Category Archives: Seleweng Dana Rakyat Biaya Kempen BN PRU13

Laporan Polis Di Bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan Atas Pecah Amanah (“Criminal Breach Of Trust”) Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak, Datuk K.K.Eswaran Dan Dato’ M Davendran Kerana Menyalahgunakan Dana Awam Bagi Kempen BN Dalam PRU13

Berdasarkan bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini, adalah jelas bahawa dana awam telah digunakan untuk membiayai kempen BN dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) yang lalu. Lebih teruk lagi apabila dana awam ini diumumkan sebagai “derma” pilihanraya kepada ahli-ahli Majlis Pengurusan MAICCI.

Saya percaya individu-individu terbabit seperti berikut perlu disiasat di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana disyaki pecah amanah (dan seksyen-seksyen lain yang berkaitan):

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab sepenuhnya kepada semua kelulusan peruntukan. Oleh itu, beliau boleh dikira pecah amanah kerana meluluskan peruntukan dana awam bagi tujuan yang mendatangkan keuntungan kepada beliau sendiri sebagai Pengerusi BN

2. Datuk K.K.Eswaran yang menggunakan kedudukan beliau sebagai Presiden MAICCI untuk mendapatkan dana awam dari Kementerian Kewangan yang kemudiannya tidak digunakan bagi tujuan seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan/piagam MAICCI, sebaliknya untuk kempen politik

3. Dato’ M Davendra yang menggunakan kedudukan beliau sebagai Setiausaha Kehormat MAICCI untuk menggunakan dana awam yang mendatangkan keuntungan kepada beliau sendiri sebagai bekas ADUN yang mungkin bertanding di dalam PRU13

Saya akan membuat laporan polis terhadap 3 individu ini pada hari esok, Khamis 25 Februari 2016 jam 2 petang di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur.

MANIVANNAN GOWIN
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT
AHLI PARLIMEN KAPAR

Bukti Perbelanjaan Kempen Barisan Nasional Dalam PRU13 Yang Menggunakan Dana Awam

Saya telah tampilkan bukti bagaimana geran Kerajaan Persekutuan berjumlah RM2 juta telah dipindahkan kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) pada 22 April 2013 yang kemudiannya diisytiharkan sebagai “derma” bagi membiayai perbelanjaan kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) oleh presiden MAICCI Datuk K.K.Eswaran.

Hari ini, saya bentangkan bukti-bukti bagaimana dana awam RM2 juta itu telah dibelanjakan oleh individu-individu tertentu untuk menjalankan kempen BN. Perincian perbelanjaan ini boleh disemak melalui dokumen-dokumen berikut:

1. “Payment Summary” berjumlah RM954,678.10 yang menunjukkan secara terperinci segala perbelanjaan bagi kempen BN untuk masyarakat India di beberapa negeri tertentu. Sebahagian dari program yang dibiayai (seperti program Sahabat BN di Melaka, Sahabat BN di Klang dan lain-lain) telah pun disahkan melalui liputan-liputan berita yang saya senaraikan di dalam sidang media semalam

Download (PDF, 175KB)

2. “Payment Voucher” bernombor 7(14) bertarikh 4 Ogos 2014 sebanyak RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran sebagai bayaran balik kepada perbelanjaan kempen PRU13 yang didahulukan oleh beliau

Download (PDF, 32KB)

3. “Payment Voucher” bertarikh 8 Mei 2013 kepada Narish Enterprise sebanyak RM50,000 sebagai bayaran kepada jentera pilihanraya BN Pahang (Dato’ M. Davendran, Setiausaha Kehormat MAICCI adalah bekas Pengerusi MIC Pahang dan bekas ADUN Sabai, Pahang)

Download (PDF, 32KB)

4. “Payment Voucher” bertarikh 3 Mei 2013 kepada Teraju Muda Sdn Bhd sebanyak RM500,000 bagi penyediaan CD program Sahabat BN. Teraju Muda Sdn Bhd adalah syarikat RM2 yang didaftarkan di Johor Bahru. 2 orang pengarahnya adalah bekas pegawai kanan kerajaan iaitu Dato’ Shahrom Abdul Majid (bekas Ketua Pengarah Jabatan Perikanan) dan Dato’ Mohd Ali Samad (bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan)

Download (PDF, 129KB)

Saya juga telah menyemak pembayaran invois dan baucer bayaran ini dengan penyata bank MAICCI dan boleh mengesahkan perkara-perkara berikut:

1. Cek bagi bayaran RM185,000 kepada Datuk K.K.Eswaran telah dilunaskan pada 7 Ogos 2014

2. Cek-cek bagi bayaran berjumlah RM954,678.10 (kepada Datuk K.K.Eswaran, nombor cek 719603), RM50,000 (nombor cek 719604) dan RM500,000 (nombor cek 719602) seperti perincian di atas telah dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa)

3. Satu lagi cek bernilai RM420,000 (nombor cek 719601) dilunaskan pada tarikh yang sama dalam bulan Mei 2013 (salinan penyata bank tidak jelas dan tidak dapat dipastikan pada hari apa) seperti cek-cek di atas iaitu bayaran bagi kemeja-T kempen pilihanraya BN kepada Impak Dermaga Sdn Bhd

Ini menjadikan jumlah keseluruhan bayaran yang dibuat oleh MAICCI bagi perbelanjaan kempen BN bagi PRU13 adalah RM2,109,678.10. Saya juga boleh mengesahkan melalui semakan penyata bank bahawa kesemua RM2 juta yang dipindahkan oleh Kementerian Kewangan sebagai “geran” kepada MAICCI telah digunakan bagi perbelanjaan-perbelanjaan yang diperincikan di atas.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Dana Rakyat Digunakan Untuk Membiayai Kempen Plihanraya Umum 13 (PRU13) Barisan Nasional: Satu Lagi Bentuk “Derma” Menggunakan Dana Rakyat

Najib-Derma-01

Pada kala rakyat masih mempersoalkan skandal RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membiayai perbelanjaan Barisan Nasional di dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU13) yang lalu, saya boleh mengesahkan bahawa ada perbelanjaan kempen Barisan Nasional yang tidak dibiayai oleh derma RM2.6 bilion itu (seperti yang didakwa Dato’ Seri Najib Tun Razak) sebaliknya menggunakan dana rakyat.

Dalam kempen PRU13 yang lalu, Barisan Nasional banyak menggunakan pihak ketiga termasuk badan-badan bukan kerajaan dan yayasan untuk berkempen mendapatkan undi dari kumpulan tertentu. Salah satu dari kempen seperti itu adalah melalui Sahabat BN yang digerakkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) yang mana presidennya Datuk K.K. Eswaran adalah seorang yang dilaporkan rapat dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Bukti bahawa Sahabat BN MAICCI telah berkempen untuk Barisan Nasional telah mendapat liputan meluas dan turut dipaparkan di laman-laman pimpinan Barisan Nasional seperti berikut:

GE13: Najib has done a lot for the Indians, says Eswaran” – laman BN http://barisannasional.org.my/node/2183

MAICCI pelawa Anwar lawat pusat penerangannya” – Astro Awani http://www.astroawani.com/berita-pilihanraya/maicci-pelawa-anwar-lawat-pusat-penerangannya-11967

Majlis Jamuan Makan Malam Dengan MAICCI-Sahabat BN-Jentera PRU13” – laman FB Teng Chang Yeow dan BN Pulau Pinang https://www.facebook.com/BNpulaupinang/posts/434419126640245

Laman FB Pusat Informasi Sahabat BN MAICCIhttps://www.facebook.com/pages/Pusat-Informasi-Maicci-Sahabat-Barisan-Nasional/589184087758505

Sokongan kaum India kepada Barisan Nasional kian memuncak” – Utusan Malaysia http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130408/px_34/Sokongan-kaum-India-kepada-Barisan-Nasional-kian-memuncak

PRU-13: Masyarakat India di Melaka tolak pembangkang” – Utusan Malaysia http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130409/px_46/PRU-13-Masyarakat-India-di-Melaka-tolak-pembangkang

Saya boleh mengesahkan di dalam mesyuarat Majlis Pengurusan MAICCI bertarikh 11 Mei 2013 (iaitu sejurus selepas PRU13), Datuk K.K.Eswaran telah mengumumkan bahawa beliau sendiri telah berjaya mendapatkan “derma” sebanyak RM2.5 juta bagi membiayai kempen Sahabat BN MAICCI sehingga peruntukan RM300,000 yang diluluskan oleh MAICCI bagi tujuan itu tidak diperlukan. Saya sertakan minit mesyuarat Majlis Pengurusan MAICCI bertarikh 11 Mei 2013 yang secara jelas menyebut perkataan “donation” (derma) bagi tujuan membiayai perbelanjaan PRU13.

Download (PDF, 179KB)

Apa yang tidak diumumkan di dalam mesyuarat tersebut ialah sebahagian besar dari “derma” yang kononnya membiayai perbelanjaan PRU13 Sahabat BN itu sebenarnya datang dari wang rakyat yang disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan kepada MAICCI.

Saya lampirkan surat Kementerian Kewangan bertarikh 23 April 2013 kepada Datuk K.K.Eswaran yang mengesahkan bahawa Perbendaharaan telah menyalurkan geran sebanyak RM2 juta kepada MAICCI. Malah, Datuk K.K.Eswaran sendiri mengesahkan telah menerima geran RM2 juta ini dari Kerajaan Persekutuan yang kemudiannya dibelanjakan bagi membiayai perbelanjaan kempen BN melalui program Sahabat BN yang dikendalikan oleh MAICCI.

Download (PDF, 159KB)

Saya ingin mengajukan soalan paling mudah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak – kenapa beliau tidak mengambil RM2 juta dari “derma” RM2.6 bilion yang didakwanya untuk membiayai kempen BN sehingga menyalurkan RM2 juta dana awam dengan cara ini yang semestinya telah melanggar undang-undang?

Lebih penting lagi – dengan adanya bukti kukuh bahawa sebahagian kempen BN sebenarnya dibiayai oleh dana rakyat (seperti program Sahabat BN untuk masyarakat India), ini menimbulkan keraguan bahawa kempen BN dalam PRU13 benar-benar dibiayai oleh sumbangan “derma” RM2.6 bilion seperti yang didakwa oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN