Category Archives: Skandal @ NFC

Skandal NFC: Kementerian Kewangan Perlu Hentikan Sebarang Keputusan Membabitkan NMLC, RFC Dan Syarikat-Syarikat Berkaitan

Berdasarkan maklumat dalaman, saya dimaklumkan bahawa pengurusan NFC telah memanggil satu mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) minggu ini dengan hanya memberikan tempoh 3 hari untuk membuat beberapa keputusan penting.

Di antara agenda yang akan dibincangkan termasuklah membuat keputusan mengenai cadangan pengambilalihan National Meat & Livestock Corporation (NMLC) yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil oleh NFC. NFC adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (government linked corporation) melalui saham khas yang dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Saya percaya tindakan tergesa-gesa memanggil mesyuarat Lembaga Pengarah NFC dan EGM dalam tempoh yang singkat ini berniat tidak baik dan akan mengganggu siasatan terhadap NFC yang sedang berjalan. Pada masa yang sama, keputusan-keputusan yang diambil boleh merugikan rakyat melalui pelbagai urusniaga di antara NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, seperti mana yang telah didedahkan sebelum ini.

Oleh itu, saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan supaya tidak lagi berdiam diri dan campur tangan segera dengan membekukan sebarang aktiviti dan keputusan di dalam semua syarikat-syarikat yang pernah menggunakan dana RM250 juta yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia.

Bukan sahaja Menteri Kewangan cuba mencuci tangan dengan langsung tidak menerima pertanggungjawaban walaupun beliau sendiri yang menganugerahkan projek ini kepada NFC, malah kini kecuaian beliau boleh menyebabkan baki dana dan harta yang dibeli dengan dana rakyat lesap melalui pelbagai urusniaga yang dibuat selepas skandal ini didedahkan.

Oleh kerana ada cubaan di pihak NFC untuk menjalankan urusniaga yang mencurigakan, saya mencadangkan Kerajaan Malaysia melalui wakil-wakilnya di dalam Lembaga Pengarah NFC perlu melantik pentadbir korporat sementara yang bebas untuk mengambilalih pentadbiran NFC sementara siasatan selesai. Tindakan ini bertepatan dengan amalan tatakelola yang baik seperti yang biasa diamalkan untuk mengelakkan lebih banyak penyelewengan berlaku.

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

12 JANUARI 2012

 

Skandal NFC: SPRM Wajar Siasat Cubaan Merasuah Bertepatan Dengan Pendapat Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah

KEADILAN sebelum ini menggesa SPRM untuk menyiasat Dato’ Salleh Ismail dan pengurusan NFC yang berkemungkinan cuba menggunakan orang tengah untuk merasuah penyiasat dalam skandal penyelewengan NFC. Sehingga sekarang, KEADILAN masih belum menerima apa-apa maklumat yang mengesahkan bahawa satu tindakan telah diambil oleh SPRM berikutan pendedahan itu.

Hari ini, KEADILAN ingin mendedahkan bahawa gesaan untuk menyiasat Dato’ Salleh Ismail dibuat setelah mengambil kira kenyataan umum oleh salah seorang ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM iaitu Tan Sri Dato’ Seri Megat Najmuddin Megat Khas melalui satu emel yang diterjemahkan dibawah (transkrip asal emel disertakan di dalam Lampiran A):

“….

Dihantar       : Sabtu, 31 Disember 2011, 10:40 pagi

Tajuk             : Sekarang NFC adalah mangsa penipuan. Faham?

Saya baru selesai makan malam bersama-sama dengan peguam yang mewakili NFC dan Dato’ Salleh, sebelum saya berlepas ke Chiangmai pada malam 22 Disember. Peguam itu baru selesai bersama-sama dengan sessi soalsiasat di antara polis dan anak guamnya. Dia memberitahu kami mengenai cerita kaki penipu ini, seorang bermulut manis yang berjaya meyakinkan pelanggannya yang tertekan untuk memberikannya wang supaya dia (Shamsubahrin) dapat mempengaruhi polis agar kurang kasar (dengan NFC) semasa soalsiasat. Sedih melihat bagaimana seseorang boleh menjadi bodoh apabila sudah tersepit.

Ia bukanlah wayang. Sekarang Dato’ NFC kita terdedah kepada dakwaan bersubahat di dalam cubaan merasuah polis. Sekarang ini SPRM boleh campur tangan untuk menyiasat, kalau tidak sebelum ini perkara ini adalah urusan polis.

Megat

Dihantar melalui Blackberry oleh Maxis

………..”

 

Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas adalah seorang tokoh yang dihormati dan menduduki banyak jawatan penting di dalam negara. Selain dari menjadi ahli Lembaga Penasihat SPRM, antara lainnya beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah PETRONAS, Presiden Malaysian Institute of Corporate Governance dan penasihat Bank Negara.

Beliau juga adalah bekas ADUN Kelana Jaya dan anggota Jawatankuasa Disiplin Umno di samping dikenali sebagai kenalan rapat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Umno melalui sumbangan beliau menjadi pengerusi jawatankuasa penganjur Tan Sri Muhyiddin Charity Golf.

Oleh yang demikian, keterangan peribadi yang dibuat oleh Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas ini perlu diberi perhatian serius oleh SPRM. Apatah lagi apabila beliau menyatakan pendapatnya bahawa ada unsur rasuah dan keterbabitan Dato’ Salleh di dalam cubaan merasuah polis yang membolehkan SPRM mengambil tindakan segera ke atas perkara ini.

KEADILAN akan membuat satu laporan SPRM berkenaan perkara ini pada jam 330 petang ini di pejabat SPRM Shah Alam, agar siasatan boleh dijalankan segera.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

12 JANUARI 2012

 

LAMPIRAN A

Sent: Saturday, December 31, 2011 10:40 AM
Subject: Re: now NFC is a victim. Get it?

I had a v nice Thai dinner with the lawyer for NFC and Dato Salleh, just before I left for Chiangmai, on the 22nd nite. This lawyer has just come from an ‘interview’ session the police had with his clients. He told us about this conman’s story, about how this sweet-talking guy managed to convince his desperate client to part with his money so that he can get the police to be ‘less brutal’ in their interrogation! It is sad to see how stupid one can get when you are stuck ‘between a rock and a hard place’!

It is definitely NOT a ‘wayang’. Now our NFC Dato may be open to a charge of being an accomplice in an attempt to bribe the police! MACC now can come in directly into the picture, otherwise it has always been a Police matter.

Megat
Sent via BlackBerry from Maxis

Skandal NFC: KEADILAN Akan Serahkan Dokumen Asas Kepada Polis Petang Ini

Pihak penyiasat dari Bukit Aman telah menghubungi saya untuk memberikan keterangan berkenaan siasatan terhadap skandal NFC. Saya telah bersetuju untuk hadir dan memberikan keterangan di Bukit Perdana pada jam 3 petang hari ini.

Sejak skandal NFC dibongkar, tumpuan siasatan adalah untuk mengesahkan kesahihan dokumen-dokumen yang digunakan oleh KEADILAN dalam meneliti segala penyelewengan di dalam NFC. Ramai yang menuduh kononnya dokumen ini palsu sehinggakan seolah-olah siasatan lebih banyak tertumpu untuk mencari identiti mereka yang membocorkan maklumat kepada KEADILAN.

Saya telah bersetuju untuk mendedahkan dokumen asas yang telah dihantar secara sulit oleh seorang yang saya tidak kenali. Dokumen ini adalah dalam bentuk senarai perbelanjaan terperinci dari akaun bank utama yang dimiliki oleh NFC. Berdasarkan dokumen asas ini, saya percaya orang ramai tidak perlu ragu-ragu kesahihan maklumat yang diberikan kerana ia adalah maklumat terperinci dari sistem perakaunan NFC sendiri.

Siasatan lain dijalankan sendiri oleh KEADILAN berdasarkan perbelanjaan-perbelanjaan yang didapati dari senarai yang dihantar oleh seorang yang tidak dikenali itu.

Oleh yang demikian, KEADILAN yakin pihak polis dan SPRM sepatutnya tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mendapatkan bukti dengan secepat mungkin untuk mendakwa mereka yang terlibat di dalam kes penyelewengan NFC, kerana dari pengalaman KEADILAN sendiri – dengan hanya berbekalkan sedikit maklumat, pelbagai penyelewengan dapat dibongkarkan.

Saya juga mendesak pihak berkuasa supaya menyiasat sehingga ke peringkat tertinggi penglibatan dan kecuaian pimpinan kerajaan yang mengakibatkan kerugian RM250 juta wang rakyat ini, termasuklah:

1)      Kecuaian dan penglibatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada ketika itu yang meluluskan projek penternakan fidlot ini tanpa mengambil kira faktor-faktor sehingga menyebabkan kegagalannya sekarang; dan

2)      Kecuaian dan penglibatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang bertanggungjawab menilai bidaan dari syarikat-syarikat dan menganugerahkan projek ini kepada sebuah syarikat milik keluarga menteri yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman sehingga menyebabkan kegagalannya sekarang.

 

Semua maklumat yang saya miliki setakat ini saya akan serahkan kepada pihak PDRM petang ini untuk mempercepatkan siasatan.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

4 JANUARI 2012

 

Skandal NFC: KEADILAN Desak SPRM Dakwa Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Pengerusi Eksekutif NFC Kerana Cubaan Merasuah

Saya merujuk kepada tindakan pihak berkuasa mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail pada 30 Disember lalu atas tuduhan menipu Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail sejumlah RM1.755 juta.

Pihak KEADILAN boleh mengesahkan melalui maklumat yang diperolehi setakat ini bahawa wang RM1.755 juta itu dibayar oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bagi tujuan merasuah pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM untuk mempengaruhi siasatan ke atas NFC. Wang tersebut dibayar melalui cek oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.

Tugasan Datuk Shamsubahrin Ismail adalah menjadi orang tengah yang menyampaikan wang tersebut kepada pegawai-pegawai penyiasat SPRM dan PDRM.

Merujuk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 Bahagian IV Perkara 16 dan 17, kesalahan rasuah berlaku apabila:

“Mana-mana orang yang sendiri atau melalui atau bersama dengan mana-mana orang lain:

 (a)   Secara rasuah meminta atau menerima atau bersetuju untuk menerima bagi dirinya atau bagi mana-mana orang lain; atau

(b)   Secara rasuah memberikan, menjanjikan atau menawarkan kepada mana-mana orang sama ada bagi faedah orang itu atau bagi faedah orang lain;

 apa-apa suapan sebagai dorongan untuk atau upah bagi; atau selainnya oleh sebab:

 (A)  Mana-mana orang melakukan atau tidak melakukan apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku; atau

(B)   Mana-mana pegawai sesuatu badan awam melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan dengan apa-apa perkara atau transaksi; sama ada yang sebenar atau yang dicadangkan atau yang mungkin berlaku, yang dengannya badan awam itu terlibat”

 

Undang-undang SPRM secara jelas menunjukkan dalam kes ini, Dato’ Seri Salleh Ismail MELALUI Datuk Shamsubahrin Ismail telah cuba merasuah pegawai penyiasat SPRM dan PDRM di dalam kes NFC berdasarkan perkara-perkara berikut:

1)      Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang membekalkan wang suapan malah menandatangani cek berjumlah RM1.755 juta

2)      Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bersetuju dengan cadangan Datuk Shamsubahrin Ismail untuk memujuk pegawai-pegawai SPRM dan PDRM dengan cara menyediakan wang suapan

 

Saya merasa kesal kerana pihak berkuasa masih terus mahu melindungi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan keluarga menteri kanan walaupun secara jelas beliau terbabit dalam cubaan rasuah untuk menutup penyelewengan yang lebih besar di dalam NFC. Sebaliknya, pihak berkuasa membuat keputusan untuk mendakwa Datuk Shamsubahrin Ismail atas tuduhan cuba menipu NFC sedangkan wang yang terlibat adalah dengan tujuan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM.

Tindakan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail mengambil jalan cuba merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM juga menggambarkan bahawa prinsip tatakelola dan urustadbir yang diamalkan di NFC adalah lemah dan longgar. Ia menggambarkan seolah-olah kelakuan rasuah dan cuba membeli pegawai-pegawai kerajaan adalah amalan yang ringan dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Oleh yang demikian, KEADILAN mendesak SPRM supaya dengan segera memulakan siasatan ke atas Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan pengurusan NFC atas cubaan merasuah pegawai-pegawai SPRM dan PDRM bagi tujuan mempengaruhi siasatan ke atas skandal NFC.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

4 JANUARI 2012 

Skandal NFC: Keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil Beli Kondominium Mewah Berharga RM9.9 Juta Di Singapura

Memandangkan UMNO dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil belum memberi tanda-tanda akan ada pertanggungjawaban kepada penyelewengan dana rakyat melalui NFC seperti yang dituntut rakyat, KEADILAN akan terus membongkar penyalahgunaan dana awam bagi kepentingan peribadi keluarga menteri berkenaan.

KEADILAN boleh mengesahkan kami ada bukti-bukti pembelian sebuah kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts, Singapore 229955 oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil pada 27 Januari 2010 (rujuk dokumen rasmi Singapore Land Authority yang disertakan bersama).

Kondominium ini dibeli pada harga S$4,107,600 dan luasnya adalah 2,282 kaki persegi, iaitu salah satu unit yang terbesar di bangunan kondominium mewah di tengah-tengah kota Singapura itu. Harga itu dianggarkan bersamaan dengan RM9.9 juta pada kadar tukaran wang semasa urusniaga berlaku (rujuk dokumen rasmiSingapore Urban Redevelopment Authority rekod no 44 yang disertakan bersama).

Pembelian harta mewah oleh keluarga menteri ini lebih memualkan bila mana ia didaftarkan terus di atas nama mereka, berbanding dengan pembelian dua buah kondominium mewah di One Menerung yang didaftarkan di atas nama syarikat National Meat and Livestock Corporation Sdn Bhd.

Carian rasmi menunjukkan ia didaftarkan secara bersama di atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh dan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh.

Pendedahan ini melengkapkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa dana dari NFC yang sepatutnya digunakan untuk membina industri daging negara telah disalurkan kepada syarikat-syarikat peribadi milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil seperti NMLC dan RFC.

Lebih teruk lagi, wang dari syarikat-syarikat seperti NMLC dan RFC kemudiannya disalurkan pula ke syarikat-syarikat milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil di Singapura iaitu Meatworks (Singapore) Pte Ltd dan Global Biofuture Pte Ltd yang menjalankan operasi perniagaan yang tidak ada kena mengena dengan tujuan bantuan dana kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC.

Meatworks (Singapore) Pte Ltd dilaporkan menjalankan perniagaan restoran mewah di Singapura, sementara Global Biofuture Pte Ltd pula menjalankan perniagaan perdagangan minyak dan ternakan.

Pada hari ini, KEADILAN boleh mendedahkan satu komunikasi (dalam bentuk email) di antara Saudara Wan Shahinur Izran dengan Saudari Donna Yong yang menguruskan perniagaan restoran di Singapura bagi pihak keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil (sila rujuk dokumen email yang disertakan bersama).

Email ini membincangkan pemindahan wang yang diperlukan untuk membiayai perniagaan restoran mewah di Singapura. Bagi tempoh 3 bulan di antara Oktober 2010 dan Disember 2010, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dianggarkan memindahkan sejumlah S$530,000; bersamaan RM1.3 juta dari dana milik kerajaan untuk membiayai perniagaan peribadi di Singapura. Jika ini berlaku sepanjang tahun 2010 dan 2011, kemungkinan jumlah wang yang telah dilarikan mencecah RM10 juta hanya untuk satu perniagaan di Singapura.

Amalan ini sudah tentu turut berleluasa dengan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh mereka di Singapura. Oleh kerana syarikat-syarikat ini adalah milik penuh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, wang dari NFC boleh sahaja dipindahkan terus ke akaun syarikat-syarikat ini, kemudiannya dikeluarkan oleh keluarga menteri untuk membiayai pembelian peribadi seperti kondominium mewah di Orchard Scotts.

Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak boleh berdiam diri lagi kerana pendedahan demi pendedahan membuktikan berlaku penyelewengan berleluasa dalam penggunaan dana rakyat berjumlah RM250 juta itu.

Kami mendesak beliau mengambil tindakan segera membekukan kesemua akaun bank dan perbelanjaan NFC serta syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, sementara siasatan yang lebih telus dan serius dijalankan secepat mungkin.

 

 

MOHD RAFIZI RAMLI, PENGARAH STRATEGI KEADILAN

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL, SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

YB ZURAIDA KAMARUDDIN, KETUA WANITA KEADILAN

 

20 DISEMBER 2011