapat dikeluarkan secepat mungkin.

Sila semak SMS anda, email anda, whatsapp anda atau login ke https://volunteer.invokemalaysia.org untuk mengesahkan penerimaan tugasan PACA anda sebelum Sabtu, 5 Mei 2018.

Jika anda tidak mengesahkan penerimaan tugasan PACA sebelum 5 Mei 2018, tidak ada jaminan kami sempat mendaftarkan anda dengan SPR sebagai PACA.

Jika anda mempunyai masalah untuk masuk ke Sistem Pengurusan Sukarelawan INVOKE di https://volunteer.invokemalaysia.org , anda perlu menetapkan kata laluan (password) yang baru dengan login menggunakan emel atau nombor telefon yang anda berikan semasa pendaftaran.

Bertindak sekarang, Malaysia perlukan anda.

BAGI PIHAK INVOKE

Rafizi Ramli