Category Archives: 1MDB

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Bayar RM1 Juta Kepada Bekas Pembantu Kempen Presiden Trump Untuk Melobi Kerajaan Amerika Syarikat

Saya merujuk kepada satu berita yang disiarkan oleh laman Daily Beast, sebuah portal berita dari Amerika Syarikat yang bersabit dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Semalam, laman itu menyiarkan sebuah berita mengenai bagaimana Kerajaan Malaysia (melalui sebuah syarikat) telah membayar bekas pembantu kempen Presiden Donald Trump yang bernama Healy Baumgardner-Nardone untuk menjalankan kerja-kerja melobi.

Berita penuh boleh dibaca di http://www.thedailybeast.com/articles/2017/05/24/ex-trump-aide-becomes-lobbyist-brags-about-white-house-ties?via=newsletter&source=DDAfternoon

 

Undang-undang Amerika Syarikat menetapkan bahawa sesiapa yang mahu melobi penjawat awam di negara itu bagi pihak negara asing perlu mengisytiharkan kerja-kerja melobi termasuk butiran-butiran berikut:

1. Bagi pihak siapa kerja-kerja melobi itu dibuat
2. Untuk tujuan apa kerja-kerja melobi itu dibuat
3. Berapa bayaran yang dibuat oleh kerajaan asing bagi kerja-kerja melobi itu

Pengisytiharan itu dibuat melalui satu borang rasmi yang mesti difailkan dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (Department of Justice) di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Ejen Asing (Foreign Agents Registration Act). Saya sertakan borang pengisytiharan rasmi yang difailkan oleh Healy Baumgardner-Nardone bagi kerja-kerja melobi yang dibayar oleh Kerajaan Malaysia.

Download (PDF, 191KB)

Semakan butir-butir pengisytiharan menunjukkan perkara-perkara berikut:

1. Pengisytiharan itu difailkan pada 19 Mei 2017 iaitu seminggu yang lalu

2. Pada muka surat 3, dinyatakan bahawa firma lobi itu mewakili Kerajaan Malaysia (yang berurusan) melalui sebuah syarikat bernama The Godfrey Group Limited

3. Alamat perhubungan dengan Kerajaan Malaysia disenaraikan di Godfrey Group Limited, 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek, Johor Bahru dan Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya

4. Aktiviti melobi yang dibuat merujuk kepada usaha memperkukuhkan hubungan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat

5. Pada 9 Mei 2017, Godfrey Group Limited membayar wang berjumlah USD250,000 (bersamaan RM1.125 juta) kepada firma lobi milik Healy Baumgardner-Nardone untuk kerja-kerja melobi

Saya telah dengan segera membuat satu carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengenalpasti siapa di belakang syarikat The Godfrey Group Limited yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia ini.

Malangnya, tidak ada sebuah syarikat pun yang disenaraikan sebagai The Godfrey Group Limited di dalam rekod SSM. Rekod yang paling hampir dengan nama Godfrey adalah sebuah perniagaan milik peribadi bernama Godfrey Enterprise yang mempunyai alamat yang hampir sama dengan alamat yang disenaraikan di dalam borang pengisytiharan yang difailkan di Amerika Syarikat. Alamat Godfrey Enterprise ialah 32, Jalan Molek 1/6, Taman Molek iaitu berhampiran dengan alamat yang di dalam borang iaitu 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek.

Saya sertakan carian SSM bagi Godfrey Enterprise untuk rujukan umum.

Download (PDF, 92KB)

 

Mengikut rekod, Godfrey Enterprise dimiliki oleh seorang yang bernama Lim Boon Hoo yang berusia 70 tahun. Tidak ada bukti setakat ini yang menunjukkan Lim Boon Hoo adalah seorang ahli politik atau ada hubungan dengan Kerajaan Malaysia.

Carian di Google Earth dan Google Map juga menunjukkan alamat 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek seperti yang difailkan di dalam pengisytiharan bagi pihak Kerajaan Malaysia itu adalah alamat biasa yang tidak ada sebarang kaitan dengan jabatan kerajaan:

 

Adalah jelas bahawa Kerajaan Malaysia telah melantik satu firma lobi yang dimiliki oleh bekas pembantu kempen Presiden Donald Trump, melalui sebuah syarikat yang nampaknya tidak wujud (berdasarkan bukti setakat ini).

Persoalan paling utama ialah: apakah keperluan Kerajaan Malaysia melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat? Kes yang mana yang perlu menggunakan seorang pelobi berbayar?

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat sama ada kerja-kerja lobi yang membabitkan pembayaran berjuta ringgit itu turut melibatkan kes-kes yang beliau mempunyai kepentingan peribadi; iaitu dakwaan penyelewengan melibatkan dana 1MDB terhadap anak tiri beliau dan Jho Low.

Saya juga mahu Dato’ Seri Najib menjawab siapakah sebenarnya di belakang Godfrey Group Limited yang menjalankan kerja-kerja bagi pihak Kerajaan Malaysia dan siapa yang membayar RM1.125 juta kepada firma pelobi Amerika Syarikat itu?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Wang Rakyat Digunakan Oleh Dato’ Seri Najib Untuk Membayar Pengamal Media Dan Biaya Kempen Media Sosial

Saya telah menyenaraikan penerima-penerima dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dananya berasal dari SRC International Sdn Bhd, seperti yang terkandung di dalam dokumen yang dipegang oleh Tan Sri Apandi Ali dalam satu sidang media, serta diperkuatkan lagi dengan perincian di dalam dokumen-dokumen yang menunjukkan aliran tunai yang dibocorkan di satu laman SPRMInsider yang disekat capaiannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Setakat ini, tidak ada sebarang penafian kukuh yang menunjukkan bahawa dokumen-dokumen yang dibocorkan itu adalah palsu. Juga tidak ada sebarang tindakan undang-undang atau saman yang dibuat terhadap saya oleh mana-mana individu yang saya telah namakan. Malah, Dato’ Seri Najib dan pegawai kanannya, Dato’ Amhari Effendi Nazaruddin sehingga sekarang tidak bersuara mengenai pendedahan-pendedahan ini.

Penerima-penerima yang didedahkan setakat ini adalah dari kumpulan tokoh politik Barisan Nasional dan pembangkang, parti politik Barisan Nasional dan pembelian barang kemas.

Satu lagi kumpulan penerima ialah dari kalangan pengamal media dan syarikat media sosial.

Saya sertakan nama-nama pengamal media dan syarikat media sosial yang disenaraikan di dalam dokumen penerima dana dari Dato’ Seri Najib seperti petikan skrin di bawah:

Saya telah tunjukkan 3 orang penerima yang saya yakin adalah pengamal media atau syarikat yang bertanggungjawab menguruskan kempen media sosial atau kempen media Umno/Barisan Nasional, atau pun kempen Dato’ Seri Najib sendiri, seperti berikut:

1. Pada 22 Julai 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM1 juta kepada satu firma bernama Warisan Research PLT

2. Pada 19 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM655,000 kepada seorang rakyat Singapura bernama Romen Bose yang juga merupakan wakil media antarabangsa di negara ini

3. Pada 27 Ogos 2014, maklumat dari dokumen yang dibocorkan menunjukkan Dato’ Seri Najib membayar dari akaun peribadinya sejumlah RM2 juta kepada satu firma bernama Orb Solutions Sdn Bhd

Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa Orb Solutions Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh penasihat kanan Dato’ Seri Najib di Jabatan Perdana Menteri bernama Dato’ Amhari Effendi Nazaruddin. Semakan menunjukkan syarikat ini bertanggungjawab membangunkan aplikasi “Najib Razak” yang pernah menjadi kontroversi sebelum ini. Setakat ini, Dato’ Amhari atau syarikat ini tidak menafikan sebarang maklumat ini berhubung penerimaan wang atau penglibatannya di dalam aplikasi “Najib Razak”.

Maklumat lanjut mengenai Romen Bose didedahkan oleh Sarawak Report dua hari lalu. Dalam laporan bertajuk “Najib Paid RM655,000 of 1MDB’s Stolen Cash To ‘Media Warfare’ and ‘Monitoring’ Expert!”, portal itu mendedahkan bahawa:

i. Romen Bose adalah seorang rakyat Singapura yang bertugas sebagai wartawan dengan AFP, sebuah agensi berita antarabangsa

ii. Dalam bulan Mac 2012, Romen Bose bertanggungjawab menubuhkan Foreign Correspondets Club (FCC) iaitu kelab wartawan asing di negara ini dan menjemput Dato’ Seri Najib melancarkannya

iii. Semakan Sarawak Report juga menunjukkan sekitar April 2015, syarikat milik Romen Bose iaitu Nevis Associates Limited, mengiklankan jawatan kosong di pejabatnya di Kuala Lumpur. Jawatan yang diiklankan ialah “political and media warfare strategist” atau pakar propaganda media dan politik

Syarikat yang ketiga mendapat bayaran dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib ialah Warisan Research PLT sebanyak RM1 juta.

Semakan saya mendapati ia sebuah firma yang menjalankan kempen media sosial bagi pihak pelanggannya, seperti yang ditunjukkan dari profail LinkedIn seorang yang bernama Noryusmiza Nasir yang berkhidmat sebagai penyelidik kanan di Warisan Research PLT.

Saya sertakan maklumat lanjut mengenai Noryusmiza Nasir dan Warisan Research PLT seperti berikut:

 

i. Noryusmiza Nasir adalah anggota Umno Titiwangsa, malah mengiklankan dirinya sebagai “social media analyst” atau penganalisa media sosial Umno Titiwangsa. Gambar-gambar beliau di dalam aktiviti Umno bersama-sama YB Dato’ Seri Johari Ghani juga ada dipaparkan di Facebook beliau

ii. Beliau bertugas sebagai penyelidik kanan di Warisan Research PLT di antara November 2013 hingga Februari 2015 seperti berikut:

iii. Tugas utama beliau ialah menghasilkan kandungan untuk media sosial, selain membangunkan sistem untuk melakukan analisa ke atas kandungan media sosial

Download (PDF, 545KB)

Saya percaya individu-individu yang dinamakan ini tidak akan menafikan pendedahan-pendedahan ini atau mengemukakan bukti bahawa pendedahan ini tidak benar.

Yang saya paling tertarik ialah bagaimana Dato’ Seri Najib membayar firma-firma dan pengamal media untuk menulis dan memantau kandungan media sosial. Ini bukanlah mengejutkan kerana rakyat Malaysia telah menerima kewujudan “cyber trooper” Umno yang banyak mewujudkan akaun-akaun palsu (termasuklah menggunakan identiti orang yang sudah mati) untuk membodek Dato’ Seri Najib dan menyerang pembangkang.

Fenomena media sosial seperti #supportMyPM yang banyak ada di laman Dato’ Seri Najib sendiri mengesahkan kewujudan tentera maya palsu ini.

Namun, pendedahan saya pada hari ini adalah yang pertama yang menunjukkan bukti bagaimana wang rakyat digunakan untuk membayar syarikat-syarikat untuk menjalankan kerja-kerja propaganda media sosial.

Persoalan saya:

Saya yakin ini bukan yang pertama dan terakhir. Kita mahu tahu berapa banyak wang dan peruntukan yang telah digunakan oleh Dato’ Seri Najib, baik dari akaun beliau sendiri atau dari peruntukan kerajaan untuk membayar cyber trooper upahan atau syarikat-syarikat yang menggaji cyber trooper upahan, dengan menggunakan wang rakyat?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Ketua-Ketua Bahagian UMNO Dan Parti Dari Barisan Nasional Yang Menerima Wang Dari Dato’ Seri Najib Perlu Pulangkan Kembali Wang Kerana Itu Duit Rakyat

 

Laporan Malaysiakini semalam memetik bahawa Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali enggan mengulas apabila ditanya sama ada dokumen-dokumen yang saya dedahkan (berasal dari satu laman yang disekat di Malaysia iaitu SPRMInsider) adalah benar.

Apabila beliau enggan menjawab dan menukar topik kepada isu lain setelah ditanya mengenai dokumen itu, secara tidak langsung beliau mengesahkan kesahihan dokumen-dokumen itu.

Sebelum ini, pihak berkuasa tidak pernah berlengah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap saya walaupun isu yang saya bawa itu adalah berkenaan kepentingan awam.

Minggu ini, saya menghabiskan masa selama seminggu secara berterusan untuk 2 kes berbeza yang dibawa Peguam Negara:

1) dakwaan di bawah BAFIA berkenaan pendedahan saya mengenai skandal NFC melibatkan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil

2) dakwaan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kononnya menyebarkan berita buruk mengenai Tabung Haji atas pendedahan saya bahawa rizab Tabung Haji telah menjadi negatif seperti yang terkandung di dalam surat mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz

Oleh itu, jika ada sedikit pun yang tidak benar mengenai dokumen SPRMInsider dan pendedahan-pendedahan yang saya telah buat setakat ini, saya yakin saya telah pun ditangkap dan didakwa.

Bukan itu sahaja, tidak ada seorang pun yang saya telah dedahkan menerima wang dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak yang telah membuat laporan polis atau menyaman saya atau menafikan dengan bukti.

Individu-individu paling penting (seperti berikut) pun tidak menafikan pendedahan saya:

1) Dato’ Seri Najib tidak menafikan membelanjakan RM3.2 juta di kedai barang kemas mewah yang bernama De Grisogono di Itali dalam satu hari yang dibayar dengan wang yang berasal dari SRC

2) Dato’ Amhari Nazaruddin, pegawai khas Dato’ Seri Najib tidak menafikan syarikatnya Orb Solutions Sdn Bhd menerima RM2 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib dari wang yang berasal dari SRC

3) Bank Negara Malaysia tidak menafikan bagaimana seorang yang bernama Ariffin Salleh telah menunaikan cek tunai bernilai RM43 juta dalam masa 3 minggu dalam Januari 2015 yang sudah tentu dikesan oleh Bank Negara; wang itu berasal dari SRC dan disyaki dari suntikan dana dari Tabung Haji

4) Tabung Haji sehingga kini tidak mengeluarkan satu pun kenyataan menafikan penglibatannya dalam keseluruhan pindahan wang keluar masuk ke akaun SRC melalui suntikan dana RM193.5 juta ke dalam Putra Perdana Berhad, yang mana anak-anak syarikatnya digunakan untuk “melapiskan” pindahan wang SRC ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib

Apabila tidak ada seorang pun yang saya telah namakan secara terbuka menafikan atau membuat laporan polis, saya semakin yakin bahawa kesemua pendedahan itu dari dokumen SPRMInsider adalah benar.

Apatah lagi apabila Peguam Negara sendiri enggan menafikan kesahihan dokumen itu dan menukar tajuk perbualan apabila ditanya.

Maka, pada hari ini saya ingin meneruskan pendedahan mengenai individu dan pihak lain yang menerima wang secara terus dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib seperti yang didedahkan melalui dokumen-dokumen tersebut.

Rujuk paparan skrin yang ditunjukkan, iaitu senarai penerima-penerima dari kalangan pimpinan Umno dan Barisan Nasional.

Berdasarkan dokumen itu, ada 8 urusniaga yang boleh dikenalpasti terus bahawa penerimanya adalah bahagian-bahagian Umno sendiri, atau parti Barisan Nasional atau pun individu yang merupakan pemegang jawatan di dalam Umno.

Saya senaraikan penerima-penerima wang SRC (yang bermula dari wang pencen rakyat) seperti yang terkandung di dalam dokumen SPRMInsider yang berkait dengan Umno:

i. Pada 22 Julai 2014, Barisan Nasional Bandar Tun Razak dilaporkan menerima RM170,000 dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

ii. Pada 22 Julai 2014, UMNO (saya andaikan ini ibupejabat UMNO) dilaporkan menerima RM1.5 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

iii. Pada 24 Julai 2014, UMNO Pulau Pinang dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

iv. Pada 26 Ogos 2014, UMNO (saya andaikan ini ibupejabat UMNO) dilaporkan menerima RM5 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

Wang ini datangnya dari SRC yang dipindahkan ke dalam beberapa syarikat sebelum sampai ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib.

Dalam bulan Februari 2015, ada beberapa bayaran lagi kepada parti Barisan Nasional atau tokoh-tokoh/bahagian Umno seperti berikut:

i. Pada 17 Februari 2015, parti UPKO dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib. Nama naib presiden UPKO, YB Datuk Dr Marcus Mojigoh disenaraikan sebagai individu yang bertanggungjawab

ii. Pada 17 Februari 2015, seorang bernama Asmadi Talib dilaporkan menerima RM50,000 dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib. Semakan mendapati Ketua Umno Padang Serai, Kedah adalah seorang yang bernama Asmadi Talib

iii. Pada 26 Februari 2015, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dilaporkan menerima RM1 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib

iv. Pada 3 Mac 2015, Umno Bahagian Johor Bahru dilaporkan menerima RM300,000 dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib

Pembayaran di dalam Februari 2015 adalah lebih sensitif kerana dalam bulan Disember 2014, anak-anak syarikat Putra Perdana Berhad telah memasukkan wang sejumlah RM140 juta ke dalam akaun SRC bagi menggantikan wang yang telah diambil beberapa bulan sebelum itu. Dalam bulan Disember 2014 juga, Tabung Haji telah menyuntik sebanyak RM193.5 juta wang ke dalam kumpulan Putra Perdana Berhad.

Ini menimbulkan tanda tanya besar sama ada wang yang dipindahkan dari SRC ke akaun Dato’ Seri Najib selepas Disember 2014 adalah dana dari Tabung Haji, yang kemudiannya dilaporkan digunakan untuk membayar parti Barisan Nasional seperti UPKO dan tokoh-tokoh/bahagian Umno yang lain.

Jumlah yang dipindahkan dari akaun Dato’ Seri Najib kepada tokoh-tokoh Umno, Umno sendiri dan parti-parti Barisan Nasional adalah RM10,020,000 seperti senarai di atas.

Saya dengan ini mendesak supaya semua yang dinamakan di atas memberi maklumbalas mengenai dokumen ini dan membersihkan nama mereka.

Saya juga menggesa supaya mereka memulangkan kembali wang ini kepada SRC, terutamanya UPKO yang berisiko tinggi berkemungkinan besar menerima wang Tabung Haji untuk perbelanjaannya; jika mereka tidak dapat membuktikan mereka tidak menerima wang ini seperti yang didedahkan dokumen.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

RM43 Juta Dana SRC Dikeluarkan Secara Tunai, Siapa Dapat Wang Ini?

lPada 21 Julai 2015, SPRM menahan seorang lelaki bernama Ariffin Ismail Shahul Hamid (No KP: 870627-14-5019) dalam siri tangkapan beberapa orang saksi untuk membantu siasatan ke atas 1MDB. Berita itu dilaporkan secara meluas di dalam dan luar negara, seperti mana laporan dari Straits Times yang boleh dicapai di http://www.straitstimes.com/asia/fourth-man-arrested-in-task-forces-probe

Beliau adalah salah seorang dari 5 orang yang ditahan oleh SPRM sepanjang siasatan ke atas 1MDB sebelum siasatan itu ditamatkan serta merta apabila Peguam Negara ditukar, kepimpinan siasatan ditukar dan akhirnya badan siasatan bersama 4 agensi (Peguam Negara, SPRM, PDRM dan Bank Negara dibubarkan.

Saya telah menyemak seberapa banyak sumber dan rujukan awam. Setakat ini tidak ada satu laporan pun yang memberi gambaran peranan Ariffin Ismail Shahul Hamid dan kenapa beliau ditahan di dalam siasatan tersebut.

Dengan bocornya dokumen yang dimuatnaik oleh SPRM Insider yang saya mula dedahkan sejak semalam, peranan dan penglibatan Ariffin Ismail Shahul Hamid menjadi begitu jelas dan mengesahkan kenapa beliau antara orang yang paling awal ditahan oleh SPRM dua tahun lalu.

Saya rujuk kepada Diagram 4 dan Diagram 5 dari dokumen tersebut (yang dipaparkan di skrin) seperti berikut:


Diagram 4 menunjukkan aliran dana dari akaun SRC International Sdn Bhd (“SRC”) di antara 9 Januari 2015 hingga 20 Januari 2015 seperti berikut:

Pada 9 Januari 2015, sebanyak RM39.7 juta dipindahkan dari akaun SRC ke akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd

Pada hari yang sama (9 Januari 2015), Gandingan Mentari Sdn Bhd memindahkan RM40 juta ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd

Pada 13 Januari 2015, Ihsan Perdana Sdn Bhd mengeluarkan 7 cek kepada sebuah perniagaan persendirian bernama Mail Global Resources, setiap satu cek bernilai RM5 juta menjadikan jumlah cek kepada Mail Global Resources bernilai RM35 juta pada hari itu

Di antara 15 Januari 2015 hingga 20 Januari 2015, pemilik Mail Global Resources yang bernama Ariffin Ismail Shahul Hameed telah mengeluarkan secara tunai sejumlah RM35 juta dengan menunaikan cek tunai kepada diri beliau sendiri; iaitu 69 keping cek tunai bernilai RM500,000 setiap satu, 1 keping cek tunai bernilai RM400,000 dan 1 keping cek tunai bernilai RM100,000


Diagram 5 menunjukkan aliran dana dari akaun SRC International Sdn Bhd (“SRC”) di antara 24 Disember 2014 hingga 31 Disember 2014 seperti berikut:

Pada 24 Disember 2014, SRC memindahkan RM40 juta ke akaun Gandingan Mentari Sdn Bhd

Pada hari yang sama (24 Disember 2014), Gandingan Mentari Sdn Bhd memindahkan RM40 juta ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd

Pada 29 Disember 2014, sejumlah RM8 juta dipindahkan ke akaun berlainan di dalam Ihsan Perdana Sdn Bhd

Pada 30 Disember 2014, RM8 juta yang dipindahkan ke akaun berlainan telah dipindahkan pula dari Ihsan Perdana Sdn Bhd kepada Mail Global Resources

Pada 13 Januari 2015, Ihsan Perdana Sdn Bhd telah mengeluarkan 7 keping cek bernilai RM7 juta setiap satu kepada Mail Global Resources, menjadikan jumlah pindahan kepada Mail Global Resources sebanyak RM35 juta

Pada 31 Disember 2014, pemilik Mail Global Resources iaitu Ariffin Ismail Shahul Hameed telah mengeluarkan secara tunai sejumlah RM8 juta dengan menunaikan 16 keping cek tunai bernilai RM500,000 setiap satu

Kedua-dua diagram diagram 4 dan 5 seperti yang diterangkan di atas menunjukkan bahawa dalam tempoh 3 minggu di antara 31 Disember 2014 hingga 20 Januari 2015, Ariffin Ismail Shahul Hameed telah mengeluarkan secara tunai sejumlah RM43 juta yang berasal dari SRC.

Saya telah menyemak dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan dapat mengesahkan bahawa Mail Global Resources didaftarkan di SSM dan dimiliki oleh Ariffin Ismail Shahul Hameed, seperti dokumen SSM di bawah:


Tanda tanya yang paling besar ialah sumber sebenar dana SRC yang telah disalurkan kepada Ariffin Ismail Shahul Hameed dan kemudian dikeluarkan secara tunai oleh beliau.

Pendedahan dan laporan-laporan lain setakat ini mengesahkan bahawa sejumlah RM140 juta telah dikembalikan kepada SRC dalam bulan Disember 2014 oleh Putra Perdana Development Sdn Bhd sebagai bayaran kepada dana yang dipindahkan oleh SRC kepada Putra Perdana Development Sdn Bhd beberapa bulan sebelum itu.

Sekitar masa yang sama (Disember 2014), Tabung Haji telah membeli 30% pegangan di dalam syarikat induk Putra Perdana Berhad dan menyuntik sejumlah RM193.5 juta ke dalam Putra Perdana Berhad, yang menimbulkan tanda tanya sama ada sebahagian dari wang RM193.5 juta itulah yang dipindahkan ke akaun SRC dan kemudiannya dipindahkan dan ditunaikan oleh Ariffin Ismail Shahul Hameed?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

SPRM Perlu Sahkan Senarai Penerima Dana SRC Yang Masuk Dari Akaun Peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak

Walaupun tumpuan kepada kes yang melibatkan wang dari akaun SRC International Sdn Bhd (“SRC”) masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak semakin pudar, saya secara berterusan mengumpul maklumat untuk memastikan kes ini akan tetap dibawa ke muka keadilan satu hari nanti.

Saya tahu selagi Dato’ Seri Najib berkuasa, kes ini tidak akan diambil tindakan. Tetapi ia tidak wajar dibenarkan mati begitu sahaja kerana ia melibatkan RM4 bilion dana pencen rakyat yang kesannya pasti akan dirasai oleh warga emas dan keluarga mereka kelak.

Saya secara berterusan mengumpul maklumat dan menyemak maklumat-maklumat yang ada untuk membawanya kepada rakyat. Saya tahu jika rakyat dilalikan dengan isu-isu lain (baik politik, kesusahan hidup atau hiburan), rakyat akan lupa dan kes ini boleh berkubur begitu sahaja.

Sebab itu saya menamakan Dato’ Dr Nasharuddin Mat Isa sebagai salah seorang penerima dana SRC yang masuk melalui akaun peribadi Dato’ Seri Najib kerana saya mahu melihat reaksi pimpinan kanan SPRM. Saya yakin bahawa maklumat itu benar dan telah membuat Akuan Berkanun mengenainya, jika saya membuat cerita SPRM sudah tentu menafikannya dengan sekeras-kerasnya dan terus menahan saya untuk didakwa.

Sehingga sekarang, tidak ada penafian atau sebarang reaksi dari pimpinan kanan SPRM kecuali kemaskini kes melalui sistem atas taliannya yang memaklumkan bahawa SPRM sedang mengambil tindakan ke atas maklumat mengenai aliran dana yang saya telah berikan kepada SPRM baru-baru ini.

Pada pandangan saya, ini bermakna bahawa dokumen-dokumen lain mengenai kes-kes melibatkan Dato’ Seri Najib dan dana 1MDB/SRC yang sebelum ini pernah cuba disiarkan tetapi dihalang dari disebarkan; wajar dibawa kembali untuk diketengahkan kepada rakyat supaya SPRM membuka kembali kes dan membuat siasatan lanjut.

Salah satu dari dokumen yang paling lengkap mengenai aliran dana yang mengalir dari akaun SRC ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib pernah disiarkan oleh satu laman SPRM Insider di capaian sprminsider.blogspot.co.uk

Laman ini telah lama dihalang capaiannya oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika orang ramai cuba melayari laman tersebut sekarang, anda akan mendapat notis berikut:

Walau bagaimana pun, laman tersebut masih boleh dicapai dengan cara tertentu dan saya telah mengambil petikan skrin untuk menunjukkan ia masih lagi beroperasi dan belum ditutup:

Dokumen yang dimuatnaik pada 1 Oktober 2016 itu mempunyai 10 mukasurat itu diedarkan kepada pihak media dan orang ramai pada hari ini. Dokumen itu memperincikan transaksi wang keluar masuk dari pelbagai syarikat dan individu yang membabitkan Dato’ Seri Najib dan dana SRC (yang diambil dari Kumpulan Wang Amanah Persaraan).

Saya telah menyemak perkara-perkara berikut untuk memastikan maklumat di dalam dokumen itu bukan rekaan:

1. Segala transaksi telah disemak satu persatu kepada kertas yang dipegang oleh Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang memperincikan aliran dana dari SRC melalui beberapa syarikat sebelum sampai ke akaun Dato’ Seri Najib. Semua maklumat di dalam dokumen yang dimuatnaik di SPRM Insider ini tepat seperti yang terkandung di dalam kertas yang dipegang Tan Sri Apandi Ali

2. Nama-nama syarikat dan individu yang dinamakan telah dikenalpasti dan disemak dengan maklumat umum (baik dengan Suruhanjaya Syarikat atau keratan berita atau carian lain). Semua individu yang dinamakan wujud dan sebahagian besarnya ada kaitan dengan Umno; atau Dato’ Seri Najib; atau merupakan syarikat-syarikat pembekal

Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman profesional saya, maklumat-maklumat yang terkandung di dalam dokumen yang didedahkan oleh laman SPRM Insider itu berkemungkinan besar adalah benar berdasarkan perkara-perkara berikut:

i. Jika ia tidak benar, tiada sebab kenapa SKMM mengambil keputusan untuk menghalang capaian ke laman tersebut

ii. Semua maklumat yang terkandung setakat ini konsisten dan sepadan dengan maklumat-maklumat sulit yang telah diketahui umum termasuk nama-nama syarikat yang digunakan untuk “melapiskan” pindahan wang ke akaun Dato’ Seri Najib iaitu Gandingan Mentari SB, Ihsan Perdana SB dan anak-anak syarikat kumpulan Putra Perdana Berhad

iii. Maklumat yang terkandung di dalam dokumen ini merupakan maklumat rumit yang begitu sulit seperti nombor akaun, nama syarikat yang khusus, individu yang khusus dan pemindahan wang pada tarikh-tarikh yang khusus. Maklumat seperti ini adalah begitu rumit dan tidak mudah untuk direka-reka kerana angka dan maklumatnya perlu konsisten dan sepadan di dalam semua dokumen. Setakat ini semua angka ini adalah sepadan

Sebagai tindakan nekad saya untuk membina kembali momentum agar SPRM membuka kembali siasatan terhadap Dato’ Seri Najib mengenai kes SRC, berdasarkan maklumat di dalam dokumen SPRM Insider itu, saya ingin menarik perhatian orang ramai dan pihak media kepada beberapa nama/pembekal yang menerima bayaran dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib (seperti yang terkandung di dalam dokumen tersebut).

Saya menyeru nama-nama berikut terlebih dahulu tampil ke hadapan untuk menjelaskan sama ada mereka ada menerima wang dari akaun Dato’ Seri Najib seperti yang didakwa di dalam dokumen SPRM Insider tersebut:

i. Dato’ Amhari Effendi Nazaruddin, pengarah dan pemegang 50% saham di dalam Orb Solutions Sdn Bhd – mengikut dokumen, pada 27 Ogos 2014, Orb Solutions Sdn Bhd menerima RM2 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011906.

Download (PDF, 221KB)

Untuk rekod, Dato’ Amhari adalah penasihat kanan Dato’ Seri Najib dan namanya disebut-sebut sebagai pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri yang terlibat di dalam rundingan dengan IPIC yang menyebabkan Kerajaan Malaysia terpaksa membayar sehingga RM15 bilion kepada IPIC.

Carian dan semakan juga menunjukkan bahawa Orb Solutions Sdn Bhd adalah syarikat yang membangunkan aplikasi Najib Razak yang dilancarkan tahun lepas.

ii. Dato’ Seri Najib – mengikut dokumen, pada 8 Ogos 2014, ada bayaran berjumlah RM449,586.95 dari kredit kad bernombor 4585 8180 0000 5496 yang dibayar dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011880. Pada hari yang sama, ada satu lagi bayaran berjumlah RM2,833,147.21 yang dibayar dari kad kredit bernombor 5289 4380 0003 8961 yang dibayar dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011880.

Kedua-dua perbelanjaan mencecah RM3.28 juta dalam tempoh satu hari ini dibuat di sebuah kedai barang kemas mewah bernama De Grisogono di Itali (seperti carian internet di bawah).

Dato’ Seri Najib perlu tampil ke hadapan menjelaskan sama ada perbelanjaan sebanyak RM3.28 juta yang dibayar dari akaun peribadi beliau menggunakan wang pencen rakyat adalah untuk membeli barang kemas mewah kepada isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor?

iii. Yayasan Al Abrar – mengikut dokumen, pada 21 Ogos 2014, Yayasan Al Abrar menerima RM5 juta dari akaun peribadi Dato’ Seri Najib di AmIslamic Bank Berhad bernombor 2112022011906. Semakan menunjukkan Yayasan Al Abrar juga bertanggungjawab menganjurkan majlis “Malaysia Bersalawat” pada 7 Disember 2013 seperti keratan akhbar di bawah:

Saya akan terus mendedahkan nama-nama mereka yang disenaraikan di dalam dokumen itu dan mendesak supaya SPRM tidak terus berdiam diri. Dengan kemungkinan besar bahawa dokumen ini dibocorkan dari siasatan SPRM sendiri, SPRM perlu berdepan dengan rakyat jika tiada tindakan diambil ke atas Dato’ Seri Najib walaupun maklumat-maklumat ini secara jelas menunjukkan ada asas yang cukup kukuh untuk membuka kembali siasatan ke atas Dato’ Seri Najib.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN