Kenyataan Media
AHLI PARLIMEN PAKATAN HARAPAN
Sehingga kini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas pembinaan Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL) iaitu Datuk Rahman Dahlan masih enggan membentangkan laporan kebolehlaksanaan projek (“feasibility study”) projek tersebut seperti yang kami tuntut. Kajian itu dimulakan sejak 2009 dan dilaporkan siap sepenuhnya dalam tahun 2012 seperti yang pernah dilaporkan The Sun[1] dan dilaporkan kembali dalam tahun 2013 oleh Business Times[2].
Selagi laporan tersebut tidak dibentangkan secara telus di Parlimen dan kepada rakyat umumnya, sebarang hujah yang dikemukakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak untuk menyokong pelaksanaan projek ini adalah tidak telus. Jika benar projek keretapi ini mempunyai potensi kesan berganda ekonomi (“economic multiplying effects”) seperti yang diwar-warkan, sepatutnya laporan kebolehlaksanaan projek tidak disembunyikan.
Kajian awal kami mendapati ada beberapa perkara yang menimbulkan keraguan sama ada projek tersebut boleh membawa kesan berganda ekonomi yang berbaloi dengan hutang RM55 bilion yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
Majoriti rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa sebenarnya, PETRONAS memang sudah pun membina satu rangkaian keretapi khas untuk membawa kargo dari dua kompleks perindustrian berasaskan petroleum iaitu dari Kompleks Petrokimia Berintegrasi Kerteh (KIPC) ke Kompleks Petrokimia Berintegrasi Gebeng (GIPC) yang seterusnya bersambung ke Pelabuhan Kuantan.
Kewujudan rangkaian keretapi khas sepanjang 77 km ini dipaparkan di laman web Invest In Pahang iaitu portal rasmi pelaburan Kerajaan Pahang di URL http://www.investinpahang.gov.my/index.php?ch=en_investinpahang&pg=en_connectivity&ac=11
Pelaburan dalam industri petrokimia di koridor perindustrian Kerteh/Paka ke Gebeng/Pelabuhan Kuantan adalah kawasan perindustrian terbesar di Pantai Timur dengan pelaburan melebihi RM30 bilion. Tidak ada kawasan di Pantai Timur yang menjana lebih banyak hasil ekonomi dan pekerjaan dari koridor perindustrian ini.
Rakyat juga umumnya tidak mengetahui bahawa walaupun PETRONAS telah membelanjakan wang membina rangkaian keretapi sepanjang 77 km di antara Kerteh ke Gebeng ini, khidmatnya tidak lagi digunakan seawal 2012 seperti yang dilaporkan oleh laman Property Guru[3] kerana kos pengangkutan menggunakan rangkaian itu terlalu mahal dan tidak berbaloi.
Semasa saya (Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan) berkhidmat di PETRONAS, saya pernah menjawat jawatan Pengurus Kanan, Perancangan Perniagaan, Operasi dan Teknologi Petrokimia dari 2005 hingga 2007. Rangkaian keretapi 77 km ini tertakluk juga kepada bidang tugasan saya dan saya boleh mengesahkan kos pengangkutan menggunakan rangkaian ini mahal, lalu menyebabkan unit-unit petrokimia PETRONAS tidak menggunakannya atas sebab-sebab seperti berikut:
1. Produk terbesar di kedua-dua kawasan perindustrian tersebut adalah bahan asas petrokimia (“feedstock”) seperti “ethylene” dan “propylene” yang digunakan terus di kilang-kilang polymer yang dibina bersama-sama dengan kilang-kilang bahas asas tersebut. Oleh itu, ia tidak melibatkan aktiviti pengangkutan yang kadarnya tinggi sehingga memerlukan rangkaian keretapi
2. Produk polymer yang dikeluarkan dalam bentuk resin plastik seperti polyethylene (PE), polypropylene (PP) atau PVC banyak dijual dalam pasaran tempatan dan tidak dieksport. Maka, kedua-dua kompleks tidak memerlukan rangkaian keretapi atau pelabuhan bagi tujuan mengedarkan polymer ini kerana ia diedarkan menggunakan lori
3. Produk lain dalam bentuk bahan petrokimia cecair atau aromatics dieksport terus dari Pelabuhan Kerteh yang mempunyai loji-loji simpanan cecair atau dihantar terus dari Gebeng ke Pelabuhan Kuantan.
Oleh yang demikian, sehingga kini tidak ada asas yang masuk akal yang membuktikan kesan ekonomi berganda yang berbaloi untuk menjana keuntungan bagi membayar hutang sebanyak RM55 bilion ini.
Jika pun ada pertambahan kapasiti yang memungkinkan kos per unit menggunakan rangkaian keretapi sedia ada boleh diturunkan (kerana lebih banyak produk secara pukal boleh menggunakannya), adalah lebih baik menaiktaraf saja rangkaian sedia ada yang dijangkakan hanya menelan belanja RM2 bilion. Itu pun sukar berlaku kerana PETRONAS telah membuat pelaburan baru di RAPID, maka semua kapasiti baru dibina di Pengerang dan bukannya di Kerteh atau Gebeng.
Oleh itu, kami tetap bertegas bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak masih gagal membuktikan ada justifikasi ekonomi yang berbaloi untuk melaksanakan projek yang akan membebankan rakyat dengan hutang.
Kami akan terus membongkarkan kepincangan-kepincangan ini sementara kami menyiapkan laporan awal kebolehlaksanaan projek yang sedang diusahakan.
RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
TONY PUA, AHLI PARLIMEN PETALING JAYA UTARA
WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA
HATTA RAMLI, AHLI PARLIMEN KUALA KRAI
ONG KIAN MING, AHLI PARLIMEN SERDANG
21 NOVEMBER 2016
[1] http://www.thesundaily.my/news/451481
[2] http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/20130418001634/Article/index_html