Anggaran Kos Keseluruhan Projek MRT Mencecah RM124 Bilion Sedangkan Najib Mendakwa Kos Hanya RM40 Bilion

Seperti yang saya sangka, kenyataan bertubi-tubi menyerang saya mengenai isu kos keseluruhan projek MRT yang saya timbulkan menunjukkan bahawa dakwaan saya bahawa kos keseluruhan akan mencecah RM100 bilion ada kebenarannya.

Terbaru, MRT Corporation Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan bahawa kos RM21 bilion yang dirujuk oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan MRT1 (jajaran Sungai Buloh – Semantan – Kajang) adalah kos bagi keseluruhan MRT1, bukannya kos di antara stesen Sungai Buloh ke Semantan sahaja.

Saya menghargai pengesahan oleh MRT Corporation itu kerana ia memudahkan Ahli Parlimen seperti saya menjalankan amanah saya dengan berkesan sekiranya Parlimen dimaklumkan dengan terperinci pecahan kos, proses anugerah tender, kemajuan pelaksanaan berbanding dengan peruntukan yang diluluskan dan sebagainya.

Malangnya perkara ini tidak pernah berlaku dan Ahli Parlimen seperti saya terpaksa menyemak pelbagai laporan dari sumber berita semata-mata. Laporan-laporan berita mengenai pelancaran MRT1 oleh Dato’ Seri Najib pada 15 Disember yang lalu tidak menyatakan secara terperinci sama ada kos RM21 bilion (dan penjimatan RM2 bilion yang diwar-warkan) merujuk kepada stesen-stesen yang telah dibuka atau pun keseluruhan MRT1. Oleh kerana itulah sejak tahun 2011 saya telah mempersoalkan proses pelaksanaan projek MRT yang tidak telus dan mempunyai risiko kewangan yang tinggi, seperti penulisan saya di dalam The Edge bertajuk “The MRT: Old Habit Dies Hardhttp://rafiziramli.com/2011/01/the-mrt-old-habit-dies-hard/

Sementara perbezaan kos purata setiap km berbeza bila mana kos RM21 bilion merujuk kepada jajaran penuh MRT1 sepanjang 51 km, ia sedikit pun tidak mengubah 2 perkara paling pokok yang saya timbulkan iaitu:

1. Kos keseluruhan MRT bagi 150 km akan mencecah RM100 bilion sedangkan semasa mengumumkan projek ini dalam tahun 2010 (yang dimasukkan di dalam ucapan Belanjawan 2011 beliau), Dato’ Seri Najib mengumumkan bahawa kos hanyalah RM40 bilion

2. Jika kos bagi 51 km dari keseluruhan projek MRT (iaitu satu pertiga dari keseluruhan 150 km) sudah pun mencecah RM21 bilion berbanding dengan kos asal yang diumumkan iaitu RM40 bilion, sudah tentu tiada penjimatan yang telah dicapai. Malah, saya akan tunjukkan di bawah bahawa kos keseluruhan telah meningkat dua kali ganda!

Sebab itu alat propaganda Umno sejak semalam bermati-matian cuba menunjukkan saya “memfitnah” Dato’ Seri Najib sekali lagi untuk menutup dua perkara ini yang lebih besar.

Berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, saya anggarkan bahawa kos keseluruhan projek MRT meliputi 150 km (seperti yang diumumkan Dato’ Seri Najib dalam tahun 2010) akan mencecah sekitar RM124 bilion apabila siap sepenuhnya.

Anggaran kos itu adalah berdasarkan analisa dan pecahan seperti berikut:

MRTI (JAJARAN SUNGAI BULOH – SEMANTAN – KAJANG)
Pembinaan melibatkan jajaran bawah tanah sepanjang 9.5 km dan atas tanah sepanjang 41.5 km. Kos yang telah diumumkan ialah RM21 bilion. Dari jumlah RM21 bilion ini, sebanyak RM8.2 bilion kos adalah untuk jajaran bawah tanah sepanjang 9.5 km (seperti yang diumumkan oleh kontraktor MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd di http://mymrt-underground.com.my/tunnelling-information/about-kvmrt/).

Oleh itu, anggaran kos per km bagi pembinaan bawah tanah dan atas tanah adalah seperti berikut:

Kos per km (atas tanah) = RM308 juta per km
Kos per km (bawah tanah) = RM863 juta per km

MRT2 (JAJARAN SUNGAI BULOH – SERDANG – PUTRAJAYA)
Pembinaan melibatkan jajaran bawah tanah sepanjang 13.5 km dan atas tanah sepanjang 38.7 km. Kos yang telah diumumkan ialah RM32 bilion (rujuk pengumuman oleh MRT Corp Sdn Bhd pada 14 September 2016 http://www.thesundaily.my/node/394710)

Menggunakan kos MRT1 sebagai asas kos, untuk mengenal pasti pecahan kos per km dan peratusan kenaikan kos (kerana projek ini bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tahun 2022, oleh itu kos barang dan perkhidmatan adalah lebih mahal berbanding MRT1), formula berikut boleh digunakan:

MRT1 per km (atas tanah) = MAT
MRT1 per km (bawah tanah) = MBT

Kos MRT2 per km (atas tanah) = MAT + x%
Kos MRT2 per km (bawah tanah) = MBT + y%

Selesaikan x% dan y%.

Berdasarkan kos MRT2 sebanyak RM32 bilion, anggaran peratusan kenaikan yang digunapakai ialah 35%. Maka:

Kos per km (atas tanah) = RM308 juta per km + 35% kenaikan = RM416 juta per km
Kos per km (bawah tanah) = RM863 juta per km + 35% kenaikan = RM1,165 juta per km

MRT3 (“CIRCLE LINE”)
Pembinaan melibatkan jajaran bawah tanah sepenuhnya di antara 45 km hingga 48 km (rujuk pengumuman MRT Corp Sdn Bhd pada 14 September 2016 http://www.nst.com.my/news/2016/09/172973/mrt-corp-planning-3rd-line-klang-valley)

Berdasarkan kos MRT2 iaitu RM1,165 juta per km bagi setiap kilometer bawah tanah dan menggunakan faktor kenaikan harga pada kadar yang sama iaitu 35% (memandangkan MRT3 hanya akan mula dibina selepas 20220), maka anggaran kos MRT3 adalah:

[Kos MRT2 (bawah tanah) + 35%] X 45 km = RM1,573 juta per km X 45 km = RM70.8 bilion

 

Maka, anggaran kos keseluruhan projek MRT sepanjang 150 km adalah (RM21 bilion + RM32 bilion + RM71 bilion) adalah RM124 bilion, iatu peningkatan dua kali ganda dari kos asal yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib dalam tahun 2010 iaitu hanya RM40 bilion sahaja.

Oleh yang demikian, saya mendesak Dato’ Seri Najib menarik balik kenyataan beliau bahawa kononnya projek MRT telah berjaya menjitmatkan RM2 bilion seperti yang dimainkan oleh alat propaganda Umno kerana itu tidak memberi gambaran yang tepat mengenai tanggungan hutang keseluruhan oleh rakyat Malaysia.

Saya masih ada 3-4 kenyataan media mengenai isu ini yang akan dibuat dalam minggu depan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Dato’ Seri Najib Secara Tidak Lamgsung Mengesahkan Kos Keseluruhan Projek MRT Melebihi RM100 Bilion

Semasa melancarkan Fasa 1 MRT (Jajaran 1) Sungai Buloh ke Kajang pada 15 Disember 2016, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa “penjimatan RM2 bilion telah dicapai” dan memetik angka RM21 bilion sebagai “kos projek MRT” (seperti yang dilaporkan Bernama, rujuk http://www.bernama.com/bernama/v7/sp/newssports.php?id=1311989).

Pengumuman Dato’ Seri Najib itu telah digunakan oleh kumpulan propaganda maya Umno (termasuk oleh pemuka-pemuka seperti Lim Sian See, Papagomo, Raja Petra dan blog-blog penyokong Umno) untuk menyerang saya dengan menuduh saya memfitnah Dato’ Seri Najib dan kerajaan Malaysia kerana saya pernah menyuarakan rasa khuatir bahawa kos keseluruhan projek MRT boleh mencecah RM100 bilion.

(Rujuk tulisan saya dalam tahun 2011 dalam akhbar The Edge bertajuk “The MRT: Old Habit Dies Hard” http://rafiziramli.com/2011/01/the-mrt-old-habit-dies-hard/ bila mana saya telah menyuarakan rasa bimbang dari awal apabila kerajaan tidak telus mengenai kos dan proses tender.

Pada 3 Julai 2012, saya sekali lagi memberi amaran bahawa maklumat saya memaklumkan kos keseluruhan projek MRT boleh mencecah RM100 bilion, rujuk laporan Malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/202540)

Sejak semalam, kumpulan propaganda maya Umno ini telah melancarkan kempen media sosial besar-besaran untuk menunjukkan bahawa kos sebenar projek MRT hanyalah RM21 bilion dan bukannya RM100 bilion seperti yang saya pernah sebut. Mereka menyerang saya di dalam media sosial seperti yang ditunjukkan di dalam beberapa paparan skrin berikut:




Apa yang mereka tidak sedar ialah pengumuman Dato’ Seri Najib bahawa kos menyiapkan Fasa 1 MRT bagi jajaran pertama dari Sungai Buloh ke Kajang (iaitu untuk 12 stesen sepanjang 21 km sahaja) adalah RM21 bilion; sebenarnya mengesahkan kerisauan saya dalam tahun 2012 bahawa kos keseluruhan projek MRT boleh mencecah RM100 bilion.

Jelas bahawa kumpulan propaganda maya Umno yang terdiri dari Papagomo, Raja Petra dan Lim Sian See ini tidak faham perincian projek MRT yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib semasa melancarkan Economic Transformation Plan (ETP) dalam tahun 2010 dahulu.

Saya senaraikan fakta-fakta berserta bukti-bukti yang menunjukkan betapa bodohnya individu-individu seperti Papagomo, Raja Petra dan Lim Sian See ini:

1. Semasa melancarkan ETP dan mengumumkan projek MRT, Dato’ Seri Najib merujuk kepada keseluruhan projek MRT yang meliputi laluan sepanjang 141 km. Ini disahkan sendiri oleh laman rasmi 1Malaysia dibawah Jabatan Penerangan yang menyebut bahawa “Pembinaan Sistem Pengangkutan Pantas di Kuala Lumpur ini meliputi perjalanan sepanjang 150 kilometer dengan rangkaian rel pertama dari Sungai Buloh ke Kajang, meliputi kira-kira 60 kilometer dengan 35 stesen yang akan melalui pusat bandar raya Kuala Lumpur.” (Rujuk laman http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/445-kolumnis/10758-mrt-fungsi-dan-kebaikanya.html)

2. Sejak dari awal, semua laporan kerajaan menyebut bahawa jumlah kos bagi keseluruhan projek MRT yang meliputi laluan RM141 km ini ialah sekitar RM40 bilion. Di laman Pemandu, jumlah kos yang disebut ialah RM36.6 bilion menjelang 2020 (rujuk http://etp.pemandu.gov.my/11_January_2011-@-Mass_Rapid_Transit.aspx)

3. Dalam ucapan Bajet 2011, pada perenggan 21 mukasurat 7, Dato’ Seri Najib melaporkan kepada Parlimen bahawa jumlah kos projek MRT ialah sekitar RM40 bilion (rujuk http://www.treasury.gov.my/pdf/budget/speech/bs11.pdf)

4. Oleh sebab itulah, perunding ekonomi antarabangsa Oxford Business Group dalam laporan tahunannya mengenai Malaysia iaitu “The Report: Malaysia 2011” pada mukasurat 195 dengan secara jelas menyebut bahawa “kos bagi projek MRT sepanjang 141 km dianggarkan RM47 bilion (rujuk paparan skrin di bawah)


5. Maka, kos RM21 bilion yang disebut oleh Dato’ Seri Najib itu hanyalah untuk 21 km dari 141 km iaitu 15% dari kos keseluruhan projek MRT yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib dalam tahun 2011. Jika diambil perkiraan mudah bahawa kos bagi setiap kilometer selebihnya adalah sama iaitu [RM21 bilion dibahagi 21 km, jadi setiap satu kilometer ialah RM1 bilion] maka baki kos ialah [141 km tolak 21 km bersamaan 120 km didarab dengan RM1 bilion] RM120 bilion.

Saya akan menunjukkan dalam beberapa kenyataan media seterusnya bahawa kos keseluruhan projek MRT meliputi 141 km melibatkan 3 jajaran (MRT1 dari Sungai Buloh ke Kajang, MRT2 ke Putrajaya dan MRT3 melibatkan satu jajaran lingkaran bawah tanah, seperti yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib dalam tahun 2011) semestinya melebihi RM100 bilion.

Oleh sebab itulah, kenyataan Dato’ Seri Najib mengenai penjimatan kos RM2 bilion pada 15 Disember 2016 dengan tidak semena-mena mengesahkan isu yang saya timbulkan dalam 2012 bahawa kos keseluruhan projek MRT akan mencecah RM100 bilion.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Jawapan Kepada Penafian Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia:  Laporan Perunding Bebas Antarabangsa Dedahkan Pencerobohan Berleluasa Di Hutan Simpan Kekal (HSK) Pahang 


Setelah hampir 3 minggu, akhirnya pihak berkuasa memberi reaksi kepada pendedahan awal saya dan YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan mengenai pencerobohan yang berlaku ke atas kawasan hutan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) termasuk di dalam kawasan Parlimen Pekan yang diwakili Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Walaupun saya mendesak reaksi dari Dato’ Seri Najib dan Dato’ Seri Adnan Yaakob (Menteri Besar Pahang), saya tidak terkejut langsung apabila reaksi tunggal hanya datang dari Dato’ Sri Dr. Abdul Rahman Abdul Rahim, Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), seperti kenyataan beliau yang dihantar kepada Suara Keadilan (yang saya sertakan di bawah):

“ Berhubung dakwaan Buletin “Suara Keadilan” tersebut, JPSM melalui JPN Pahang telah mengesahkan dakwaan tersebut adalah tidak berasas.

Semakan di lapangan menunjukkan kelapan-lapan HSK yang maksudkan dlm dakwaan “Suara Keadilan” adalah Hutan Paya Gambut (Peat Swamp Forest) yang terdapat penerokaan haram yg telah lama berlaku.

Ianya dipantau rapi oleh JPN Pahang.

Kawasan “gondol” yg dilihat melalui imej satelit/GIS yg didakwa oleh “Suara Keadilan” adalah kawasan- kawasan berair Hutan Paya Gambut, kawasan hutan terosot yg ditumbuhi paku-pakis dan lalang serta kawasan penerokaan Orang Asli.

Semakan di lapangan juga didapati tiada berlakunya pencerobohan baru di kawasan-kawasan tersebut.

Disamping itu, terdapat juga kawasan-kawasan Hutan Tanah Kerajaan (HTK) yg diceroboh & didiami oleh orang asli tempatan berhampiran semenjak berpuluh-puluh tahun dulu. Kawasan ini ditanam dengan tanaman kelapa sawit dan tanaman pertanian lain. Ianya juga berdekatan dengan perkampungan Orang Asli RPS Runchang dan kawasan ini turut pmerupakan hutan miskin dan terosot.

JPN Pahang terus memantau secara rapi kawasan-kawasan ini. Kerajaan Negeri Pahang telah mewartakan kawasan ini sebagai Hutan Simpan Pekan (Tambahan) pada tahun 2007/2008.

JPSM sebagai agensi kerajaan yang komited melalui Jabatan Perhutanan Negeri Pahang juga telah mengambil inisiatif utk memulihkan kawasan ini dgn projek penanaman pokok-pokok hutan dari spesies terpilih di kawasan terosot Hutan Paya Gambut.”

Sementara saya menghargai usaha beliau memberi maklumbalas (berbanding Perdana Menteri dan Menteri Besar Pahang yang membisu), jawapan Dato’ Sri Dr Abdul Rahman itu yang memberi gambaran bahawa aktiviti pencerobohan tidak berleluasa dan seperti menyalahkan Orang Asli bertentangan dengan laporan-laporan lain mengenai keadaan hutan di Pahang. Malah, maklumbalas seperti itu mendedahkan pula Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (terutamanya Jabatan Perhutanan Negeri Pahang) kepada lebih banyak kritikan kerana fungsinya adalah mencegah aktiviti pencerobohan dan penerokaan haram.

Gambaran bahawa pendedahan saya dan YB Fuziah hampir tiga minggu lalu adalah tidak benar bertentangan dengan satu laporan oleh Aidenvironment (http://www.aidenvironment.org/), sebuah firma perunding antarabangsa yang mengkhususkan kepakaran di dalam bidang kelestarian alam sekitar (“environmental sustainability”).

Di antara tahun 2015 dan 2016, Aidenvironment telah menerbitkan dua laporan yang memberi tumpuan kepada pencerobohan yang berlaku secara berleluasa di hutan-hutan simpan kekal Malaysia sehingga menjejaskan kredibiliti Sistem Pensijilan Balak Malaysia (atau “Malaysian Timber Certification Scheme MTCS”).

Untuk pengetahuan umum, MTCS adalah satu kaedah pensijilan yang mengesahkan bahawa kayu balak atau produk dari kayu kayan yang mendapat pensijilan MTCS adalah berasal dari aktiviti pembalakan yang bertanggungjawab dan mematuhi peraturan demi mengekalkan kelestarian hutan simpan. Di negara-negara Eropah, hanya kayu balak atau produk dari kayu kayan yang mempunyai pensijilan MTCS atau yang disahkan berasal dari hutan lestari yang boleh didagangkan.

Kerajaan Belanda misalnya telah menetapkan bahawa hanya kayu balak atau produk dari kayu kayan yang datang dari hutan simpan yang aktiviti penebangan balak tidak melebihi 5% dari jumlah hutan simpan pada satu-satu masa yang boleh diperdagangkan. Untuk mengesahkan sama ada hutan-hutan di Malaysia tidak melebihi aktiviti penebangan 5% seperti yang ditetapkan, Aidenvironment menjalankan kajian yang laporannya saya sertakan di sini.

https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgeEx5U1VWOXFUd00

Dalam laporan bertajuk “MTCS Certified Deforestation” bertarikh Oktober 2015 itu, pada mukasurat 36 hingga 52, jelas didedahkan satu persatu bagaimana pencerobohan hutan simpan kekal di Pahang berlaku walaupun ia diaudit dan diwartakan oleh Jabatan Perhutanan Pahang kononnya kawasan itu adalah hutan simpan kekal.

Laporan itu menamakan 14 kawasan hutan simpan kekal yang dicerobohi terutamanya bagi tujuan perladangan. Kawasan terbabit adalah besar dan menurut laporan melibatkan anggaran keluasan sekitar 30,000 yang tidak mematuhi pensijilan MTCS (bersamaan 75,614 ekar). Oleh itu, tidak hairanlah laporan itu tidak pula mengesahkan bahawa pencerobohan hutan bagi tujuan pembalakan haram ini dilakukan oleh Orang Asli seperti yang digambarkan oleh Ketua Pengarah JPSM.

Oleh sebab itulah, saya dan YB Fuziah Salleh mengambil keputusan mendedahkan perkara ini kerana satu siasatan besar-besaran perlu dibuat untuk memastikan siapa dalang di belakang pembalakan haram dan pencerobohan bagi tujuan perladangan ini; dan kenapa pihak Jabatan Perhutanan Pahang tidak mengambil langkah yang sewajarnya untuk membendungnya?

Saya dan YB Fuziah Salleh akan terus mendedahkan perkara ini. Imej satelit bagi setiap daerah di Pahang akan dikongsi dengan orang ramai dari satu minggu ke satu minggu. Selain itu, isu-isu kelestarian hutan yang memburukkan nama Malaysia di mata dunia juga akan saya bawakan selagi Dato’ Seri Najib mendiamkan diri mengenai isu ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Dato’ Seri Najib Perlu Sahkan Laporan Financial Times Dan Ura-Ura GLC Besar Disenaraikan Di Bursa Singapura

120716_gali_lubang_1_copy_2

Saya merujuk kepada satu laporan terkini bertarikh hari ini oleh Financial Times bertajuk “China to help 1MDB settle multibillion-dollar legal dispute” yang menyentuh perkara-perkara berikut:

1. 1MDB akan mula membayar hutang berjumlah USD6.5 bilion (bersamaan RM30 bilion) yang dituntut oleh syarikat pelaburan milik Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan bantuan kewangan dari Kerajaan China;

2. Sumber yang dipetik oleh Financial Times juga menyebut bahawa bantuan kewangan dari Kerajaan China itu adalah sebagai pertukaran kepada aset (“asset swap”) yang akan diurusniagakan oleh Kerajaan Malaysia.

Dalam sesi Parlimen yang lepas, saya secara khusus telah menanyakan Menteri Kewangan II, Dato’ Johari Abdul Ghani bagaimanakah pentadbiran Dato’ Seri Najib bercadang membayar kembali hutang yang dituntut oleh IPIC itu (walaupun saya hanya menyebut jumlah yang didakwa diselewengkan ke akaun Jho Low berjumlah RM3.5 bilion atau RM15 bilion).

Sehingga ke akhir ucapan penggulungan beliau, Dato’ Johari Abdul Ghani tidak menjawab langsung.

Saya merasakan seolah-olah ia ulangan kepada amaran saya lebih setahun lalu supaya 1MDB tidak menggunakan dana Tabung Haji dan amaran saya itu (dalam bulan Mac 2015) telah dicerca dengan jeritan tidak bersopan di dalam Dewan Rakyat oleh Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim. Sebulan kemudian, berita bahawa Tabung Haji telah membeli tanah dari 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda lebih tinggi bocor kepada orang ramai.

Dalam sidang yang lepas, perkara yang hampir sama berlaku. Saya telah bertanya soalan mengenai perancangan Dato’ Seri Najib untuk membayar hutang itu dan telah disambut dengan cerca dan jeritan dari Ahli Parlimen Baling itu yang diketahui sangat rapat dengan Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, sehingga soalan saya itu tidak dijawab langsung.

(Rakaman perbahasan itu boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=7P3VYrJjtcg )

Berita yang disiarkan oleh Financial Times hari ini benar-benar merunsingkan saya kerana ia seolah-olah mengesahkan satu maklumat yang telah saya perolehi beberapa bulan lepas mengenai kemungkinan salah satu konglomerat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di Singapura dalam tahun 2017 bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal Kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar dari sahamnya.

Sebelum ini, saya tidak menimbulkan perkara ini kerana menunggu lebih banyak bukti dan perkembangan yang boleh mengesahkan ada kebarangkalian dakwaan itu ada kebenaran. Berita pada hari ini yang turut menyebut mengenai urusniaga melibatkan aset milik Kerajaan Malaysia.

Soalan saya ialah GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion seperti yang dilaporkan Financial Times hari ini?

Pada pemahaman saya, hanya ada beberapa GLC yang mempunyai saiz aset sebesar itu iaitu PETRONAS (atau anak syarikat kumpulannya), Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia atau Sime Darby Berhad?

Saya mendesak Dato’ Seri Najib memberi penjelasan sama ada bantuan kewangan dari Kerajaan China akan menyebabkan salah satu aset utama seperti GLC di atas dilibatkan di dalam urusniaga baru melibatkan Kerajaan China?

Jika beliau berdiam diri, desas desus ini tidak akan berhenti dan saya akan terus menyiasat sehingga butiran aset yang ingin diurusniagakan diketahui umum.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Akuan Bersumpah Pengisytiharan Harta, Hutang, Pendapatan dan Perbelanjaan 2016

113016_rafizi_isytihar_harta_1_copy_2

Disertakan Akuan Bersumpah Pengisytiharan Harta, Hutang, Pendapatan dan Perbelanjaan 2016 yang telah saya tandatangani di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pada hari ini.

Saya berharap lebih ramai Ahli Parlimen, wakil rakyat dan penjawat awam lain mengisytiharkan harta dengan kaedah ini.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

30 November 2016

Download (PDF, 6.62MB)

%d bloggers like this: