KELULUSAN PROJEK RM285 JUTA KEPADA MANGKUBUMI DIBUAT SELEPAS TARIKH PEMBUBARAN

Sejak awal saya mendedahkan projek-projek di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang diberikan kepada Mangkubumi Sdn Bhd, saya telah menegaskan bahawa memang ada usaha untuk memberi kelulusan projek selepas Parlimen dibubarkan yang melanggar peraturan Perbendaharaan dan undang-undang.

Setakat ini, jawapan dari Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri KASA dan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Kewangan banyak bersilat di sebalik persoalan prosedur perolehan kerajaan. Belum ada keterangan yang jelas dan banyak persoalan masih belum dijawab.

Soalan-soalan utama yang belum dijawab termasuklah:

  1. Bahawa kelulusan-kelulusan projek bernilai berbilion ringgit kepada Mangkubumi Sdn  Bhd dipercepatkan supaya kerajaan baru terpaksa mewarisi projek-projek yang dirunding terus pada harga yang lebih tinggi
  1. Bahawa projek-projek besar infrastruktur negara diberikan kepada hanya satu syarikat iaitu Mangkubumi Sdn Bhd hingga syarikat lain diketepikan, sedangkan rekod pelaksanaan projek setakat ini menunjukkan ada projek-projek yang bermasalah
  1. Bahawa ada projek yang kelulusannya melanggar prosedur perolehan kerajaan dan undang-undang

Penjelasan oleh PAS setakat ini hanyalah dengan menuding jari kepada Kementerian Kewangan dengan alasan kelulusan diberikan oleh Menteri Kewangan dan bukannya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Oleh itu, saya ingin menjelaskan prosedur perolehan kerajaan di antara kementerian yang boleh menunjukkan pertanggungjawaban di setiap peringkat proses:

  1. Cadangan projek datangnya dari kementerian (dalam kes ini Kementerian Alam Sekitar dan Air)
  1. Cadangan mode tender (sama ada tender terbuka, tender terhad atau rundingan terus) datangnya dari kementerian
  1. Jika kementerian mencadangkan mode tender selain dari tender terbuka, kelulusan Kementerian Kewangan diperlukan
  1. Proses tender dijalankan di peringkat kementerian
  1. Bagi jumlah peruntukan melebihi harga tertentu, kementerian perlu mendapatkan kelulusan dari Kementerian Kewangan
  1. Setelah Kementerian Kewangan memberikan kelulusan, kementerian mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor dengan merujuk kepada surat kelulusan dari Kementerian Kewangan

Oleh itu, bagi tujuan menentukan sama ada kelulusan sesuatu projek diberikan selepas tarikh pembubaran, tarikh yang dirujuk ialah tarikh di mana punca kuasa diberikan bagi tujuan mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) iaitu surat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

Minggu lepas, saya telah menyatakan bahawa ada tekanan kepada penjawat awam untuk meluluskan projek-projek di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air selepas Parlimen dibubarkan.

Perkara ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Tuan Ibrahim Tuan Man.

Oleh itu, hari ini saya ingin berkongsi satu surat kelulusan bertarikh 27 Oktober 2022 iaitu 17 hari selepas Parlimen dibubarkan.

Surat bertarikh 27 Oktober 2022 ini adalah berhubung projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan Klang Selatan berjumlah RM285 juta yang dianugerahkan kepada Mangkubumi Sdn Bhd.

Surat ini mengesahkan bahawa ada projek yang diluluskan oleh menteri-menteri BN (UMNO) dan PN (PAS) selepas Parlimen dibubarkan yang secara jelas melanggar undang-undang.

Setakat ini, projek-projek yang telah diluluskan ini masih tidak dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada Mangkubumi Sdn Bhd akibat dari pendedahan-pendedahan saya.

Pengesahan bahawa memang ada projek di bawah KASA yang diberi kelulusan secara rundingan terus selepas Parlimen dibubarkan mempersoalkan sama ada Tuan Ibrahim Tuan Man berbohong minggu lepas ketika saya mula-mula mempersoalkan perkara ini.

Selain dari menjawab mengenai sama ada beliau berbohong atau tidak, atau ingin menyembunyikan sesuatu, beliau juga perlu menjawab perkara-perkara berikut:

  1. Kenapa projek-projek besar KASA diberikan (sebahagian besarnya secara rundingan terus atau tender terhad) kepada sebuah syarikat sahaja iaitu Mangkubumi Sdn Bhd? Setakat yang saya dedahkan, projek-projek yang berjumlah hampir RM5 bilion telah diberikan kepada satu syarikat sahaja?
  1. Monopoli projek-projek besar oleh satu syarikat menyebabkan kerajaan tidak mendapat harga yang terbaik berbanding jika diadakan secara tender terbuka. Anggaran penjawat-penjawat awam yang memberikan maklumat ini menyebut kos sebenar boleh dijimatkan sebanyak 30% iaitu sebanyak RM150 juta (dari keseluruhan projek bernilai RM5 bilion yang setakat ini telah dianugerahkan kepada Mangkubumi Sdn Bhd)
  1. Apa kepentingan dan hubungan istimewa di antara Tuan Ibrahim Tuan Man dan Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan Mangkubumi Sdn Bhd sehingga syarikat yang bermasalah ini diberikan layanan yang begitu istimewa? 

Saya ingin mengingatkan pengundi-pengundi bahawa projek-projek ini belum dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) hanya apabila saya mendedahkan kepincangan dalam proses perolehan. 

Jika BN atau PN menang dalam PRU15, dengan kelulusan yang telah diberikan setakat ini, projek-projek ini akan terus diberikan kepada Mangkubumi Sdn Bhd dan sia-sialah pengorbanan penjawat awam yang mengambil risiko mendedahkan perkara ini demi memperbetulkan kepincangan perolehan yang berlaku.

RAFIZI RAMLI

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.