Category Archives: Reformasi

Pengajaran Berjuang: Dari penampal poster ke YDP PAS

(cross post dari laman web Keadilan Kemaman)

Untuk renungan semua pejuang kebenaran di seluruh Malaysia – kalau namanya perjuangan, maknanya susah! Perkara paling sukar untuk menggiatkan mana-mana cabang Keadilan adalah mewujudkan semangat kental yang tinggi untuk melepasi halangan pertama, iaitu membuka minda bahawa kita boleh mengatasi pelbagai kekangan kewangan dan lojistik.

Memang mudah untuk memilih untuk berserah kepada takdir, tetapi kalau kita belajar dari rakan kita PAS, kita sepatutnya dapat inspirasi bagaimana kekuatan lojistik, keahlian dan kesepakatan yang mereka ada di Kemaman kini bukannya berlaku sekelip mata. Ia memerlukan usaha dan istiqamah.

Membaca nukilan Haji Subky di bawah membuatkan saya tersenyum, kerana seolah-olah kita di Keadilan Kemaman sekarang pun mengalami pengalaman yang sama. Alhamdulillah sekarang kita ada internet, telefon bimbit, kereta dan lain-lain, jadi mungkin saya tidak akan tersadai di mana-mana sungai ha2!

oleh Subky Abdul Latif

HAJI Ismail Harun yang dikenali Abang We, Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman bercakap dengan isteri saya pada 7 Oktober 2010 tentang satu majlis mengenang tokoh PAS Kemaman pada malam 9 Oktober. Adakah saya dapat datang?

Saya diminta datang kerana saya adalah calon PAS bagi kawasan Parlimen Kemaman dalam Pilihan Raya umum tahun 1982.

Saya pun hadir. Menjelang Maghrib Abang We menelefon saya orang-orang PAS Kemaman minta saya membuat satu pengkisahan ringkas tentang pertandingan saya dalam pilihan raya itu.

Apa yang saya ingat tentang kisah 28 tahun lalu?

Kebanyakan yang bekerja kuat untuk pilihan raya datang bertongkat ke majlis itu malam itu. Rupanya PAS Kawasan Kemaman merayakan ulang tahun Jubli Emas penubuhannya. Sekalian ahli jawatankuasa kawasan sejak penubuhannya 50 tahun dulu hingga ke hari ini dan setiap calon pilihan raya dikenang dan dianugerah tokoh.

Empat bulan menjelang Pilihan Raya Umum itu PAS memutuskan saya menjadi calon Parlimen kawasan Kemaman. Saya tidak kenal sesiapa di Kemaman kecuali keluarga isteri saya yang semuanya Umno.

Tiga bulan sebelum pilihan raya saya tiba ke Kemaman untuk mengenalkan diri dan untuk memulakan kerja-kerja pilihan raya.

Walau PAS kuat di Negeri Terengganu, ia membentuk kerajaan negeri tahun 1959, ia mendapat undi lebih banyak dari Perikatan bagi seluruh Terengganu dalam PRU 1969 tetapi Adun Perikatan lebih ramai, hampir ia membentuk kerajaan semula. Tetapi Kemaman adalah sebuah kawasan Umno di Pantai Timur yang sama kuatnya dengan kawasan-kawasan Umno di pantai barat Semenanjung.

Kemaman kira-kira satu pertiga dari keluasan Negeri Terengganu. Sempadan di sebelah selatan dari Jabor dan Geliga di sempadan Pahang hingga ke pangkal bandar Dungun di utara dan baratnya hingga ke Pasir Raja.

Masa itu cawangan PAS hanya tujuh buah saja. Pusat mengundi lebih banyak dari cawangan. Satu cawangan kira-kira terpaksa bertanggungjawab atas tiga atau empat atau lima pusat mengundi.

Tidak semua cawangan ada pejabat dan tidak semua rumah ketua cawangan ada telefon. Masa itu tidak telefon bimbit seperti sekarang. Tiada email dan internet.

Jika ada perkara perlu yang hendak disampai kepada ketua atau jawatankuasa PAS Cawangan Kemasik, saya dan Ustaz Awang Dagang, ketua PAS Kawasan masa itu terpaksa pergi ke rumah ketua untuk bertemu dengannya yang jarak perjalanan hampir 50 minit. Belum tentu berjumpa orang yang dicari. Jika tidak ditemui terpaksa balik semula ke pekan Kemaman. Terpaksa pergi lagi mencarinya di hari lain.

Di Kampung Pasir Raja terdapat kurang dari 100 pengundi. Calon terpaksa pergi bagi mengadakan satu ceramah. Rombongan PAS Terengganu diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan beberapa orang lagi menggunakan dua bot sangkut untuk pergi ke Pasir Raja melalu sungai dari Dungun. Di tempat yang cetek, bot itu terpaksa ditolak. Sehari pergi, sehari menghubungi orang tempatan bagi mengadakan ceramah sebelah malamnya. Sehari pula balik ke Dungun. Untuk mengadakan satu ceramah kepada sekitar 100 pengundi mengambil masa tiga hari.

Selama tiga bulan kempen di Kemaman, saya hanya pergi kira-kira satu per tiga dari lokaliti di kawasan itu. Saya tidak dapat bertemu dengan semua pengundi. Dengan tempoh kempen dua minggu saja, saya tidak dapat memperkenal diri sebagai calon kepada separuh daripada pengundi.

Ramai pemuda yang bekerja untuk calon Umno datang mengambil poster PAS untuk menampalnya secara sukarela. Mereka gantung poster PAS dan poster BN berselang seli pada satu tali.

Pada pilihan raya itu ada seorang pemuda bernama Ismail dan dipanggil We hampir setiap hari datang membuat kerja di pos PAS dan Bukit Mentok di pinggir pekan Chukai.

Biasanya kerjanya mencari batang buluh untuk memasang bendera PAS. Pemuda-pemuda di situ tidak ramai, tetapi We adalah seorang pekerja yang tekun. Setiap kali saya ke situ dia ada.

Dia tidak termasuk dalam seranai orang kuat PAS kawasan kerana dia seorang pekerja biasa dalam PAS. Walaupun dia tidak banyak bercakap dengan calon tetapi saya ingat dia dan namanya.

Pemuda ini dalam tahun 90-an jadi salah seorang kuat PAS kawasan Kemaman dan hari ini dia jadi Yang Dipertua PAS Kawasan. Dalam tahun 1999 dia jadi seorang dari Adun dari kawasan Kemaman.

Sekalipun saya berada tiga bulan saja, sempat pergi ke satu per tiga dari kawasan, tetapi saya dapat kira-kira satu per tiga dari jumlah pengundi. Saya dapat ssekitar 10 ribu dari lebih 30 ribu pengundi.

Itulah kisah ringkas yang dapat saya sampaikan kepada sekitar 5,000 orang yang hadir dalam majlis penyampai anugerah tokoh di Kemasik.

Program 12 – 16 Januari 2011

Jadual 12 – 16 Januari:

Rabu 12 Jan : Mesyuarat Biro Politik

Khamis 13 Jan : Mesyuarat Pakatan, Persediaan program cabang di Kemaman

Jumaat 14 Jan : Ceramah kelompok di Ayer Jerneh dan Sri Bandi (Kemaman), Forum Subsidi dan Dialog dengan aktivis mahasiswa (Selangor Chinese Assembly Hall)

Sabtu 15 Jan : Mesyuarat MPN Terengganu, Temurapat Pimpinan/Aktivis Terengganu dengan DS Anwar Ibrahim, Hi Tea DS Anwar Ibrahim dengan rakyat (semua di Kemaman)

Ahad 16 Jan : Diskusi Buku Jingga dengan kepimpinan Cabang Gombak bersempena temurapat Cabang Gombak (Bentong), Mesyuarat Contact Group dengan NGOs

Membina Gerakan Politik Akar Umbi

Minggu ini minggu di cabang dan Terengganu.

Gerakan politik di peringkat akar umbi, walaupun agak straight-forward tetapi banyak memakan masa dan selalunya menelan belanja.

Ada beberapa objektif utama dalam mengekalkan gerakan akar umbi.

Pertama, untuk membina jentera agar gerak kerja di bawah dapat dijalankan dengan lancar. Bentuk-bentuk kerja yang memerlukan jentera (dari perspektif Pakatan Rakyat) adalah menampal poster, menyusun kerusi, memasang pentas ceramah, mengutip sumbangan selepas ceramah, menjadi pemandu semasa program dan lain-lain. Memang tidak glamour dan nampak berat, tetapi sepatutnya semua yang ingin berkecimpung dalam politik perlu melalui fasa ini.

Saya mula-mula balik ke Kemaman dari luar negara dalam tahun 2003 dengan melakukan kerja-kerja ini. Walaupun sudah menjadi EXCO Pemuda pada masa itu, tetapi setiap kali ceramah, muka-muka yang sama jugalah bersengkang mata sampai ke subuh menampal poster.

Objektif kedua adalah untuk memastikan maklumat sampai. Ada dua cara utama menyampaikan maklumat di peringkat akar umbi, apabila kita tidak dibenarkan mempunyai saluran yang sah dan adil seperti Umno/BN. Pertama melalui ceramah-ceramah, walaupun saya merasakan ia kurang berkesan kerana yang datang adalah penyokong tegar Pakatan Rakyat. Yang kedua adalah melalui ceramah kelompok dan sembang-sembang dengan “key opinion leaders” dalam masyarakat setempat. Mereka ini termasuklah orang lama di pasar ikan, ketua kepada kumpulan nelayan dan lain-lain. Yang ini lebih berkesan tetapi lebih meletihkan kerana hanya boleh dilakukan pada skala kecil dan berulang-ulang kali.

Objektif ketiga adalah untuk menunjukkan kehadiran sesebuah parti di kawasan setempat. Ada banyak cara untuk melakukan ini (contohnya bangunan pejabat, bunting dan poster, pertandingan, sumbangan kewangan dan lain-lain) tetapi dalam keadaan kekurangan, cara yang terbaik adalah dengan menganjurkan ceramah. Tetapi program ceramah pun memerlukan sumber kewangan yang besar jika penceramahnya adalah tokoh besar – kerana kita perlu menyediakan wang saku, penginapan dan lain-lain.

Semua ini tidak termasuk tugas-tugas biasa seperti mengedarkan risalah, menjual organ rasmi parti dan lain-lain.

Makanya, suka atau tidak, senang atau sukar proses ini perlu berlaku. Saya sendiri kadang-kadang ada rasa kecewa ada rasa bangga. Kecewa apabila kita sukar menembusi sesuatu kawasan, sukar untuk mencari sebuah rumah yang sudi menjadi tuan rumah program penerangan berkelompok kita. Bangga kerana anak buah dalam keadaan serba kekurangan dan sukarela tetap menunjukkan kesungguhan untuk menghidupkan parti.

Hujung minggu ini adalah hujung minggu akar umbi.

Ada 3 ceramah kelompok disusun dan kehadiran di beberapa kenduri/majlis awam. Mesyuarat cabang pun kita jalankan membincangkan program-porgram yang akan datang.

Perkara paling baik bila kita turun bersama-sama dengan anak buah di akar umbi adalah kita boleh kenalpasti yang mana berkebolehan, yang mana ada masalah komitmen.

Dalam keadaan serba kekurangan, saya diingatkan kepada zaman-zaman lalu bila mana orang takut untuk menyebut ADIL. Saya masih ingat semasa saya ingin menubuhkan Keadilan Antarabangsa Eropah di UK dahulu, puas kita berjumpa dari seorang ke seorang untuk memujuk mereka menyertai, kerana kita faham pegangan politik mereka. Tetapi penyokong kuat kita pun kadang-kadang gementar untuk tampil ke hadapan.

Akhirnya, hanya 2-3 orang yang berani ke depan.

Tetapi tugas kita Allah dah tetapkan untuk menyumbang dalam keadaan tertentu. Pada masa itu, tugas insan-insan kerdil adalah untuk bertahan sementara parti berkembang bila Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibebaskan.

Seperti juga sekarang, tugas kita adalah membina parti sementara Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di mata rakyat. Sedih atau kecewa, senang atau susah adalah perkara biasa.

Tidak ada yang glamour atau senang apabila fokus kita adalah membina kekuatan akar umbi. Tetapi kekuatan sesebuah organisasi politik adalah akar umbi, jadi sebaiknya kita jangan lari dari amanah itu.

Kenyataan Media SA: Jangan Lari Persoalan Rekod Pembelaan Rakyat Terbanyak

Saya merujuk kepada pelbagai kenyataan yang dibuat berkenaan isu ketuanan rakyat, terutamanya dari kalangan pimpinan Umno.

Pertamanya, saya mengucapkan tahniah kepada pimpinan Umno, PERKASA dan kaum-kerabat mereka yang tidak pernah gagal mengingatkan rakyat Malaysia bahaya politik perkauman sempit. Dalam satu minggu yang lepas, segala usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui kempen 1Malaysia yang menelan belanja puluhan juta ringgit menggunakan wang rakyat; hancur musnah apabila pimpinan-pimpinan Umno dan PERKASA menunjukkan kembali wajah sebenar mereka. Tidak kira berapa banyak wang yang dibayar kepada perunding antarabangsa sekalipun, budaya perkauman sempit yang dibawa oleh Umno dan Barisan Nasional tidak akan hilang kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada darah daging mereka.

Pun begitu, saya melahirkan rasa kesal kerana Umno dan PERKASA tidak mahu berdepan dengan gagasan yang dibawa oleh KEADILAN dalam Kongres Nasional Ke-7 baru-baru ini. Gagasan tersebut, seperti yang disampaikan oleh Presiden parti Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail, menyentuh mengenai mekanisme terbaik untuk membela orang Melayu. Persoalan yang dilontarkan oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah adalah mudah; iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita?

Kaedah sedia ada dibawa oleh Umno – iaitu mengabui mata rakyat mengenai hak mereka (melalui Umno) untuk terus berkuasa tidak kira prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib orang Melayu. Konsep “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan secara terbuka dan dibisikkan secara senyap ini oleh BTN dan agensi-agensi lain, menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Apabila orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan akan tertindas.

Sebab itu, saya menganggap bahawa tindakan Umno dan PERKASA mengheret institusi Raja-Raja Melayu dengan mentaklikkan “Ketuanan Melayu” sebagai “Ketuanan Sultan” adalah satu tindakan yang bacul di pihak Umno dan PERKASA. Mereka tidak mampu berdepan dengan persoalan penting membicarakan kaedah terbaik membela orang Melayu terbanyak seperti yang ditimbulkan KEADILAN, lalu mereka cuba menggunakan institusi Raja-Raja Melayu. Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina institusi Raja-Raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira kaum, agama dan pegangan politik.

Namun, tindakan Umno dan PERKASA itu bukanlah perkara baru. Rekod mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di mata rakyat sudah diketahui umum. Krisis-krisis perlembagaan yang melemahkan institusi Raja-Raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh Umno. Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis perlembagaan yang disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan mengaibkan Raja-Raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik mereka. Ada beza yang besar diantara cakap-cakap seorang dua rakyat jelata yang dituduh mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, dengan satu gerakan tersusun yang dilaksanakan secara besar-besaran oleh sebuah parti politik yang mengaku mempertahankan Ketuanan Melayu.

Saya beri amaran supaya Umno dan PERKASA jangan lagi cuba memfitnah KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009, secara jelas mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra dan institusi raja berpelembagaan.

Ini dinyatakan dalam Fasal 1 Perkara a(i) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153”; dan Fasal 1 Perkara a(ii) “Pakatan Rakyat akan mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berpelembagaan”.

Makanya, KEADILAN ingin membawa kembali polemik “Ketuanan Melayu” ini kepada perkara dasar yang diulas oleh Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail – iaitu wacana kaedah terbaik untuk melahirkan anak bangsa Melayu yang beriman, boleh berdikari, berprinsip dan berdaya juang supaya mereka kekal bermaruah dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan arus globalisasi mutakhir.

Apakah kaedah Umno yang memperkecilkan kebolehan anak Melayu, dengan menakut-nakutkan mereka dan menimbulkan rasa curiga terhadap semua yang bukan Melayu, akan berjaya melahirkan anak bangsa Melayu yang bermaruah?

Apakah “Ketuanan Melayu” yang berpaksikan kepada sistem kroni dan mendokong rasuah dengan menghamburkan kekayaan negara kepada beberapa kroni rapat Umno (tanpa mengira kaum) akan melahirkan golongan peniaga Melayu yang berdaya maju? Apakah budaya rasuah yang berleluasa di dalam Umno akan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu tidak akan dijual suatu hari nanti?

Apakah anak bangsa Melayu yang membesar dengan perasaan curiga akan dapat mengambil pendekatan positif menunggang arus globalisasi untuk menjadi pemimpin antarabangsa?

Persoalan yang dibawa oleh KEADILAN adalah persoalan jatidiri dan kaedah terbaik membina jatidiri tersebut. Kaedah “Ketuanan Melayu” yang dibawa oleh Umno dan PERKASA bukan sahaja terbukti gagal membina jatidiri orang Melayu, malah menyebabkan kebajikan rakyat terbanyak (terutamanya golongan berpendapatan rendah yang majoritinya orang Melayu) terabai.

Sehingga kini, selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, 75% dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu. Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40% paling miskin di Malaysia, seperti yang dihuraikan Perdana Menteri sendiri dalam Rancangan Malaysia Ke-10.

Selepas 3 dekad “Ketuanan Melayu”, rakyat terbanyak juga yang dibebankan dengan pemotongan subsidi sedangkan subsidi korporat sebanyak RM19 bilion setahun (dalam bentuk subsidi gas kepada penjana bebas) tidak disentuh. Umno dan PERKASA tidak melahirkan sedikit keluhan pun apabila bantuan kepada rakyat termiskin, yang rata-ratanya orang Melayu ditarik setiap enam bulan untuk menampung perbelanjaan boros kerajaan membayar perunding antarabangsa, sedangkan tidak ada satu mekanisme pun diperkenalkan untuk menyalurkan kembali rasionalisasi subsidi kepada golongan termiskin ini.

Justeru, KEADILAN yakin bahawa polemik “Ketuanan Melayu” ini adalah benteng terakhir Umno dan PERKASA yang kian rapuh dan ditolak rakyat. Demi melahirkan Malaysia yang majmuk, mengamalkan toleransi dan berdaya saing, KEADILAN akan konsisten membawa gagasan Ketuanan Rakyat melalui bangsa yang bermaruah – kerana kami yakin gagasan ini tidak dapat dijawab oleh Umno dan PERKASA.

YB SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGONG KEADILAN

6 DISEMBER 2010

Di Belakang Tabir Pejabat Dato’ Seri Anwar Ibrahim

Saya membaca dengan sedih perkembangan terbaru seorang yang bernama Rahimi tampil membuat beberapa kenyataan yang meneruskan fitnah kepada YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kedudukan pemilihan sekarang terutamanya apabila isu saya adalah salah seorang kakitangan Dato’ Seri Anwar dijadikan isu pemilihan yang besar, kadang-kadang rasa serba salah untuk memberi komentar.

Tindakan Rahimi itu patut dikecam, tetapi saya juga kesal dengan cakap-cakap orang parti sendiri (malah yang berjawatan dan beraspirasi tinggi) yang sewenang-wenangnya menuduh dan memperlekehkan keupayaan Dato’ Seri Anwar membuat keputusan berhubung kakitangannya. Pun begitu, saya tidak menyalahkan rakan-rakan kerana pernah suatu ketika dahulu, saya pun mempunyai persoalan yang sama – kenapakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim “terjebak” dengan personaliti yang membawa padah seperti Saiful Bukhari (dan kini Rahimi).

Persoalan itu terungkai sedikit demi sedikit apabila saya mula bertugas di pejabat beliau. Bersama-sama kakitangan yang lain, saya mula melihat dan menyedari kekangan yang wujud dan akhirnya faham apakah yang berlaku di sebalik tabir, hingga wujud peluang untuk memfitnah beliau buat kesekian kalinya.

Tidak kiralah apa tanggapan rakan-rakan di luar, saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman tersebut dalam masa terdekat, supaya kita semua faham dan ambil iktibar sedikit sebanyak.

Buat masa ini masa saya agak terhad dengan beberapa persediaan penting, Insya Allah minggu depan saya akan menulis mengenai pengalaman saya sendiri dan pendapat saya kenapa beberapa perkara berlaku; yang saya harap membantu rakan-rakan memahami keadaan dan menghentikan tindakan tidak pintar menghentam pemimpin sendiri tanpa bertempat atau tahu hujung pangkal.

Insya Allah.