Category Archives: 1MDB

Peneroka FELDA dan Rakyat Akan Bayar “Gula-Gula” Yang Diumumkan Perdana Menteri

Seperti yang dijangka, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan “gula-gula” kepada peneroka-peneroka Felda, yang antara lainnya termasuk:

1. Wang tunai RM5,000 bagi setiap peneroka yang layak melibatkan peruntukan RM475 juta

2. Sumbangan untuk mengurangkan pinjaman pembelian saham FGV yang ditanggung peneroka melibatkan peruntukan RM128 juta

3. Pengurangan hutang penanaman semula peneroka sebanyak RM5,000 bagi setiap peneroka melibatkan peruntukan RM519 juta

4. Dana RM300 juta sebagai tabung pinjaman untuk membantu penanaman semula

Empat “gula-gula” utama ini melibatkan peruntukan sebanyak RM1.422 bilion pada masa Kerajaan Persekutuan dan Felda tidak mempunyai sumber kewangan.

Dato’ Seri Najib perlu memperincikan dari mana pentadbiran beliau akan memperolehi dana RM1.422 bilion ini supaya peneroka-peneroka tidak menjadi mangsa gula-gula Barisan Nasional buat kali kedua.

Perkara ini telah pun berlaku menjelang PRU13 apabila peneroka-peneroka Felda dibayar sagu hati sebanyak RM15,000 setiap keluarga kononnya sebagai “durian runtuh” akibat penyenaraian FGV. Perkara ini dilaporkan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2013 seperti yang saya sertakan di sini – “durian runtuh” sebanyak RM1,687,922,299 (2012) dan RM4,917,440 (2013); serta bayaran “one-off” kepada kerajaan negeri sebanyak RM550,000,000.

Jumlah yang dibayar sebagai “gula-gula” menjelang PRU13 ialah RM2.243 bilion dan ini dimasukkan menjadi belanja yang ditanggung Felda untuk menyenaraikan FGV.

Wang untuk membayar “gula-gula” menjelang PRU13 ini diambil dari dana Felda termasuklah sebahagian besarnya pinjaman yang dibuat oleh Felda dari KWSP, yang banyaknya disalurkan kepada FGV (seperti nota dari penyata kewangan Felda yang saya lampirkan).

Sebab itu saya menyeru peneroka-peneroka Felda dan rakyat Malaysia untuk mengambil iktibar bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib pernah menggunakan duit rakyat dan peneroka untuk menyogok peneroka dengan “gula-gula” sebelum PRU13 dahulu. Selepas PRU13, peneroka Felda dan rakyat dibebankan dengan hutang yang diambil Felda untuk menyogok peneroka Felda sehinggalah Felda berada dalam keadaan yang parah sekarang.

Saya yakin Dato’ Seri Najib kini menggunakan muslihat yang sama – menggunakan wang rakyat yang akan ditanggung oleh rakyat untuk memberi sogokan kepada peneroka. Akhirnya, wang RM5,000 yang diberikan kepada peneroka akan menjadi hutang Felda yang sama-sama ditanggung oleh peneroka kemudiannya, seperti mana telah berlaku sebelum PRU13.

Hakikatnya, Felda sudah tidak ada wang untuk diagihkan seperti ini. Selepas penyenaraian FGV yang mengundang malang, Felda menanggung hutang sekurang-kurangnya sebanyak RM8 bilion.

Dalam keadaan keberhutangan itu, dalam tahun ini Felda membeli pula pegangan dalam syarikat perladangan di Indonesia milik sahabat Dato’ Seri Najib pada harga yang berkali ganda lebih tinggi melibatkan wang sebanyak RM2.2 bilion. Jumlah RM2.2 bilion itu sudah tentu dibayar dengan hutang sekali lagi.

Maka anggaran saya Felda kini berhutang sekitar RM10 bilion dengan bayaran faedah sekurang-kurangnya RM400 juta setahun. Kedudukak kewangan Felda hanya dapat dianggarkan kerana sehingga kini, Felda belum mengedarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun 2015 dan 2016 walaupun kita sudah memasuki suku ketiga 2017.

Dalam keadaan ini, mustahil Felda mempunyai dana sendiri untuk membayar “gula-gula” pilihanraya sebanyak RM1.422 bilion ini.

Dana ini sama ada dipinjam lagi oleh Felda (yang akan diwariskan kepada peneroka kerana hutang Felda adalah hutang peneroka) atau diperuntukkan kerajaan dari kutipan GST atau wang PETRONAS – kedua-duanya bermakna lebih banyak potongan peruntukan kepada rakyat keseluruhannya kerana terpaksa dibelanjakan sebagai sogokan politik.

Yang saya paling kesali ialah pengumuman sogokan ini berpunca dari kegagalan, ketirisan, penyelewengan dan kebodohan pentadbiran Dato’ Seri Najib sendiri yang telah menyebabkan beban kepada peneroka Felda:

1. Penyenaraian FGV yang gagal telah menyebabkan peneroka Felda menanggung hutang pembiayaan pembelian saham-saham FGV sedangkan nilai saham mereka jatuh teruk. Jika Dato’ Seri Najib tidak menyenaraikan FGV seperti yang didesak oleh kami, maka masalah ini tidak akan timbul

2. Hutang penanaman semula peneroka yang mencecah lebih seratus ribu ringgit setiap peneroka berpunca dari ketirisan dan penyelewengan dalam pelantikan kontraktor serta pengurusan penanaman semula yang lemah. Jika proses ini diuruskan dengan baik oleh Felda tanpa terdedah kepada harga tender yang tinggi kepada kontraktor yang dilantik, sudah tentu peneroka tidak perlu untuk menanggung hutang-hutang ini

Dato’ Seri Najib mungkin merasakan sogokan yang diumumkan itu akan dapat mengembalikan sokongan peneroka Felda kepada Umno/BN. Beliau sepatutnya lebih bimbang bahawa rakyat keseluruhannya semakin memahami kos yang ditanggung rakyat akibat keputusan-keputusan bodoh dan penyelewengan pentadbiran beliau.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kenapa Barisan Nasional Gelabah Isu Penyenaraian Edra?

Saya memerhatikan bagaimana pimpinan Umno mula menggelabah mengenai isu penyenaraian Edra sehingga ramai menteri dan ahli parlimen Umno yang menyerang saya, sedangkan saya hanya menimbulkan satu isu yang pada saya adalah satu perkara biasa.

Amaran supaya dana awam seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, Perkeso, PNB dan Khazanah Nasional tidak membeli saham-saham Edra yang kini ingin dijual oleh syarikat milik China itu adalah supaya rakyat Malaysia tidak menanggung hutang 1MDB buat kali kedua.

Gelagat menteri-menteri Umno yang menggelabah itu memberi gambaran mereka sendiri tidak yakin saham-saham Edra akan dibeli sekiranya tabung-tabung awam tidak terlibat. Terbaru, saya membaca laporan bagaimana Menteri Kewangan Kedua dan Ahli Parlimen Setiawangsa dari Umno mengkritik saya atas desakan saya supaya dana awam tidak membeli saham-saham Edra.

Jawapan saya kepada mereka adalah sangat mudah: Jika benar saham-saham ini bernilai dan akan naik harganya di masa akan datang, kenapa syarikat China CGNPC yang memiliki Edra tidak menyenaraikannya di bursa-bursa lain yang mempunyai akses yang lebih baik kepada pelabur? Kalau betul ia benar-benar bernilai, bukankah lebih baik bekas syarikat 1MDB ini disenaraikan di New York, London, Hong Kong atau Singapura?

Gelagat menteri-menteri Umno dan media Umno yang menyerang saya mengenai penyenaraian Edra sudah cukup meyakinkan saya tindakan memboikot penyenaraian Edra adalah betul, supaya kita tidak terbeban dengan satu lagi FGV atau 1MDB.

Oleh itu, saya akan memulakan kempen di media sosial untuk mendapat seberapa ramai pencarum dan rakyat Malaysia menandatangi petisyen dan kajiselidik untuk menggesa dana-dana awam supaya tidak turut serta di dalam penyenaraian ini. Hasil dari petisyen dan kajiselidik ini akan disampaikan kepada pengurusan KWSP, KWAP, Tabung Haji dan dana awam yang lain untuk mengingatkan mereka amanah yang mereka pikul supaya mereka lebih takutkan suara rakyat daripada menuruti arahan-arahan dari Putrajaya yang mendatangkan risiko pelaburan kepada pencarum-pencarum.

Kempen media sosial ini akan dilancarkan esok, 12 Julai 2017 di laman-laman Facebook, Twitter, Instagram dan laman web biasa.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Penyenaraian Edra: Diwar-War Pelaburan Asing Dari China Tetapi Guna Duit Rakyat Malaysia?

Saya langsung tidak terkejut dengan jawapan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menolak cabaran berdebat dengan saya mengupas sama ada wang rakyat di dalam dana awam (KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, Perkeso dan lain-lain) menghadapi risiko kerugian jika dilaburkan di dalam Edra Power Holdings Sdn Bhd yang hendak disenaraikan.

Beliau memberi alasan tiada guna berdebat dengan seorang “pakar pemfitnah” dan pelbagai serangan peribadi yang lain. Saya tidak perlulah melayan serangan peribadi sebegitu kerana rakyat dapat memahami isu yang saya timbulkan berhubung penyenaraian Edra ini. Lagi pun, skandal-skandal yang saya timbulkan sejak skandal NFC lagi telah sedikit sebanyak membantu rakyat menilai prestasi pentadbiran Barisan Nasional.

Ada dua isu sebenar ekoran pengumuman cadangan penyenaraian Edra oleh syarikat tenaga milik Kerajaan China itu.

Pertama – risiko rakyat Malaysia menanggung hutang 1MDB kali kedua apabila rakyat membayar kembali wang yang “didahulukan” oleh syarikat China itu untuk membayar sebahagian dari hutang 1MDB. Saya telah terangkan risiko ini dalam dua kenyataan media yang lalu.

Kedua – risiko segala jenis pelaburan asing dari China yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sebenarnya dibiayai oleh rakyat sendiri dan bukanlah pelaburan asing sepenuhnya seperti yang diwar-warkan.

Setakat ini, Dato’ Seri Najib memberi alasan keperluan menarik pelaburan asing (terutamanya dari China) demi menjana ekonomi. Blog beliau beberapa hari lalu dengan khusus menyebut azamnya untuk mempertahankan semua pelaburan asing walaupun itu dikecam kerana menurut beliau itu satu keperluan demi kebaikan rakyat.

Saya bimbang pelaburan-pelaburan yang diumumkan ini hanyalah silap mata yang bertujuan untuk mengabui mata rakyat demi memperbaiki pandangan rakyat yang tidak puas hati dengan prestasi ekonomi negara.

Risikonya ialah sedang pelaburan-pelaburan ini diumumkan sebagai pelaburan asing, realitinya adalah berbeza: sama ada dana yang disuntik ke dalam projek-projek yang diusahakan pelabur asing itu sebenarnya diambil dari pasaran tempatan (bermakna wang rakyat Malaysia juga yang membiayainya), atau pelaburan-pelaburan itu akan menyebabkan lebih banyak wang rakyat Malaysia dan negara mengalir keluar akhirnya.

Contoh yang baik ialah pelaburan syarikat minyak Saudi Aramco yang digebangkan oleh Datuk Seri Rahman sendiri beberapa bulan lalu. Beliau mendabik dada kononnya menyelamatkan pelaburan Arab Saudi yang hampir gagal itu, tetapi apabila saya bertanyakan butir-butir perjanjian, beliau berdalih dan kemudiannya menutup mulut terus.

Sebenarnya saya dimaklumkan oleh sumber-sumber dalaman bahawa perjanjian perbekalan elektrik, wap, gas dan bahan asas lain terpaksa ditukar sehingga menyebelahi permintaan pihak Arab Saudi di saat akhir. Akibatnya, syarikat Arab Saudi itu akan mendapat pulangan pelaburan yang lebih tinggi berbanding PETRONAS kerana bekalan bahan asas yang dibekalkan oleh syarikat milik penuh PETRONAS dijual pada harga yang memberi keuntungan menyebelahi loji hiliran (downstream plants) yang dimiliki bersama dengan syarikat Arab Saudi itu.

Jika ini benar, kesan jangka panjangnya ialah lebih banyak wang Malaysia yang mengalir keluar ke Arab Saudi kerana pulangan pelaburan yang lebih tinggi, berbanding wang yang dibawa masuk ke Malaysia.

Saya menjangkakan Datuk Seri Rahman menutup mulut selepas saya menimbulkan isu ini kerana bimbang isu ini menjadi lebih besar.

Penyenaraian Edra adalah satu lagi contoh bagaimana pentadbiran Dato’ Seri Najib boleh bermain silap mata: semasa mengumumkan penjualan aset strategik penjanaan elektrik itu, Dato’ Seri Najib memberi alasan pelaburan asing sebagai salah satu sebab utama Edra dijual kepada syarikat China.

Tidak sampai 2 tahun kemudian, syarikat China itu mengumumkan hasrat mahu mengutip sehingga RM5 bilion dengan menjual saham-sahamnya di Bursa Kuala Lumpur. Jika saham-saham ini dibeli oleh pelaburan asing yang lain, maka ia kekal sebagai suntikan dana dari pelabur asing. Tetapi jika sebahagian besarnya dibeli oleh KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, Perkeso dan dana awam yang lain, ia samalah dengan memberi RM5 bilion wang rakyat kepada syarikat China itu untuk dibawa pulang ke China!

Perkara yang sama boleh berlaku kepada semua pelaburan China yang telah diumumkan oleh Dato’ Seri Najib setakat ini: dari pembangunan Bandar Malaysia hinggalah pembinaan Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL). Ada kemungkinan besar selepas dianugerahkan kontrak, syarikat-syarikat China ini akan menjual saham atau menerbitkan kertas hutang yang akhirnya dibeli oleh dana-dana awam Malaysia di dalam projek yang pada asalnya diumumkan sebagai pelaburan asing.

Akhirnya, yang berlaku ialah wang rakyat Malaysia membiayai projek yang diberikan sepenuhnya kepada syarikat China, yang menggunakan sepenuhnya pekerja dan bahan-bahan dari China; tetapi keuntungan akhirnya dibawa keluar balik ke China.

Sebab itu saya ingin mengajukan soalan kepada Datuk Seri Rahman sebagai menteri ekonomi negara: jika benar pelaburan-pelaburan asing ini telah membawa masuk wang ke dalam negara, kenapa nilai Ringgit masih lagi rendah? Secara logiknya jika pelabur asing membuat pelaburan di Malaysia, mereka perlu membawa masuk dana dalam matawang mereka yang ditukarkan menjadi Ringgit (kerana perbelanjaan projek adalah dalam Ringgit). Ini meningkatkan permintaan terhadap matawang Ringgit dan menaikkan nilainya.

Sebaliknya, walaupun beratus bilion telah diumumkan, pelaburan-pelaburan asing dari China setakat ini belum ada kesan nyata terhadap matawang Ringgit. Adakah kerana akhirnya wang yang digunakan untuk membiayai projek-projek yang diserahkan kepada syarikat-syarikat China ini datangnya dari rakyat Malaysia juga, seperti mana yang akan berlaku dengan penyenaraian Edra?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

1MDB, Jho Low Dan MO1 Yang Sabotaj Ekonomi Malaysia, Bukan Saya: Rahman Dahlan Patut Berani Berdebat Mengenai Penyenaraian Edra

Panglima utama kepada Dato’ Seri Najib Razak iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuduh saya berniat jahat dan ditafsirkan beliau sebagai usaha mensabotaj ekonomi negara. Dalam satu tulisan semalam, Datuk Seri Rahman mendakwa penglibatan 1MDB di dalam industri penjana bebas (IPP) telah berjaya menstrukturkan kembali perjanjian pembekalan tenaga bebas agar tidak berat sebelah seperti sebelum itu.

Tindakan serta-merta Datuk Seri Rahman menuduh saya cuba mensabotaj ekonomi negara (apabila saya menyeru supaya dana awam tidak terlibat di dalam penyenaraian Edra milik syarikat Kerajaan China) menunjukkan rasa cemas pentadbiran Dato’ Seri Najib mengenai cadangan penyenaraian itu. Rasa cemas itu sudah tentu berpunca dari kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa pembelian saham-saham Edra dari syarikat milik Kerajaan China oleh dana awam akan sekali lagi mengundang kemarahan rakyat.

Maka, alasan-alasan yang diberikan untuk menunjukkan “jasa” 1MDB (melalui Edra) kepada rakyat menjadi tidak keruan. Saya tunjukkan di bawah beberapa alasan yang tidak benar dan boleh dipatahkan dengan mudah:

i. Datuk Seri Rahman mendakwa oleh kerana 1MDBlah maka perjanjian pembekalan tenaga oleh penjana bebas (IPP) menjadi lebih adil lalu harga yang dibayar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada IPP adalah lebih murah. Akibatnya, keuntungan TNB meningkat berbanding sebelum ini.
(Rujuk perenggan: Berbanding mencatatkan kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan sebagaimana berlaku pada masa lampau, terma dan kadar PPA yang adil di mana melibatkan 40 peratus dari kos, kini menyumbang kepada TNB yang turut mencatatkan keuntungan berbanding sebelum ini.)

Berhubung perkara ini, saya hanya ingin mengajukan satu soalan kepada Datuk Seri Rahman untuk menunjukkan bahawa alasan ini tidak benar: jika benarlah 1MDB (melalui Edra) telah menyebabkan perjanjian IPP lebih adil dan mengurang kos menjana dan membekal elektrik kepada rakyat, kenapa tarif elektrik tidak turun selari dengan penurunan kos dan keuntungan TNB seperti yang didakwa? Sebaliknya tarif elektrik menjadi lebih tinggi sejak pembabitan 1MDB di dalam industri penjanaan elektrik bebas.

ii. Datuk Seri Rahman mendakwa oleh kerana 1MDB jugalah tanggungan subsidi gas oleh PETRONAS adalah jauh lebih sedikit berbanding sebelum itu.
(Rujuk perenggan: Manakala bil subsidi gas Petronas bagi 2015 adalah satu pertiga dari apa yang perlu ditanggung pada 2012, penjimatan sebanyak RM10 bilion. Penjimatan besar ini dibelanjakan bagi pembangunan dan kebajikan yang memanfaatkan rakyat di kala kerajaan mengekalkan kadar elektrik rendah untuk semua.)

Saya tergelak membacanya kerana jelas Datuk Seri Rahman seolah-olah beranggapan rakyat jelata mudah diperbodohkan. Kos subsidi gas yang ditanggung oleh PETRONAS (kerana gas asli dijual lebih murah kepada penjana bebas berbanding harga pasaran) turun mendadak bukanlah disebabkan oleh “jasa” 1MDB seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Rahman. Subsidi gas sekarang adalah jauh lebih rendah (berbanding tahun 2012 seperti yang didakwa) adalah kerana harga minyak mentah dunia telah jatuh mendadak sekarang berbanding tahun 2012 (lihat carta harga minyak mentah Brent di bawah, harga jatuh dari sekitar USD115 setong dalam tahun 2012 kepada sekitar USD50 setong dalam tahun 2016 – 2017).

 

Seluruh dunia tahu bahawa tarif elektrik masih kekal tinggi di Malaysia dan tidak pernah diturunkan (walaupun Datuk Seri Rahman mendakwa kos menjana elektrik turun mendadak kerana “jasa” 1MDB). Seluruh dunia juga tahu jumlah subsidi gas yang ditanggung PETRONAS turun mendadak selari dengan jatuhnya harga minyak mentah; bukannya disebabkan oleh “jasa” 1MDB.

Seluruh dunia juga tahu bahawa 1MDB menanggung hutang yang tinggi kerana membeli aset-aset penjanaan elektrik bebas dari syarikat kroni pada harga yang lebih tinggi dari nilaian. Seluruh dunia tahu aset-aset itu kemudiannya dijualkan sepenuhnya kepada syarikat milik Kerajaan China (iaitu China General Nuclear Power Corporation atau CGNPC) walaupun TNB membidanya untuk mengurangkan hutang-hutang 1MDB.

Kini, apabila CGNPC ingin menyenaraikan Edra (yang dibeli dari 1MDB) bagi tujuan mengutip kembali RM5 bilion dari jumlah asal RM9.83 bilion yang dibayar kepada 1MDB, ia samalah seperti rakyat Malaysia yang menanggung hutang 1MDB buat kali kedua jika saham-saham itu dibeli oleh dana-dana awam yang dimiliki rakyat seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, PERKESO dan Khazanah.

Oleh itu seruan saya supaya dana-dana awam jangan terlibat membeli saham Edra adalah selari dengan kemahuan rakyat yang sudah serik dengan penyenaraian FGV satu ketika dahulu dan tanggungan hutang-hutang 1MDB yang sehingga kini tidak berkesudahan.

Lagi pun, jika benarlah Edra ini satu syarikat yang mempunyai potensi keuntungan yang tinggi seperti yang diwar-warkan, saya pasti CGNPC milik Kerajaan China itu mampu menjual saham-sahamnya kepada pelabur antarabangsa yang lain dari dana-dana antarabangsa tanpa perlu bergantung kepada dana awam milik rakyat Malaysia.

Isu menghalang dana awam dari terlibat dengan penyenaraian Edra ini adalah isu utama yang perlu diberi perhatian. Saya juga mempunyai banyak lagi jawapan-jawapan dan fakta-fakta untuk membidas hujah songsang Datuk Seri Rahman mengenai isu ini.

Hakikatnya, yang mensabotaj ekonomi Malaysia bukanlah orang seperti saya yang hanya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen pembangkang untuk memastikan dana awam tidak digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi. Rakyat juga tahu bahawa pihak yang mensabotaj ekonomi Malaysia adalah Jho Low, 1MDB dan MO1 yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung hutang sehingga RM50 bilion.

Oleh itu, cara yang terbaik membincangkan perkara ini ialah melalui satu perdebatan terbuka yang disiarkan secara langsung baik di televisyen nasional (sama ada RTM, TV3 atau TV lain) dan melalui Facebook LIVE. Saya percaya banyak pihak yang berpengalaman luas menganjurkan perdebatan seperti Sinar Harian boleh menguruskan debat ini dengan cepat.

Sepatutnya jika Datuk Seri Rahman benar-benar yakin 1MDB telah banyak membantu rakyat Malaysia melalui pembabitannya di dalam industri penjanaan tenaga bebas; atau yakin bahawa potensi pelaburan di dalam Edra adalah baik (dan dana awam tidak perlu bimbang dengan risiko pelaburan), maka beliau tidak wajar gentar untuk berdepan dengan saya di dalam satu perdebatan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Institusi Pelaburan Awam Dan Dana Rakyat Perlu Jauhi Penyenaraian Edra Untuk Tidak Menanggung Hutang 1MDB Dua Kali

Berita mengenai penyenaraian saham Edra Power Holdings Sdn Bhd dilaporkan oleh Bernama pada 2 Julai 2017 yang lalu. Berita itu tidak menarik sebarang reaksi dari pimpinan politik atau orang ramai, walaupun ia membawa kesan politik dan ekonomi yang mendalam.

Saya suka mengingati orang ramai bahawa Edra Power Holdings Sdn Bhd adalah bekas anak syarikat 1MDB yang dijual kepada syarikat penjana bebas dan tenaga nuklear dari China, iaitu China General Nuclear Power Corporation. Setelah berhadapan dengan masalah hutang, pentadbiran Dato’ Seri Najib (melalui 1MDB) telah menjual aset-aset penjana elektrik di negara ini kepada syarikat milik negara China itu yang melanggar peraturan umum pemilikan penjana elektrik sehingga memerlukan pelepasan khas.

Akibatnya, syarikat milik negara China itu kini menjadi penjana bebas kedua terbesar di negara ini.

Semasa penjualan aset-aset penjanaan elektrik itu kepada syarikat milik China, pentadbiran Dato’ Seri Najib memberi alasan harga yang ditawarkan oleh syarikat itu (sebanyak RM9.83 bilion) adalah lebih tinggi dari yang ditawarkan oleh pembida terdekat iaitu TNB (sekitar RM8.6 bilion). Atas dasar itu, 1MDB memperjudikan aset strategik negara atas alasan dana yang disuntik oleh syarikat China itu boleh mengurangkan hutangnya, berbanding yang ditawarkan oleh TNB.

Sebab itu berita penyenaraian Edra untuk mengutip sehingga RM5 bilion dari pelabur di Bursa Malaysia ini adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Pertamanya, hutang-hutang yang perlu dibayar oleh 1MDB (sehingga menyebabkan aset-aset penjanaan terpaksa dijual) adalah berpunca dari pembelian aset-aset tersebut pada harga yang lebih tinggi dari pemilik asalnya (syarikat-syarikat yang rapat dengan Barisan Nasional).

Keduanya, wang yang diperolehi dari penerbitan hutang kononnya untuk menjalankan perniagaan 1MDB telah diselewengkan bagi tujuan pembelian harta peribadi dan berboros yang menyebabkan 1MDB tidak menjana apa-apa pulangan hingga hutant-hutangnya perlu ditanggung oleh pihak awam.

Oleh yang demikian, jika saham-saham yang bakal diterbitkan oleh Edra dilanggan pula oleh institusi pelaburan atau dana yang dimiliki oleh rakyat Malaysia, ini samalah seperti rakyat Malaysia menanggung hutang 1MDB dua kali:

1. Pertama – hutang pusingan pertama yang diambil oleh 1MDB dan telah diselewengkan
2. Kedua – rakyat Malaysia memberikan wang kepada pemilik Edra (China General Nuclear Power Corporation) untuk membayar kembali RM5 bilion yang telah dibayar oleh CGNPC kepada 1MDB

Maka, saya menyeru supaya institusi pelaburan awam dan dana awam terutamanya KWSP, Tabung Haji, KWAP, PERKESO, PNB, Khazanah, MARA dan semua pelaburan lain untuk memboikot dan menjauhi penyenaraian saham Edra untuk mengelakkan dana awam terjebak kali kedua di dalam skandal 1MDB.

Dato’ Seri Najib wajarlah memastikan wang yang dibayar kepada 1MDB hasil penjualan aset penjanaan elektrik kepada China General Nuclear Power Corporation kekal datang dari syarikat China itu, bukannya dibayar balik oleh rakyat Malaysia melalui penerbitan saham sebanyak RM5 bilion ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN