Category Archives: 1MDB

Perdana Menteri Enggan Jawab Kenapa Lantik Firma Tidak Dikenali Kendali Rm7.4 Bilion Dana 1MDB

Saya telah mengemukakan satu soalan kepada Perdana Menteri berhubung dana 1MDB sebanyak RM7.4 bilion (atau USD$2.3 bilion) yang diuruskan oleh sebuah firma yang tidak begitu dikenali di Hong Kong bernama Bridge Partners.

Perdana Menteri dalam jawapannya bertarikh 30 Oktober 2014 enggan memberi jawapan yang khusus, seperti jawapan beliau yang saya lampirkan bersama-sama kenyataan ini. Jawapan itu mengelak dari menjawab soalan khusus saya iaitu:

1. Kenapa sebuah firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners dilantik mengendalikan sehingga RM7.4 bilion wang 1MDB yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia?

2. Berapa jumlah bayaran setiap tahun yang diberikan kepada firma yang tidak dikenali ini?

1MDB yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib sebagai dana negara (“sovereign fund”) sewajarnya mempunyai keupayaan sendiri untuk menguruskan dana rakyat seperti mana dana-dana awam yang lain.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji semuanya mempunyai jabatan sendiri yang menguruskan pelaburan dana yang dikutip dari rakyat. Melalui cara ini, tiada ketirisan wang rakyat dalam bentuk bayaran yang terpaksa dibuat kepada firma luar untuk menguruskan dana seperti yang berlaku dengan 1MDB sekarang.

Malah, syarikat besar negara seperti PETRONAS (yang bukan pun sebuah dana awam) turut mempunyai Jabatan Perbendaharaan sendiri untuk menguruskan pelaburan dananya.

Tindakan 1MDB melantik satu firma luar negara yang tidak dikenali untuk mengendalikan pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia memberi makna tersirat berikut:

1. 1MDB tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dana yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia. Ini menimbulkan tanda tanya kenapa 1MDB dibenarkan mengambil hutang sebegitu besar yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia sekiranya ia tiada kepakaran untuk mengendalikan sendiri pelaburan dananya?

2. Firma Bridge Partners mendapat untung dari mengendalikan dana RM7.4 bilion da nada pihak tertentu yang turut mendapat keuntungan dalam bentuk komisen dan lain-lain

Kengganan Dato’ Seri Najib menjawab soalan saya mengenai lantikan Bridge Partners ini menguatkan lagi persepsi bahawa 1MDB tidak diuruskan dengan telus dan menjadi lubuk bagi pihak-pihak tertentu mengaut keuntungan menggunakan dana rakyat.

Dengan hutang 1MDB yang dijangka mencecah RM40 bilion dan dijamin oleh rakyat, 1MDB kini menjadi ancaman nombor satu kepada kecairan dan kestabilan kewangan Kerajaan Persekutuan.

Usaha untuk memastikan 1MDB dipertanggungjawabkan kepada rakyat perlu bermula dengan membawa kembali semua dana 1MDB ke Malaysia dan dilaporkan penuh kepada Parlimen. Ini perlu bermula dengan menghentikan lantikan firma-firma yang tidak dikenali seperti Bridge Partners untuk menguruskan jumlah dana 1MDB yang begitu besar.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

3 November 2014

Kewangan Rapuh 1MDB Satu Ancaman Kepada Negara

Saya mengambil maklum kritikan Tun Mahathir Mohamad mengenai dana1MDB yang dikumpul dari hutang dan bukannya dari keuntungan yang dijana. Tun Mahathir Mohamad juga mempersoalkan kenapa sejumlah besar dana 1MDB disimpan di pusat kewangan luar pesisir pantai (offshore financial centre) iaitu Pulau Cayman yang sudah pasti tidak telus dan menyembunyikan maklumat pengurusan dana.

Saya selalunya berbeza pendapat dengan Tun Mahathir Mohamad dalam banyak perkara. Namun saya menyokong penuh pendirian dan pendapat Tun Mahathir Mohamad mengenai 1MDB.

Malah, saya berpendapatan kedudukan kewangan 1MDB dan pengurusannya yang tidak telus merupakan satu ancaman kepada kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Laporan-laporan kewangan yang diperolehi dari akhbar kewangan meletakkan jumlah hutang yang ditanggung oleh 1MDB adalah melebihi RM30 bilion. Ini berdasarkan beberapa siri penerbitan bon untuk mengumpul dana secara berhutang yang dijalankan oleh 1MDB sejak beberapa tahun yang lalu.

Dalam beberapa sidang parlimen yang lepas, ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat sering mengajukan soalan berapakah jumlah hutang yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia dari jumlah keseluruhan RM30 bilion ini.

Setiap kali soalan ini ditanyakan, jawapan Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah konsisten iaitu hanyalah RM5 bilion sahaja iaitu jumlah bon pertama yang diterbitkan oleh 1MDB. Beliau menjawab secara rasmi di dalam Parlimen bahawa jumlah hutang yang lain tidak dijamin oleh Kerajaan Malaysia.

Saya mempunyai dokumen yang boleh mengesahkan bahawa jawapan Dato’ Seri Najib Tun Razak itu adalah tidak tepat dan memberi gambaran yang salah kepada Parlimen. Hasil siasatan saya setakat ini menunjukkan bahawa keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM30 bilion itu adalah tanggungjawab sepenuhnya Kerajaan Malaysia.

Ini bermakna bahawa sekiranya 1MDB gagal melunaskan hutang-hutang tersebut, Kerajaan Malaysialah yang bertanggungjawab melangsaikan hutang itu – sudah tentu menggunakan wang rakyat.

Oleh sebab itu, saya berpendirian bahawa hutang 1MDB yag begitu besar itu adalah satu ancaman besar kepada kestabilan ekonomi negara terutamanya kerana tidak ada tanda-tanda prestasi yang memberangsangkan yang ditunjukkan 1MDB setakat ini.

Saya percaya Tun Mahathir Mohamad mempunyai maklumat yang sama. Sebab itulah beliau tidak dapat menyembunyikan lagi kebimbangan beliau.

Kali terakhir saya menimbulkan isu dana 1MDB disimpan di Pulau Cayman yang tidak telus, 1MDB telah menghantar satu surat saman yang menyatakan ia akan mengambil tindakan mahkamah untuk menghentikan saya dari terus menimbulkan isu itu.

Sekiranya apa yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir Mohamad itu tidak betul, makan sewajarnya 1MDB turut menghantar surat saman kepada Tun Mahathir Mohamad dalam masa terdekat ini.

Saya akan mendedahkan dokumen bukti mengenai hutang 1MDB dalam masa terdekat yang menunjukkan Kerajaan Malaysia bertanggungjawa kepada hutang-hutang yang dikumpul 1MDB.

RAFIZI RAMLI
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan

11 September 2014

1MDB Pindah RM7 Bilion Wang Rakyat Ke Akaun Sulit

KEADILAN memandang serius maklumat bahawa 1MDB, badan pelaburan milik rakyat yang dikawal sepenuhnya oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memindahkan sejumlah RM7 bilion dana ke akaun sulit di Cayman Island.

Maklumat ini terkandung di dalam Laporan Tahunan 1MDB dan diulas di dalam keluaran terbaru akhbar perniagaan mingguan The Edge, yang turut sama mempersoalkan kewajaran sebuah badan pelaburan milik negara memindahkan RM7 bilion ke dalam akaun rahsia di pusat kewangan pesisir pantai seperti Cayman Island.

Akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai hanya digunakan bagi urusniaga yang dirahsiakan kerana pusat kewangan pesisir pantai mempunyai undang-undang yang melindungi urusniaga sebegini walaupun berunsur jenayah atau rasuah. Sebelum ini pun, laporan antarabangsa telah mempersoalkan tokoh-tokoh yang rapat dengan Barisan Nasional seperti Mirzan Mahathir, Raja Nong Chik dan Michael Chia yang mempunyai akaun sulit di pusat kewangan pesisir pantai kerana ia disyaki bersabit dengan urusniaga yang tidak betul.

1MDB mendapat modal melalui terbitan bon sebanyak RM5 bilion yang dijamin oleh kerajaan. Dari modal ini, ia melabur di dalam beberapa pelaburan di luar negara terutamanya di dalam Petro Saudi International (PSI) yang diragui kewujudan dan aktivitinya.

Dari urusniaga dengan PSI yang penuh kerahsiaan inilah, sejumlah RM7 bilion dilaporkan dipindahkan ke akaun rahsia di Cayman Island, sebuah pusat kewangan pesisir pantai.

Pemindahan wang RM7 bilion oleh 1MDB ini perlu dijawab segera oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana beliau berkuasa penuh ke atas 1MDB. Pemindahan wang ke sebuah akaun rahsia pesisir pantai seperti Cayman Island bertentangan prinsip ketelusan dan tata kelola baik yang sepatutnya diamalkan oleh sebuah badan pelaburan kerajaan seperti 1MDB.

Saya khuatir sekiranya Barisan Nasional kalah dalam PRU13, wang RM7 bilion ini tidak dapat dijejaki dan hilang begitu sahaja, bermakna kerajaan menanggung kerugian besar ke atas hutang RM5 bilion yang diambil sebagai modal 1MDB.

Saya memberi amaran keras kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa beliau akan bertanggungjawab ke atas setiap satu sen kerugian yang ditanggung 1MDB. Pemindahan wang RM7 bilion ke akaun rahsia di Cayman Island adalah satu tindakan yang berunsurkan jenayah yang perlu disiasat segera.

Oleh yang demikian, untuk membolehkan satu siasatan dimulakan serta merta sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa dalam 2 minggu akan datang, saya akan membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia, Polis diRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada hari Rabu dan Khamis minggu ini supaya wang RM7 bilion ini dibawa balik ke Malaysia secepat mungkin dan mereka yang bertanggungjawab memindahkan wang ke akaun rahsia di Cayman Island dihadapkan ke muka keadilan.

RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

23 APRIL 2013