Category Archives: 1MDB

Polis Menahan Sukarelawan Yang Menjejaki Dan Mengesahkan Alamat Florence Goh

Saya baru dimaklumkan bahawa Gerald Tang, seorang sukarelawan INVOKE dari Johor Bahru yang membantu menjejaki dan mengesahkan alamat Florence Goh baru sahaja ditahan polis.

Apabila kes melobi Amerika Syarikat oleh Godfrey Group Limited mula diketahui umum, saya dan Akmal Nasir meminta bantuan Gerald yang berada di Johor Bahru untuk mengesahkan kewujudan Florence Goh dan mengesahkan Godfrey Group Limited memang mempunyai alamat seperti yang terkandung di dalam perjanjian (di no 42, Jalan Molek 2/3, Taman Molek).

Saudara Gerald Tang kemudiannya turun sendiri ke lapangan dan berjaya mengesahkan bahawa Florence Goh (yang mengetuai NGO Care United JB) benar-benar wujud dan surat Godfrey Group Limited memang dihantar ke alamat yang sama kepada Florence Goh di 42, Jalan Molek 2/3, Taman Molek.

Saudara Gerald Tang memang telah mendapat panggilan dari pihak polis sejak seminggu lalu. Hari ini, beliau hadir untuk memberi keterangan di Kompleks Ibupejebat Polis Seri Alam (Johor Bahru) diiringi oleh YB Jimmy Pua, ADUN Bukit Batu dan Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor sebagai peguam beliau.

Beliau kini ditahan polis dan akan dibawa ke mahkamah majistret esok untuk membolehkan pihak polis mendapat perintah tahanan reman.

Satu sidang akhbar akan diadakan esok (Ahad, 11 Jun 2017) jam 230 petang di perkarangan Majistret Johor Bahru, Jalan Ayer Molek oleh Saudara Hassan Karim (Pengerusi KEADILAN Johor), YB Jimmy Pua (Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor) dan Akmal Nasir (Pengarah National Oversight & Whistleblowers). Saudara Hassan Karim akan mewakili Saudara Gerald Tang semasa urusan permohonan reman.

Saya difahamkan tindakan polis ini diambil setelah Florence Goh membuat laporan polis terhadap Gerald Tang. Saya mengutuk sekeras-kerasnya sikap Florence Goh itu yang tidak mempedulikan desakan demi desakan agar beliau tampil memberi penjelasan pembabitan beliau melobi Kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak Perdana Menteri. Sebaliknya, individu bernama Florence Goh ini cuba menghukum seorang sukarelawan seperti Gerald Tang yang hanya membantu mengesahkan alamat beliau sebagai sebahagian dari tanggungjawab sivik yang patut dijalankan oleh seorang rakyat Malaysia.

Saya juga mendesak supaya tokoh-tokoh politik Umno yang kenal dengan Florence Goh iaitu Tan Sri Shahrir Samad dan Dato’ Nurjazlan Mohamad supaya menasihati Florence Goh agar menghentikan tindakan beliau yang mahu menghukum Gerald Tang yang hanya mengesahkan alamat beliau.

Saya mohon rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadilan dan amanah untuk menyebarkan berita ini dan memberikan kata-kata semangat kepada Gerald Tang di lama Facebook beliau:
https://www.facebook.com/gerald. tang.5

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kenapa Bekas KPN Yang Tampil Bersuara Bagi Pihak Najib; Kertas Siasatan Buktikan Dato’ Seri Najib Buka 3 Akaun Baru Pindahkan Wang 1MDB

Sejak Sarawak Report menyiarkan satu berita mengenai dakwaan sejumlah RM9.5 juta telah dipindahkan dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah, tidak ada satu kenyataan pun yang diberikan oleh Perdana Menteri mahupun peguam itu.

2 hari lalu, saya telah mendedahkan pula bagaimana dalam tahun 2011, Dato’ Seri Najib telah menggunakan dana awam 1MDB yang dipindahkan ke akaun beliau untuk membayar peguam-peguam yang mewakili beliau untuk mengenepikan sapina hadir memberi keterangan di dalam perbicaraan kes liwat yang dituduh terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pendedahan saya itu berdasarkan satu dokumen yang didakwa adalah kertas siasatan SPRM yang dibocorkan di laman SPRMInsider. Maklumat yang terkandung di dalam kertas siasatan SPRM itu juga telah disahkan benar dan tepat oleh peguam kanan yang diambil keterangan oleh SPRM. Pengesahan peguam kanan tersebut mengiyakan bahawa pandangan umum bahawa kertas siasatan SPRM itu adalah benar dan sahih.

Sehingga kini, tidak ada sebarang kenyataan dari Dato’ Seri Najib mengenai butiran siasatan ke atas beliau yang terkandung di dalam kertas siasatan itu, khususnya berhubung penggunaan dana 1MDB untuk membayar peguam-peguamnya di dalam kes yang dibawa terhadap Dato’ Seri Anwar.

Sebab itu saya terkejut apabila individu yang tampil ke depan untuk menafikan perkara tersebut adalah Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara. Beliau yang membuat sidang media khas semalam seolah-olah mengulangi skrip yang dimainkan oleh tokoh-tokoh Umno yang mengawal propaganda kerajaan seperti Tun Faisal Ismail; yang mengulangi kononnya akaun Dato’ Seri Najib telah ditutup sebelum bayaran dibuat kepada Tan Sri Shafee Abdullah.

Adalah sangat memalukan apabila Perdana Menteri dan peguam kanannya tidak mempertahankan diri mereka secara berdepan; sebaliknya orang lain yang telah bersara seperti Tan Sri Musa Hassan pula yang terpaksa memanggil sidang media membela Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shafee.

Saya tidak pasti sama ada Tan Sri Musa Hassan menyediakan sendiri kenyataan media beliau semalam atau skripnya dipengaruhi pandangan yang rapat dengan Perdana Menteri. Hakikatnya, kenyataan media Tan Sri Musa Hassan semalam itu memalukan kerana jelas tidak teliti dengan butiran-butiran siasatan sehingga tersalah fakta.

Hari ini, saya ingin mengemukakan bukti bahawa hujah pembela-pembela Dato’ Seri Najib bahawa akaun beliau telah ditutup sebelum bayaran dibuat tidak boleh digunapakai dan salah.

Kertas siasatan SPRM yang dibocorkan (dan kini dipercayai telah disahkan bersandarkan kenyataan peguam-peguam yang pernah mewakili Dato’ Seri Najib sendiri) pada muka surat 9 dan 10 dengan secara jelas memperincikan bagaimana sementara satu akaun Dato’ Seri Najib telah ditutup pada 31 Ogos 2013, ada 3 akaun baru yang dibuka bagi menggantikan akaun yang ditutup itu.

Saya sertakan paparan skrin dari kertas siasatan mukasurat 9 dan 10 yang mengesahkan bahawa ada 3 akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang masih beroperasi dalam tempoh September 2013 hingga Februari 2014, iaitu tarikh-tarikh bayaran dibuat kepada Tan Sri Shafee:

Kronologi tindakan menutup akaun, membuka akaun baru dan memindahkan dana, seperti yang diperincikan di dalam kertas siasatan SPRM, adalah seperti berikut:

i. Akaun asal yang digunakan oleh Dato’ Seri Najib untuk menerima pemindahan wang yang besar dibuka dalam pada 13 Januari 2011 dengan no akaun 2112022009694 atas nama beliau sendiri di AmIslamic Bank Berhad di Ambank Jalan Raja Chulan (dirujuk sebagai Akaun -9694)

ii. Dalam tahun 2011, sebanyak RM304,329,765.75 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun -9694 ini

iii. Dalam tahun 2012, sebanyak RM831,789,454.53 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun -9694 ini

iv. Dalam tahun 2013, sebanyak RM2,081,476,926.00 dana dari luar negara dimasukkan ke Akaun -9694 ini

v. Jumlah terkumpul dana yang dimasukkan ke Akaun -9694 di antara 2011 dan 2013 ialah RM3,217,596,146.28 sebelum sejumlahnya mula dipindahkan balik ke luar negara

vi. Di antara 2 Ogos 2013 hingga 23 Ogos 2013, wang dari Akaun -9694 telah dipindahkan beransur-ansur dalam 5 pindahan dengan jumlah setiap pindahan di antara USD55 juta ke USD200 juta. Jumlah keseluruhan yang dipindahkan keluar negara adalah USD620 juta; bersamaan RM2,034,350,000

vii. Sebelum penutupan Akaun -9694 dibuat pada 31 Ogos 2013, ada tiga akaun baru yang dibuka atas nama Dato’ Seri Najib pada 31 Julai 2013; iaitu AmPrivate Banking 2112022011880 (“Akaun -1880”), AmPrivate Banking 2112022011898 (“Akaun -1898”) dan AmPrivate Banking 2112022011906 (“Akaun -1906”).

viii. Sebelum Akaun -9694 ditutup, bakinya (selepas pemindahan wang sebanyak RM2.034 bilion seperti diterangkan di atas) sebanyak RM162,436,711.80 telah dipindahkan ke Akaun -1880 yang baru dibuka.

ix. Antara 27 Ogos 2013 ke 26 Mac 2014, Dato’ Seri Najib memindahkan pula sejumlah RM160 juta dari Akaun -1880 ke Akaun -1906 dan Akaun -1898.

 

Ketiga-tiga Akaun -1880, Akaun -1906 dan Akaun -1898 adalah akaun-akaun yang sama yang terkandung di dalam satu carta aliran dana wang SRC International Sdn Bhd yang mengalir ke akaun Dato’ Seri Najib yang ditunjukkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali (seperti di bawah):

Oleh yang demikian, kita boleh sahkan bahawa:

1. Wujud tiga akaun yang digunakan oleh Dato’ Seri Najib di antara September 2013 hingga Februari 2014 ketika bayaran RM9.5 juta dibuat kepada Tan Sri Shafee, iaitu Akaun -1880, Akaun -1906 dan Akaun -1898. Bayaran RM9.5 juta itu boleh datang dari mana-mana akaun ini.

2. Akaun-akaun -1880, -1906 dan -1898 dibuka sebelum akaun awal iaitu Akaun -9694 ditutup.

3. Sejumlah RM162,436,711.80 dari dana 1MDB yang dimasukkan ke Akaun -9694 telah dimasukkan pula ke dalam akaun-akaun yang baru dibuka ini.

4. Semasa membuka tiga akaun baru ini, wakil Dato’ Seri Najib yang membuka akaun-akaun itu memaklumkan bank bahawa akaun-akaun ini digunakan bagi tujuan berasingan iaitu: satu untuk dana politik, satu untuk yayasan dan satu untuk lain-lain.

5. Ketiga-tiga akaun ini (yang dibuka selepas akaun awal ditutup) juga disiasat oleh SPRM kerana telah menerima dana dari SRC International Sdn Bhd dan digunakan untuk membayar perbelanjaan peribadi Dato’ Seri Najib bagi tujuan membeli belah dan kempen politik, seperti yang saya telah dedahkan sebelum ini.

Bukti-bukti yang dikemukakan adalah terlalu kukuh. Alasan yang cuba diketengahkan dengan menggunakan Tan Sri Musa Hassan juga memalukan kerana jelas ia tidak benar.

Sampai bila Dato’ Seri Najib akan berdiam diri dan mengelak dari menjawab bukti-bukti yang datang dari dokumen yang dipercayai kertas siasatan SPRM sendiri?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Dato’ Seri Najib Guna Wang 1MDB Bayar Peguam Ketepi Sapina Anwar Ibrahim (Kes Fitnah Liwat II)

Sejak lebih sebulan yang lalu, saya telah mendedahkan pelbagai maklumat mengenai aliran wang dari dana awam yang dipinjamkan kepada SRC International Sdn Bhd (bekas anak syarikat 1MDB) yang kemudiannya masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Razak, seterusnya digunakan untuk perbelanjaan peribadi, wang politik dan membeli belah.

Di antara perbelanjaan-perbelanjaan yang telah saya dedahkan setakat ini:

1. Bayaran RM2 juta kepada syarikat pembangunan aplikasi milik pegawai khas Perdana Menteri (Datuk Amhari Effendi Nazaruddin) iaitu Orb Solutions Sdn Bhd
http://rafiziramli.com/2017/05/sprm-perlu-sahkan-senarai-penerima-dana-src-yang-masuk-dari-akaun-peribadi-dato-seri-najib-tun-razak/

2. Berbelanja membeli barang kemas mewah bernilai RM3.28 juta dalam sehari di sebuah gedung barang kemas mewah bernama De Grisogono
http://rafiziramli.com/2017/05/sprm-perlu-sahkan-senarai-penerima-dana-src-yang-masuk-dari-akaun-peribadi-dato-seri-najib-tun-razak/

3. Bayaran RM5 juta kepada Yayasan Al Abrar untuk menganjurkan acara “Malaysia Bersalawat”
http://rafiziramli.com/2017/05/sprm-perlu-sahkan-senarai-penerima-dana-src-yang-masuk-dari-akaun-peribadi-dato-seri-najib-tun-razak/

4. RM43 juta yang dipercayai dana yang disuntik dari Tabung Haji dipindahkan ke akaun seorang yang bernama Ariffin Ismail Shahul Hamid dan kemudiannya ditunaikan dalam bentuk wang tunai
http://rafiziramli.com/2017/05/rm43-juta-dana-src-dikeluarkan-secara-tunai-siapa-dapat-wang-ini/

5. RM10 juta dipindahkan dari akaun Perdana Menteri dan dibayar kepada pelbagai pimpinan Umno/Barisan Nasional di peringkat pusat, negeri dan peribadi
http://rafiziramli.com/2017/05/ketua-ketua-bahagian-umno-dan-parti-dari-barisan-nasional-yang-menerima-wang-dari-dato-seri-najib-perlu-pulangkan-kembali-wang-kerana-itu-duit-rakyat/

6. Berjuta ringgit dibayar oleh Perdana Menteri kepada syarikat pengamal media dan syarikat media sosial
http://rafiziramli.com/2017/05/wang-rakyat-digunakan-oleh-dato-seri-najib-untuk-membayar-pengamal-media-dan-biaya-kempen-media-sosial/

Semua maklumat ini diperolehi dari satu dokumen yang dimuatnaik ke laman http://sprminsider.blogspot.co.uk yang capaiannya disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Setakat ini, semua pihak berkuasa yang terbabit dan penerima yang dinamakan tidak menafikan atau mengambil apa-apa tindakan undang-undang. Lebih penting lagi, pihak SPRM sendiri tidak menafikan bahawa dokumen yang dimuatnaik ke laman tersebut adalah dokumen siasatan SPRM sendiri seperti yang digambarkan oleh dokumen-dokumen itu.

Laman SPRMInsider memuatnaik dua dokumen penting:

i. Aliran tunai dari SRC International Sdn Bhd ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib dan syarikat-syarikat yang digunakan untuk menyembunyikan pemindahan wang – saya telah dedahkan sebelum ini

ii. Kertas siasatan yang diberi nama “Ulasan Kes dan Cadangan Pegawai Penyiasat” yang bernombor IPJ NO: 0300/2015, IPJ/SPRM/KS: 178/8/2015 – yang saya kini sertakan bersama dan akan saya dedahkan bermula hari ini

Download (PDF, 10.12MB)


Kertas siasatan setebal 19 mukasurat ini memberi latar belakang kes, bagaimana akaun-akaun peribadi Dato’ Seri Najib dibuka di Ambank, siapa individu terbabit, berapa wang yang dipindahkan ke akaun-akaun peribadi tersebut, dari mana wang dipindahkan, dan bagaimana wang-wang ini dibelanjakan.

Kertas siasatan ini memberi maklumat terperinci saksi-saksi yang telah diambil keterangan, dokumen-dokumen yang telah diambil oleh SPRM sebagai bukti dan ulasan siasatan SPRM terhadap keterangan-keterangan yang diambil oleh saksi-saksi.

Pendedahan saya pada hari ini ditumpukan kepada satu bayaran dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang disiasat oleh SPRM kepada seorang peguam dalam satu kes melibatkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam tahun 2011.

Bayaran ini menjadi penting kerana buat pertama kali, ada bukti nyata bahawa seawal tahun 2011, Dato’ Seri Najib telah menggunakan wang yang dipercayai berasal dari dana 1MDB yang dipindahkan ke akaun peribadinya, untuk membayar peguam bagi tujuan berhadapan dengan Dato’ Seri Anwar di mahkamah.

Bukti wujudnya bayaran ini memberi dimensi baru kepada pendedahan Sarawak Report mengenai bayaran sejumlah RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah yang juga dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib dari dana yang sumbernya dipercayai dari 1MDB.

Pembayaran kepada Tan Sri Shafee Abdullah itu bukanlah kali pertama wang dari sumber 1MDB telah digunakan oleh Dato’ Seri Najib untuk membayar peguam bagi tujuan berhadapan dengan musuh politik beliau (iaitu Dato’ Seri Anwar).

Kertas siasatan SPRM yang dibocorkan dan dimuatnaik ke SPRMInsider mengesahkan dalam tahun 2011, Dato’ Seri Najib telah membayar sejumlah RM325,188 kepada peguam Dato’ Ghazi Ishak dari Tetuan Salehuddin Saidin & Associates yang mewakil beliau untuk mengenepikan sapina Dato’ Seri Anwar terhadap Perdana Menteri dalam kes fitnah liwat II, seperti yang terkandung di helaian-helaian kertas siasatan berikut:

i. Mukasurat 1 – di bawah “latar belakang kes”, mengesahkan bahawa SPRM telah menyiasat Perdana Menteri mengenai kemasukan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun beliau di Amprivate Banking, Ambank Berhad di akaun bernombor 2112022009694. Wang berjumlah RM2.6 bilion itu dipercayai dari 1MDB.

ii. Mukasurat 1 hingga 7 – memberi maklumat bagaimana akaun dibuka, sejauh mana keterlibatan Perdana Menteri sendiri dalam menguruskan wang yang keluar masuk dan maklumat dana yang dipindahkan masuk ke akaun Perdana Menteri itu.

iii. Mukasurat 10 hingga 11 – di bawah “Perbelanjaan Tahun 2011 – 2013 Melalui Cek”, penerima nombor 7 yang disenaraikan ialah seorang peguam bernama Dato’ Ghazi Ishak dari Tetuan Salehudin Saidin & Associates. Perkara ini disahkan oleh SPRM berdasarkan keterangan yang diambil dari Dato’ Salehuddin Saidin sendiri, yang ditandakan sebagai saksi A21 di dalam kertas siasatan SPRM tersebut.

 

Bayaran sebanyak RM325,188 kepada peguam Dato’ Ghazi Ishak itu adalah berhubung khidmat guaman mewakili Dato’ Seri Najib dalam kes 44-264-09/2011 di Mahkamah Tinggi Jenayah (3) Kuala Lumpur.

Saya telah menyemak nombor kes 44-264-09/2011 Mahkamah Tinggi Jenayah (3) Kuala Lumpur di laman www.kehakiman.gov.my dan boleh mengesahkan bahawa, kes tersebut merujuk kepada permohonan Dato’ Seri Najib untuk mengenepikan permohonan sapina dipanggil memberi keterangan untuk disoal balas di dalam kes fitnah liwat II yang melibatkan Dato’ Seri Anwar.

Saya sertakan paparan skrin carian kes 44-264-09/2011 di bawah:

 

Ini berpadanan dengan laporan akhbar pada ketika itu mengenai tindakan Dato’ Seri Najib menggunakan peguam untuk mengenepikan permohonan sapina menjadi saksi untuk disoal balas, seperti laporan MStar bertarikh 6 Oktober 201: http://www.mstar.com.my/berita/berita-mahkamah/2011/10/06/najib–rosmah-berjaya-ketepi-sapina-jadi-saksi-kes-liwat-anwar/

Laporan itu juga mengesahkan bahawa peguam yang mewakili Dato’ Seri Najib dalam permohonan mengenepikan sapina itu adalah Dato’ Ghazi Ishak.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, jelas bahawa Dato’ Seri Najib tergamak menggunakan wang rakyat yang dipercayai dari dana 1MDB (bukan sahaja) bagi tujuan peribadi, malah untuk mengelak dari muncul di mahkamah memberi keterangan berhubung pembabitan beliau dengan Saiful Bukhari Azlan yang melemparkan tuduhan terhadap Dato’ Seri Anwar.

Sebab itu saya katakan apabila kesemua maklumat ini dihadam, bukanlah satu perkara yang mengejutkan bila mana sejumlah RM9.5 juta wang dari akaun Dato’ Seri Najib yang disiasat SPRM telah dipindahkan kepada peguam Tan Sri Shafee Abdullah kerana Dato’ Seri Najib telah awal melakukan perkara yang sama iaitu dalam tahun 2011. Cuma peguamnya saja yang berbeza.

Oleh itu, saya merasakan sudah sampai masanya untuk mendesak campur tangan Majlis Raja-Raja agar satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat perkara-perkara berikut:

1. Penggunaan wang rakyat yang masuk melalui akaun peribadi Dato’ Seri Najib yang dibayar kepada peguam-peguam dalam kes-kes yang dibawa terhadap musuh-musuh politik beliau, terutamanya Dato’ Seri Najib

2. Sejauh mana pengaruh dan kesan bayaran-bayaran yang dibuat kepada pegawai sistem kehakiman, terutamanya pendakwaraya khas yang dilantik kerajaan iaitu Tan Sri Shafee Abdullah, telah mempengaruhi keputusan kehakiman terhadap musuh-musuh politik beliau terutamanya pemenjaraan Dato’ Seri Anwar

Saya sedang merangka satu kempen kesedaran yang akan dibawa melalui laman sosial dan dibawa ke kampung-kampung untuk menerangkan kepada rakyat bagaimana wang mereka telah digunakan oleh Dato’ Seri Najib untuk menamatkan kerjaya musuh politik nombor satunya iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang berakhir dengan pemenjaraan bekas Ketua Pembangkang itu.

Saya juga akan menumpukan perhatian kepada perkara-perkara penting di dalam kertas siasatan itu yang memberi gambaran terperinci sejauh mana penjawat-penjawat awam di peringkat tertinggi di negara ini sebenarnya tahu bahawa dana yang besar telah masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib; sebelum perkara ini bocor kepada pengetahuan awam.

Skandal 1MDB akan terus menghantui Dato’ Seri Najib dan saya menyeru seberapa pegawai kerajaan yang pernah ada maklumat atau pengetahuan mengenai skandal ini untuk tampil memberikan maklumat agar kebenaran sampai kepada rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Shahrir Samad Adalah Penasihat Kepada NGO Yang Diketuai Oleh Florence Goh, Pengarah Godfrey Group Yang Terlibat Dalam Kontrak Melobi Kerajaan Amerika Syarikat

Sehingga kini, pihak-pihak yang dinamakan terlibat di dalam satu kontrak untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat masih belum tampil memberi penjelasan. Hanya satu penafian dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, itu pun cukup sekadar menyatakan Pejabat Perdana Menteri tidak melantik mana-mana syarikat itu mewakilinya melobi Kerajaan Amerika Syarikat.

Ini bermakna Pejabat Perdana Menteri tidak pun menafikan kesahihan pengisytiharan yang difailkan di Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang menunjukkan satu kontrak melobi telah ditandatangani dengan syarikat Godfrey Group Limited yang mewakili Pejabat Perdana Menteri. Malah nama Perdana Menteri diisytiharkan sebagai pegawai Kerajaan Malaysia yang berurusan dengan pelobi yang dilantik di Amerika Syarikat.

Saya telah memohon bantuan jentera KEADILAN Johor Bahru yang diketuai Saudara Akmal Nasir untuk menjejaki Florence Goh dan syarikat Godfrey Group Limited.

Kami dapat mengesahkan bahawa alamat surat menyurat Godfrey Group Limited seperti yang disenaraikan di dalam pengisytiharan yang difailkan adalah benar; iaitu di 42, Jalan Molek 2/3 Taman Molek, Johor Bahru.

Lebih penting lagi, semakan kami menunjukkan individu bernama Florence Goh ini mengenali dua tokoh besar Umno Johor iaitu Tan Sri Shahrir Samad dan Dato’ Nurjazlan Mohamad.

Saya sertakan keratan media dan gambar-gambar yang menunjukkan kedua-dua tokoh Umno Johor ini mengenali Florence Goh secara dekat:

1) Tan Sri Shahrir Samad adalah penasihat kepada NGO Care United Johor Bahru (lihat http://www.theiskandarian.com/web/care-uniteds-golden-years-celebration/care-uniteds-golden-years-celebration/)

 

2) Tan Sri Shahri Samad dan Dato’ Nurjazlan Mohamad hadir ke majlis penyampaian sumbangan yang melibatkan Care United Johor Bahru (lihat https://www.sunway.com.my/elderly-guests-celebrate-the-year-end-with-sunway-and-care-united/)

3) Dato’ Nurjazlan Mohamad menyampaikan sumbangan “Back To School” anjuran Care United Johor Bahru (lihat mukasurat 18 https://issuu.com/waveslifestyle/docs/issue_27_the_iskandarian_nov_2014_w)

 

4) Dato’ Nurjazlan Mohamad bergambar bersama-sama Florence Goh (lihat http://www.thestar.com.my/metro/community/2015/10/13/backtoschool-gifts-for-needy-students/)

 

Oleh yang demikian, jelas bahawa Florence Goh dikenali oleh Tan Sri Shahrir Samad dan Dato’ NurJazlan Mohamad.

Saya menyeru supaya Tan Sri Shahrir Samad memberi kenyataan sama ada beliau ada kena mengena dengan usaha menggunakan Godfrey Group Limited sebagai orang tengah untuk berurusan bagi pihak Pejabat Perdana Menteri menggunakan khidmat pelobi di Amerika Syarikat.

Saya juga menyeru supaya Dato’ Nurjazlan Mohamad juga membuat kenyataan kerana rakyat berhak tahu apakah perkaitan di antara Florence Goh dengan pimpinan politik negara sehingga beliau boleh mengaku mewakili Kerajaan Malaysia berurusan dengan pelobi di Amerika Syarikat?

Jika beliau benar-benar menggunakan nama Kerajaan Malaysia seperti di dalam penafian Pejabat Perdana Menteri, maka Dato’ Nurjazlan sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri sepatutnya menjadi orang yang pertama mengarahkan supaya tindakan undang-undang diambil terhadap Florence Goh.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

PMO Menggunakan Pelobi Di Amerika Syarikat: Pengisytiharan Tambahan Menamakan Dato’ Seri Najib Razak, Kenyataan Media Pejabat Perdana Menteri Berbohong?

Berbeza dengan banyak pendedahan lain yang saya buat kebelakangan ini, saya agak terkejut apabila Setiausaha Media Perdana Menteri, Dato’ Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad semalam mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan dakwaan bahawa Pejabat Perdana Menteri pernah melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat.

Saya memetik satu perenggan kenyataan rasmi tersebut yang diterjemahkan seperti di bawah:

“.. Walau bagaimana pun, bertentangan dengan laporan media dan pengisytiharan yang difailkan, Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan, melantik atau memberi kontrak baik kepada Godfrey Group Ltd, firma 45 Group atau (bekas pembantu Presiden Trump) Healy Baumgardner-Nardone..”

Maksud kenyataan media rasmi Pejabat Perdana Menteri ialah sementara Pejabat Perdana Menteri tidak menafikan kesahihan pengisytiharan kerja-kerja melobi yang difailkan oleh bekas pembantu Presiden Trump itu, Pejabat Perdana Menteri tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan atau melantik firma-firma yang dinamakan di dalam pengisytiharan yang difailkan dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat itu.

Ini bukanlah kali pertama Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menggunakan alasan sebegini untuk menafikan sesuatu. Dalam kes dana awam dari SRC International Limited, beliau dilaporkan menyatakan di dalam kes saman yang sedang berjalan di mahkamah bahawa beliau tidak tahu menahu tentang dana yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau.

Saya mengesyaki semasa kenyataan media rasmi ini dikeluarkan, Pejabat Perdana Menteri tidak sedar bahawa satu lagi pengisytiharan tambahan telah difailkan oleh firma pelobi 45 Group yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump, Healy Baumgardner-Nardone.

Pengisytiharan tambahan itu memberi maklumat yang lebih jelas mengenai siapa yang terlibat, siapa di belakang syarikat misteri Godfrey Group Limited yang menjadi pengantara di antara Pejabat Perdana Menteri dan pelobi di Washington serta perjanjian yang ditandatangani.

Saya sertakan keseluruhan dokumen pengiystiharan iaitu Exhibit A dan Exhibit B (yang melampirkan perjanjian lantikan untuk kerja-kerja melobi di antara Godfrey Group Limited dan 45 Group).

Download (PDF, 281KB)

Daripada dokumen-dokumen pengisytiharan ini, kita dapat mengesahkan perkara-perkara berikut:

1) Dato’ Seri Najib disahkan sebagai pegawai kerajaan yang berurusan dengan pelobi di Amerika Syarikat (lihat Perkara 6 dalam Exhibit A).

 

2) Walaupun kontrak lantikan melobi ini tidak dibayar oleh Kerajaan Malaysia, pelobi di Washington tetap berurusan dengan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Ini menunjukkan kenyataan media Pejabat Perdana Malaysia semalam kononnya Pejabat Perdana Malaysia atau Kerajaan Malaysia “tidak tahu menahu” adalah tidak tepat.

 

3) Kontrak melobi ini turut melibatkan usaha mengatur pertemuan di antara Kerajaan Amerika Syarikat dan Kerajaan Malaysia.

 

4) Perjanjian ini dibuat oleh Godfrey Group Limited yang didaftarkan sebagai syarikat pesisir pantai (offshore company) di British Virgin Island (BVI) yang bermaksud syarikat ini dilindungi dengan kerahsiaan dan tidak ada sesiapa pun yang boleh tahu siapa yang memiliki syarikat ini.

 

5) Bekas pembantu Trump, Healy Baumgardner-Nardone dibayar USD25,000 (bersamaan RM100,000) setiap bulan pada awal bulan untuk menyediakan perkhidmatan melobi ini.

 

6) Syarikat Godfrey Group Limited (walaupun didaftarkan dalam penuh kerahsiaan di British Virgin Island) menggunakan alamat surat menyurat di Taman Molek, Johor Bahru.

 

7) Perjanjian lantikan kontrak melobi ini ditandatangani oleh seorang yang bernama Florence Goh mewakili Godfrey Group Limited.

 

Dokumen-dokumen ini secara jelas menunjukkan bahawa kerja-kerja melobi melibatkan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia. Malah Dato’ Seri Najib sendiri dinamakan sebagai pegawai kerajaan yang akan berurusan dengan firma melobi ini.

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, saya menyeru supaya:

i. Dato’ Seri Najib berterus terang dan menyatakan sama ada 45 Group (yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump) telah berbohong apabila menamakan Perdana Menteri sebagai pegawai Kerajaan Malaysia yang berurusan dengan beliau (Healy Baumgardner-Nardone);

ii. Jika Healy Baumgardner-Nardone telah berbohong di dalam pengisytiharan kerja melobi yang difailkan sehingga mengheret nama Dato’ Seri Najib, maka Kerajaan Malaysia perlulah dengan serta merta mengambil tindakan undang-undang terhadap Healy Baumgardner-Nardone dan memaklumkan secara rasmi kepada Kerajaan Amerika Syarikat bahawa pengisytiharan yang difailkan adalah tidak benar;

iii. Florence Goh memberi keterangan terbuka secepat mungkin siapa yang menyuruh beliau (melalui Godfrey Group Limited) melantik bekas pembantu Presiden Trump melobi Kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak Pejabat Perdana Menteri;

iv. Florence Goh dengan segera menyatakan dari mana dana RM1.125 juta (atau USD250,000) diperolehi untuk membayar syarikat lobi 45 Group bagi kerja-kerja melobi bagi pihak Kerajaan Malaysia; dan

v. Jika benar kenyataan media Pejabat Perdana Menteri semalam bahawa Kerajaan Malaysia tidak tahu menahu mengenai perkara ini, maka Dato’ Seri Najib perlu membuat laporan polis serta merta kepada Florence Goh kerana telah melakukan jenayah menggunakan nama Kerajaan Malaysia tanpa kebenaran dan menyamar mewakili Kerajaan Malaysia.

Saya berharap Dato’ Seri Najib sedar bahawa perkara ini akan terus mendapat perhatian di Amerika Syarikat dan di Malaysia; seterusnya mencemarkan lagi reputasi beliau yang sudah pun tercemar. Beliau tidak boleh beranggapan dengan memberi kenyataan mudah seolah-olah syarikat Godfrey Group dan Florence Goh telah “menderma” (sekali lagi) demi kebaikan Kerajaan Malaysia tanpa pengetahuan beliau, perkara ini akan hilang begitu sahaja.

 

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN