Category Archives: Ekonomi & Kewangan

Keputusan Benarkan Pemaju Memberi Pinjaman Perumahan: Membunuh Ekonomi, Membunuh Rakyat, Risiko Menjadi Sumber Dana PRU14 Terlalu Tinggi

090916-cadangan-noh-omar-01

Belum pun kejutan dari pengumuman membelanjakan RM650 juta untuk menaiftaraf Taman Tasik Perdana luntur, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat satu lagi kejutan baru yang lebih tidak masuk akal. Kali ini kejutan dibuat oleh Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar yang mengumumkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan lesen memberi pinjaman perumahan kepada pemaju-pemaju besar seperti Kumpulan Sunway, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac.

Pengumuman ini dibuat tanpa ada sebarang perbincangan awam dengan “pihak yang berhak” (stakeholders) terutamanya golongan pembeli, para ekonomi, sektor kewangan apatah lagi Ahli Parlimen. Saya tidak pernah mendengar sekali pun dalam masa setahun yang lepas pimpinan Bank Negara Malaysia membuat kenyataan mengenai perkara ini sedangkan ia membawa perubahan paling besar kepada sektor kredit perumahan yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia.

Mengambil kira pengumuman sebelum ini seperti menaiktaraf Taman Tasik Perdana berjumlah RM650 juta, saya semakin cenderong mengesyaki bahawa keputusan-keputusan yang membawa risiko kewangan besar kepada rakyat dan negara ini bukanlah keputusan berhubung pertimbangan dasar (not driven by policy framework) tetapi satu skim untuk mendapatkan dana Pilihanraya Umum 14 (PRU14) Barisan Nasional.

Saya telah nyatakan secara terbuka analisa saya bahawa satu-satunya faktor yang mengekang Dato’ Seri Najib Tun Razak memanggil PRU14 lebih awal ialah kekurangan dana memandangkan apa-apa dana yang diselewengkan dari 1MDB kini dibekukan di negara-negara lain. Dengan belanja PRU yang mencecah beberapa billion ringgit, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan Umno mesti mencari sumber baru.

Membenarkan pemaju besar menawarkan khidmat memberi pinjaman kepada pembeli samalah seperti memberikan lesen institusi kewangan kepada pemaju-pemaju besar ini. Kalau pada awalnya sebuah anak syarikat ditubuhkan hanya untuk memberikan pinjaman perumahan kepada pembeli rumah dari kumpulan pemaju itu, lama-kelamaan hartawan besar yang memiliki kumpulan pemaju ini boleh sahaja melobi supaya lesen mereka diperluaskan untuk berfungsi sebagai sebuah bank.

Lesen membuka institusi kewangan atau bank di negara ini adalah cukup berharga kerana selepas krisis kewangan 1997/98, dasar penggabungan institusi kewangan menghadkan bank kepada beberapa kumpulan besar sahaja demi mengelakkan risiko bank kecil yang bermasalah mencetuskan wabak kewangan yang berjangkit. Sejak proses penggabungan itu selesai lebih 15 tahun lalu, tidak ada satu kumpulan perbankan baru pun yang dibenarkan.

Saya khuatir keputusan Kerajaan Pusat ini adalah jalan belakang ke arah itu dan sebagai balasan, kumpulan pemaju besar yang diberikan lesen perlu “menderma” sejumlah yang besar kepada Barisan Nasional. Jika satu lesen menarik derma sebanyak RM100 juta (iaitu jumlah yang kecil bagi satu lesen institusi kewangan), 5 lesen mampu menarik “derma” politik sehingga RM500 juta.

Saya lebih rela dibuktikan salah dan disaman di mahkamah jika pertanyaan saya ini dianggap fitnah daripada membenarkan perkara ini diteruskan kerana kesannya (selain dari rasuah politik) adalah terlalu besar kepada rakyat.

Saya senaraikan 3 risiko terbesar yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi jika perkara ini diteruskan:

1. Risiko kewangan “sub-prime” – membenarkan pemaju untuk memberikan pinjaman perumahan kepada peminjam yang tidak layak (mengikut peraturan kredit Bank Negara Malaysia) kerana pendapatan mereka tidak padan dengan ansuran bulanan adalah satu tindakan membina portfolio peminjam tidak boleh bayar.

Apatah lagi kadar faedah yang dikenakan iaitu 12% hingga 18% adalah lebih tinggi dari kadar kad kredit dan menjadikan kebarangkalian peminjam tidak boleh membayar balik adalah terlalu tinggi. Fenomena membenarkan peminjam yang tidak layak mendapat pembiayaan perumahan pada kadar faedah yang tinggi inilah yang dirujuk sebagai “sub-prime” yang pernah berlaku di Amerika Syarikat hinggalah skim itu runtuh dalam tahun 2008.

Akibat krisis “sub-prime” di Amerika Syarikat, seluruh ekonomi dunia merudum dan kesannya belum dipulihkan sepenuhnya di beberapa negeri/bandar di Amerika Syarikat terutamanya di Detroit.

2. Melesenkan “Along” dan meluaskan riba’ – kadar 12% hingga 18% yang diumumkan oleh Dato’ Seri Noh Omar adalah kadar pinjaman yang ditawarkan oleh Along. Kadar itu juga adalah satu bentuk penghambaan kewangan kerana keuntungan yang diambil oleh pemberi pinjaman adalah berlipat kali ganda hingga membunuh kelangsungan ekonomi peminjam.

Mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara 4 – 6 kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

3. Lebih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah – Memberi lesen kepada pemaju memberi pembiayaan pada kadar along bermakna Kerajaan Persekutuan langsung tidak mengambil hirau bahawa harga rumah yang dipacu oleh pemaju-pemaju terbesar ini adalah diluar kemampuan rakyat terutamanya di bandar-bandar besar yang dimonopoli mereka.

Dengan lesen memberi pinjaman ini, lebih banyak projek perumahan diluar kemampuan rakyat yang akan dibangunkan dan pilihan rumah mampu milik semakin berkurangan dengan alasan pembeli kini boleh meminjam 100%. Akibatnya pemaju kecil akan gulung tikar kerana hanya pemaju besar yang ada lesen yang mampu bersaing dan pada masa yang sama harga rumah akan terus naik mencanak.

Sebelum ini saya jarang memberi komentar mengenai perumahan kerana ia lebih wajar dibela oleh ahli parlimen lain memandangkan saya sudah banyak mengendalikan isu-isu ekonomi lain.

Walau bagaimana pun, keputusan Kerajaan Persekutuan kali ini adalah keputusan paling gila saya mengenai perumahan dan kewangan negara yang pernah saksikan sejak saya menjadi ahli parlimen.

Oleh itu, saya akan mengikuti dengan dekat isu ini dan akan mula menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah perumahan rakyat bermula minggu depan.

Saya juga akan berusaha agar risiko-risiko akibat dari keputusan memberi lesen pembiayaan kepada pemaju besar ini difahami rakyat secepat mungkin dan diterjemahkan menjadi bantahan segera agar keputusan tersebut dibatalkan serta merta.

Saya akan mula menyiarkan satu video ringkas menerangkan perkara ini kepada orang ramai petang ini dan sasaran saya agar ia ditonton 500,000 orang dalam masa seminggu. Video itu akan disiarkan di laman Facebook Page https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Sekat Kakitangan Dan Pengurusan PETRONAS Dari Semenanjung Bukan Jawapan Kepada Barisan Nasional Mungkir Janji

Saya membaca laporan-laporan mengenai tuntutan supaya lebih ramai kakitangan PETRONAS yang berasal dari Sarawak diberikan tempat dalam pengurusan dan lebih banyak jawatan dikhaskan secara kuota kepada penduduk Sarawak. Saya juga sedia maklum dengan cadangan YB Chong Chin Jien, Ahli Parlimen Kuching yang mencadangkan supaya Kerajaan Sarawak menggunakan kuasa imigresennya untuk menyekat kakitangan dan pengurusan PETRONAS yang bukan dari Sarawak dari masuk ke negeri itu.

Saya adalah sebahagian dari keluarga PETRONAS sejak berumur 17 tahun hinggalah saya meninggalkan syarikat kebanggaan negara itu hampir 10 tahun yang lalu bila mana kontrak perkhidmatan seperti perjanjian penajaan pendidikan hampir tamat. Sepanjang perkhidmatan saya dengan PETRONAS, saya pernah terlibat dengan pengurusan Perniagaan Petrokimia (yang mempunyai anak syarikat di Sarawak) dan pengurusan PETRONAS Carigali (yang mempunyai operasi yang besar di Sarawak).

Sedang saya memahami sentimen sebahagian besar rakyat Sarawak yang merasakan bahawa kekayaan negeri mereka tidak dikongsi sama rata, saya juga ingin mengajak ahli-ahli politik dan rakyat Sarawak untuk memfokuskan bantahan dan kritikan kepada punca sebenar masalah ini iaitu Kerajaan Persekutuan. Tindakan menyalahkan PETRONAS bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah malah pada pendapat saya bertentangan dengan kebajikan kakitangan eksekutif PETRONAS yang berasal dari Sarawak sendiri.

Kakitangan eksekutif PETRONAS diambil bekerja oleh ibupejabat PETRONAS dan kemudiannya ditugaskan ke unit-unit dan anak-anak syarikat di seluruh dunia. PETRONAS mempunyai operasi besar yang meliputi huluan (upstream), gas dan LNG, loji penapisan dan petrokimia, operasi hiliran (downstream) yang lain, pemasaran, perdagangan antarabangsa dan sebagainya. Operasi yang besar dan kejayaan PETRONAS sebagai satu-satunya syarikat Fortune500 (500 syarikat terbesar di dunia) dari Malaysia membolehkan kakitangan PETRONAS dibentuk dan dilatih melalui pelbagai pengalaman dan kemahiran dari pelbagai operasi. Itu menjadi keistimewaan yang hanya dinikmati oleh kakitangan PETRONAS dan menjadikan mereka mempunyai daya bolehpasar (“marketability”) yang lebih baik berbanding syarikat lain.

Dari pelbagai operasi yang saya sebutkan di atas, bukan semuanya ada di Sarawak. Operasi PETRONAS di Sarawam hanya meliputi operasi huluan (upstream) di luar pantai dan berpusat di Miri serta kompleks LNG dan loji urea di Bintulu.

Sebab itu pada pendapat saya, mengenakan kuota agar jawatan pengurusan bagi operasi PETRONAS di Sarawak dikhususkan hanya untuk orang Sarawak sebenarnya tidak baik untuk kakitangan tersebut kerana perkembangan dan kemajuan kerjaya mereka akan terbantut di situ. Apabila mereka naik pangkat kerana kuota dan bertumpu kepada operasi di Sarawak sahaja, mereka akan menghadapi kesukaran untuk beralih jawatan dan pengalaman pada peringkat pengurusan yang sama di bidang-bidang lain.

Kesan ialah kakitangan PETRONAS dari Sarawak mendapat insentif jangka pendek untuk naik pangkat cepat dengan berebut jawatan pengurusan di Sarawak tetapi rugi jangka panjang kerana tidak cukup luas pengalaman untuk menaiki tangga kerjaya di peringkat kumpulan PETRONAS yang lebih besar dan mencabar. Akhirnya, kita bakal berhadapan dengan satu lagi masalah baru iaitu rungutan pengurusan peringkat tertinggi kumpulan PETRONAS ketandusan kakitangan yang berasal dari Sarawak.

Sebab itu pada pendapat saya, konglomerat bertaraf dunia seperti PETRONAS yang telah terbukti menjadi tulang belakang negara perlu dilindungi dari campur tangan politik dan menjadi bola sepak permainan politik. Mandat yang diberikan kepada PETRONAS ialah untuk mendapatkan nilai yang terbaik dari setiap molekul hidrokarbon yang ada di negara ini dan itu hanya boleh dicapai sekiranya PETRONAS beroperasi sepenuhnya mengikut pertimbangan komersil dan profesional.

Soal ketidakadilan perkongsian hasil minyak Sarawak sewajarnya dirundingkan dengan Kerajaan Persekutuan yang diketuai Dato’ Seri Najib Tun Razak.

PETRONAS tertakluk kepada undang-undang dan jumlah royalti serta syarat-syarat lain yang ditetapkan dan digubal Kerajaan Persekutuan. Tugas PETRONAS ialah memulangkan hasil minyak negara pada nilai keuntungan yang terbauk kepada Kerajaan Persekutuan. Keputusan membelanjakannya secara adil adalah keputusan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebab itu juga saya telah berkali-kali mencadangkan supaya Kerajaan Sabah dan Kerajaan Sarawak masing-masing menubuhkan PetroSabah dan PetroSarawak untuk menjadi dua syarikat minyak yang boleh dibantu oleh PETRONAS untuk membangun bertaraf dunia. Rakyat Sarawak dan rakyat Sabah akan lebih beruntung jika mereka dibantu oleh PETRONAS dari segi kepakaran dan kemahiran supaya PetroSarawak dan PetroSabah boleh bersaing di luar negara. Keputusan pengurusan dan pengambilan pekerja PetroSarawak dan PetroSabah adalah keputusan komersil pengurusannya yang dilantik oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Sabah.

Tetapi idea saya ini tidak pun dipandang oleh mana-mana pimpinan Sarawak dan Sabah baik dari Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Sebaliknya kadang-kadang saya melihat mereka berlumba-lumba memukul institusi lain yang dilihat dari Semenanjung, sedangkan yang sepatutnya dipukul ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menabur janji mengenai autonomi tetapi nampaknya enggan ditunaikan.

Adalah lebih baik menyekat Dato’ Seri Najib Tun Razak dari masuk Sarawak dari menyalahkan PETRONAS. Ia juga satu langkah menyelamatkan rakyat Sarawak dari pelbagai janji-janji pilihanraya yang tidak ikhlas seperti yang berlaku baru-baru ini.

Rafizi Ramli adalah pengurus termuda pernah dilantik di PETRONAS pada umur 25 tahun. Beliau juga adalah pengurus kanan termuda pernah dilantik pada umur 27 tahun. Berkelulusan kejuruteraan elektrik dan elektronik serta ditauliahkan sebagai akauntan bertauliah oleh Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), beliau pernah bertugas di loji petrokimia, ibupejabat korporat dan Carigali.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Penjualan Aset Negara: Kerajaan Tidak Menafikan Malah Cuba Memberi Alasan

Kenyataan rasmi Kementerian Kewangan mengenai kontroversi penjualan dan penggadaian aset negara untuk mencapai sasaran defisit tidak sedikit pun menafikan laporan Bank Dunia bahawa perkara-perkara berikut telah berlaku:

1. Kerajaan tidak akan mencapai sasaran defisit yang diumumkan jika pendapatan tambahan yang tidak dirancang di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM11.8 bilion diperolehi;
2. Kerajaan terpaksa menjual aset negara sebanyak RM1.4 bilion untuk mendapatkan pendapatan tambahan itu;
3. Kerajaan terpaksa menggadaikan portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan sebanyak RM4.2 bilion melalui pensekuritian pinjaman perumahan (securitization of mortgages) untuk mendapatkan pendapatan tambahan itu;

Sebaliknya, Kementerian Kewangan hanya memberikan alasan bahawa penjualan aset dan pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan adalah satu perkara biasa dan telah pun berlaku sebelum ini.

Kementerian Kewangan tidak boleh menafikan fakta-fakta yang dibentangkan Bank Dunia mengenai terdesaknya pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam mencapai sasaran defisit, terutamanya perkara-perkara berikut:

1. Setakat laporan Bank Dunia bertarikh Disember 2013, belanja mengurus Kerajaan Persekutuan telah melebihi belanjawan yang diluluskan sebanyak RM14.3 bilion atau 7.1%;
2. Pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2013 lebih teruk dari dijangkakan semasa unjurun Belanjawan 2013 dibuat;
3. Kedua-dua keadaan ini menyebabkan pendapatan berkurang dan defisit semakin teruk;
4. Maka, satu-satunya cara untuk mencapai sasaran defisit 4% yang telah diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi tahun 2013 ialah dengan menjual dan menggadai lebih banyak aset kerajaan (yang tidak dirancang dan diunjurkan semasa Belanjawan 2013 dibentangkan.

Oleh itu, jelas bahawa Kerajaan Persekutuan telah pun mengakui bahawa laporan Bank Dunia itu benar dan aset-aset negara telah dijual dan digadai untuk mendapat pendapatan tidak dirancang bagi mencapai sasaran defisit negara.

Saya juga khuatir jika kaedah pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan terus digunakan sebagai jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan tambahan. Pensekuritian pinjaman perumahan kakitangan kerajaan bermula dalam tahun 2004 dan dikendalikan oleh Cagamas iaitu syarikat pinjaman perumahan negara.

Pensekuritian melibatkan kerajaan menjual portfolio pinjaman perumahan kakitangan kerajaan kepada pelabur melalui penerbitan bon. Ini bermakna bahawa kakitangan kerajaan secara tidak langsung berhutang dengan pelabur-pelabur yang membeli bon yang diterbitkan melalui kaedah pensekuritian ini. Walaupun ia amalan yang telah dimulakan sejak tahun 2004, pensekuritian pinjaman perumahan menjadi salah satu punca krisis kewangan subprima yang melanda Amerika Syarikat dalam tahun 2007 dan 2008. Ia mempunyai risiko tersendiri kerana rumah-rumah yang dibeli peminjam digadaikan pula kepada pelabur yang mereka tidak ketahui.

Oleh itu, hakikat bahawa Kerajaan Persekutuan menjual aset negara dan menggadaikan pinjaman perumahan kakitangan kerajaan melalui pensekuritian membuktikan terdesaknya pengurusan kewangan negara di bawah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

26 DISEMBER 2013

Laporan Bank Dunia: Kerajaan BN Jual Aset Negara Untuk Capai Sasaran Defisit

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak terus mengumumkan angka-angka untuk meyakinkan orang ramai dan institusi kewangan bahawa beliau serius untuk mengekang tahap keberhutangan negara. Sasaran yang diletakkan ialah untuk menurunkan defisit ke paras 4% dari jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Untuk menurunkan defisit, KEADILAN telah berkali-kali menegaskan bahawa bahawa reformasi ekonomi yang menyeluruh perlu dibuat, bermula dengan mengekang rasuah dan keborosan. Ini akan mengurangkan belanja yang ditanggung rakyat setiap tahun kerana pendapatan yang diperolehi negara adalah mencukupi. Malah, dengan penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan, KEADILAN yakin sasaran defisit yang lebih rendah iaitu 3.5% boleh dicapai seperti yang diunjurkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat.

Keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak memotong perbelanjaan boros kerajaannya menyebabkan beliau mencari jalan yang menekan rakyat. Kenaikan harga barang, pengurangan subsidi, kenaikan tarif dan yang terkini kenaikan tol adalah berpunca dari kegilaan Dato’ Seri Najib Tun Razak mahu mencapai sasaran defisit tetapi tidak mahu membanteras rasuah.

Lebih memeranjatkan, Dato’ Seri Najib Tun Razak dilaporkan akan mengambil jalan menjual aset negara dan menerbitkan lebih banyak sekuriti hutang dari aset-aset negara semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran ekonomi beliau mencapai sasaran defisit yang beliau sendiri tetapkan.

Laporan terkini dari Bank Dunia iaitu “Malaysia Economic Monitor: December 2013” pada mukasurat 10 menyatakan seperti berikut:

“… the government reaffirmed its headline deficit target for 2013 (4.0% of GDP vs 4.5% in 2012). This target will be achieved through additional tax revenues (Figure 13). Of the additional RM11.8 billion in revenues expected to be raised compared to budgeted estimates, RM7.4 billion originated from non-tax sources, including RM1.4 billion of proceeds from asset sales and RM4.2 billion from the securitization of government mortgages…”

worldbankreport

Ini adalah pendedahan yang cukup mengejutkan kerana pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sudah sampai ke peringkat menjual aset negara dan mencagarkan harta-harta negara (melalui securitization of government mortgages) untuk menampung keborosan dan pembaziran kerajaannya.

Saya syak rancangan menjual aset negara ini telah pun berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit 4% bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal. Ini bermakna, harta-harta negara ini telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya itu diperolehi dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara.

Saya memandang serius perkara ini dan akan menggesa satu sidang Parlimen tergempar dipanggil secepat mungkin untuk membincangkan kepincangan pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang meliputi isu-isu kenaikan harga barang mendadak dan tindakan menjual dan mencagarkan aset negara seperti yang didedahkan di dalam laporan Bank Dunia.

Perkara ini akan saya bawa dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan malam ini supaya permohonan sidang tergempar Parlimen boleh dibuat secepat mungkin.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

20 DISEMBER 2013

Laporan Terkini GFI Sahkan Aliran Wang Haram Berkait Rapat Dengan Rasuah

Laporan GFI “Aliran Wang Haram di Kalangan Negara Membangun 2002 – 2011” (Illicit Financial Flows from Developing Countries: 2002 – 2011) mengesahkan bahawa ada kaitan rapat di antara rasuah dan jumlah aliran wang haram yang keluar dari sesebuah negara.

Ini adalah salah satu daripada kesimpulan paling utama yang dibuat di dalam laporan terkini yang dikeluarkan semalam. Mukasurat (xi) laporan menyatakan bahawa “..The panel data regressions also show that an increase in corruption increases trade misinvoicing..” Kesimpulan ini dibuat berdasarkan analisa empirikal data-data kewangan dari semua negara yang terbabit termasuklah Malaysia.

Laporan GFI juga mengandungi jawapan kepada beberapa persoalan teknikal yang dikemukakan oleh pihak tertentu termasuk Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia yang sebelum ini mempersoalkan kaedah yang digunakan. Selain menggunakan kaedah analisa yang lebih baik, laporan GFI kali ini juga menyanggah kenyataan Kerajaan Malaysia melalui Bank Negara Malaysia yang menyalahkan ketepatan statistik (berhubung errors and omission) bagi menerangkan jumlah aliran wang haram yang besar.

Dengan jawapan-jawapan dan kaedah baru yang digunapakai oleh GFI, maka Kerajaan Malaysia tidak lagi mempunyai alasan untuk menafikan kesimpulan yang dibuat oleh GFI. Jumlah aliran wang haram yang mencecah USD54 bilion dalam tahun 2011 dan jumlah terkumpul sebanyak USD370 bilion sepanjang tempoh 2002 hingga 2011 juga bertepatan dengan bukti-bukti semasa yang rakyat sedia maklum.

Contohnya, Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun melaporkan pelbagai perlakuan rasuah dan penyelewengan yang melibatkan wang rakyat. Perlakuan rasuah dan penyelewengan (incidents of corruption) seperti yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara saban tahun tidak berkurang, malah jumlahnya makin bertambah setiap tahun. Pertambahan perlakuan rasuah dan penyelewengan ini tepat juga dengan laporan GFI yang menunjukkan aliran wang haram meningkat saban tahun kerana aliran wang haram berhubung rapat dengan rasuah.

Laporan-laporan urusniaga di luar negara seperti London juga mengesahkan bahawa terdapat pelbagai urusniaga mewah melibatkan rakyat Malaysia yang mengesahkan bahawa terdapat aliran wang keluar negara yang besar sejak kebelakangan ini.

Jumlah aliran wang keluar dari Malaysia yang keempat tertinggi di dunia juga selari dengan kedudukan kewangan semasa negara yang menunjukkan defisit belanjawan 15 tahun berturut-turut. Defisit belanjawan ini jelas menunjukkan perbelanjaan yang melonjak naik termasuklah perbelanjaan-perbelanjaan besar yang melibatkan bayaran ke seluruh dunia.

Maka, laporan GFI yang terbaru mengesahkan bahawa ada kaitan di antara jumlah aliran wang haram yang tinggi di Malaysia dengan pelbagai masalah kewangan yang dihadapi negara kerana semuanya banyak berpunca dari masalah yang sama iaitu rasuah.

Laporan tahunan GFI akan menjadi satu lagi laporan, seperti juga Laporan Ketua Audit Negara, yang mengesahkan berleluasanya rasuah di Malaysia. Kedegilan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menerimapakai kesimpulan-kesimpulan ini akan terus merencatkan kemajuan ekonomi negara dan menekan rakyat.

Dato’ Seri Najib Tun Razak sewajarnya melepaskan jawatan Menteri Kewangan kerana jumlah aliran wang haram yang begitu tinggi ini adalah bukti kegagalan beliau sebagai Menteri Kewangan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

12 DISEMBER 2013