Kajiselidik Buktikan Rakyat Mahu Ahli Politik Isytihar Harta

Berikutan polemik mengenai cadangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menguatkuasakan satu akta mengawal sumbangan kepada parti politik, saya telah membuat satu kajiselidik atas talian.

Latar belakang 727 responden yang menyertai kajiselidik ini adalah seperti berikut:

1 – 60% adalah dari kalangan responden yang memperkenalkan diri sebagai penyokong parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, PAS dan Bersatu

2 – Sekitar 40% adalah dari kalangan responden yang memperkenalkan diri sebagai atas pagar atau tidak mahu menyatakan mereka menyokong parti mana. Sebahagian dari mereka yang tidak mahu menyatakan kecenderongan mengundi adalah penyokong Barisan Nasional

Dapatan-dapatan yang jelas menunjukkan sentimen umum mahukan pengisytiharan harta oleh ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi secara langsung membuktikan rakyat tidak percaya dengan tindakan Dato’ Seri Najib memperkenalkan akta untuk mengawal sumbangan kepada parti-parti politik.

Paling ketara, sekitar 60% responden mengakui pemgisytiharan harta mempengaruhi keputusan mengundi calon lain.

Saya sertakan dapatan penuh untuk diteliti oleh orang ramai.


Oleh itu, saya akan mengisytiharkan harta bagi tahun 2016 esok jam 12 tengahari di INVOKESpace dalam satu sidang media yang boleh juga ditonton secara LIVEFB di laman page Rafiziramli.

Saya menyeru seberapa ramai wakil rakyat supaya mula mengisytiharkan harta secara sukarela selepas ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kerosakan Hutan Simpan Di Pekan: Dato’ Seri Najib Wajar Jawab Bagaimana 4,829 Hektar Hutan Simpan Boleh Diterokai

Minggu lepas, saya telah duduk berbincang dengan seorang pemberi maklumat mengenai kerosakan hutan simpan di Pahang yang beliau minta saya dan Ahli Parlimen Kuantan, Hajjah Fuziah Salleh sama-sama bongkarkan kepada orang ramai demi mengelakkan pelbagai malapetaka yang boleh berlaku akibat kerosakn tersebut.

Beliau telah menunjukkan secara terperinci peta-peta yang diperolehi dari gambar-gambar satelit yang kemudiannya dipadankan dengan peta perhutanan dari Jabatan Perhutanan dan maklumat persempadanan dan pewartaan tanah dari pejabat-pejabat tanah. Hasilnya ialah sebuah peta yang menunjukkan:

1. Sempadan hutan simpan yang diwartakan mengikut setiap daerah di Pahang

2. Keadaan sebenar muka bumi hutan simpan tersebut mengikut jalur warna: merah bermakna pokok telah ditebang dan diterokai sementara hijau bermakna hutan simpan masih dikekalkan

Saya telah menyemak peta-peta ini dengan peta yang diperolehi dari industri pembalakan melalui beberapa orang individu yang saya kenali dan ada asas yang kukuh bahawa peta-peta dari gambar-gambar satelit yang dibekalkan oleh pemberi maklumat ini adalah benar.

Saya telah berbincang dengan YB Fuziah Salleh dan bersetuju bahawa isu pembalakan atau pencerobohan hutan yang berlaku di Pahang perlu dibawa ke pengetahuan umum. Bukan sahaja ia satu aktiviti jenayah yang mencuri harta rakyat, ia mendatangkan kesan kepada alam sekitar yang menyumbang kepada fenomena banjir pada skala besar yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Saya sertakan peta kawasan-kawasan hutan simpan di daerah Pekan yang diwakili oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia. Di dalam daerah Pekan, mengikut maklumat dari Jabatan Perhutanan Pahang dan maklumat-maklumat lain, terdapat 8 hutan simpan yang diwartakan seperti berikut:

1. Kedondong
2. Pekan
3. Pekan (Tambahan)
4. Sg. Miang (Paya Laut)
5. Bebar (Paya Laut)
6. Nenasi
7. Resak
8. Resak (Tambahan)

Rujuk kepada peta di atas dari imej satelit, saya telah tandakan kawasan-kawasan yang telah diwartakan sebagai hutan-hutan simpan Pekan (Tambahan) dan Kedondong tetapi imej satelit menunjukkan kawasan hutan ini telah diterokai (ditandakan dengan warna merah berbanding hijau yang belum diterokai.

Malah, keadaan yang sama berlaku di kawasan hutan simpan yang lain di Pekan. Maklumat dari kajian pemetaan yang telah diserahkan kepada saya menunjukkan pencerobohan dan penerokaan berlaku di kesemua 8 hutan simpang di daerah Pekan yang melibatkan anggaran keluasaan 4,829 hektar hutan simpan.

Saya menunggu maklumbalas peribadi dari Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana ini adalah di dalam parlimen beliau sendiri dan berlaku di bawah pengawasan beliau.

Saya juga ada maklumat lanjut mengenai perkara yang sama di seluruh negeri Pahang dan akan mendedahkan satu persatu bagi setiap daerah di Pahang sehinggalah ada maklumbalas yang kukuh dan tindakan diambil untuk menghentikan pencerobohan ini.

Saya juga akan terus menyiasat untuk menentukan siapakah sebenarnya dalang di belakang kegiatan pencerobohan ini dan meneliti segala kelemahan pengurusan hutan sehingga menyebabkan berleluasanya aktiviti pencerobohan sebegini.

Paling penting, inilah sebenarnya tugas seorang ahli parlimen seperti saya dan Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu menjaga khazanah rakyat. Hakikat bahawa perkara ini berlaku di dalam kawasan parlimen beliau sendiri menimbulkan tanda tanya sama ada beliau mengambil berat perkara-perkara seperti ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Perletakan Jawatan Sebagai Setiausaha Agung KEADILAN 


25 November 2016

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat.

(disampaikan dengan tangan)

PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG EKORAN KEPUTUSAN MAHKAMAH KES AKTA RAHSIA RASMI

Saya mendoakan Dato’ Seri Presiden dan Ketua Umum terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah SWT dalam memikul amanah kepimpinan yang digalas.

Pada 14 November 2016, saya telah dijatuhkan hukuman bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dalam dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ini bermakna saya hilang kelayakan di sisi undang-undang untuk bertanding di dalam sebarang pilihanraya dan memegang jawatan di dalam sebuah pertubuhan politik seperti KEADILAN sekiranya rayuan saya ditolak kelak.

Walaupun proses rayuan masih berjalan, saya memandang berat keperluan KEADILAN membina sebuah jentera pentadbiran dan organisasi parti yang kukuh sebagai persiapan menghadapi PRU14. Jika saya terus memegang jawatan Setiausaha Agung, ketidaktentuan kelayakan saya di sisi undang-undang boleh memberi ruang kepada musuh politik kita menggunakannya untuk membantutkan persediaan parti. Saya tidak mahu faktor saya dijatuhkan hukuman mendatangkan risiko tambahan yang perlu ditangani parti.

Oleh yang demikian, saya dengan penuh rasa syukur ingin memulangkan kembali amanah yang telah Dato’ Seri Presiden berikan kepada saya sejak Oktober 2014 kepada budi bicara Dato’ Seri Presiden. Saya bersyukur di atas kepercayaan yang telah diberikan dan berharap beberapa pembaharuan pentadbiran yang saya perkenalkan termasuk menaiktaraf sistem keanggotaan dan organisasi parti telah berjaya membantu parti.

Saya dengan ini memaklumkan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung KEADILAN berkuatkuasa hari ini Jumaat, 25 November 2016.

Oleh yang demikian, saya kini kekal sebagai salah seorang Naib Presiden yang dipilih oleh anggota parti dan akan terus melaksanakan tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin. Mandat sebagai Naib Presiden telah diberikan oleh anggota, maka saya akan terus menjawatnya sehinggalah proses undang-undang memuktamadkan kedudukan saya di sisi undang-undang kelak.

Saya ingin merakamkan terima kasih kepada Dato’ Seri Presiden, Ketua Umum dan semua anggota parti yang telah memberi sepenuh kerjasama kepada saya sepanjang saya melaksanakan amanah sebagai Setiausaha Agung.

Saya akan memfokuskan kepada kerja-kerja merekrut dan melatih sukarelawan pilihanraya untuk memenangi kerusi-kerusi yang dimenangi tipis oleh Barisan Nasional; seperti yang telah dibincangkan sebelum ini dengan Dato’ Seri Presiden dan Ketua Umum.

Saya mendoakan Allah SWT sentiasa memberi petunjuk kepada kita agar tidak menyempang dari matlamat asal dan terus kekal membela rakyat dengan melawan mereka yang memangsakan rakyat.

Wassalam.

DEMI RAKYAT
Saya yang menjalankan amanah


RAFIZI RAMLI
Setiausaha Agung/Naib Presiden

Rang Undang-undang 355 Mati Sekali Lagi Dek Mainan Umno (Lintas Langsung Parlimen)

(Saya menulis ini secara langsung dari Parlimen yang sedang bersidang sekarang)

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan pindaan kepada usul asal untuk meminda Akta 355. Saya difahamkan ini hasil dari beberapa perbincangan ekoran perjumpaan yang dipanggil oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari Selasa lalu.

Pindaan kepada usul asal bermakna hukuman kini ditetapkan mengikut kaedah undang-undang biasa kecuali yang melibatkan sebat (jika diluluskan had dinaikkan kepada maksimum 100 sebatan).

Prosesnya selepas ini adalah seperti berikut:

1) kami sedang menunggu keputusan Tan Sri Speaker sama ada membenarkan pindaan usul ini dibentangkan, dibahaskan dan diundi di Parlimen sekarang (sedang bersidang).

LINTAS LANGSUNG

(Tan Sri Speaker baru sahaja menjemput Ahli Parlimen Marang membaca pindaan kepada usul).

2) Jika diundi dan diluluskan, ia dikira sebagai bacaan pertama dan dipulangkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan. Perkara ini mati di situ sahaja sekiranya menteri tidak kembali ke Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang ini bagi bacaan kali kedua.

TERKINI

Tan Sri Speaker memanggil Ahli Parlimen Marang untuk membaca usul.

Ahli Parlimen Marang membaca dan meminta untuk menghuraikan cadangan beliau itu dalam sessi yang akan datang.

Maka usaha untuk membentangkan RUU355 mati begitu sahaja hari ini.

Tetapi polemiknya akan bersambung lagi hingga ke sessi akan datang. Ahli-ahli PAS akan terus diberi harapan bahawa Umno mahu bersama-sama mendaulatkan Islam melalui pindaan akta ini.

Kalaulah Umno terus bermain begini sehingga ke belanjawan akan datang, adakah ahli parlimen PAS akan terus berkecuali dalam undian belanjawan akan datang?

Kali pertama saya menulis mengenai perkara ini lebih sebulan lalu, saya nyatakan secara terbuka jika usul dibentangkan dan diundi, saya tidak ada masalah menyokong kerana memang kita mahu dengar pandangan Umno dalam perkara ini.

Tetapi apabila berulang kembali perkara ini pada hari ini, jelaslah permainan Umno dalam perkara ini dan saya khuatir PAS akan terus dimain-mainkan. Akhirnya PAS akan terus dilihat berkawan dengan Umno dan memanjangkan tempoh berkuasanya Najib Razak

Saya bersedia mengundi dan menyokong usul asal.

Selepas dirunding dengan Umno Selasa lalu, usul dipinda pada saat-saat akhir hingga kaedahnya sudah menjadi takzir (kecuali sebatan) dan bukannya hudud seperti yang diwar-warkan.

Hari ini, Ahli Parlimen Marang sekali lagi menunda dari membentang dan menghuraikan usul beliau.

Permainan Umno itu jelas dan saya ambil pendirian sebegini bermula dari hari ini.

Rangkaian Keretapi Menghubungkan Kompleks  Perindustrian Kerteh – Kuantan Sudah Ada


Kenyataan Media
AHLI PARLIMEN PAKATAN HARAPAN

Sehingga kini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas pembinaan Rangkaian Keretapi Pantai Timur (ECRL) iaitu Datuk Rahman Dahlan masih enggan membentangkan laporan kebolehlaksanaan projek (“feasibility study”) projek tersebut seperti yang kami tuntut. Kajian itu dimulakan sejak 2009 dan dilaporkan siap sepenuhnya dalam tahun 2012 seperti yang pernah dilaporkan The Sun[1] dan dilaporkan kembali dalam tahun 2013 oleh Business Times[2].

Selagi laporan tersebut tidak dibentangkan secara telus di Parlimen dan kepada rakyat umumnya, sebarang hujah yang dikemukakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak untuk menyokong pelaksanaan projek ini adalah tidak telus. Jika benar projek keretapi ini mempunyai potensi kesan berganda ekonomi (“economic multiplying effects”) seperti yang diwar-warkan, sepatutnya laporan kebolehlaksanaan projek tidak disembunyikan.

Kajian awal kami mendapati ada beberapa perkara yang menimbulkan keraguan sama ada projek tersebut boleh membawa kesan berganda ekonomi yang berbaloi dengan hutang RM55 bilion yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Majoriti rakyat Malaysia tidak mengetahui bahawa sebenarnya, PETRONAS memang sudah pun membina satu rangkaian keretapi khas untuk membawa kargo dari dua kompleks perindustrian berasaskan petroleum iaitu dari Kompleks Petrokimia Berintegrasi Kerteh (KIPC) ke Kompleks Petrokimia Berintegrasi Gebeng (GIPC) yang seterusnya bersambung ke Pelabuhan Kuantan.

Kewujudan rangkaian keretapi khas sepanjang 77 km ini dipaparkan di laman web Invest In Pahang iaitu portal rasmi pelaburan Kerajaan Pahang di URL http://www.investinpahang.gov.my/index.php?ch=en_investinpahang&pg=en_connectivity&ac=11

Pelaburan dalam industri petrokimia di koridor perindustrian Kerteh/Paka ke Gebeng/Pelabuhan Kuantan adalah kawasan perindustrian terbesar di Pantai Timur dengan pelaburan melebihi RM30 bilion. Tidak ada kawasan di Pantai Timur yang menjana lebih banyak hasil ekonomi dan pekerjaan dari koridor perindustrian ini.

Rakyat juga umumnya tidak mengetahui bahawa walaupun PETRONAS telah membelanjakan wang membina rangkaian keretapi sepanjang 77 km di antara Kerteh ke Gebeng ini, khidmatnya tidak lagi digunakan seawal 2012 seperti yang dilaporkan oleh laman Property Guru[3] kerana kos pengangkutan menggunakan rangkaian itu terlalu mahal dan tidak berbaloi.

Semasa saya (Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan) berkhidmat di PETRONAS, saya pernah menjawat jawatan Pengurus Kanan, Perancangan Perniagaan, Operasi dan Teknologi Petrokimia dari 2005 hingga 2007. Rangkaian keretapi 77 km ini tertakluk juga kepada bidang tugasan saya dan saya boleh mengesahkan kos pengangkutan menggunakan rangkaian ini mahal, lalu menyebabkan unit-unit petrokimia PETRONAS tidak menggunakannya atas sebab-sebab seperti berikut:

1. Produk terbesar di kedua-dua kawasan perindustrian tersebut adalah bahan asas petrokimia (“feedstock”) seperti “ethylene” dan “propylene” yang digunakan terus di kilang-kilang polymer yang dibina bersama-sama dengan kilang-kilang bahas asas tersebut. Oleh itu, ia tidak melibatkan aktiviti pengangkutan yang kadarnya tinggi sehingga memerlukan rangkaian keretapi

2. Produk polymer yang dikeluarkan dalam bentuk resin plastik seperti polyethylene (PE), polypropylene (PP) atau PVC banyak dijual dalam pasaran tempatan dan tidak dieksport. Maka, kedua-dua kompleks tidak memerlukan rangkaian keretapi atau pelabuhan bagi tujuan mengedarkan polymer ini kerana ia diedarkan menggunakan lori

3. Produk lain dalam bentuk bahan petrokimia cecair atau aromatics dieksport terus dari Pelabuhan Kerteh yang mempunyai loji-loji simpanan cecair atau dihantar terus dari Gebeng ke Pelabuhan Kuantan.

Oleh yang demikian, sehingga kini tidak ada asas yang masuk akal yang membuktikan kesan ekonomi berganda yang berbaloi untuk menjana keuntungan bagi membayar hutang sebanyak RM55 bilion ini.

Jika pun ada pertambahan kapasiti yang memungkinkan kos per unit menggunakan rangkaian keretapi sedia ada boleh diturunkan (kerana lebih banyak produk secara pukal boleh menggunakannya), adalah lebih baik menaiktaraf saja rangkaian sedia ada yang dijangkakan hanya menelan belanja RM2 bilion. Itu pun sukar berlaku kerana PETRONAS telah membuat pelaburan baru di RAPID, maka semua kapasiti baru dibina di Pengerang dan bukannya di Kerteh atau Gebeng.

Oleh itu, kami tetap bertegas bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak masih gagal membuktikan ada justifikasi ekonomi yang berbaloi untuk melaksanakan projek yang akan membebankan rakyat dengan hutang.

Kami akan terus membongkarkan kepincangan-kepincangan ini sementara kami menyiapkan laporan awal kebolehlaksanaan projek yang sedang diusahakan.

RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
TONY PUA, AHLI PARLIMEN PETALING JAYA UTARA
WONG CHEN, AHLI PARLIMEN KELANA JAYA
HATTA RAMLI, AHLI PARLIMEN KUALA KRAI
ONG KIAN MING, AHLI PARLIMEN SERDANG


21 NOVEMBER 2016

[1] http://www.thesundaily.my/news/451481

[2] http://www.btimes.com.my/Current_News/BTIMES/articles/20130418001634/Article/index_html

[3] http://www.propertyguru.com.my/property-news/2013/3/33895/kerteh-kuantan-railway-to-undergo-rm2b-revamp

%d bloggers like this: