Pelantikan Tan Sri Shahrir Samad: Perdana Menteri Akui Pendedahan Mengenai Kepincangan Felda Adalah Benar

Saya membaca berita ringkas mengenai pelantikan Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru menggantikan Tan Sri Isa Samad. Saya mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Shahrir atas amanah yang besar ini dan berharap beliau mengambil sikap terbuka dengan semua pendedahan kepincangan Felda yang saya buat secara bertubi-tubi kebelakangan ini.

Pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang datang secara tiba-tiba dalam suasana kepincangan kewangan dan pengurusan Felda menjadi bualan rakyat mengesahkan bahawa isu-isu yang saya (dan ramai lagi pemimpin politik dan aktivis Felda yang lain) timbulkan adalah benar. Malah, sejak 3 minggu lalu apabila saya memulakan pendedahan bersiri mengenai kepincangan kewangan dan pengurusan Felda, tidak ada satu pun kenyataan rasmi dari Felda atau Tan Sri Isa Samad yang menjawab angka-angka yang saya utarakan.

Pelantikan mengejut Tan Sri Shahrir Samad seakan-akan mengesahkan masalah kewangan yang meruncing yang dialami Felda dan menjunamnya sokongan peneroka Felda sendiri kepada Umno ekoran prestasi Tan Sri Isa Samad yang tidak memberangsangkan dan tidak popular.

Meskipun begitu, tanggungjawab sebenarnya terletak di bahu Dato’ Seri Najib sendiri kerana pengurusan Felda berada di bawah tanggungjawabnya. Di dalam Jemaah Menteri Malaysia iaitu badan eksekutif tertinggi di negara ini, tanggungjawab menyelia dan memajukan Felda terletak di bawah portfolio Perdana Menteri, maka sewajarnya beliau perlu turut sama meletakkan jawatan atas kegagalan memajukan Felda dan masyarakat peneroka.

Sedang saya mengalu-alukan perlantikan Tan Sri Shahrir Samad, saya juga ingin mengingatkan bahawa beliau tidak boleh mencuci tangan atas segala kerosakan yang telah berlaku bersabit Felda. Malah, beliau perlu menjawab dan menangani segera segala isu yang saya timbulkan iaitu:

1. Keputusan Felda untuk membeli 37% pegangan di dalam syarikat perladangan Indonesia (Eagle High Plantations) yang dimiliki sahabat baik Perdana Menteri pada harga yang 3 kali lebih tinggi, sedangkan Felda tiada wang dan tidak juga mempunyai kuasa penentu dalam membuat keputusan di dalam syarikat baru itu (walaupun mempunyai saham terbesar)

2. Prestasi kewangan Felda yang merudum sejak 2013 dengan kerugian berbilion ringgit setahun, hutang yang mencecah RM6 bilion dan rizab wang tunai yang susut dari berbilion ringgit sebelum itu kepada RM291 juta sahaja (tahun kewangan 2014)

3. Kemampuan Felda untuk menjalankan tanggungjawabnya kepada peneroka Felda apabila kedudukan kewangannya meruncing sedangkan belanja untuk menanam semula kelapa sawit mencecah RM2.5 bilion (berbanding pendapatan dan kerugian yang dicatatkan)

4. Kegagalan projek-projek perumahan Felda yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib sehingga sejumlah RM193 juta kerugian khusus kepada program perumahan Felda dicatatkan dalam tahun 2014

Oleh yang demikian, saya menggesa supaya Tan Sri Shahrir Samad dengan segera mengumumkan pembentangan Kertas Putih mengenai Prestasi Kewangan dan Masa Depan Felda di persidangan Parlimen akan datang dalam bulan Mac ini.

Sementara itu, saya akan meneruskan pendedahan mengenai kepincangan kewangan dan pengurusan Felda termasuk satu pendedahan besar minggu depan untuk mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Shahrir Samad.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.