Category Archives: Ekonomi & Kewangan

Perbandingan Pencapaian Pentadbiran Ekonomi Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Rakyat Arif Membezakan Angka Ekonomi

Serangan Dato’ Seri Najib Tun Razak terhadap kredibiliti dan kemampuan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengemudi teraju ekonomi negara bukanlan perkara baru. Retorik yang sama turut digunakan menjelang Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) dalam tahun 2008 bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat; kononnya negara akan muflis jika pakatan politik yang lain memerintah Malaysia.

Pun begitu, dalam PRU12 rakyat tetap memilih KEADILAN dan rakan-rakan PAS dan DAP untuk mentadbir negeri-negeri terkaya di Malaysia seperti Selangor dan Pulau Pinang, selain Kelantan, Kedah dan Perak. Maknanya, rakyat tidak termakan dengan adu domba dan propaganda politik Umno/Barisan Nasional yang merendah-rendahkan pemikiran rakyat, seolah-olah rakyat tidak boleh membandingkan dengan objektif pencapaian ekonomi di bawah kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan.

Cara terbaik menilai keupayaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mentadbir ekonomi adalah dengan membandingkan angka-angka ekonomi seperti berikut:

Pertumbuhan ekonomi sepanjang Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan[1]

Tahun

1992

1993

1994

1995

1996

1997

% pertumbuhan[2]

8.8

9.9

9.2

9.8

10.0

7.3

Pertumbuhan ekonomi sepanjang Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Kewangan[3]

Tahun

2009

2010

2011

% pertumbuhan[4]

(1.5)

7.2

5.1

Sejak menjadi Menteri Kewangan, pencapaian ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak pernah sekali pun mengatasi pencapaian Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada kala Dato’ Seri Anwar berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sehingga mencecah 9% – 10% hampir sepanjang beliau menjadi Menteri Kewangan, tahun pertama Dato’ Seri Najib (2009) mengemudi ekonomi negara menjunamkan negara ke kancah kegawatan ekonomi, sedang negara jiran seperti Indonesia kekal berkembang pesat.

Hakikatnya, rakyat Malaysia tidak buta angka dan arif membezakan pertumbuhan sekitar 9% – 10% semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim mentadbir ekonomi negara, berbanding pertumbuhan lembap 4% – 5% sekarang, disamping berdepan dengan pelbagai masalah ekonomi harian seperti harga barang naik, gaji yang terbantut dan lain-lain.

Rekod ekonomi Dato’ Seri Anwar Ibrahim juga menunjukkan beliaulah Menteri Kewangan yang terakhir yang berjaya mencapai belanjawan lebihan. Selepas beliau, menteri-menteri kewangan Umno mengambil pendekatan berhutang untuk menampung perbelanjaan negara yang meningkat saban tahun sedang hasil tidak bertambah.

Sebab itulah, Malaysia masih bergelut dengan masalah hutang/defisit yang meruncing sehingga kini.

Perbandingan angka berikut membuktikan kegagalan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan apabila gagal mengatasi masalah hutang/defisit, walaupun ditinggalkan dalam keadaan yang cukup baik oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim:

Perbandingan defisit belanjawan dan jumlah hutang negara[5]

Tahun

1992

1993

1994

1995

1996

1997

Lebihan/Defisit (%)

(0.8)

0.2

2.3

0.8

0.7

2.4

Jumlah hutang negara (RM b)

97

96

93

91

90

89

 

 

Tahun

1998

1999

2000

2001

2002

2003

Lebihan/Defisit (%)

(1.8)

(3.2)

(5.5)

(5.2)

(5.3)

(5.0)

Jumlah hutang negara (RM b)

103

112

126

146

165

189

 

Tahun

2004

2005

2006

2007

2008

2009

Lebihan/Defisit (%)

(4.1)

(3.4)

(3.2)

(3.1)

(4.6)

(6.7)

Jumlah hutang negara (RM b)

217

229

242

267

306

362

 

Tahun

2010

2011

Lebihan/Defisit (%)

(5.4)

(4.8)

Jumlah hutang negara (RM b)

407

456

 

Sepanjang tempoh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, hutang negara semakin berkurangan dan Malaysia mengalami lebihan belanjawan yang berterusan sehinggalah tahun 1997. Sebaliknya, hutang negara pula melonjak lima kali ganda berbanding baki hutang yang ditinggalkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan jumlah hutang yang digandakan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak (iaitu RM456 bilion pada akhir tahun 2011).

Kegilaan berhutang dan berborosan ini berlaku tatkala Dato’ Seri Najib Tun Razak memaksa PETRONAS menyumbang dividen pada kadar yang paling tinggi dalam sejarah Malaysia. Tidak pernah ada Menteri Kewangan atau Perdana Menteri yang paling banyak menggunakan dana PETRONAS, kecuali Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti yang dibuktikan oleh angka berikut:

 

Tahun

1992

1993

1994

1995

1996

1997

Dividen PETRONAS (RM b)

 

3.1

 

3.1

 

3.1

 

3.1

 

3.1

 

3.1

Jumlah dividen yang disumbangkan PETRONAS semasa Dato’ Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan[6]

Tahun

2004

2005

2006

2007

Dividen PETRONAS (RM b)

 

9.1

 

11.0

 

18.0

 

24.0

Jumlah dividen yang disumbangkan PETRONAS semasa Tun Abdullah Badawi menjadi Menteri Kewangan

 

Tahun

2009

2010

2011

Dividen PETRONAS (RM b)

 

30.0

 

30.0

 

30.0

Jumlah dividen yang disumbangkan PETRONAS semasa Dato’ Seri Najib menjadi Menteri Kewangan

Sedang Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengurangkan hutang negara, berbelanja berhemah sehingga pendapatan mengatasi belanja, tidak membebankan PETRONAS dan ekonomi tumbuh 9% – 10%, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil 10 kali ganda lebih banyak wang PETRONAS, hutang negara meningkat 5 kali ganda, defisit akibat keborosan berlarutan 14 tahun dan ekonomi tetap lembap sekitar 4% – 5% sahaja.

Saya yakin rakyat Malaysia lebih arif membezakan angka-angka ini. Pimpinan negara perlu fokus kepada usaha memulihkan ekonomi negara dengan berpandukan angka-angka yang objektif ini, bukannya cuba memutarbelitkan prestasi ekonomi negara kerana takut dengan wibawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan yang berkebolehan.

 

 

AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN KEADILAN

29 NOVEMBER 2012


[1] Tahun penuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan

[2] Sumber: Kementerian Kewangan & Jabatan Perangkaan Negara

[3] Tahun penuh Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Kewangan

[4] Sumber: Kementerian Kewangan & Jabatan Perangkaan Negara

[5] Sumber: Kementerian Kewangan, Jabatan Perangkaan Negara dan Bank Negara Malaysia

[6] Sumber: Kementerian Kewangan dan Jabatan Statistik

Campur Tangan Kerajaan Menjejaskan Reputasi Petronas Di Peringkat Antarabangsa

Kegagalan PETRONAS mengambil alih Progress Energy Resources, sebuah syarikat gas yang berpusat di Kanada perlu diberi perhatian sewajarnya oleh rakyat. Usaha PETRONAS membina rizab gas luar negara adalah satu usaha yang wajar dipuji, bertepatan dengan pendirian KEADILAN selama ini bahawa strategi minyak dan gas negara perlulah bersandarkan kepada matlamat menggantikan rizab minyak dan gas domestik dengan rizab dari luar negara.

Progress Energy Resources adalah sebuah syarikat pengeluar gas yang mempunyai rizab gas sebanyak 1.9 trilion kaki padu dan memiliki rizab tanah seluas 1.25 juta ekar di seluruh Kanada. Saya yakin PETRONAS mempunyai alasan yang kukuh untuk mengambil alih Progress Energy Resources yang akan menjadi sebahagian dari aset strategiknya.

Malangnya, usaha PETRONAS ini disekat oleh Kerajaan Kanada dan kita masih menunggu perkembangan seterusnya dalam tempoh 30 hari rayuan.

Kegagalan PETRONAS mengambil alih Progress Energy Resources adalah satu lagi perkembangan yang membimbangkan kebelakangan ini. Dalam bulan September 2012, agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings telah mengumumkan bahawa ia merendahkan penilaian prospek masa depan PETRONAS menjadi “negatif”. Ini adalah kali pertama dalam sejarah PETRONAS yang panjang apabila syarikat penarafan antarabangsa melahirkan kebimbangan mengenai kestabilan kewangan dan reputasinya di mata pelabur.

Kesan dari tindakan Fitch Ratings merendahkan penilaian prospek masa depan menjadi “negatif” bermakna penarafan PETRONAS (yang sebelum ini adalah di antara terbaik di dunia dan lebih baik dari penarafan kedudukan kewangan Malaysia) juga dijangka akan dituruntarafkan (downgraded) dalam masa terdekat. Ini akan menyebabkan PETRONAS terpaksa membayar kadar faedah yang lebih tinggi melalui pinjaman-pinjaman kewangan yang telah dan akan diambil.

Ketika mengumumkan keputusannya untuk menukar penilaian prospek masa depan PETRONAS, Fitch Ratings telah pun menyuarakan kebimbangannya bahawa terlalu banyak campur tangan kerajaan kebelakangan ini yang menyekat kebebasan PETRONAS. Campur tangan kerajaan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam keputusan-keputusan yang melibatkan PETRONAS dilihat memberi kesan buruk kepada gergasi minyak dan gas negara itu.

Kegagalan PETRONAS mengambil alih Progress Energy resources mengesahkan lagi pandangan bahawa reputasi PETRONAS di peringkat antarabangsa telah terjejas oleh kerana campur tangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak di dalam PETRONAS.

Sebagai satu-satunya individu di dalam kerajaan yang bertanggungjawab sepenuhnya menjaga kepentingan PETRONAS, Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan kepada rakyat kegagalan beliau secara peribadi sehingga usaha PETRONAS membina rizab luar negara terbantut.

Beliau juga perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya jika kedudukan kewangan PETRONAS dituruntarafkan selepas ini, akibat campur tangan pentadbiran beliau di dalam keputusan-keputusan PETRONAS.

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
24 OKTOBER 2012

Belanjawan 2013: Perbendaharaan Mengakui Ketepatan Anggaran Kos Program Pakatan Rakyat

Kenyataan Dato’ Seri Husni Hanadzlah, Menteri Kewangan II yang disiarkan oleh The Sun[1] disambut baik oleh Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Rakyat yang bertanggungjawab merangka Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Ia mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan memandang serius segala cadangan dan penyelesaian ekonomi yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat. Ini membayangkan juga bahawa keupayaan pentadbiran Pakatan Rakyat dan kemampuannya merancang ekonomi negara turut dihormati dan digeruni oleh Barisan Nasional.

Oleh sebab itulah, sepanjang bermulanya persidangan Parlimen sesi ini, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional lebih gemar menghabiskan masa yang diperuntukkan membahaskan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013. Mereka lebih takutkan pengaruh dan perbandingan dasar yang dibawa oleh Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 sehingga mereka mengabaikan terus belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri sendiri.

Tidak cukup dengan itu, menteri-menteri kanan seperti Dato’ Seri Husni Hanadzlah sendiri mengerah kakitangan awam di Perbendaharaan dan jabatan-jabatan lain bekerja lebih masa untuk mencari bidasan bagi menjawab cadangan dasar yang dibuat Pakatan Rakyat, seperti yang dibacakan oleh beliau semalam.

Walaupun ini satu perkembangan yang baik, kami ingin mengingatkan bahawa kerahan seluruh jentera kerajaan untuk mencari bidasan kepada cadangan dasar Pakatan Rakyat adalah satu salahguna kuasa berbentuk partisan, memandangkan perkara-perkara berikut:

  1. Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Rakyat tidak diberikan akses sama sekali kepada semua data, angka dan statistik yang diperlukan sepenuhnya untuk membuat unjuran yang membolehkan kami berdepan dengan pukulan curi seperti yang dibuat oleh Dato’ Seri Husni hanadzlah
  2. Jawatankuasa Manifesto dan Dasar Pakatan Rakyat hanya dianggotai oleh 12 orang dan dibantu oleh sekumpulan sukarelawan yang kecil berbanding keseluruhan jentera kerajaan
  3. Jabatan dan jentera kerajaan seperti pegawai-pegawai Perbendaharaan tidaklah boleh diarah untuk menjadi kakitangan parti pemerintah seperti Umno dalam menjawab cadangan-cadangan dasar. Tugas itu wajiblah dipikul oleh kakitangan ibupejabat Umno sendiri, seperti yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat

Oleh yang demikian, untuk merancakkan lagi amalan demokrasi di negara ini, kami mengesyorkan supaya sebuah Pejabat Belanjawan Parlimen yang bebas dan tidak berpihak ditubuhkan. Pejabat ini bertanggungjawab menyediakan analisis perbelanjaan/belanjawan dan maklumat ekonomi kepada ahli-ahli parlimen secara objektif supaya perbahasan dasar dan keputusan kewangan boleh dibuat secara telus, bebas dan tepat.

Pun begitu, analisa yang dibuat oleh Perbendaharaan dan digunakan oleh Dato’ Seri Husni Hanadzlah sebagai bidasan ternyata memakan diri sendiri kerana ia mengesahkan bahawa anggaran kos yang digunakan oleh Pakatan Rakyat bagi membiayai program-program ekonominya adalah tepat.

Angka-angka anggaran kos bagi program-program Pakatan Rakyat seperti yang diumumkan Perbendaharaan adalah hampir sama dengan angka-angka anggaran yang digunakan Pakatan Rakyat selama ini. Malah, angka-angka terbaru mengikut analisa Perbendaharaan dan digunakan oleh Dato’ Seri Husni Hanadzlah adalah jauh berbeza dengan pelbagai angka yang digunakan oleh Barisan Nasional sebelum ini.

Kami merumuskan perbandingan kos ini di dalam Jadual 1 seperti berikut:

 

 

PROGRAM PAKATAN RAKYAT

ANGGARAN PR (RM bilion)

ANGGARAN PERBENDAHARAAN[2] (RM bilion)

ANGGARAN BN TERDAHULU[3]

Menghapuskan tol

6.0

6.0

50.0

Kos menyediakan pendidikan percuma

4.0

5.0

18.5

Kos menghapuskan hutang PTPTN

2.0

Tidak diperincikan, tetapi RM30b boleh dibayar dalam tempoh 20 tahun pada kos RM2b setahun

Pelarasan gaji kakitangan awam untuk melaksanakan gaji minima RM1,100

2.0

4.4

 

Tidak dinyatakan

Caruman Wanita Nasional

3.0

Tidak dibantah, maknanya bersetuju

Tidak dinyatakan

Bonus Warga Emas

3.0

Tidak dibantah, maknanya bersetuju

Tidak dinyatakan

Kenaikan royalti 20% kepada negeri-negeri pengeluar minyak

12.5

Tidak dibantah, maknanya bersetuju

12.5

Pengurangan duti eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta

2.0

Tidak dibantah, maknanya bersetuju

8.0

Jadual 1: Perbandingan anggaran kos tahunan program-program Pakatan Rakyat

Mengambil kira bahawa Perbendaharaan telah diarahkan supaya mengkaji cadangan dasar Pakatan Rakyat dan setiap anggaran kos dengan teliti, angka-angka yang dikeluarkan oleh Perbendaharaan menunjukkan bahawa ia (Perbendaharaan) bersetuju dengan anggaran kos yang dibuat oleh Pakatan Rakyat selama ini. Malah, ia juga membuktikan bahawa segala angka yang digunakan oleh pimpinan Barisan Nasional selama ini adalah tidak tepat dan cubaan menakut-nakutkan rakyat semata-mata.

Jawapan kami kepada persoalan-persoalan khusus yang ditimbulkan oleh Dato’ Seri Husni Hanadzlah adalah seperti berikut:

  1. 1.      Peruntukan RM56 bilion bagi gaji kakitangan awam akan menyebabkan 72,000 kakitangan awam hilang pekerjaan

Pakatan Rakyat telah menjelaskan bahawa kenaikan peruntukan gaji kakitangan awam sebanyak RM4 bilion atau purata 8% adalah mencukupi bagi menampung kenaikan gaji semua kakitangan awam, dengan syarat peruntukan bagi gaji ditambah dan peruntukan bagi faedah-faedah bukan kewangan berjumlah RM1 bilion disemak semula untuk menjimatkan kos.

Pakatan Rakyat percaya bahawa kenaikan peruntukan sewajarnya diagihkan terus dalam bentuk penggajian kepada kakitangan awam, bukannya tenggelam di dalam kenaikan kos bukan gaji yang disembunyikan di dalam angka besar.

Lagipun, rekod pentadbiran Pakatan Rakyat menunjukkan bahawa tidak ada seorang pun kakitangan awam yang terpaksa diberhentikan apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Malah, bonus tahunan yang dinikmati di negeri-negeri seperti Selangor dan Perak adalah lebih baik berbanding bonus persekutuan.

 

  1. Tiada peruntukan dibuat bagi dasar-dasar tertentu

Dato’ Seri Husni Hanadzlah menuduh kononnya tiada peruntukan dibuat bagi membiayai pembatalan PTPTN, penghapusan tol, Bonus Warga Emas dan pelaksanaan gaji minima RM1,100 kepada kakitangan awam.

Sebenarnya, peruntukan sepenuhnya telah dibuat di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 bagi program-program, seperti yang diperincikan di dalam Jadual 2:

 

 

PROGRAM PAKATAN RAKYAT

ANGGARAN KOS (RM bilion)

Menghapuskan tol

6.0

Kos menyediakan pendidikan percuma

4.0

Kos menghapuskan hutang PTPTN

2.0

Pelarasan gaji kakitangan awam untuk melaksanakan gaji minima RM1,100

2.0

Caruman Wanita Nasional

3.0

Bonus Warga Emas

3.0

Kenaikan royalti 20% kepada negeri-negeri pengeluar minyak

12.5

Pengurangan duti eksais secara berperingkat untuk menurunkan harga kereta

2.0

Suntikan dana perumahan rakyat melalui Perbadanan Perumahan Negara

5.0

Elaun khas perguruan RM500 sebulan

2.4

JUMLAH

41.9

Jadual 2: Peruntukan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013

Peruntukan ini dibuat dengan mengambil kira bahawa potensi penjimatan dengan menghapuskan rasuah, ketirisan dan kronisme adalah besar dan mampu membiayai program-program tersebut.

Berdasarkan Belanjawan BN 2013, perbelanjaan-perbelanjaan berikut adalah perbelanjaan berbentuk perolehan, agihan melalui sistem tidak telus yang ditentukan oleh kerajaan atau pun caj hutang akibat keborosan berhutang – yang berpotensi untuk dipotong atau dijimatkan melalui pentadbiran yang telus:

 

 

 

JENIS PERBELANJAAN YANG DIKAWAL KERAJAAN SETIAP TAHUN

PERUNTUKAN (RM bilion)

Belanja Mengurus:

Perkhidmatan dan Bekalan

33.7

Belanja Mengurus:

Pembelian aset

1.1

Belanja Mengurus:

Caj Perkhidmatan Hutang

22.2

Belanja Mengurus:

Subsidi dan Bayaran Tetap

37.6

Belanja Mengurus:

Kos perolehan badan kerajaan melalui geran kerajaan

7.0

Belanja Mengurus:

Lain-lain

14.8

Belanja Pembangunan:

Projek, infrastruktur, suntikan dan lain-lain

50.0

Perbelanjaan perolehan, kontrak dan pelaburan oleh PETRONAS dan syarikat-syarikat kerajaan

50.0

JUMLAH

216.4

Jadual 3: Perbelanjaan tahunan yang dikawal kerajaan persekutuan

Atas sasaran penjimatan 20% ke atas semua perbelanjaan tahunan yang dikawal kerajaan persekutuan ini dengan menghapuskan pembaziran, menghentikan ketirisan dan mencegah rasuah, Pakatan Rakyat percaya potensi peruntukan yang boleh digunakan untuk membiayai program pro-rakyat adalah RM43 bilion. Jumlah ini lebih tinggi dari kos untuk menampung program-program Pakatan Rakyat yang dimasukkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 iaitu RM41.9 bilion.

Lagipun, kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat telah membuktikan bahawa penjimatan 20% ke atas perbelanjaan kerajaan boleh dicapai. Kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim misalnya telah mencatatkan penjimatan 24% atau RM106 juta bagi kontrak-kontrak kejuruteraan awam dalam tempoh 9 bulan pertama 2012.

Penjelasan panjang lebar ini selari dengan anggaran kos yang dibuat oleh Perbendaharaan mengenai program-program Pakatan Rakyat. Batu penghalang kepada pelaksanaan program-program pro-rakyat adalah keborosan dan kecenderongan Barisan Nasional bergelumang dengan rasuah.

 

Bagi pihak

Jawatankuasa Dasar & Manifesto Pakatan Rakyat

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB LIEW CHIN TONG
AHLI PARLIMEN BUKIT BENDERA

YB NURUL IZZAH ANWAR
AHLI PARLIMEN LEMBAH PANTAI

YB DR DZULKIFLY AHMAD
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR

11 OKTOBER 2012



[1]Pakatan’s budget is mathematically wrong: Ahmad Husni” disiarkan 10 Oktober 2012

 

[2] Seperti yang digunakan Dato’ Seri Husni Hanadzlah

[3] Seperti yang diulang oleh Sdr Khairy Jamaluddin dan disiarkan di dalam artikel beliau ‘Where Will The Money Come From” di dalam The Edge

Belanjawan 2013: Jawapan Pakatan Rakyat Kepada Chua Tee Yong

Kami merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Dato’ Chua Tee Yong yang menuduh angka-angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 adalah tidak tepat berdasarkan perkiraan ringkas beliau seperti berikut:

  1. Bentuk kenaikan gaji hasil dari dasar-dasar Pakatan Rakyat adalah kenaikan gaji guru sebanyak RM2.4 bilion (hasil dari pelaksanaan Elaun Khas Perguruan sebanyak RM500 setiap bulan bagi setiap orang guru), kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak RM2 bilion (hasil dari pelaksanaan gaji minima RM1,100 di sektor awam dan pelarasan gaji kepada semua kakitangan) dan kenaikan gaji anggota polis sebanyak RM754 juta (hasil dari cadangan untuk membekukan pengambilan baru anggota polis sehingga tahun 2015).
  2. Mengikut perkiraan beliau, jumlah kesemua kenaikan gaji ini sebanyak RM5.1 bilion tidak selari dengan angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menunjukkan pertambahan gaji sebanyak hanya sebanyak RM4 bilion.

Berdasarkan perkiraan mudah itu, beliau menuduh Belanjawan Pakatan Rakyat mengandungi angka-angka yang menipu dan hasil dari penyelidikan yang kucar-kacir.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dokumen-dokumen rasmi termasuklah Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada mengambil kira semua perkara ini dalam menentukan angka-angka yang digunapakai.

Seharusnya Dato’ Chua Tee Yong membaca sepenuhnya keseluruhan dokumen Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menerangkan pendekatan Pakatan Rakyat untuk menggunakan jumlah anggota polis sedia ada bagi memenuhi tuntutan melindungi keselamatan awam tanpa perlu menambah tenaga kerja melalui pengambilan baru. Ini berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional yang ingin meningkatkan pengambilan baru sehingga mencecah 30% menjelang 2015, yang sudah tentu akan meningkatkan tanggungan gaji.

Cadangan Pakatan Rakyat adalah dengan memfokuskan anggota polis sedia ada kepada kerja-kerja membanteras jenayah dengan menukar anggota Cawangan Khas ke Jabatan Siasatan Jenayah. Penjimatan dari langkah ini (kerana tiada pengambilan baru menjelang 2015) bolehlah digunakan untuk menaikkan gaji anggota polis.

Maka, ia satu proses yang akan berjalan dalam satu tempoh, bukannya kenaikan gaji serentak kerana proses penukaran anggota Cawangan Khas melibatkan latihan dan lain-lain. Sebab itu di mukasurat 8 Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada menyebut bahawa Pakatan Rakyat mengunjurkan kenaikan gaji 15% sekiranya proses ini berjalan.

Oleh kerana ia melibatkan satu proses, maka ia juga melibatkan kenaikan berperingkat dalam satu tempoh masa kerana kenaikan gaji itu perlu dibiayai dari penjimatan kerana tiada pengambilan baru dalam tempoh 3 tahun.

Kesan kewangan bagi tahun 2013 dianggarkan satu pertiga dari jumlah kenaikan gaji RM754 juta bagi kesemua kakitangan, iaitu sekitar RM250 juta.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat memutuskan bahawa kenaikan ini boleh dibiayai dengan menyemak semula perbelanjaan untuk “Faedah-faedah Kewangan Yang Lain” (Kod Akaun: 15000) yang telah mencecah RM1.04 bilion dalam tahun 2013. Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneliti bentuk-bentuk faedah bukan gaji untuk mengelakkan pembaziran, dengan memastikan hanya faedah bukan gaji kepada kakitangan awam disediakan pada kos yang berpatutan. Ini penting bagi memastikan Kod Akaun 15000 (“Faedah-faedah Kewangan Yang Lain”) tidak melibatkan peruntukan bagi perbelanjaan yang boros. Kami yakin penjimatan dari semakan terhadap perbelanjaan faedah bukan gaji boleh menampung kesan kewangan bagi tahun 2013 yang dianggarkan RM250 juta itu.

Mengambil kira pertimbangan ini, kenaikan peruntukan gaji kakitangan kerajaan hanyalah RM4 bilion seperti yang terkandung di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Kami mengucapkan tahniah kepada Dato’ Chua Tee Yong kerana mengambil sedikit masa untuk meneliti angka-angka yang dibentangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Namun, beliau lebih berhati-hati apabila ingin berhujah menggunakan angka kerana reputasi beliau sebelum ini pun terjejas teruk apabila angka-angka yang digunakan sering bertukar-tukar.

 

Bagi pihak

Jawatankuasa Dasar & Manifesto Pakatan Rakyat

YB DR DZULKIFLY AHMAD
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR/AJK PAS PUSAT

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

DR ONG KIAN MING
STRATEGIS PILIHANRAYA DAP

 

3 OKTOBER 2012 

Belanjawan 2013: Barisan Nasional Wajar Berani Berdebat

Belanjawan 2013 yang masing-masing dibentangkan oleh Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional memberi peluang kepada rakyat membuat perbandingan di antara dasar-dasar ekonomi yang dibawa.

Lazimnya, perdebatan ekonomi di antara kedua-dua pakatan politik kebelakangan ini berkisar kepada tawaran-tawaran yang dibuat oleh Pakatan Rakyat yang dilihat lebih berpihak kepada rakyat terbanyak, tetapi dipersoalkan oleh Barisan Nasional atas kebimbangan ia tidak mungkin dapat dilaksanakan.

Ini satu perkembangan baik kerana ia melambangkan sistem dua parti semakin mendapat tempat di Malaysia. Perbandingan dasar seperti ini juga adalah fungsi dan tanggungjawab utama pembangkang persekutuan seperti yang selalu dituntut melalui kabinet bayangan. Kebolehan Pakatan Rakyat menampilkan satu gagasan ekonomi yang jelas berbeza dari pendekatan Barisan Nasional hingga berjaya mempengaruhi perdebatan ekonomi adalah bukti sistem bayangan sedia ada (seorang wakil dari tiga parti bagi setiap portfolio) berfungsi dengan baik.

Pun begitu, perdebatan yang sihat ini hanya boleh berlangsung dengan keikhlasan kedua-dua pihak duduk di atas satu pentas membincangkan fokus ekonomi negara. Tindakan ahli parlimen Barisan Nasional terutamanya barisan kabinet yang memulaukan pembentangan dan jawapan balas Ketua Pembangkang terhadap Belanjawan 2013 bukanlah amalan yang baik dalam sistem demokrasi. Begitu juga keengganan Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai ekonomi walaupun beliau menggunakan peluang lintas langsung pembentangan Belanjawan 2013 untuk menyerang Ketua Pembangkang.

Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat meneruskan saranan dan jemputan kami supaya wakil-wakil dari Barisan Nasional berani hadir dan tampil mempertahankan pendekatan ekonomi mereka sambil menjawab soalan dari rakyat, bukannya hanya berani berhujah dalam siaran televisyen atau di Dewan Rakyat semata-mata. Tawaran dan saranan ini ditujukan khas kepada tokoh-tokoh pimpinan muda Barisan Nasional seperti Khairy Jamaluddin, Abdul Rahman Dahlan, Chua Tee Yong atau P Kamalanathan.

Pakatan Rakyat akan mengadakan Forum Terbuka Belanjawan 2013 untuk mengupas situasi ekonomi semasa dan perbandingan belanjawan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional pada hari Rabu (3 Oktober 2012) jam 830 malam bertempat di Dewan Ilmu, Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya (berdekatan Hospital Assunta). Forum akan disertai oleh ahli-ahli panel dari Pakatan Rakyat iaitu YB Dr Dzulkifly Ahmad (PAS), Dr Ong Kian Ming (DAP) dan Sdr Rafizi Ramli (KEADILAN).

Forum ini adalah terbuka kepada semua terutamanya kepada pimpinan muda Barisan Nasional atau mana-mana wakil Barisan Nasional yang berani tampil ke depan mempertahankan Belanjawan 2013 yang dibentangkan Jumaat lalu.

 

YB DR DZULKIFLY AHMAD
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR/AJK PAS PUSAT

DR ONG KIAN MING
STRATEGIS PILIHANRAYA DAP

RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

2 OKTOBER 2012