Adik Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein Untung RM76 Juta Dalam Tiga Bulan Selepas KWSP Mengambilalih Saham Pemegang Konsesi DUKE

Saya mengikuti perkembangan urusniaga pengambilalihan pegangan 40% di dalam pemegang konsesi Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE) yang melibatkan pembelian saham-saham di dalam Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (Kesturi) (iaitu pemegang konsesi DUKE) oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Ekovest Berhad.

Urusniaga ini yang diumumkan melalui satu notis yang difailkan di Bursa Kuala Lumpur Ogos lalu mendapat perhatian oleh kerana harga yang dibayar oleh KWSP dilihat terlalu tinggi dan ada laporan yang meletakkan harga yang dipersetujui KWSP itu sehingga 46% lebih tinggi dari nilai sebenar saham-saham yang dibeli.

Juga mendapat perhatian ialah pemilikan Ekovest Berhad yang dikawal oleh dua orang ahli perniagaan yang rapat dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, iaitu:

i. Tan Sri Lim Kang Hoo, iaitu pemegang saham terbesar. Beliau juga adalah rakan kongsi syarikat dari China yang membeli tanah Pengkalan TUDM Sungai Besi dari 1MDB

ii. Dato’ Harris Onn Hussein, adik kepada Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang merupakan pemegang saham kedua terbesar

Dato’ Harris Onn Hussein mengawal sebanyak 13.38% saham-saham Ekovest mengikut notis 29B yang difailkan di Bursa Kuala Lumpur pada 18 November 2016. Dato’ Harris memegang saham-saham ini melalui sebuah syarikat bernama Kota Jayasama Sdn Bhd. Saya sertakan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan Kota Jayasama Sdn Bhd dimiliki oleh Dato’ Harris Onn.

Download (PDF, 196KB)

Selain dari kontroversi mengenai harga yang dibayar KWSP kepada syarikat yang dikuasai oleh ahli perniagaan yang rapat dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib, rentetan peristiwa sepanjang urusniaga jual beli pemegang konsesi Lebuhraya DUKE menimbulkan kerisauan rakyat sama ada KWSP juga sudah terheret di dalam urusniaga-urusniaga yang menguntungkan sesetengah pihak.

Saya sertakan rentetan peristiwa utama jual beli saham yang melibatkan pemegang konsesi DUKE ini:

1. Pemegang konsesi DUKE iaitu KESTURI adalah syarikat usahasama di antara Wira Kristal Sdn Bhd (yang dimiliki bersama Tan Sri Lim Kang Ho dan Dato’ Harris Onn) dan KWSP. WKSB memiliki 70% pegangan dan baki 30% dipegang Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

Download (PDF, 1.46MB)

2. Dalam tahun 2012, pemilikan Tan Sri Lim Kang Ho dan Dato’ Harris Onn kemudiannya dipindahkan ke dalam Ekovest Berhad yang menjadikan kedua-dua mereka pemegang saham terbesar di dalam Ekovest Berhad. Dalam erti kata lain, mereka “menyuntik” konsesi Lebuhraya DUKE ke dalam Ekovest.

3. MRCB dikawal oleh KWSP sebagai pemegang saham terbesar. Dalam tahun 2012, pegangan KWSP di dalam MRCB adalah 42.16% dan dalam tahun 2014, KWSP memiliki 38.37% saham MRCB. Ini bermakna dalam kedua-dua tahun, KWSP mengawal keputusan MRCB.

Download (PDF, 2.33MB)

4. Pada 29 Januari 2014, MRCB menjual kesemua 30% pegangannya di dalam KESTURI kepada Ekovest pada harga RM228 juta. MRCB melaporkan keuntungan sebanyak RM95 juta dari penjualan tersebut.

Download (PDF, 2.3MB)

5. Pada 21 September 2016, Ekovest melaporkan kepada Bursa Kuala Lumpur bahawa ia akan menjual 40% sahamnya di dalam KESTURI pada harga RM1.13 bilion kepada KWSP.

Download (PDF, 1.34MB)

Keputusan KWSP (secara tidak langsung melalui MRCB) menjual 30% pegangannya di dalam pemegang konsesi Lebuhraya DUKE dalam tahun 2014 pada harga RM288 juta, kemudiannya membeli kembali dua tahun setengah kemudian (dengan tambahan 10% saham menjadi 40%) pada harga RM1.13 bilion telah banyak dipersoalkan oleh pencarum dan orang ramai.

Walaupun jawapan rasmi KWSP adalah pembelian tersebut mengambil kira aliran tunai akan datang dari lebuhraya baru DUKE 2, beberapa perkara penting perlu diambil kira:

1. Nilaian 46% yang lebih mahal itu telah mengambil kira jumlah yang telah dan bakal dibelanjakan oleh Ekovest untuk membina DUKE 2

2. Jika aliran tunai akan datang dari DUKE 2 sangat menguntungkan, apakah sebabnya KWSP (secara tidak langsung melalui MRCB) menjual sahamnya dalam tahun 2014 mengambil kira bahawa perjanjian konsesi DUKE Fasa 2 (atau DUKE 2) telah pun ditandatangani seawal 3 Disember 2012. Bukankah pada ketika itu, KWSP (secara tidak langsung melalui MRCB) sepatutnya telah tahu bahawa nilaian Ekovest akan naik mendadak dan sewajarnya tidak menjual saham-sahamnya?

Ekoran dari urusniaga yang menjadi durian runtuh kepada Ekovest ini, saya telah mengikuti dengan dekat urusan jual beli saham pemilik saham terbesarnya.

Dato’ Harris Onn mula menjual sahamnya pada 11 November 2016 setelah harga saham Ekovest naik mendadak selepas pengumuman pembelian KWSP, seperti carta harga saham dibawah:

 

Di antara 11 November 2016 hingga yang terakhir 20 Januari 2017, Dato’ Harris Onn telah menjual sebanyak 43.876 juta sahamnya di dalam Ekovest yang memberi perolehan (hasil jualan saham) sebanyak RM105 juta.

Download (PDF, 202KB)

Download (PDF, 200KB)

Download (PDF, 189KB)

Saya sertakan senarai urusniaga penjualan saham oleh Dato’ Harris Onn secara terperinci di dalam Lampiran untuk menunjukkan bagaimana beliau mula menjual saham Ekovest pada jumlah yang tinggi setelah harga saham Ekovest naik mendadak,

Download (PDF, 43KB)

Dalam tempoh tiga bulan iaitu November 2016 ke Januari 2017, Dato’ Harris Onn telah membuat keuntungan sebanyak RM76 juta dari jualan saham yang naik mendadak setelah keputusan KWSP membeli kembali saham-sahamnya yang dijual dalam tahun 2014.

Sementara saya percaya KWSP ada jawapan yang baik, rakyat berhak mengetahui kenapa saham-saham ini dijual dalam tahun 2014 hanya untuk dibeli kembali dalam tahun 2016, sedangkan maklumat aliran tunai masa depan telah diketahui.

Pada masa adik menteri kanan dan sepupu Dato’ Seri Najib beraya sakan dengan durian runtuh RM76 juta, wang itu samalah seperti wang pencarum yang dibayar oleh KWSP.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.