Potong Gaji Menteri Kerana Gagal, Bukan Untuk Kawal Inflasi

Kenyataan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Pasukan Khas “Jihad Tangani Inflasi” yang memperlekehkan desakan agar gaji menteri dipotong akibat krisis kenaikan harga barang adalah bongkak.

Beliau membentak gesaan itu dengan menuduh kononnya itu satu permainan politik kerana “tidak ada negara yang berjaya turunkan inflasi selepas memotong gaji menteri”.

Beliau lupa bahawa di negara-negara lain, layanan kepada menteri-menteri yang gagal menguruskan ekonomi sehingga menyusahkan rakyat adalah lebih keras dari potongan gaji. Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan.

Oleh itu, desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji bukanlah untuk mengurangkan harga barang. Ia perlambangan hasrat rakyat kebanyakan mengenai beberapa perkara berhubung kemelut kenaikan harga barang sekarang:

  • Potongan gaji menteri adalah satu isyarat dari rakyat bahawa menteri-menteri telah gagal menjalankan tugas menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga tidak terkawal dan menekan rakyat
  • Potongan gaji menteri memaklumkan rakyat bahawa menteri-menteri sensitif kepada kepayahan yang dialami rakyat dan ia satu bentuk solidariti bersama-sama rakyat
  • Potongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali dari penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam, jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama

Saya berharap lebih ramai pimpinan masyarakat dan orang ramai meneruskan desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji untuk membentak kembali keangkuhan menteri seperti Annuar Musa ini.

Jika tidak, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil berbulan lama sebelum sesuatu keputusan konkrit diambil. Setelah satu keputusan diambil, berbulan pula masa yang diperlukan untuk melaksanakan keputusan. Apabila keputusan hendak dilaksanakan, jawatankuasa yang lain pula ditubuhkan untuk mengkaji masalah yang sama.

Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang kena kepada poket menteri-menteri, barulah mereka berasa keutamaan (“urgency”) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat.

RAFIZI RAMLI

One thought on “Potong Gaji Menteri Kerana Gagal, Bukan Untuk Kawal Inflasi”

  1. Saudara Rafizi Ramli, pemotongan gaji menteri satu tindakan yang wajar. Tetapi mungkin kurang efektif kerana menteri mempunyai banyak sumber kewangan yang lain. Saya cadangkan RUU menghadkan wakil rakyat menjadi menteri untuk 2 penggal sahaja dengan KPI yang ketat. Wakil Rakyat yang sedia ada yang telah melebihi 2 penggal wajib bersara. Agar dapat kita “revamp” the entire corrupted and non-performing ministers.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.