Belum pun kejutan dari pengumuman membelanjakan RM650 juta untuk menaiftaraf Taman Tasik Perdana luntur, pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak membuat satu lagi kejutan baru yang lebih tidak masuk akal. Kali ini kejutan dibuat oleh Dato’ Seri Noh Omar, Menteri Perumahan dan Kesejahteraan Bandar yang mengumumkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk meluluskan lesen memberi pinjaman perumahan kepada pemaju-pemaju besar seperti Kumpulan Sunway, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac.
Pengumuman ini dibuat tanpa ada sebarang perbincangan awam dengan “pihak yang berhak” (stakeholders) terutamanya golongan pembeli, para ekonomi, sektor kewangan apatah lagi Ahli Parlimen. Saya tidak pernah mendengar sekali pun dalam masa setahun yang lepas pimpinan Bank Negara Malaysia membuat kenyataan mengenai perkara ini sedangkan ia membawa perubahan paling besar kepada sektor kredit perumahan yang dikawalselia oleh Bank Negara Malaysia.
Mengambil kira pengumuman sebelum ini seperti menaiktaraf Taman Tasik Perdana berjumlah RM650 juta, saya semakin cenderong mengesyaki bahawa keputusan-keputusan yang membawa risiko kewangan besar kepada rakyat dan negara ini bukanlah keputusan berhubung pertimbangan dasar (not driven by policy framework) tetapi satu skim untuk mendapatkan dana Pilihanraya Umum 14 (PRU14) Barisan Nasional.
Saya telah nyatakan secara terbuka analisa saya bahawa satu-satunya faktor yang mengekang Dato’ Seri Najib Tun Razak memanggil PRU14 lebih awal ialah kekurangan dana memandangkan apa-apa dana yang diselewengkan dari 1MDB kini dibekukan di negara-negara lain. Dengan belanja PRU yang mencecah beberapa billion ringgit, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan kepimpinan Umno mesti mencari sumber baru.
Membenarkan pemaju besar menawarkan khidmat memberi pinjaman kepada pembeli samalah seperti memberikan lesen institusi kewangan kepada pemaju-pemaju besar ini. Kalau pada awalnya sebuah anak syarikat ditubuhkan hanya untuk memberikan pinjaman perumahan kepada pembeli rumah dari kumpulan pemaju itu, lama-kelamaan hartawan besar yang memiliki kumpulan pemaju ini boleh sahaja melobi supaya lesen mereka diperluaskan untuk berfungsi sebagai sebuah bank.
Lesen membuka institusi kewangan atau bank di negara ini adalah cukup berharga kerana selepas krisis kewangan 1997/98, dasar penggabungan institusi kewangan menghadkan bank kepada beberapa kumpulan besar sahaja demi mengelakkan risiko bank kecil yang bermasalah mencetuskan wabak kewangan yang berjangkit. Sejak proses penggabungan itu selesai lebih 15 tahun lalu, tidak ada satu kumpulan perbankan baru pun yang dibenarkan.
Saya khuatir keputusan Kerajaan Pusat ini adalah jalan belakang ke arah itu dan sebagai balasan, kumpulan pemaju besar yang diberikan lesen perlu “menderma” sejumlah yang besar kepada Barisan Nasional. Jika satu lesen menarik derma sebanyak RM100 juta (iaitu jumlah yang kecil bagi satu lesen institusi kewangan), 5 lesen mampu menarik “derma” politik sehingga RM500 juta.
Saya lebih rela dibuktikan salah dan disaman di mahkamah jika pertanyaan saya ini dianggap fitnah daripada membenarkan perkara ini diteruskan kerana kesannya (selain dari rasuah politik) adalah terlalu besar kepada rakyat.
Saya senaraikan 3 risiko terbesar yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi jika perkara ini diteruskan:
1. Risiko kewangan “sub-prime” – membenarkan pemaju untuk memberikan pinjaman perumahan kepada peminjam yang tidak layak (mengikut peraturan kredit Bank Negara Malaysia) kerana pendapatan mereka tidak padan dengan ansuran bulanan adalah satu tindakan membina portfolio peminjam tidak boleh bayar.
Apatah lagi kadar faedah yang dikenakan iaitu 12% hingga 18% adalah lebih tinggi dari kadar kad kredit dan menjadikan kebarangkalian peminjam tidak boleh membayar balik adalah terlalu tinggi. Fenomena membenarkan peminjam yang tidak layak mendapat pembiayaan perumahan pada kadar faedah yang tinggi inilah yang dirujuk sebagai “sub-prime” yang pernah berlaku di Amerika Syarikat hinggalah skim itu runtuh dalam tahun 2008.
Akibat krisis “sub-prime” di Amerika Syarikat, seluruh ekonomi dunia merudum dan kesannya belum dipulihkan sepenuhnya di beberapa negeri/bandar di Amerika Syarikat terutamanya di Detroit.
2. Melesenkan “Along” dan meluaskan riba’ – kadar 12% hingga 18% yang diumumkan oleh Dato’ Seri Noh Omar adalah kadar pinjaman yang ditawarkan oleh Along. Kadar itu juga adalah satu bentuk penghambaan kewangan kerana keuntungan yang diambil oleh pemberi pinjaman adalah berlipat kali ganda hingga membunuh kelangsungan ekonomi peminjam.
Mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara 4 – 6 kali ganda dari jumlah yang dipinjam.
3. Lebih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah – Memberi lesen kepada pemaju memberi pembiayaan pada kadar along bermakna Kerajaan Persekutuan langsung tidak mengambil hirau bahawa harga rumah yang dipacu oleh pemaju-pemaju terbesar ini adalah diluar kemampuan rakyat terutamanya di bandar-bandar besar yang dimonopoli mereka.
Dengan lesen memberi pinjaman ini, lebih banyak projek perumahan diluar kemampuan rakyat yang akan dibangunkan dan pilihan rumah mampu milik semakin berkurangan dengan alasan pembeli kini boleh meminjam 100%. Akibatnya pemaju kecil akan gulung tikar kerana hanya pemaju besar yang ada lesen yang mampu bersaing dan pada masa yang sama harga rumah akan terus naik mencanak.
Sebelum ini saya jarang memberi komentar mengenai perumahan kerana ia lebih wajar dibela oleh ahli parlimen lain memandangkan saya sudah banyak mengendalikan isu-isu ekonomi lain.
Walau bagaimana pun, keputusan Kerajaan Persekutuan kali ini adalah keputusan paling gila saya mengenai perumahan dan kewangan negara yang pernah saksikan sejak saya menjadi ahli parlimen.
Oleh itu, saya akan mengikuti dengan dekat isu ini dan akan mula menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah perumahan rakyat bermula minggu depan.
Saya juga akan berusaha agar risiko-risiko akibat dari keputusan memberi lesen pembiayaan kepada pemaju besar ini difahami rakyat secepat mungkin dan diterjemahkan menjadi bantahan segera agar keputusan tersebut dibatalkan serta merta.
Saya akan mula menyiarkan satu video ringkas menerangkan perkara ini kepada orang ramai petang ini dan sasaran saya agar ia ditonton 500,000 orang dalam masa seminggu. Video itu akan disiarkan di laman Facebook Page https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN
Setuju dengan pendapat YB. Harap kerajaan Persekutuan lebih prihatin dengan tidak membenarkan unsur-unsur tambahan dalam spekulasi kenaikan harga rumah. Harga hartanah perlu turun, dah sampai masanya.
Saya tidak bersetuju bahawa pemberian lesen “along” seperti ini dijadikan sumber dana atau derma politik. Saya juga tidak pasti berapa ramai rakyat yang tertarik untuk mengetahui tentang sumber-sumber dana politik. Mungkin YB boleh berkongsi tentang strategi kewujudan sumber dana politik untuk parti-parti DAP, PKR dan PAN. Jika ianya di luar bidang kuasa YB, mungkin boleh difokuskan kepada sumber-sumber dana politik PKR sahaja. Barisan Nasional, khasnya UMNO perlu belajar bagaimana cara memperoleh dana politik yang betul dan tidak membebankan rakyat.
Tahniah YB, harap YB sentiasa sihat serta terus mengemukakan isu-isu yang menarik perhatian rakyat dan cara-cara yang efektif untuk mengatasinya.
Biasanya kerajaan bukan ada hati utk membantu rakyat. Semua perkara yg dilakukan mesti ada niat di belakangnya. Tidak ade beza utk semua pinjaman jugak.