Felda Umum Bonus Purata RM697 Seorang Peneroka, Tambah Beban Faedah Hutang RM5,065 Setiap Peneroka Setiap Tahun

Pada 30 Disember 2016 yang lepas, Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad telah mengumumkan pemberian bonus Insentif Produktiviti Peneroka hasil berjumlah RM66.7 juta yang akan diagihkan kepada 95,683 orang peneroka di seluruh negara, seperti dilaporkan NST http://www.nst.com.my/news/2016/12/200620/new-year-cheer-felda-settlers-set-receive-bonus-totalling-rm667-million

Dari 95,683 orang peneroka ini, mereka akan menerima insentif yang berbeza-beza di antara RM300 hingga RM800 bergantung kepada hasil. Secara purata, setiap peneroka akan menerima RM697 bonus setiap seorang berdasarkan jumlah RM66.7 juta yang dibahagikan kepada 95,683 peneroka.

Tan Sri Isa Samad juga dipetik sebagai berkata bahawa Felda masih mampu membayar bonus walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Apa yang tidak disebut oleh Tan Sri Isa ialah bonus itu (berdasarkan unjuran penyata kewangan tahun 2014 dan kedudukan kewangan Felda sejak dari itu) dibayar dengan menggunakan wang pusingan hutang kerana prestasi kewangan Felda setakat ini (setakat yang terkini iaitu 2014) menunjukkan Felda mencatatkan kerugian dari operasinya (iaitu operasi bersabit kelapa sawit dan perniagaan sebelum ditolak bayaran faedah hutang, cukai dan lain-lain).

 

Download (PDF, 23KB)

 

Pada tahun 2014, kerugian operasi Felda ialah RM968 juta dan diperingkat kumpulan (termasuk kerugian anak-anak syarikat), Felda mencatatkan kerugian operasi sehingga RM1.4 bilion. Ini bermakna dalam tahun 2014, Felda tidak berjaya menjana wang dari operasi kelapa sawit dan perniagaannya kerana mengalami kerugian.

Saya yakin prestasi kewangan Felda tidak banyak berubah dalam tahun 2015 dan 2016, oleh itu unjurannya Felda dan anak-anak syarikatnya akan terus menunjukkan kerugian operasi.

Ini bermakna, sebarang bonus yang dibayar adalah dengan menggunakan wang hutang kerana operasinya tidak berjaya menjana keuntungan. Lebih teruk dari itu, dengan keputusan Felda untuk membeli 37% pegangan saham Eagle High Plantations berjumlah RM2.26 bilion, hutang Felda dan anak-anak syarikatnya akan melonjak naik kerana pembelian itu akan dibiayai melalui hutang.

Saya memetik laporan The Star bertarikh 28 Disember 2016 http://www.thestar.com.my/business/business-news/2016/12/28/sukuk-loan-mix-for-feldas-eagle-high-stake-buy/ yang memetik sumber yang rapat dengan urusniaga itu mengesahkan bahawa pembelian saham berjumlah RM2.26 bilion itu akan dibiayai melalui 2 pinjaman:

i. Terbitan hutang sukuk (kertas hutang mematuhi shariah) berjumlah RM1.13 bilion iaitu 50% dari pembiayaan tersebut
ii. Baki pembelian RM1.13 bilion akan dibiayai oleh satu hutang dari kumpulan bank Eropah

Saya telah menyemak kadar purata faedah (kupon) yang perlu dibayar oleh hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara, seperti berikut:

 

 

Berdasarkan kadar di pasaran yang terkini bertarikh 4 Januari 2017, kadar bayaran faedah bagi hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia mencecah 5% (rujuk graf di atas) bagi hutang-hutang yang perlu dilangsaikan dalam tempoh 20 tahun.

Hutang yang akan diterbitkan oleh Felda dan dijamin oleh Kerajaan Malaysia juga akan dikenakan kadar faedah yang sama dengan hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia, iaitu sekitar 5%.

Bagi hutang yang diambil dari kumpulan bank Eropah, kadar pinjaman dari bank perdagangan selalunya beberapa % lebih tinggi dari kadar hutang yang diterbitkan oleh sesebuah kerajaan. Jadi, jika kadar hutang bagi hutang-hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia adalah 5%, saya mengunjurkan (dengan mengambil kira risiko kewangan akibat kedudukan kewangan Felda yang lemah) Felda terpaksa membayar kadar faedah sekurang-kurangnya 7% (iaitu 2% lebih tinggi dari kadar hutang Kerajaan Malaysia atau MGS) ke atas RM1.13 bilion yang diambil dari bank Eropah itu.

Berdasarkan angka-angka ini, saya sertakan satu perkiraan jumlah hutang yang terpaksa ditanggung oleh Felda dan anak syarikatnya setelah pengambil alihan 37% pegangan di dalam Eagle High Plantations, seperti yang ditunjukkan di dalam Lampiran A.

 

Download (PDF, 20KB)

 

Kedudukan hutang Felda, jumlah kos membayar faedah hutang dan purata kos faedah hutang tahunan yang ditanggung oleh seorang peneroka Felda selepas pembelian saham-saham itu adalah seperti berikut:

i. Jumlah kos membayar hutang Felda dan anak syarikatnya – RM485 juta setahun

ii. Purata bayaran faedah hutang Felda dan anak syarikatnya bagi setiap peneroka – RM5,065 setahun

Sebab itu saya minta supaya Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan kerana bukan sahaja prestasi kewangan Felda jatuh merudum semasa beliau memimpin Felda, beliau juga mengumumkan bonus purata RM697 seorang peneroka yang akan dibayar dari hutang, sedangkan beliau menyembunyikan bahawa setiap peneroka itu pula akan menanggung bayaran faedah hutang Felda dan anak syarikatnya sebanyak RM5,065 setahun.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Felda Umum Bonus Purata RM697 Seorang Peneroka, Tambah Beban Faedah Hutang RM5,065 Setiap Peneroka Setiap Tahun”

  1. Why do we hv so mny kleptocrats in our country? They are supposed to protect govt pty & assets but they are like a pack of wolves. Even worst thn wolves.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.