Category Archives: Skandal @ NFC

Skandal NFC: KEADILAN Bersedia Debat Di PWTC Bila-Bila Masa

Saya menerima sepucuk surat dari Pergerakan Pemuda UMNO bertarikh 6 Disember 2011 yang memaklumkan Saudara Khairy Jamaluddin tidak dapat menerima jemputan berdebat mengenai NFC pada tarikh asal 12 Disember 2011 kerana bertembung dengan program beliau yang lain.

Sedang saya berterima kasih kerana beliau akhirnya menjawab jemputan debat yang dibuat pada 18 November 2011, saya kesal kerana beliau mengambil masa tiga minggu untuk memaklumkan perkara tersebut seolah-olah beliau cuba melengah-lengahkan debat ini yang telah pun dipersetujui beliau.

Oleh yang demikian, saya telah mengutus jawapan balas bertarikh 8 Disember 2011 memaklumkan perkara-perkara berikut:

  1. Saya sudi meluangkan masa pada mana-mana tarikh dalam tahun 2011 dan 2012 untuk memastikan debat tersebut dapat diadakan. Saudara Khairy hanya perlu memilih satu tarikh yang sesuai untuk beliau.
  2. Saya mencadangkan supaya debat tersebut diadakan di PWTC untuk memberi keselesaan dan ketenangan kepada Saudara Khairy apabila dilangsungkan di ibu pejabat UMNO sendiri.
  3. Sekiranya setelah kesemua kelonggaran ini beliau masih berdolak dalih dan tidak memberikan satu tarikh menjelang 12 tengahari 12 Disember 2011, saya menyimpulkan beliau tidak berani untuk berdebat dalam hal ini.
  4. Jika ini berlaku, KEADILAN akan meneruskan juga sebuah debat membongkar penyelewengan NFC pada 19 Disember 2011. Sekiranya Saudara Khairy tiba-tiba berubah fikiran menjelang tarikh tersebut, penyertaan beliau di dalam debat tersebut dialu-alukan.

 

Sebagai pemimpin UMNO yang paling lantang mempertahankan NFC, wajarlah Saudara Khairy meluangkan sedikit masa untuk menerangkan kepada rakyat beberapa keputusan pelaburan yang dibuat NFC yang menimbulkan kemarahan rakyat, termasuklah penjelasan beliau sebelum itu bahawa pembelian 2 kondominium mewah adalah pelaburan bijak yang dibuat NFC.

Saya menunggu jawapan dari Saudara Khairy dan yakin beliau tidak akan menghampakan harapan rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 

8 DISEMBER 2011 

Pengarah Strategi – Surat Jawapan Debat NFC 081211

 

 

Skandal NFC: Dana NFC Digunakan Beli Mercedes Mewah, Tanah Di Putrajaya, Membiayai Percutian Mewah Dan Dipindahkan Ke Singapura

Memandangkan Ketua Wanita Umno langsung tidak menunjukkan tanda-tanda beliau insaf setelah KEADILAN membuat pelbagai pendedahan mengenai penyelewengan dana NFC, saya terpanggil untuk terus menyenaraikan perbelanjaan-perbelanjaan boros bersifat peribadi yang dibuat keluarga beliau:

  1. Pada 9 Disember 2009, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil menggunakan wang dari pinjaman mudah RM250 juta untuk membeli sebuah kereta mewah Mercedes Benz CLS 350 CGI berharga RM534,622.
  1. Dana sebanyak RM3,363,507 telah disalurkan melalui NMLC untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya iaitu PT1886 dan PT1887, Presint 10, Putrajaya. Kebarangkalian tanah-tanah ini dibeli untuk membuka ladang ternakan lembu di Putrajaya adalah tipis.
  1. Semakan bayaran-bayaran yang dibuat melalui cek dari akaun 141640000066107 CIMB Islamic Bank Berhad di bawah nama NFC menunjukkan bayaran yang besar dan berulang kali dibuat kepada Impian Global Network Services (IGNS). Siasatan KEADILAN menunjukkan IGNS adalah sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian di Phuket, Kuching, Banding, Singapura dan Bali (sila lawati laman http://impianglobalnetworkservices.blogspot.com/ , petikan skrin laman tersebut disertakan di Lampiran 1). Antara bulan Januari hingga Julai 2010, 15 cek berjumlah RM455,423 dikeluarkan kepada IGNS (butiran seperti di bawah). Ini menimbulkan tanda tanya bagaimanakah sebuah syarikat yang sepatutnya menguruskan ladang ternakan lembu menjadikan perbelanjaan pakej percutian sebagai perbelanjaan bulanan? Apakah ia telah disalahgunakan untuk membiayai percutian ahli keluarga menteri dan rakan-rakan mereka?

 

TARIKH

NO CEK

JUMLAH (RM)

8 Jan 2010

001376

1,524

13 Jan 2010

001406

1,709

26 Jan 2010

001465

28,476

24 Feb 2010

001540

12,743

24 Feb 2010

001543

3,076

9 Mac 2010

001587

22,400

9 Mac 2010

001590

26,572

9 Mac 2010

001592

5,776

31 Mac 2010

001671

45,428

22 April 2010

001735

27,853

13 Mei 2010

001789

45,235

25 Mei 2010

001825

3,196

18 Jun 2010

001848

120,521

16 Julai 2010

001922

89,800

16 Julai 2010

001923

21,114

JUMLAH

455,423

 

  1. Pada 21 Julai 2010, NFC memindahkan sejumlah RM588,585 ke akaun milik Meatworks (Singapore) Pte Ltd milik keluarga menteri. Tindakan ini bertentangan dengan fungsi NFC tatkala Ketua Pemuda Umno mendakwa bahawa NFC tidak mempunyai sebarang urusniaga dengan Singapura kerana daging mentah Malaysia tidak boleh dieksport ke Singapura. Jika itu keadaannya, kenapa sejumlah besar wang dipindahkan ke Singapura?

 

Dato’ Seri Shahrizat Jalil hanya ada dua pilihan – sama ada menjelaskan satu persatu perbelanjaan-perbelanjaan ini di Perhimpunan Agong Umno dalam masa terdekat, atau terus mengheret Umno dan Barisan Nasional ke dalam kancah skandal peribadi beliau.

KEADILAN akan mengaturkan beberapa siri laporan polis serentak di seluruh negara untuk mendesak pihak berkuasa segera menyiasat penyelewengan dalam pendedahan terbaru ini.

 

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

 30 NOVEMBER 2011

 

 

Skandal NFC: Usahawan Yang Mengemukakan Idea Tidak Dipanggil Semasa Proses Bidaan

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan pimpinan Barisan Nasional termasuklah YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan Perdana Menteri, YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa penganugerahan Projek Fidlot Kebangsaan kepada syarikat milik keluarga menteri terbabit dibuat mengikut prosedur bidaan dan tender yang betul.

Saya juga merujuk kepada kenyataan YB Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat JK Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri sendiri.

Mengambil kira keangkuhan pimpinan Umno terutamanya Ketua Wanita, Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang sedikit pun tidak mahu memahami kemarahan rakyat mengenai isu ini, KEADILAN pada hari ini mendedahkan bahawa:

  1. Idea asal untuk mewujudkan sebuah industri daging dan penternakan komersil telah dibawa seawal tahun 2003 oleh sebuah syarikat usahawan muda Bumiputra.
  2.  Cadangan asal yang dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, MARDI dan Kerajaan Negeri Sembilan langsung tidak membabitkan suntikan dana atau pinjaman dari kerajaan. Syarikat terbabit hanya memohon persetujuan Kerajaan Negeri untuk menyewa tapak ladang penternakan di Gemas.
  3. Syarikat terbabit juga telah berjaya mendapat khidmat nasihat dan kerjasama dari Professor Jerry J Reeves, seorang pakar teknologi penternakan dari Washington State University (lihat Lampiran 1).
  4. Ladang ternakan tersebut bakal menggunakan teknologi terkini untuk membangunkan baka terbaik tempatan melalui proses artificial insemination menggunakan mani dan embrio baka lembu wagyu. Proses sebegini dijangkakan adalah lebih mudah dan murah untuk membangunkan ladang satelit dan membantu penternak kecil, berbanding dengan kaedah mengimport lembu untuk digemukkan di fidlot seperti yang dibuat NFC.
  5. Syarikat terbabit telah mengadakan perbincangan lanjut dengan MARDI dan hampir menandatangani MOU (lihat Lampiran 2 dan Lampiran 3).
  6. Cadangan ini juga telah dibawa ke peringkat tertinggi di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Sembilan (lihat Lampiran 4 dan Lampiran 5).

 

Malangnya, cadangan dan usaha anak muda usahawan Bumiputra ini akhirnya terbantut di situ sahaja setelah mereka membelanjakan hampir RM300,000 membuat persediaan.

Semasa mempertimbangkan syarikat-syarikat yang berkelayakan dan berpotensi untuk menerajui Projek Fidlot Kebangsaan, anak muda ini yang telah menghabiskan bertahun-tahun masa dan wang simpanannya untuk mengejar cita-cita beliau, tidak pula dipanggil untuk turut serta dalam proses tender.

Oleh sebab itu, KEADILAN bertegas bahawa proses anugerah projek ini kepada NFC milik keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil adalah tidak telus dan menyeleweng, kerana salah satu syarikat yang paling awal mencadangkan projek ini langsung tidak dipanggil untuk turut serta. Ini telah menjadi penyakit di dalam Umno bila mana idea dan keringat orang lain dicuri untuk menyelewengkan wang rakyat.

Oleh itu, KEADILAN mendesak Perdana Menteri bertanggungjawab dengan keputusan yang dibuat oleh JK Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan beliau kerana keputusan itu penuh dengan unsur penyelewengan dan menindas usahawan-usahawan muda yang bertungkus-lumus berusaha.

 

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

AHLI PARLIMEN MACHANG

 

30 NOVEMBER 2011