Category Archives: Reformasi

Aset PETRONAS Disita: Tindakan Undang-Undang Bermula Di Zaman Najib

Sejak berita mengenai tindakan waris Kesultanan Sulu menyita aset PETRONAS tersebar, Dato’ Seri Najib Tun Razak bertubi-tubi menyerang kononnya ia berpunca dari kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan.

Lebih jahat lagi, beliau mengalihkan pandangan rakyat kepada bekas Peguam Negara, Tommy Thomas untuk membina persepsi perkauman kononnya pentadbiran Pakatan Harapan melantik tokoh bukan Melayu yang akhirnya menggadaikan kedaulatan negara.

Ini permainan persepsi yang cuba dimainkan oleh Najib untuk dua tujuan:

Pertama, untuk terus memainkan politik perkauman menjelang Pilihanraya Umum 15 (PRU).

Kedua, untuk mengalihkan pandangan rakyat dari fakta sebenar iaitu tindakan undang-undang yang membawa kepada kejadian aset PETRONAS disita sebenarnya bermula akibat dari keputusan semasa beliau Perdana Menteri. Malah, pentadbiran beliau telah dimaklumkan mengenai perkara ini seawal 2017.

Semakan ke atas kertas keputusan proses timbang tara (“arbitration”) bertarikh 28 Februari 2022 jelas menunjukkan bahawa pentadbiran Najib telah dimaklumkan mengenai tindakan undang-undang yang boleh membawa kepada tindakan menyita aset ini.

Saya sertakan kertas keputusan timbang tara sebanyak 124 muka surat untuk makluman rakyat Malaysia.

https://drive.google.com/file/d/138QshyOfyt3RNCWBTak2Hyo8izV5WhWh/view?usp=sharing

Rujuk muka surat 23 di bawah tajuk “The Initial Phase of the Proceedings”, perenggan 21 secara jelas menyatakan bahawa “penuntut (waris Kesultanan Sulu) telah menyerahkan notis awal menyatakan hasrat untuk memulakan proses timbang tara, bertarikh 2 November 2017 di Kedutaan Malaysia di Madrid.

Rakyat juga sedia maklum pentadbiran Najib juga yang membuat keputusan menghentikan bayaran (mengikut perjanjian yang diwarisi Kerajaan Persekutuan) kepada waris Kesultanan Sulu dalam tahun 2013.

Hakikatnya, keseluruhan aset negara yang dimiliki oleh syarikat dan badan kerajaan seperti PETRONAS, MARA dan lain-lain kini terdedah kepada tindakan disita akibat kecuaian dan kegagalan Najib semasa menjadi Perdana Menteri.

Mujurlah aset yang dikenakan tindakan sita itu telah pun dijual oleh PETRONAS terlebih dahulu dan semua hasil urusniaga telah dipulangkan. Kita bernasib baik kerana pimpinan PETRONAS lebih bijak merancang dan menangani risiko berbanding Najib dan menteri-menterinya dahulu.

Ketika notis bertarikh 2 November 2017 itu diserahkan, Najib sedang terperangkap dengan skandal 1MDB dan sebahagian besar tumpuan pentadbirannya dalam setahun terakhir sebelum kalah PRU14 adalah untuk menutup skandal tersebut.

Perangai tidak malunya yang meneruskan pembohongan dengan cuba mengalihkan pandangan kepada orang lain tidak boleh diambil mudah.

Oleh itu, saya akan menyusun, mulai minggu depan, supaya satu laporan polis dibuat di seluruh negara terhadap Najib Razak atas kegagalan dan kecuaiannya yang menyebabkan harta-harta negara milik PETRONAS dan badan-badan lain terdedah kepada tindakan sita di seluruh dunia.

RAFIZI RAMLI

MASA UNTUK BEKERJA

Keputusan terkini Pemilihan KEADILAN yang diumumkan semalam, sementara tidak banyak mengubah keputusan asal di peringkat pimpinan kanan pusat, menimbulkan tanda tanya bagaimana keputusan Ketua Wanita boleh bertukar di saat akhir dengan margin hanya 32 undi (0.09%, mungkin margin paling kecil dalam dunia untuk sebuah parti utama sebuah negara).

Saya juga dihubungi oleh pimpinan akar umbi di seluruh negara yang terkejut dengan pelbagai pertukaran di peringkat cabang. Ada yang telah diumumkan menang tiba-tiba kalah. Ada cabang yang undi fizikal (yang melibatkan ratusan ahli keluar mengundi) dibuang semua undi dan hanya tinggal undi atas talian.

Sementara kita hanya boleh tahu sejauh mana keputusan berubah di seluruh negara selepas beberapa hari (apabila analisis keseluruhan siap), yang jelas keputusan yang diubah secara tidak konsisten begini telah mencemarkan pemilihan baru-baru ini.

Sejak dari awal lagi, saya telah membuat pendirian kepada Dr Zaleha Mustafa (Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, JPP) dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Presiden Dipilih) bahawa tuntutan mengadakan audit digital ini hanyalah permainan segelintir anggota parti yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini. Malangnya, mereka ini rapat dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan merasakan mereka boleh mempengaruhi keputusan untuk memastikan saya tidak disahkan sebagai Timbalan Presiden.

Saya telah menjelaskan secara dalaman pandangan saya bahawa motif sesetengah pihak seperti Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak terus mempersoalkan pemilihan parti adalah serampang dua mata, iaitu:

Pertama, untuk cuba mengubah keputusan supaya saya dan beberapa orang lain yang menang bersama saya tidak disahkan oleh Kongres Nasional.

Kedua, untuk membina persepsi kononnya kemenangan saya dengan jurang yang besar ialah disebabkan manipulasi besar-besaran.

Hakikatnya, mereka tidak boleh menerima kenyataan bahawa sentimen akar umbi sangat berbeza dengan bacaan mereka yang berlegar sekitar Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini.

Sebaik mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden, saya terus membuat satu kaji selidik terperinci untuk memahami sentimen dan kehendak anggota parti akar umbi. Kaji selidik itu juga menyelami pandangan pengundi terhadap KEADILAN.

Dapatan kaji selidik adalah jelas. Sokongan kepada saya di kalangan anggota akar umbi adalah 85% berbanding saingan saya. Isu-isu yang saya bawa adalah selari dengan kehendak anggota akar umbi. Sebab itu keputusan pemilihan juga mirip kepada sentimen akar umbi: saya menang dengan ~60% undi popular dan 75% dari semua cabang di seluruh negara.

Selepas keputusan diubah akibat audit digital, ia masih tidak boleh mengubah sebahagian besar keputusan pemilihan kerana sentimen akar umbi telah diterjemahkan semasa pemilihan.

Malangnya, kumpulan yang kalah tidak boleh menerima kekalahan. Mereka terus mengasak dan mengelilingi Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan pemilihan semula atau setidak-tidaknya membuat audit digital untuk mencapai hasrat mereka. Saya telah menyatakan pendirian bahawa parti akan terperangkap dengan permainan politik segelintir sedangkan majoriti parti telah membuat keputusan yang diterima dengan baik oleh rakyat umumnya.

Berlatarbelakangkan ini, saya cukup simpati dengan keadaan Saudari Rodziah Ismail yang keputusannya sebagai Ketua Wanita bertukar di saat-saat akhir. Kami telah berbincang dan saya terharu dengan pendirian beliau bahawa parti mesti bergerak ke hadapan dan tidak terheret dengan permainan politik kelompok yang kalah.

Oleh itu, berikut adalah pendirian saya:

  • Kongres Nasional parti tidak boleh ditangguhkan lagi untuk melayan karenah segelintir calon yang kalah memandangkan pilihanraya umum boleh dipanggil bila-bila masa. Keutamaan saya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk mempersiapkan pimpinan dan jentera parti untuk berdepan dengan lawan dalam PRU15.
  • Sementara kita meneruskan agenda pengukuhan parti ke arah PRU15, segala ruang dalam parti perlu dibuka untuk membolehkan isu-isu yang ditimbulkan akibat pertukaran keputusan di saat akhir ini terus disemak. Antara langkah utama saya sebagai Timbalan Presiden ialah untuk meneliti keseluruhan proses audit digital yang telah mengakibatkan kecelaruan yang berlaku untuk memberi keadilan yang sewajarnya kepada semua pihak.
  • Sebagai Timbalan Presiden, saya akan mengusahakan supaya satu tindakan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti berniat mensabotaj parti dengan terus-menerus mengkritik pemilihan bertujuan melengahkan kepimpinan baru KEADILAN mengambil tempat.

Sebagai sebuah parti, kita tidak ada banyak masa untuk kembali ke landasan asal perjuangan kita iaitu membela rakyat ke arah membentuk sebuah masyarakat pelbagai kaum yang saling menghormati, lebih berdaya dan menjamin kehidupan yang lebih baik kepada semua.

Saya dan rakan-rakan yang selama ini berdiam diri dengan segala karenah dari kumpulan-kumpulan yang berkepentingan peribadi ini akan mempercepatkan lagi kempen #AyuhMalaysia untuk membentangkan visi KEADILAN untuk masa depan yang lebih baik.

Saya seru seluruh anggota KEADILAN supaya tidak lagi menghiraukan kekecohan yang cuba ditimbulkan oleh segelintir kelompok yang kalah ini dan bekerja untuk kita meyakinkan kembali rakyat bahawa KEADILAN adalah pilihan terbaik rakyat.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden (Dipilih)

Saman Shahril Shamsuddin: Ayuh Ke Mahkamah

Saya telah menerima writ saman dari Tan Sri Shahril Shamsuddin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Sapura Energy Berhad (SEB) sekitar jam 1130 malam semasa saya dalam satu majlis di Kuantan pada 11 Mei 2022.

Writ itu adalah untuk mengesahkan bahawa Tetuan Zul Rafique & Partners, peguam kepada Shahril Shamsuddin telah memfailkan saman terhadap saya di mahkamah berhubung kenyataan-kenyataan saya ekoran desakan Dato’ Seri Najib Tun Razak agar kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan SEB.

Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan kenyataan-kenyataan saya di mahkamah kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah untuk melindungi kepentingan awam.

Sejak 2010, saya telah melalui 14 kes di mahkamah (dari Mahkamah Sesyen hingga ke Mahkamah Persekutuan) demi mempertahankan wang rakyat. Sebahagian besar dari kes-kes itu bersabit skandal kewangan besar negara seperti National Feedlot Corporation (NFC), 1MDB, Majlis Amanah Rakyat, Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Setakat ini, saya menang kesemua kes saman yang dibawa terhadap saya di mahkamah. Dalam proses mahkamah itu, rakyat dapat menilai sendiri butiran terperinci yang menjadi latar belakang setiap skandal kewangan tersebut.

Saya akan diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Ranjit Singh dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh. Beliau adalah peguam yang mewakili saya selama 11 tahun sepanjang perbicaraan kes NFC dari 2011 hingga ke keputusan akhir Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kami baru-baru ini.

Perbicaraan kes saman Shahril Shamsuddin adalah titik mula yang penting dalam usaha kita memastikan pelaburan rakyat melalui institusi pelaburan awam (seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan lain-lain) memenuhi mutu piawai urus tadbir untuk pelaburan awam (required governance for public investments).

Dalam struktur ekonomi yang melibatkan banyak pelaburan dana rakyat yang besar di dalam syarikat-syarikat swasta senarai awam (public listed companies), kerangka urus tadbir pelaburan awam mestilah lebih ketat untuk mengelakkan dana simpanan rakyat kerugian apabila syarikat-syarikat ini mengalami kerugian besar.

Kebelakangan ini, pelaburan rakyat mengalami kerugian besar akibat masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat seperti Serba Dinamik Berhad dan Sapura Energy Berhad. Walaupun syarikat-syarikat ini secara rasminya adalah syarikat swasta yang dikawal secara majoriti oleh pemegang-pemegang saham individu, kerugian mendadak yang dialami telah menyebabkan kerugian besar kepada rakyat.

Pulangnya saya ke arena politik tanah air disambut dengan kes mahkamah yang pertama yang dibawa oleh Shahril Shamsuddin. Insya Allah saya akan terus bersuara untuk melindungi dana rakyat seperti sebelum ini biar pun terpaksa berdepan dengan lebih banyak kes mahkamah yang akan dibawa.

RAFIZI RAMLI

1 Jun 2022

Yakini Rakyat

Saya mengucapkan tahniah kepada semua calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan-jawatan kanan KEADILAN bagi sesi 2022 ke 2025.

Saya mengajak seberapa ramai anggota KEADILAN yang belum mendaftar sebagai Pengundi Atas Talian (PAT) untuk berbuat segera sebelum tarikh tutup pada 21 April 2022 ini. Muat turun aplikasi ADIL di Apple, Google dan Huawei secepat mungkin.

Penyertaan seberapa ramai anggota KEADILAN biasa sebagai PAT dalam pemilihan ini adalah sangat penting untuk mengurangkan pengaruh sekelompok tokoh tempatan (sering dirujuk sebagai “warlords”) yang banyak mempengaruhi pemilihan lepas. Sebelum ini, calon-calon di peringkat pusat terpaksa tawar-menawar dengan tokoh-tokoh tempatan ini supaya mereka menggerakkan pengikut mereka menyokong calon tertentu.

Adalah menjadi harapan saya, bermula dengan pemilihan kali ini, setiap anggota KEADILAN memilih pimpinan berdasarkan penilaian peribadi mengikut prestasi dan pendirian seseorang calon. Melalui sistem undian atas talian menggunakan aplikasi, kuasa untuk memilih pimpinan dikembalikan kepada setiap anggota biasa dan seterusnya mengurangkan pengaruh “warlords” di dalam parti.

Oleh itu, demi memudahkan setiap anggota KEADILAN membuat keputusan, saya menyeru semua calon-calon yang bertanding kali ini untuk menjelaskan pendirian mereka mengenai dua perkara penting:

  1. Hala tuju parti untuk tempoh setahun ke tiga tahun akan datang, terutamanya berhubung strategi masuk pilihanraya; dan
  2. Bentuk dan sumbangan gerak kerja setiap calon yang boleh melonjakkan peluang KEADILAN menang dalam pilihanraya yang akan datang.

Pemilihan kali ini sewajarnya tidak dicemarkan dengan emosi, serangan peribadi atau kempen yang bersandarkan “wahyu”. Saya sedar ada calon-calon yang menyebarkan konon mereka menjadi pilihan Presiden parti dan memberi gambaran jika tidak mengundi mereka, itu tidak setia kepada “institusi presiden”.

Kempen sebegini wajar dihentikan serta-merta. Hak untuk memilih pemimpin adalah hak individu setiap anggota. Pencapaian seorang calon seharusnya didasarkan semata-mata kepada rekod pendiriannya yang sehaluan dengan perjuangan parti, serta kemampuan calon itu menggerakkan kempen dan gerak kerja untuk melonjakkan kedudukan parti di mata rakyat.

Berikut adalah pendirian saya mengenai dua perkara utama yang saya fikir perlu dijadikan kayu ukur untuk anggota memilih:

  • Hala tuju parti – Saya menggesa supaya KEADILAN kembali kepada strategi asal yang telah memenangkan kita sebelum ini, iaitu meyakini rakyat. Kita mesti yakin bahawa apabila kita mengangkat suara rakyat, rakyat akan menghormati kita. Oleh itu, saya menolak sebarang usaha untuk mencari jalan singkat (sama ada melalui kerjasama politik, rundingan atau jajaran baru, di bawah apa-apa nama seperti “khemah besar”) dengan mana-mana pihak yang boleh melunturkan idealisme KEADILAN. Saya yakin bahawa kuasa dan pengaruh kita datangnya dari rakyat, maka kita wajib akur dengan kehendak rakyat sepanjang masa.
  • Strategi gerak kerja – Saya menggesa supaya KEADILAN kembali kepada gerak kerja sebelum ini yang berbentuk serampang dua mata. Pertama, kita perlu agresif dalam melawan rasuah dan kelemahan pentadbiran kerajaan. Kedua, kita perlu kreatif dalam mengupas masalah masyarakat dan membentangkan penyelesaian alternatif untuk meyakinkan rakyat bahawa kita boleh mentadbir dengan lebih cekap, jujur dan berkesan.

Atas dua pendekatan inilah, saya dan sahabat-sahabat yang sependapat bersetuju supaya:

  1. Saudari Nurul Izzah Anwar menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kempen Ayuh Malaysia untuk memenangi pengundi atas pagar di luar parti, sementara kami membawa perubahan pendekatan di dalam parti. Saya bertanggungjawab memastikan kempen kami di dalam parti ada keserasian dengan kempen Ayuh Malaysia dengan pengundi.
  2. Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Haron bertanding jawatan Naib Presiden bersama-sama kami atas kebolehan beliau mendekati pengundi atas pagar dan prestasinya sebagai satu-satunya Menteri Besar Pakatan Harapan (yang menang selepas 2018) yang mampu mempertahankan negeri dari dikhianati.
  3. Tokoh-tokoh muda yang progresif iaitu Saudara Nik Nazmi, Saudara Chang Lih Kang dan Saudara Manivanna Govin bertanding sebagai calon Naib Presiden untuk menampilkan pimpinan yang agresif dan kreatif dalam melonjakkan parti.
  4. Gandingan Saudari Rodziah Ismail dan Saudara Fahmi Zainol digandingkan masing-masing sebagai calon Ketua Wanita dan Ketua Angkatan Muda atas rekod mereka yang panjang sehingga mahir dan sebati dengan organisasi Wanita dan Angkatan Muda.

Kami merupakan barisan pimpinan KEADILAN yang meyakini rakyat. Kami tidak percaya kepada sebarang strategi yang dirunding di bilik tertutup di kalangan bangsawan-bangsawan politik. Kami yakin dengan kebijaksanaan rakyat yang akan memberi kemenangan kepada KEADILAN jika kita benar-benar berjuang untuk mereka.

Sudah sampai masanya untuk calon-calon lain, iaitu saingan saya Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon-calon jawatan tertinggi yang lain memberi penjelasan mengenai pendirian mereka berkenaan dua perkara yang saya sebut sebelum ini.

Pemilihan kali ini akan menjadi pungutan suara (“referendum”) di kalangan anggota biasa KEADILAN untuk memutuskan sama ada beberapa kelompok yang terus mahu merundingkan pelbagai kerjasama dengan parti-parti lawan ini benar-benar ada mandat dari anggota parti.

RAFIZI RAMLI

Mana Suara Najib Ketika RM983 Juta Dibayar Kepada Pengarah Eksekutif Sapura Sepanjang Najib Jadi Perdana Menteri?

Sejak hilang kuasa dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah menyeleweng dana pencen rakyat, Dato’ Seri Najib Tun Razak ghairah cuba bersuara dalam semua perkara kononnya untuk menjadi hero rakyat.

Terbaru, dia mengusulkan supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan dengan mengarahkan institusi milik rakyat seperti PETRONAS, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad (“PNB”) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad (“Sapura”) yang berdepan masalah kewangan.

Apabila saya bersuara bahawa sebarang usaha untuk menyelesaikan kemelut kewangan Sapura tidak boleh melibatkan wang rakyat, seperti biasa Najib menimbulkan isu kerugian wang rakyat (melalui pegangan PNB di dalam Sapura), kehilangan kerja, kerugian vendor dan pinjaman bank kepada Sapura.

Pada dasarnya, sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir (“corporate governance”) yang lemah. Sekiranya syarikat-syarikat swasta ada talian hayat (dengan diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban (“accountability”) untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing.

Tambah pula, dalam hal ini, beberapa rekod kewangan Sapura sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi terutamanya berhubung bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya (yang juga mewakili beberapa pemegang saham terbesar Sapura).

Rekod kewangan Sapura yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan 2009 hingga 2021 menunjukkan pecahan bayaran-bayaran berikut (dibundarkan kepada juta yang terdekat, jika berkenaan):

Selain gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif yang mencecah ratusan ribu ringgit setiap hari (2013: RM123,351 sehari, 2014: RM313,422 sehari, 2015: 245,893 sehari, 2016: 250,693 sehari, 2017: RM242,970 sehari, 2018: RM102,321 sehari, 2019: RM35,693 sehari, 2020: RM26,293 sehari dan 2021: RM16,586 sehari), pengarah eksekutif juga dibayar dalam bentuk lain, iaitu:

  • Sewa tahunan yang dibayar oleh Sapura kepada syarikat yang berkaitan (dimiliki oleh) pengarah eksekutif (dan pemegang saham yang mereka wakili). Sejumlah RM149 juta dibayar sebagai sewa dalam tempoh 2013 hingga 2021.
  • Yuran harta intelek (IP) sebanyak RM439 juta dalam tempoh 2013 hingga 2021. Saya difahamkan bayaran ini adalah yuran bagi membolehkan Sapura Energy Berhad menggunakan nama “Sapura” yang dilesenkan oleh pemegang saham (yang diwakili pengarah eksekutif).

Dalam tempoh yang sama (2009 hingga 2021), Sapura membayar dividen kepada pemegang-pemegang saham sebanyak RM683 juta.

Analisis kewangan ini (bagi tempoh 2009 hingga 2021) menunjukkan perkara-perkara berikut:

  • Sapura membayar pengarah eksekutif tertentu (yang mewakili pemegang saham majoriti) sebanyak RM1.1 bilion sedangkan keuntungan yang dipulangkan kepada pemegang saham sebagai dividen hanyalah RM683 juta.
  • Dari jumlah RM683 juta itu, sekitar 35% dividen dibayar kepada pemegang saham majoriti yang diwakili oleh pengarah eksekutif yang mengetuai Sapura.
  • Oleh itu, anggaran bayaran keuntungan kepada pemegang saham majoriti (yang diwakili pengarah eksekutif) dalam bentuk gaji, sewa, yuran harta intelek dan dividen adalah sekitar RM1.33 bilion berbanding hanya RM440 juta yang diagihkan kepada pemegang saham lain seperti PNB dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
  • Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar yang diwakili pengarah eksekutif adalah sekitar tiga (3) kali ganda berbanding yang diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat.

Semua ini berlaku semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

Malangnya, 90% (atau RM983 juta) dari bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu 2009 hingga 2018.

Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?

Saya ingin mengambil peluang ini untuk menunjukkan bagaimana Najib hanya mengambil kesempatan menembak dalam semua isu kononnya untuk menjadi ter-paling wira rakyat demi menyelamatkan dirinya yang sudah dijatuhkan hukuman penjara. Hipokrasi Najib ini tidak sewajarnya dibiarkan berterusan dan rakyat harus dibentangkan dengan fakta-fakta untuk menunjukkan hipokrasinya.

Pada masa yang sama, mulai esok saya juga akan membentangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan sekarang dan mengelakkan ribuan kakitangannya kehilangan kerja.

RAFIZI RAMLI