Category Archives: Ekonomi & Kewangan

Harga Petrol Dan Diesel Terus Kekal Tinggi Sepanjang 2017 Jika Harga Siling Tidak Diperkenalkan Dan Subsidi Tidak Dikembalikan

Saya telah menyatakan sejak 30 Disember 2016 bahawa harga RON95 akan kekal melebihi paras RM2.20 seliter pada 4-5 bulan pertama 2017.

Oleh sebab itulah, dalam kenyataan media saya yang bertarikh 30 Disember 2016 itu, saya telah mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak memperkenalkan harga siling bagi RON95 pada harga RM2 seliter dan sebarang kenaikan harga mengikut formula yang ditetapkan Kerajaan Persekutuan melepasi RM2 seliter ditanggung melalui kaedah pemberian subsidi minyak.

Kemarahan rakyat Malaysia dengan kenaikan 20 sen yang ditetapkan pentadbiran Dato’ Seri Najib berkuatkuasa 1 Februari 2017 itu mudah difahami oleh banyak pihak. Dalam keadaan kenaikan gaji yang lembap, kos sara hidup yang melambung dan kesan GST yang masih belum ditangani pentadbiran Dato’ Seri Najib, kenaikan yang berturut-turut itu merupakan satu beban yang semakin menekan kepada rakyat terbanyak.

Apatah lagi kerana kenaikan harga petrol dan diesel di Malaysia juga berpunca dari kejatuhan nilai ringgit yang lebih teruk berbanding matawang lain, bukannya disebabkan oleh kenaikan harga minyak mentah semata-mata.

Hari ini, saya ingin menambah lagi berita buruk kepada rakyat Malaysia dengan memberi amaran yang lebih awal bahawa harga petrol dan diesel dijangkakan akan terus kekal pada paras yang tinggi (sekitar RM2.30 seliter) dalam beberapa bulan akan datang. Malah, saya menjangkakan harga petrol dan diesel akan terus naik dalam beberapa bulan akan datang dan berkemungkinan mencecah RM2.70 menjelang Jun 2017, sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan.

Ini berdasarkan beberapa maklumat pasaran dan unjuran terbaru seperti berikut:

1. Akhbar kewangan dunia Bloomberg dalam rencana bertarikh 2 Februari 2017 (https://www.bloomberg.com/news/articles/2017-02-02/oil-halts-advance-near-three-week-high-as-u-s-stockpiles-expand) menyatakan bahawa pada paras sekitar USD56 setong (bagi harga rujukan Brent), ia masih tidak menggambarkan sepenuhnya catuan pengeluaran minyak mentah oleh negara-negara pengeluar minyak kerana stok penimbal minyak di Amerika Syarikat terus meningkat.

Ini membayangkan bahawa pengeluar minyak di Amerika Syarikat meningkatkan pengeluaran untuk mengambil kesempatan harga yang meningkat kerana catuan pengeluaran OPEC dan negara-negara lain.

Ini bermakna, pada catuan pengeluaran yang baru mencecah 60% dari sasaran catuan OPEC, harga USD56 setong itu masih dikira rendah dan dijangka akan terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang.

2. Menteri Minyak Russia, Alexander Novak menyatakan bahawa lambakan bekalan minyak mentah dunia (yang menyebabkan harga minyak mentah jatuh merudum) akan berakhir menjelang pertengahan tahun ini. Ini bermakna, harga minyak mentah menjelang pertengahan tahun ini dijangka lebih tinggi dari USD56 setong

3. Syarikat-syarikat gergasi minyak dunia mula melaporkan unjuran keuntungan yang lebih besar bagi suku-suku kewangan yang akan datang

Pola harga minyak mentah yang tinggi ini disahkan oleh beberapa badan ekonomi dunia melalui unjuran harga minyak mentah bagi tempoh jangka panjang yang saya sertakan di bawah:

Bank Dunia mengunjurkan harga minyak mentah kekal naik dari USD55 setong (2017) ke USD60 setong (2018)

 

Economist Intelligence Unit (EIU) juga mengunjurkan kenaikan harga minyak mentah dari USD56.50 setong (2017) ke USD60.50 setong (2018)

Dengan maklumat pasaran sebegini, maka adalah lebih baik rakyat Malaysia bersedia dengan kenaikan harga petrol dan diesel bagi bulan-bulan akan datang.

Jika harga minyak mentah terus meningkat seperti yang diunjurkan dan kadar tukaran ringgit terus rendah, saya bersimpati dengan rakyat Malaysia yang berkemungkinan besar terpaksa membayar RM2.70 seliter bagi RON95 menjelang Jun 2017.

Kali terakhir harga RON95 mencecah paras itu ialah Jun 2008 – tetapi harga RM2.70 seliter itu melambangkan harga minyak mentah dunia iaitu USD121 setong. Alasan kemarahan rakyat terhadap kos sara hidup yang melonjak naik adalah antara alasan yang digunakan untuk membolehkan Dato’ Seri Najib mengambil alih kerusi Perdana Menteri dari Tun Abdullah Badawi.

Pada Jun 2017, sekiranya Dato’ Seri Najib berdegil tidak mahu memperkenalkan harga siling RM2 dan mengembalikan subsidi, harga RM2.70 itu dipaksakan ke atas rakyat pada harga minyak mentah dunia hanya sekitar USD60 setong (iaitu separuh dari harga minyak mentah dunia semasa Tun Abdullah menetapkan harga RON95 pada paras RM2.70 seliter).

Itu lambang betapa merudumnya nilai mata wang ringgit di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib: nilai mata wang ringgit kini, bila dilihat dari kuasa beli rakyat berhubung harga petrol dan diesel, adalah separuh dari nilai ringgit semasa Tun Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri dahulu.

Saya menyeru rakyat Malaysia terus menyatakan bantahan menggunakan #20sen supaya tekanan yang berterusan dapat mengelak rakyat Malaysia membayar harga RM2.70 seliter bagi RON95 menjelang Jun 2017 kelak.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Dato’ Seri Najib Perlu Naikkan Bantuan BR1M Kepada RM40,000

Saya tertarik dengan idea Tan Sri Irwan Siregar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengerusi 1MDB yang dipetik dalam satu laporan mencadangkan penerima BR1M yang tidak mempunyai kereta menggunakan BR1M untuk membeli kereta Proton Iriz supaya mereka boleh menjadi pemandu Uber atau Grabcar. Dengan cara ini, menurut laporan Malaysiakini itu http://www.malaysiakini.com/news/368232 , mereka boleh menjana pendapatan.

Cadangan itu boleh dilaksanakan dan sudah tentu akan berjaya sekiranya Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan bayaran BR1M daripada RM1,200 (penerima e-Kasih atau pendapatan isirumah bawah RM1,200), RM1,000 (orang tua), RM900 (pendapatan isirumah antara RM3,000 dan RM4,000) atau RM450 (orang bujang berpendapatan bawah RM2,000) kepada RM40,000 setiap penerima BR1M.

Saya telah menyemak harga Proton Iriz dan mendapati ia berharga RM40,000 sebuah (lihat iklan harga di bawah).

 

 

Jika BR1M diberikan pada kadar sekarang (antara RM450 hingga RM1,200 sahaja), penerima BR1M hanya mampu membayar ansuran bulanan sebanyak maksimum dua bulan sahaja. Mereka hanya sempat menjadi pemandu Uber dan Grabcar selama 2 bulan sahaja.

Peruntukan untuk BR1M juga perlu ditambah dari RM5.3 bilion setahun (angka 2015) untuk 7.4 juta penerima kepada RM 296 bilion setahun (7.4 juta penerima X RM40,000).

Saya yakin cadangan Tan Sri Irwan Siregar ini akan berjaya menjadikan Malaysia mencatat rekod baru sebagai negara paling ramai pemandu Uber dan Grabcar.

Saya memilih untuk menjawab cadangan Tan Sri Irwan Siregar ini secara sinis dan menyindir kerana beliau juga dipetik berkata bahawa ekonomi negara adalah kukuh tetapi dipengaruhi oleh pandangan negatif. Saya ingin memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa cadangan-cadangan seperti “orang miskin boleh buat dua kerja dengan menjadi pemandu Uber” (Dato’ Seri Najib) dan “guna BR1M untuk beli kereta Proton Iriz jadi pemandu Uber” yang menyebabkan pelabur dan orang ramai hilang keyakinan dengan pengurusan ekonomi negara.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga Minyak RON95 Bermula Januari 2017 Ke Mac 2017 RM2.20 Seliter Kecuali Subsidi Dikembalikan

Pada 20 Disember 2016 yang lepas, saya telah memberi amaran bahawa berdasarkan:

1. Pergerakan harga minyak diproses RON95 (seperti diniagakan di pasaran terbuka Singapura yang dilaporkan oleh Platts sebagai MOPS95 yang menjadi harga rujukan formula pengiraan RON95 di Malaysia yang ditetapkan kerajaan), dan

2. Pergerakan kadar tukaran matawang ringgit kepada dollar bagi tempoh 3 minggu pertama Disember 2016

harga RON95 pada 1 Januari 2017 mengikut formula (berdasarkan harga 3 minggu pertama itu) adalah RM2.20 seperti ditunjukkan di dalam jadual berikut:

Minggu berakhir Harga rujukan per liter mengikut MOPS Harga RON95 per liter mengikut formula
2 Disember 2016 RM1.69 RM2.02 (RM1.69 + 32 sen)
9 Disember 2016 RM1.80 RM2.12 (RM1.80 + 32 sen)
16 Disember 2016 RM1.85 RM2.17 (RM1.85 + 32 sen)

Bagi minggu terakir Disember 2016 dan minggu pertama Januari 2017, laporan MOPS95 hanya akan keluar selepas 7 Januari 2017 mengambil kira cuti panjang di negara-negara Barat dan pasaran utama dunia.

Pun begitu, kita boleh menganggarkan harga rujukan mengikut MOPS bagi minggu terakhir Disember 2016 berdasarkan harga pasaran minyak mentah rujukan (iaitu Brentt) dan kadar tukaran ringgit/dollar yang dilaporkan setiap hari. Oleh kerana harga RON95 yang telah diproses adalah berkadar langsung dengan turun naik minyak mentah Brent, kita boleh menggunakan peraturan-peraturan berikut:

1. Jika harga Brent (dalam dollar/tong) adalah lebih tinggi dalam minggu terakhir Disember 2016 berbanding minggu sebelum itu, maka harga harga rujukan RON95 yang telah diproses (mengikut laporan MOPS95) adalah sekurang-kurangnya sama dengan minggu sebelum itu

2. Jika kadar ringgit/dollar makin merosot dalam minggu terakhir Disember 2016 berbanding minggu sebelum itu, maka harga RON95 yang ditetapkan bagi minggu terakhir Disember 2016 adalah sekurang-kurangnya sama dengan minggu sebelum itu

Saya sertakan carta harga minyak mentah Brent dan kadar tukaran ringgit/dolar bagi bulan Disember 2016 untuk menunjukkan pergerakan dari minggu ke minggu seperti berikut:

Harga minyak mentah Brent semakin naik dari USD54.78 (19 Disember 2016) kepada USD56.14 (29 Disember 2016)

Nilai ringgit juga semakin susut dari RM4.4785 (19 Disember 2016) kepada RM4.4850 (29 Disember 2016)

 

Berdasarkan angka-angka dan harga rujukan yang telah dikira sebelum ini, adalah jelas bahawa harga RON95 yang dikira mengikut formula kerajaan bagi 1 Januari 2017 adalah RM2.20 seliter.

Kenaikan 25 sen seliter ini adalah sangat tinggi bagi keluarga berpendapatan bawahan dan pertengahan terutamanya di kala setiap keluarga telah pun membelanjakan sebahagian besar gaji bulanan mereka untuk persediaan buka sekolah anak-anak. Bagi sebuah keluarga biasa yang mempunyai sebuah kereta dan tinggal di bandar atau separa Bandar, dengan anggaran purata penggunaan petrol sebanyak 250 liter sebulan, kenaikan 25 sen ini bermakna peningkatan kos sebanyak RM62.50 setiap isirumah bagi bulan Januari 2017.

Bagi keluarga yang pendapatan isirumah dibawah RM5,000 sebulan (sekitar 60% dari keluarga di Malaysia), dengan menggunakan titik pendapatan RM2,500 sebagai median, peningkatan kos petrol RM62.50 sebulan ini bersamaan dengan kehilangan 2.5% gaji mereka bagi bulan itu, sedangkan sebahagian besar mereka (terutamanya kakitangan swasta) tidak pun mendapat apa-apa kenaikan gaji.

Jika Dato’ Seri Najib Tun Razak membenarkan harga ditetapkan mengikut formula yang beliau sendiri tetapkan sebelum ini, ia satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kejam dalam keadaan sebahagian besar isirumah Malaysia bergelumang dengan gaji yang rendah dan kenaikan kos sara hidup.

Mengambil kira suasana ekonomi global yang menunjukkan harga minyak mentah akan kekal melebihi paras USD55/tong bagi beberapa bulan akan datang dan nilai ringgit yang kekal lemah (sebahagiannya disebabkan skandal 1MDB dan hilangnya keyakinan pelabur terhadap kepimpinan Dato’ Seri Najib), maka saya mengjangkakan harga RON95 mengikut formula kerajaan akan kekal sekitar RM2.20 bagi beberapa bulan pertama 2017.

Oleh itu, saya mendesak supaya harga siling RM2 seliter bagi RON95 dikuatkuasakan dengan mengembalikan subsidi minyak yang saya perjuangkan sejak tahun 2012 lagi. Sebarang kenaikan harga melepas RM2 seliter perlulah diimbangkan dengan kenaikan pendapatan luar jangka yang diperolehi pentadbiran Dato’ Seri Najib hasil dari kenaikan harga minyak mentah.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Harga Minyak RON95 Bermula Januari 2017 Mungkin RM2.20 Seliter Kecuali Subsidi Dikembalikan

Dalam kesibukan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan menteri-menteri beliau cuba menunjukkan bahawa ekonomi negara adalah baik di bawah pentadbiran beliau menjelang PRU14 yang boleh dipanggil bila-bila masa, rakyat sebenarnya berdepan dengan realiti ekonomi yang semakin buruk bermula Januari 2017.

Sejak awal Disember, ekoran keputusan blok negara-negara pengeluar minyak mentah terbesar dunia (OPEC) mencatu pengeluaran minyak mentah, harga minyak mentah telah naik mendadak. Malaysia turut sama terlibat dengan keputusan ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang turut hadir di majlis bersama OPEC itu juga mengesahkan bahawa PETRONAS akan turut memotong pengeluaran minyak mentah hariannya untuk sama-sama menaikkan harga minyak mentah dunia.

Carta harga minyak mentah dunia (menggunapakai Piawaian Minyak Mentah Brent) sejak awal Disember (19 Dis @ USD54.78 setong berbanding 29 Nov @ USD46.38 setong):



Peningkatan sebanyak 18% ini sudah tentu akan mempunyai kesan secara langsung ke atas harga RON95 yang akan ditetapkan oleh kerajaan pada 1 Januari 2017, terutamanya dalam keadaan nilai Ringgit terus lemah dan tidak menunjukkan pengukuhan walaupun harga minyak mentah telah naik mendadak (sedangkan sebelum ini kerajaan memberi alasan nilai Ringgit jatuh seiringan dengan harga minyak mentah dunia).

Prestasi Ringgit berbanding USD memburukkan lagi keadaan (bukannya naik, sebaliknya susut lagi dari 29 Nov @ RM4.466 kepada 16 Dis @ RM4.4785) seperti yang ditunjukkan oleh carta Ringgit/USD berikut:


Berdasarkan pergerakan harga minyak mentah dan nilai Ringgit di pasaran, saya telah memantau harga RON95 mengikut formula yang ditetapkan oleh kerajaan seperti berikut:

Harga RON95 mengikut formula yang ditetapkan oleh kerajaan dan menggunakan harga pasaran purata bagi 3 minggu setakat ini (seperti kehendak formula) adalah RM2.10 seliter. Jika harga minyak mentah kekal pada harga sekarang atau makin meningkat bagi 10 hari terakhir Disember, saya menjangkakan harga RON95 mengikut formula bermula 1 Januari 2017 adalah RM2.20 seliter.
Memandangkan kerajaan akan turut mendapat keuntungan luar jangka apabila harga minyak mentah naik kerana Malaysia masih pengeksport minyak mentah, saya mendesak supaya Datuk Rahman Dahlan (sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada perancangan ekonomi) mula membuat kerja beliau dengan menyatakan secara terbuka dan tanpa berdolak dalih, sama ada kerajaan akan menggunakan keuntungan luar jangka itu untuk dikembalikan sebagai subsidi minyak.

Saya mendesak supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak menasihati menteri muda yang terlebih menumpukan perhatian menjadi kaki pukul Perdana Menteri sementara tugas sebenar beliau dibayar gaji puluhan ribu ringgit sebulan (iaitu membela rakyat dengan memastikan suasana ekonomi yang tidak menekan rakyat) diabaikan.

Oleh kerana Datuk Rahman Dahlan dengan bangganya mengumumkan beliau turut hadir di mesyuarat OPEC yang mencatu pengeluaran minyak mentah dan menyebabkan kenaikan harga RON95, sekarang saya mahu melihat sama ada beliau juga dengan bangganya akan mengumumkan bahawa harga minyak pada 1 Januari 2017 telah naik kepada RM2.20 seliter.

Oleh itu, saya mendesak supaya keuntungan luar jangka dari kenaikan harga minyak mentah dunia itu dikembalikan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib dalam bentuk subsidi minyak kepada rakyat agar harga RON95 yang ditetapkan pada 1 Januari 2017 nanti tidak melebihi RM2 seliter.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Forum “Indeks Pembaziran Kerajaan” Bersama Rafizi Ramli, Akmal Nasir, Dato’ Akhbar Satar Dan Prof Dr Nazari Ismail

img_9820

Pernahkah anda terfikir jika dicampur semua ketirisan dan pembaziran wang rakyat yang berlaku, berapakah sebenarnya jumlah yang kalau diselamatkan boleh digunakan untuk rakyat?

Selama ini tidak ada kaedah atau kajian mengenai perkara ini. Jadi saya dan rakan-rakan di National Oversight & Whistleblowers (NOW) telah membangunkan satu kaedah secara statistik yang boleh menganggarkan secara empirikal jumlah pembaziran setiap tahun dari perbelanjaan negara.

Kaedah dan kajian kami ini telah dibukukan dan malam ini ia akan dilancarkan dan akan mula dijual.

Perkara ini akan dikupas di dalam satu forum yang disertai oleh saya, Akmal Nasir Dato’ Akbar Satar (Presiden, Transparency International – Malaysia) dan Prof Dr Nazari Ismail (profesor ekonomi Universiti Malaya).

Forum berlangsung di #INVOKESpace (panduan arah di bit.ly/directionINVOKESpace) bermula jam 830 malam, Rabu 19 Oktober 2016. Cara paling mudah ialah dengan mengambil LRT ke Stesen Sg Besi.

100 orang pertama yang sampai akan diberikan buku “Indeks Pembaziran Kerajaan” secara percuma. Untuk memastikan anda tetap mendapat buku jika terlambat, boleh daftar kehadiran di bit.ly/govtwastageindexevent

Harga buku adalah RM15 (walk in) dan RM20 (secara online). Buku ini akan mula dijual malam ini.

Jika anda tidak berkesempatan untuk hadir, anda boleh menonton forum secara #FBLive di Facebook page Rafizi Ramli bermula jam 830 malam.

Sebarkan dan jumpa malam ini.

Rafizi Ramli