Pelantikan Tan Sri Shahrir Samad: Perdana Menteri Akui Pendedahan Mengenai Kepincangan Felda Adalah Benar

Saya membaca berita ringkas mengenai pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru menggantikan Tan Sri Isa Samad. Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Shahrir atas amanah yang besar ini dan berharap beliau mengambil sikap terbuka dengan semua pendedahan kepincangan Felda yang saya buat secara bertubi-tubi kebelakangan ini.

Pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang datang secara tiba-tiba dalam suasana kepincangan kewangan dan pengurusan Felda menjadi bualan rakyat mengesahkan bahawa isu-isu yang saya (dan ramai lagi pemimpin politik dan aktivis Felda yang lain) timbulkan adalah benar. Malah, sejak 3 minggu lalu apabila saya memulakan pendedahan bersiri mengenai kepincangan kewangan dan pengurusan Felda, tidak ada satu pun kenyataan rasmi dari Felda atau Tan Sri Isa Samad yang menjawab angka-angka yang saya utarakan.

Pelantikan mengejut Tan Sri Shahrir Samad seakan-akan mengesahkan masalah kewangan yang meruncing yang dialami Felda dan menjunamnya sokongan peneroka Felda sendiri kepada Umno ekoran prestasi Tan Sri Isa Samad yang tidak memberangsangkan dan tidak popular.

Meskipun begitu, tanggungjawab sebenarnya terletak di bahu Dato’ Seri Najib sendiri kerana pengurusan Felda berada di bawah tanggungjawabnya. Di dalam Jemaah Menteri Malaysia iaitu badan eksekutif tertinggi di negara ini, tanggungjawab menyelia dan memajukan Felda terletak di bawah portfolio Perdana Menteri, maka sewajarnya beliau perlu turut sama meletakkan jawatan atas kegagalan memajukan Felda dan masyarakat peneroka.

Sedang saya mengalu-alukan perlantikan Tan Sri Shahrir Samad, saya juga ingin mengingatkan bahawa beliau tidak boleh mencuci tangan atas segala kerosakan yang telah berlaku bersabit Felda. Malah, beliau perlu menjawab dan menangani segera segala isu yang saya timbulkan iaitu:

1. Keputusan Felda untuk membeli 37% pegangan di dalam syarikat perladangan Indonesia (Eagle High Plantations) yang dimiliki sahabat baik Perdana Menteri pada harga yang 3 kali lebih tinggi, sedangkan Felda tiada wang dan tidak juga mempunyai kuasa penentu dalam membuat keputusan di dalam syarikat baru itu (walaupun mempunyai saham terbesar)

2. Prestasi kewangan Felda yang merudum sejak 2013 dengan kerugian berbilion ringgit setahun, hutang yang mencecah RM6 bilion dan rizab wang tunai yang susut dari berbilion ringgit sebelum itu kepada RM291 juta sahaja (tahun kewangan 2014)

3. Kemampuan Felda untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada peneroka Felda apabila kedudukan kewangannya meruncing sedangkan belanja untuk menanam semula kelapa sawit mencecah RM2.5 bilion (berbanding pendapatan dan kerugian yang dicatatkan)

4. Kegagalan projek-projek perumahan Felda yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib sehingga sejumlah RM193 juta kerugian khusus kepada program perumahan Felda dicatatkan dalam tahun 2014

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Tan Sri Shahrir Samad dengan segera mengumumkan pembentangan Kertas Putih mengenai Prestasi Kewangan dan Masa Depan Felda di persidangan Parlimen akan datang dalam bulan Mac ini.

Sementara itu, saya akan meneruskan pendedahan mengenai kepincangan kewangan dan pengurusan Felda termasuk satu pendedahan besar minggu depan untuk mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Shahrir Samad.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Dato’ Seri Najib Perlu Naikkan Bantuan BR1M Kepada RM40,000

Saya tertarik dengan idea Tan Sri Irwan Siregar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Pengerusi 1MDB yang dipetik dalam satu laporan mencadangkan penerima BR1M yang tidak mempunyai kereta menggunakan BR1M untuk membeli kereta Proton Iriz supaya mereka boleh menjadi pemandu Uber atau Grabcar. Dengan cara ini, menurut laporan Malaysiakini itu http://www.malaysiakini.com/news/368232 , mereka boleh menjana pendapatan.

Cadangan itu boleh dilaksanakan dan sudah tentu akan berjaya sekiranya Dato’ Seri Najib Tun Razak menaikkan bayaran BR1M daripada RM1,200 (penerima e-Kasih atau pendapatan isirumah bawah RM1,200), RM1,000 (orang tua), RM900 (pendapatan isirumah antara RM3,000 dan RM4,000) atau RM450 (orang bujang berpendapatan bawah RM2,000) kepada RM40,000 setiap penerima BR1M.

Saya telah menyemak harga Proton Iriz dan mendapati ia berharga RM40,000 sebuah (lihat iklan harga di bawah).

 

 

Jika BR1M diberikan pada kadar sekarang (antara RM450 hingga RM1,200 sahaja), penerima BR1M hanya mampu membayar ansuran bulanan sebanyak maksimum dua bulan sahaja. Mereka hanya sempat menjadi pemandu Uber dan Grabcar selama 2 bulan sahaja.

Peruntukan untuk BR1M juga perlu ditambah dari RM5.3 bilion setahun (angka 2015) untuk 7.4 juta penerima kepada RM 296 bilion setahun (7.4 juta penerima X RM40,000).

Saya yakin cadangan Tan Sri Irwan Siregar ini akan berjaya menjadikan Malaysia mencatat rekod baru sebagai negara paling ramai pemandu Uber dan Grabcar.

Saya memilih untuk menjawab cadangan Tan Sri Irwan Siregar ini secara sinis dan menyindir kerana beliau juga dipetik berkata bahawa ekonomi negara adalah kukuh tetapi dipengaruhi oleh pandangan negatif. Saya ingin memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bahawa cadangan-cadangan seperti “orang miskin boleh buat dua kerja dengan menjadi pemandu Uber” (Dato’ Seri Najib) dan “guna BR1M untuk beli kereta Proton Iriz jadi pemandu Uber” yang menyebabkan pelabur dan orang ramai hilang keyakinan dengan pengurusan ekonomi negara.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Felda Umum Bonus Purata RM697 Seorang Peneroka, Tambah Beban Faedah Hutang RM5,065 Setiap Peneroka Setiap Tahun

Pada 30 Disember 2016 yang lepas, Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad telah mengumumkan pemberian bonus Insentif Produktiviti Peneroka hasil berjumlah RM66.7 juta yang akan diagihkan kepada 95,683 orang peneroka di seluruh negara, seperti dilaporkan NST http://www.nst.com.my/news/2016/12/200620/new-year-cheer-felda-settlers-set-receive-bonus-totalling-rm667-million

Dari 95,683 orang peneroka ini, mereka akan menerima insentif yang berbeza-beza di antara RM300 hingga RM800 bergantung kepada hasil. Secara purata, setiap peneroka akan menerima RM697 bonus setiap seorang berdasarkan jumlah RM66.7 juta yang dibahagikan kepada 95,683 peneroka.

Tan Sri Isa Samad juga dipetik sebagai berkata bahawa Felda masih mampu membayar bonus walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Apa yang tidak disebut oleh Tan Sri Isa ialah bonus itu (berdasarkan unjuran penyata kewangan tahun 2014 dan kedudukan kewangan Felda sejak dari itu) dibayar dengan menggunakan wang pusingan hutang kerana prestasi kewangan Felda setakat ini (setakat yang terkini iaitu 2014) menunjukkan Felda mencatatkan kerugian dari operasinya (iaitu operasi bersabit kelapa sawit dan perniagaan sebelum ditolak bayaran faedah hutang, cukai dan lain-lain).

 

Download (PDF, 23KB)

 

Pada tahun 2014, kerugian operasi Felda ialah RM968 juta dan diperingkat kumpulan (termasuk kerugian anak-anak syarikat), Felda mencatatkan kerugian operasi sehingga RM1.4 bilion. Ini bermakna dalam tahun 2014, Felda tidak berjaya menjana wang dari operasi kelapa sawit dan perniagaannya kerana mengalami kerugian.

Saya yakin prestasi kewangan Felda tidak banyak berubah dalam tahun 2015 dan 2016, oleh itu unjurannya Felda dan anak-anak syarikatnya akan terus menunjukkan kerugian operasi.

Ini bermakna, sebarang bonus yang dibayar adalah dengan menggunakan wang hutang kerana operasinya tidak berjaya menjana keuntungan. Lebih teruk dari itu, dengan keputusan Felda untuk membeli 37% pegangan saham Eagle High Plantations berjumlah RM2.26 bilion, hutang Felda dan anak-anak syarikatnya akan melonjak naik kerana pembelian itu akan dibiayai melalui hutang.

Saya memetik laporan The Star bertarikh 28 Disember 2016 http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/12/28/sukuk-loan-mix-for-feldas-eagle-high-stake-buy/ yang memetik sumber yang rapat dengan urusniaga itu mengesahkan bahawa pembelian saham berjumlah RM2.26 bilion itu akan dibiayai melalui 2 pinjaman:

i. Terbitan hutang sukuk (kertas hutang mematuhi shariah) berjumlah RM1.13 bilion iaitu 50% dari pembiayaan tersebut
ii. Baki pembelian RM1.13 bilion akan dibiayai oleh satu hutang dari kumpulan bank Eropah

Saya telah menyemak kadar purata faedah (kupon) yang perlu dibayar oleh hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara, seperti berikut:

 

 

Berdasarkan kadar di pasaran yang terkini bertarikh 4 Januari 2017, kadar bayaran faedah bagi hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia mencecah 5% (rujuk graf di atas) bagi hutang-hutang yang perlu dilangsaikan dalam tempoh 20 tahun.

Hutang yang akan diterbitkan oleh Felda dan dijamin oleh Kerajaan Malaysia juga akan dikenakan kadar faedah yang sama dengan hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia, iaitu sekitar 5%.

Bagi hutang yang diambil dari kumpulan bank Eropah, kadar pinjaman dari bank perdagangan selalunya beberapa % lebih tinggi dari kadar hutang yang diterbitkan oleh sesebuah kerajaan. Jadi, jika kadar hutang bagi hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia adalah 5%, saya mengunjurkan (dengan mengambil kira risiko kewangan akibat kedudukan kewangan Felda yang lemah) Felda terpaksa membayar kadar faedah sekurang-kurangnya 7% (iaitu 2% lebih tinggi dari kadar hutang Kerajaan Malaysia atau MGS) ke atas RM1.13 bilion yang diambil dari bank Eropah itu.

Berdasarkan angka-angka ini, saya sertakan satu perkiraan jumlah hutang yang terpaksa ditanggung oleh Felda dan anak syarikatnya setelah pengambil alihan 37% pegangan di dalam Eagle High Plantations, seperti yang ditunjukkan di dalam Lampiran A.

 

Download (PDF, 20KB)

 

Kedudukan hutang Felda, jumlah kos membayar faedah hutang dan purata kos faedah hutang tahunan yang ditanggung oleh seorang peneroka Felda selepas pembelian saham-saham itu adalah seperti berikut:

i. Jumlah kos membayar hutang Felda dan anak syarikatnya – RM485 juta setahun

ii. Purata bayaran faedah hutang Felda dan anak syarikatnya bagi setiap peneroka – RM5,065 setahun

Sebab itu saya minta supaya Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan kerana bukan sahaja prestasi kewangan Felda jatuh merudum semasa beliau memimpin Felda, beliau juga mengumumkan bonus purata RM697 seorang peneroka yang akan dibayar dari hutang, sedangkan beliau menyembunyikan bahawa setiap peneroka itu pula akan menanggung bayaran faedah hutang Felda dan anak syarikatnya sebanyak RM5,065 setahun.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Prasarana Sudah Pun Mengalami Kerugian Besar Setiap Tahun Tanpa Beban Hutang Baru Dari MRT

Projek MRT yang berharga lebih RM100 bilion ini, seperti yang diketahui umum, akan ditanggung sepenuhnya oleh rakyat melalui penerbitan hutang baru oleh sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan yang dinamakan DanaInfra Nasional Berhad (DanaInfra).

Pada 26 Oktober 2015, DanaInfra mengesahkan ia akan memulakan program pembiayaan bersepadu sehingga RM50 bilion untuk membiayai MRT1 (Sungai Buloh-Kajang) dan MRT2 (Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya). Setakat Oktober 2015, DanaInfra telah pun berhutang sebanyak RM17.6 bilion untuk membiayai pembinaan MRT1.

Download (PDF, 7KB)

 

Kenyataan rasmi DanaInfra itu mengesahkan bahawa kos keseluruhan MRT sepanjang 150 km adalah melebihi RM100 bilion memandangkan pembiayaan bagi MRT1 dan MRT2 pun sudah dijangka mencecah RM50 bilion.

Sebab itu saya tidak mahu melayan lagi cubaan oleh hantu-hantu tidak bernama yang dibayar oleh Umno/Barisan Nasional untuk mengelirukan rakyat sedangkan bukti yang ada sudah kukuh bahawa kos keseluruhan MRT melebihi RM100 bilion.

Apa yang lebih membimbangkan rakyat ialah bagaimana kos pembinaan ini akan ditanggung oleh rakyat di kemudian hari. Berapa banyak kenaikan cukai GST, pemotongan peruntukan, biasiswa yang dihapuskan dan caj kesihatan yang terpaksa ditanggung rakyat untuk membayar kos pembinaan MRT yang diwariskan oleh Dato’ Ser Najib Tun Razak kepada generasi akan datang?

Setelah siap, projek MRT akan dipindahkan kepada Prasarana Malaysia Berhad untuk diambilalih sebagai operator. Besar kemungkinan, pemindahan itu melibatkan keseluruhan pindahmilik operasi, aset dan hutang yang diambil oleh projek MRT (melalui DanaInfra dan MRT Corp) untuk menyiapkan sistem MRT.

Oleh yang demikian, saya sertakan satu ringkasan keputusan kewangan Prasarana Malaysia Berhad bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 dan 31 Disember 2015. Maklumat kewangan ini diambil dari sumber yang sah iaitu penyata kewangan yang diaudit dan difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia serta kenyataan rasmi Ratings Agency Malaysia (RAM) berkenaan kedudukan dan prestasi kewangan Prasarana Malaysia Berhad bagi tahun-tahun kewangan yang dirujuk.

Download (PDF, 34KB)

Download (PDF, 184KB)

Download (PDF, 183KB)

Download (PDF, 184KB)

Beberapa maklumat kewangan penting dari prestasi kewangan Prasarana Malaysia Berhad adalah seperti berikut:

1. Bagi tahun 2014 dan 2015, kos operasinya melebihi kutipan tiket dan hasil yang lain iaitu kos lebih tinggi dari hasil sebanyak 30% (2015) dan 13% (2014). Ini bermakna, operasi Prasarana sedia ada memang mengalami kerugian setiap tahun

2. Bayaran faedah atas hutang mencecah sehingga RM551 juta bagi tahun 2015 dan dijangka terus meningkat

3. Jumlah hutang sedia ada Prasarana Malaysia Berhad telah mencecah RM18 bilion bagi tahun 2015. Ini dijangka terus meningkat dalam tahun 2016 kerana Prasarana Malaysia Berhad terus menerbitkan hutang untuk menampung kosnya. Dalam tahun 2013 hingga 2016, pertambahan hutang dianggarkan mencecah RM10 bilion

4. Kerajaan terpaksa menyuntik dana rakyat dari semasa ke semasa, sama ada melalui suntikan dana baru RM2.2 bilion (2013) atau memaafkan hutang sedia ada sebanyak RM475 juta (2015)

Dengan kedudukan kewangan Prasarana Malaysia Berhad yang sedia ada seperti ini, sudah tentu pengambilalihan operasi dan hutang MRT akan menyebabkan kedudukannya semakin parah. Ada kemungkinan menjelang tahun 2022, hutang Prasarana Malaysia Berhad akan mencecah RM70 bilion pada anggaran kasar dan melibatkan bayaran faedah sebanyak RM2 bilion setahun.

Kesemua ini akan ditanggung oleh rakyat, baik sama ada melalui kenaikan GST, tambang yang mahal atau potongan peruntukan untuk perkhidmatan rakyat.

Saya akan tunjukkan perkiraan kos operasi MRT dalam sidang media yang seterusnya.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kerugian Yang Dijangka Untuk Perumahan Warga Felda (PWF) Berjumlah RM193 Juta

Saya rujuk kepada mukasurat 204 dari Penyata Kewangan Felda yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2014 dan jawapan parlimen yang diberikan oleh menteri berkenaan soalan saya mengenai perumahan Felda pada 2 Disember 2015, yang saya sertakan bersama.

Download (PDF, 23KB)

Download (PDF, 2.47MB)

Saya ingin menyampaikan kepada warga Felda bahawa kerugian sebanyak RM193 juta telah pun dicatatkan di dalam Penyata Kewangan Felda yang bermakna:

1. Perbelanjaan yang telah dibuat tidak sepadan dengan kemajuan pembinaan rumah warga Felda

2. Perbelanjaan itu telah diperuntukkan sebagai kerugian

3. Sejumlah RM193 juta yang sepatutnya boleh membina sekitar 4,800 rumah kos rendah untuk warga Felda hangus begitu sahaja

Sebagai permulaan kepada isu perumahan warga Felda yang akan mengambil masa lebih sebulan, saya ingin mendesak Tan Sri Isa Samad menyiarkan secara terperinci semua kontraktor yang telah dianugerahkan kontrak ini supaya rakyat boleh tahu siapa kontraktor yang terlibat.

Saya juga telah berhubung dengan aktivis Felda di seluruh negara untuk menunjukkan satu persatu bagaimana beberapa projek perumahan Felda hanya tinggal papan tanda dan ada juga yang terbengkalai.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

%d bloggers like this: