Category Archives: Ekonomi & Kewangan

Kenaikan Mendadak Harga Sayuran Dan Makanan Mendesak Penghapusan Permit Import (“Approved Permit”) Makanan Dan Reformasi Perdagangan Makanan

Saya telah menghuraikan bagaimana kadar inflasi; iaitu kadar kenaikan harga barang bagi Februari 2017 (seperti yang diumumkan oleh Ketua Perangkawan Negara minggu lalu) yang telah mencecah 4.5% adalah kadar tertinggi di luar kegawatan ekonomi sejak tahun 1998.

Laporan Jabatan Perangkaan itu juga secara jelas menyatakan bahawa kenaikan mendadak itu didorong oleh 3 kumpulan perbelanjaan terbesar iaitu makanan dan minuman bukan alkohol, pengangkutan dan perumahan (sewa, elektrik, air, gas). Sementara rakyat lebih maklum bahawa kaedah mengawal kenaikan kos pengangkutan ialah dengan mengembalikan subsidi mengikut penggunaan yang tepat dengan kumpulan sasaran mengikut kedudukan ekonomi, ramai yang masih tertanya-tanya punca dan penyelesaian kepada kenaikan harga barang makanan yang mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Saya sertakan petikan laporan dari pengumuman rasmi Jabatan Perangkaan mengenai kenaikan harga makanan:

Paling mengejutkan ialah masalah kekurangan sayur yang meruncing sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa bergantung kepada hasil yang diimport. Oleh kerana proses untuk mengimport barang makanan memerlukan lesen mengimport (yang sering dirujuk sebagai “AP”) dan tertakluk kepada kuota tertentu kepada hanya segelintir peniaga yang dibenarkan mengimport, ini mendorong kepada pembekalan barang makanan tertentu yang dikawal oleh segelintir peniaga sahaja.

Oleh sebab itulah, harga kobis bulat melonjak sehingga 29.7% dalam Februari 2017 berbanding setahun lalu. Saya menyemak berita-berita mengenai kobis bulat dan mendapati perkara-perkara berikut:

1. Kobis bulat memang memerlukan lesen mengimport seperti yang dinyatakan di laman myTradelink iaitu laman rasmi Kerajaan untuk memudahcara perdagangan (rujuk http://www.mytradelink.gov.my/fama )

2. Pada 11 Januari 2017, Kerajaan Persekutuan mengumumkan akan menaikkan kuota mengimport kobis bulat seperti yang dilaporkan oleh Bernama (rujuk http://www.pressreader.com/malaysia/the-sun-malaysia/20170111/281556585513067 )

3. The Star pada 13 Januari 2017 melaporkan satu berita bahawa harga kobis bulat memang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini (rujuk https://www.pressreader.com/malaysia/the-star-malaysia/20170113/281681139569005 )

Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa kenaikan harga mendadak barang makanan dan sayuran seperti kobis bulat (yang berlaku dalam bulan Februari 2017) sebenarnya adalah satu bukti kegagalan pentadbiran dan pengurusan ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Adalah tidak masuk akal bagaimana Malaysia yang kaya dengan sumber alam, iklim yang baik dan kepelbagaian sumber lain tidak dapat menanam sayur-sayuran yang mencukupi bagi kegunaan penduduknya yang sedikit sehingga terpaksa mengimport dari luar negara. Menariknya, ada satu penerangan yang diberikan oleh pegawai tinggi Kerajaan Persekutuan sendiri yang jelas mengaitkan kelemahan ini dengan dasar-dasar ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Saya rujuk satu laporan mengenai temuramah dengan Pengarah Kanan FAMA, Encik Mohd Anis Yasin yang disiarkan oleh TheMalayMailOnline dan Daily Express (rujuk http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/why-malaysia-imports-vegetables dan http://www.freshplaza.com/article/158859/Malaysia-forced-to-import-fruit,-veg ).

Beliau menyenaraikan beberapa sebab kenapa Malaysia terpaksa mengimport sayur-sayuran asas seperti kobis:

1. GST menyebabkan harga sayuran (dan kos pengeluaran sayur tempatan) meningkat, lalu perusahaan sayur dilihat tidak menguntungkan sehingga berlaku kekurangan bekalan sayur tempatan dan perlu ditambah dengan import sayur

2. Pada masa yang sama, nilai Ringgit yang lemah menyebabkan import sayur menjadi lebih mahal sehinggakan kobis yang pada satu ketika berharga 90 sen sekilo, kini berharga RM3

Sebab itu saya mengusulkan supaya keseluruhan sistem perdagangan yang melibatkan barang makanan dikaji semula dengan memulakan langkah menghapuskan lesen mengimport (AP) ke atas barang makanan keperluan utama seperti sayur-sayuran dan kobis.

Saya juga akan mengusulkan di dalam Pakatan Harapan supaya cadangan merombak kembali sistem perdagangan makanan dengan tujuan menghapuskan monopoli segelintir peniaga utama diangkat menjadi dasar rasmi Pakatan Harapan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Cacamerba Pentadbiran Ekonomi Najib Akibatkan Kenaikan Harga Barang Paling Mendadak Di Luar Kegawatan Ekonomi Sejak 1998

Berita kadar inflasi (atau kadar kenaikan harga barang) bagi Februari 2017 berbanding setahun sebelum itu yang mencecah 4.5% berlalu begitu sahaja. Ada wakil rakyat yang lebih gemar menawarkan hadiah wang ringgit berpuluh ribu untuk menggalakkan rakyat memperlekehkan musuh politik mereka, tetapi tidak pula mempedulikan mengenai kadar inflasi yang naik melonjak ini.

Oleh kerana ahli politik beranggapan sebahagian besar dari rakyat Malaysia tidak faham angka-angka ekonomi (atau mereka juga tidak faham angka tersebut), perkara ini tidak dihiraukan dan tiada reaksi pun.

Saya sertakan laporan penuh pengumuman Indeks Harga Pengguna (atau nama mudahnya kadar inflasi) bagi Februari 2017 yang dibuat oleh Dr Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia. Ringkasan laporanya menyebut bahawa kadar inflasi telah mencecah 4.5% bagi Februari 2017 dan didorong oleh kenaikan mendadak terutamanya dalam 3 kumpulan perbelanjaan iaitu pengangkutan, makanan dan minuman bukan alkohol dan perumahan (air, api, elektrik, gas dan lain-lain).

Download (PDF, 1.76MB)

Saya akan tunjukkan bagaimana petunjuk ekonomi ini membuktikan rakyat terbawah yang paling terbeban dan bagaimana ia berpunca dari cacamerba pentadbiran ekonomi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, kita perlu menghargai kenapa kadar inflasi 4.5% ini sangat membimbangkan (walaupun saya pasti mereka yang jahil ekonomi akan terpinga-pinga apa yang dibisingkan kerana 4.5% itu bagi mereka sangat rendah).

Sebenarnya, jika dilihat kadar inflasi tahunan sejak tahun 1998, tidak pernah sekalipun kadar inflasi di luar kegawatan yang mencecah 4.5%. Maksudnya, hanya dalam keadaan kegawatan ekonomi yang selalunya banyak didorongi faktor luar Negara juga yang menyaksikan kenaikan harga mendadak (kerana ada ketidaktentuan ekonomi sedunia yang mempengaruhi ekonomi negara).

Saya sertakan jadual inflasi tahunan Malaysia sejak 1998 hingga kini. Perhatikan bahawa hanya ada 2 tahun yang kadar inflasi tahunan melebihi 4.5% iaitu tahun 1998 dan tahun 2008.

Tahun 1998 ialah akibat kegawatan ekonomi Asia Timur yang menyaksikan banyak syarikat Malaysia jatuh muflis apabila nilai matawang ringgit jatuh mendadak. Sejak dari tahun itulah, matawang ringgit ditambat pada nilai yang lebih rendah iaitu RM3.80 bagi setiap USD1 dan nilai matawang ringgit tidak pernah pulih sehingga sekarang.

Tahun 2008 pula menyaksikan kegawatan ekonomi sedunia akibat ranapnya pasaran kredit di Amerika Syarikat yang berjangkit ke pasaran kewangan lain sehingga menyaksikan bank pelaburan besar seperti Lehman Brothers muflis. Ia bertembung pula dengan ketidaktentuan pasaran minyak mentah sehingga menyaksikan pada kemuncaknya, satu tong minyak mentah Brent dijual pada harga USD133. Harga purata tahun bagi setong minyak mentah dalam tahun 1998 adalah USD97.60.

Oleh sebab itulah, angka 4.5% inflasi bagi Februari 2017 adalah satu angka yang sepatutnya sangat membimbangkan pimpinan dan perancang ekonomi negara kerana ia adalah kenaikan harga barang tertinggi di luar kegawatan ekonomi. Malaysia selalunya hanya mencecah kadar inflasi sebegini dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja dan telah dibuktikan ia hanya berlaku dalam keadaan kegawatan ekonomi.

Berbalik kepada laporan rasmi Jabatan Perangkaan yang memuktamadkan laporan inflasi ini, ia secara jelas menunjukkan kenaikan mendadak ini adalah disebabkan tiga kumpulan perbelanjaan utama iaitu pengangkutan, makanan dan minuman tidak beralkohol dan perumahan (sewa, elektrik, air, gas dan lain-lain). Rujuk jadual dari laporan tersebut untuk pecahan penuh.

Ketiga-tiga kumpulan perbelanjaan adalah perbelanjaan utama yang ditanggung oleh rakyat kebanyakan berpendapatan rendah dan merupakan majoriti perbelanjaan mereka. Semakin rendah pendapatan sesuatu keluarga, semakin tinggi peratusan dari tiga kumpulan perbelanjaan ini berbanding perbelanjaan keseluruhan kerana mereka tiada wang untuk berbelanja untuk perkara bukan keperluan.

Oleh yang demikian, kenaikan harga barang yang telah mencecah kadar seolah-olah ekonomi negara sedang gawat membawa kesan yang paling buruk kepada golongan berpendapatan rendah.

Apatah lagi apabila kenaikan ini di dalam kumpulan perbelanjaan rakyat terbanyak ini disebabkan oleh dasar kerajaan sendiri yang menghapuskan subsidi. Ketiga-tiga perbelanjaan ini berkait rapat dengan penghapusan subsidi:

1. Pengangkutan – didorong oleh kenaikan harga minyak mendadak kebelakangan ini diakibatkan oleh keputusan mengapungkan harga petrol dan diesel tanpa subsidi

2. Makanan dan minuman tidak beralkohol – didorongi oleh penghapusan subsidi minyak masak sehinggakan harga minyak masak melonjak sehingga 38% (rujuk jadual dari laporan yang disertakan di bawah)

3. Perumahan (sewa, elektrik, air, gas dan lain-lain) – juga didorongi oleh bil elektrik yang lebih tinggi sekarang berbanding sebelum ini

Oleh yang demikian, saya akan berbincang dengan sahabat-sahabat politik dan bukan politik untuk menumpukan usaha menangani kenaikan harga barang yang nampaknya tidak dipedulikan oleh pimpinan Barisan Nasional ini.

Usaha kami akan berkisar kepada:

1. Membangunkan kaedah yang boleh memberi anggaran realiti kenaikan harga barang yang sebenar yang dialami rakyat sebagai timbang tara (“check and balance”) kepada angka inflasi rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan

2. Mengenalpasti beberapa bidang yang memerlukan subsidi dan membentangkan penambahbaikan kepada kaedah pemberian subsidi

3. Mengenalpasti dasar dan peraturan yang perlu diubah untuk menurunkan harga barang apabila Pakatan Harapan berkuasa kelak

Saya sudah pun memulakan kerja-kerja kajian bagi (2) dan dijangka hasil kajian akan dapat dibentangkan pada 15 April 2017 bersempena pelancaran beberapa kertas dasar “Rebuilding Our Nation” yang diusahakan bersama dengan I-CPI (INVOKE Centre for Policy Initiatives). Perkembangan (1) dan (3) akan saya maklumkan dari semasa ke semasa.

Saya akan berkempen untuk mengembalikan subsidi dalam bentuk yang tidak ada ketirisan dan menepati sasaran sebagai langkah yang lebih berkesan menangani kenaikan harga barang yang kini telah mencapai tahap gawat walaupun petanda ekonomi lain sering diwar-warkan kononnya ekonomi berkembang baik.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Belanjawan Tambahan Bagi Gambaran Wang Lebih, Sepatutnya Digunakan Untuk Subsidi Minyak

Saya merujuk kepada ucapan penggulungan Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Johari Ghani pada hari Isnin lalu yang secara jelas mengesahkan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berhasrat untuk mengembalikan subsidi minyak walaupun Kerajaan Persekutuan bakal mendapat pendapatan luar jangka apabila harga minyak mentah dalam bulan Januari dan Februari lebih tinggi dari harga yang digunapakai semasa menyediakan Bajet2017 iaitu USD45 setong.

Saya juga ingin menarik perhatian rakyat kepada tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib yang akan membentangkan satu belanjawan tambahan untuk mendapat kelulusan perbelanjaan lebih yang telah dibelanjakan di dalam tahun 2016 tanpa peruntukan (dan kelulusan Parlimen). Rang Undang-undang Belanjawan Tambahan itu akan dibentangkan untuk kelulusan dewan minggu depan dan intipati perbelanjaan adalah seperti berikut:

1. Jumlah keseluruham adalah RM3.08 bilion

2. Jumlah terbesar adalah pindahan dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM2,248,437,560 bagi membiayai perbelanjaan di bawah kategori “pembangunan” yang telah dibelanjakan dalam tahun 2016

3. Baki (sekitar RM830 juta) ialah untuk perbelanjaan mengurus yang telah dibelanjakan dalam tahun 2016 tanpa peruntukan

Saya ingin mengulangi kritikan saya sebelum ini bahawa amalan Kerajaan Persekutuan membelanjakan terlebih dahulu wang rakyat tanpa peruntukan dan hanya membentangkan permohonan belanjawan tambahan selepas dibelanjakan; adalah satu penghinaan kepada rakyat dan Dewan Rakyat.

Saya yakin Pakatan Harapan (jika berkuasa di Putrajaya) akan melaksanakan satu proses pembentangan berkala kepada Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) untuk memastikan prestasi perbelanjaan dan kewangan Kerajaan Persekutuan akan dipantau setiap 3 bulan. Apabila ada tanda-tanda bahawa belanjawan tambahan diperlukan, Menteri Kewangan perlu membentangkan permohonan itu dengan lebih awal dan bukannya setelah dibelanjakan seperti amalan sekarang.

Lebih dari itu, keputusan Dato’ Seri Najib memindahkan sejumlah RM2.25 bilion dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang tidak pun ada peruntukan sebelum ini membayangkan Kerajaan Persekutuan ada hasil tambahan kebelakangan ini.

Saya telah bertanya berkali-kali berapakah hasil tambahan Kerajaan Persekutuan dari kutipan cukai, royalti dan dividen tambahan apabila harga minyak mentah dunia lebih tinggi dari USD45 setong. Soalan ini enggan dijawab oleh mana-mana menteri.

Apabila Kerajaan Persekutuan telah terlebih belanja tanpa peruntukan, ada kaedah melalui Peruntukan Luar Jangka agar perbelanjaan mendesak seperti menguruskan bencana alam dapat ditanggung tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan.

Namun yang berlaku kali ini, saya perhatikan pentadbiran Dato’ Seri Najib memindahkan sejumlah RM2.25 bilion ke Kumpulan Wang Pembangunan untuk membiayai projek-projek pembangunan sedangkan jika telahan saya tepat, sebahagian besar hasil luar jangka yang masuk ke Akaun Hasil Disatukan datang dari pendapatan tambahan akibat kenaikan harga minyak dunia.

Sebab itu saya ingin mempersoalkan kewajaran memindahkan sejumlah wang dari Akaun Hasil Disatukan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang tidak mempunyai peruntukan sebelum ini, sedangkan pada masa yang sama Kerajaan Persekutuan enggan memberikan subsidi minyak hatta satu sen pun.

Saya mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menghentikan hasratnya memperkenalkan semakan harga minyak mingguan tanpa subsidi kerana itu akan terus menimbulkan kemarahan rakyat dalam keadaan wang dari Akaun Hasil Disatukan digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang tiada peruntukan sebelum ini, bukannya digunakan untuk menurunkan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Kempen Negaraku: Najib Jangan Samakan Tanahair Dengan Peribadi

Saya merujuk kepada kempen patriotik terbaru yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Intipati kempen yang diberi nama “Negaraku” itu disimpulkan di dalam ucapan yang disiarkan di blog beliau di www.najibrazak.com seperti berikut:

1. bahawa pembangkang adalah pengkhianat yang disamakan dengan pengkhianat yang mengakibatkan serangan pencerobohan Lahad Datu

2. bahawa kritikan terhadap pengurusan ekonomi di bawah kepimpinan beliau adalah sama dengan usaha mengkhianati dan mensabotaj ekonomi negara

3. bahawa isu-isu berkaitan gejala rasuah, kegagalan pentadbiran ekonomi dan masalah kewangan negara meruncing yang dibawa oleh pembangkang hampir mensabotaj pelaburan asing ke negara ini

Saya mengutuk keras cubaan terang-terangan Dato’ Seri Najib menyamakan diri beliau dengan negara dan tanahair. Intipati kempen Negaraku yang ditulis sendiri oleh Dato’ Seri Najib cuba mengaitkan bahawa sebarang kritikan terhadap kelemahan dan kegagalan beliau sebagai Perdana Menteri adalah satu serangan sabotaj terhadap negara Malaysia.

Adalah sangat menjijikkan apabila menyamakan Malaysia dengan beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Malah, dakwaan beliau kononnya kritikan terhadap kepimpinan beliau bersabit masalah kewangan negara yang meruncing telah membawa kesan kepada pelaburan Arab Saudi (dan pelaburan-pelaburan asing lain) ke negara ini juga adalah tidak benar.

Pelaburan RM32 billion yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib adalah usahama projek petrokimia di antara syarikat minyak milik Kerajaan Arab Saudi dengan PETRONAS di kompleks petrokimia Pengerang (RAPID).

Saya menghabiskan dua pertiga dari kerjaya saya di PETRONAS di sektor perniagaan petrokimia, bermula di peringkat operasi dan kewangan di kilang petrokimia dan berakhir di pengurusan korporat di Bahagian Perniagaan Petrokimia yang menguruskan keseluruhan operasi PETRONAS dalam bidang petrokimia di seluruh dunia.

Saya sertakan petikan-petikan dari Laporan Tahunan PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) yang mengumpulkan semua anak syarikat operasi petrokimia PETRONAS yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur.

 

Saya ingin menarik perhatian rakyat kepada perkara-perkara berikut (mengenai pelaburan asing ke bidang petrokimia):

1. nilai aset bersih pelaburan petrokimia PETRONAS setakat tahun kewangan 2015 (dan tidak termasuk RAPID) telah mencecah RM31 bilion. Itu pun setelah mengambil kira susutnilai (depreciation) selama lebih 20 tahun, bermakna jumlah nilai pelaburan (dana yang dilaburkan PETRONAS sejak 1990an) saya anggarkan melebihi RM50 bilion

2. projek petrokimia telah diusahakan dan dijayakan PETRONAS sejak awal 1990an lagi dan melibatkan konglomerat petrokimia terbesar dunia (termasuk Dow, BASF dan lain-lain) seperti yang ditunjukkan di dalam kronologi perkembangan penglibatan PETRONAS di dalam petrokimia

Tujuan saya menimbulkan perkara ini adalah untuk menangkis cubaan Dato’ Seri Najib mempolitikkan dan mencuri kejayaan PETRONAS memuktamadkan perjanjian usahasama dengan syarikat minyak milik Kerajaan Arab Saudi; seolah-olah ia kejayaan peribadi Dato’ Seri Najib sendiri.

Cubaan menyamakan kejayaan negara sebagai kejayaan peribadi beliau sebagai Perdana Menteri adalah sama seperti menyamakan kritikan terhadap kegagalan beliau sebagai kritikan terhadap negara.

Yang patut mendapat pujian dan dibanggakan hasil dari perjanjian usahasama yang membawa masuk komitmen pelaburan dari syarikat milik Kerajaan Arab Saudi sebenarnya adalah kepimpinan PETRONAS, PCG dan ribuan pekerja PETRONAS yang telah membina PETRONAS sebagai salah sebuah syarikat petrokimia terbesar di Asia.

Kemahiran dan kecemerlangan PETRONAS sebagai syarikat petrokimia sudah tentu menarik minat syarikat-syarikat petrokimia dan minyak lain di seluruh dunia.

Sebab itu semasa negara mengalami kemelesetan ekonomi sekitar tahun 1997-1999, pada masa itulah pelaburan terbesar petrokimia berlaku iaitu pembinaan besar-besaran kilang-kilang petrokimia di Kerteh dan Gebeng; yang menunjukkan pelaburan besar dalam bidang petrokimia sebegitu terpisah dari kemelut politIk yang berlaku sejak tercetusnya reformasi dalam tahun 1998.

Syarikat-syarikat petrokimia dunia pada ketika itu (seperti Dow dan BASF) datang menjalankan usahasama dengan PETRONAS kerana mereka tahu ada keuntungan besar yang mereka boleh perolehi hasil dari reputasi PETRONAS dan kekayaan gas asli (yang menjadi bahan asas mengilang petrokimia) negara.

Sama juga dengan keputusan pelaburan berhubung RAPID yang mengambil kira keuntungan jangka panjang pelaburan dan bukannya siapa Perdana Menteri pada ketika itu.

Sebagai sebahagian dari pengurusan yang pernah terlibat dengan pelaburan petrokimia PETRONAS, saya beranggapan persetujuan usahasama di antara PETRONAS dan syarikat milik Kerajaan Arab Saudi adalah kerana PETRONAS berjaya membuktikan potensi pelaburan jangka panjang di dalam projek itu; bukannya kerana Dato’ Seri Najib.

Saya akan melawan secara berterusan sebarang usaha Dato’ Seri Najib cuba menumpang sekaki kejayaan rakyat Malaysia dan usaha menyamakan kritikan terhadap beliau sebagai sabotaj terhadap negara.

Malah, kempen itu seolah-olah menciplak kempen “Negara Ini Ku Bina Semula” atau “Rebuilding Our Nation” yang dijalankan oleh pihak Pakatan Harapan dengan kerjasama INVOKE di media sosial seperti yang ditunjukkan di laman rasmi FB Pakatan Harapan di www.facebook.com/pakatanharapanrasmi

Saya seru rakyat Malaysia menyertai usaha menyekat Dato’ Seri Najib menumpang sekaki atas kejayaan orang lain seperti ini.

 

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

 

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Harga RON95 Sepatutnya Kekal RM2.30 Seliter, Kerajaan Persekutuan Untung RM18 Juta Sehari Dari Kenaikan Harga Minyak Mentah Dalam Januari Dan Februari 2017

Saya rujuk Lampiran A yang saya sertakan bersama iaitu jadual harga purata RON95 seperti yang didagangkan di pasaran terbuka di Singapura sepanjang Februari 2017 (yang dilaporkan oleh Platts di dalam laporan MOPS) iaitu harga rujukan untuk menentukan harga RON95 bagi Mac 2017.

 

Oleh kerana tiada perubahan ketara dari segi harga minyak mentah dunia iaitu stabil sekitar USD56 setong bagi Februari, dan kadar tukaran matawang Ringgit:USD yang berubah pada nilai yang kecil (lihat carta di bawah):

 

Harga RON95 sewajarnya kekal pada harga RM2.30 seliter mengikut formula yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan seperti di dalam Lampiran A.

Pun begitu, saya mengulangi desakan sebelum ini supaya harga siling pada nilai harga maksima RM2.00 seliter bagi RON95 diperkenalkan secepat mungkin kerana Kerajaan Persekutuan mampu menanggung subsidi minyak yang sewajarnya dikembalikan kepada rakyat.

Semasa harga minyak mentah turun mendadak dalam tahun 2014, Kerajaan Persekutuan tidak menurunkan harga petrol dan diesel yang dijual kepada rakyat. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengutip cukai dari rakyat biasa secara diam-diam tanpa dimaklumkan kepada rakyat. Apabila saya membongkarkan perkara ini dalam tahun 2014 mengenai cukai yang dikutip secara senyap (iaitu dianggarkan berjumlah RM633 juta bagi bulan Disember 2014 sahaja, rujuk http://rafiziramli.com/2015/01/cukai-minyak-rm633-juta-perlu-diasingkan-sebagai-tabung-pengimbang-harga-minyak/), barulah pentadbiran Dato’ Seri Najib menukar kaedah penetapan harga minyak.

Walau bagaimana pun, helah Dato’ Seri Najib adalah licik apabila beliau mengambil kesempatan kejatuhan harga minyak mentah dunia dalam tahun 2014 dan 2015 itu untuk menghapuskan terus subsidi minyak yang diberikan kepada rakyat selama berdekad lamanya. Alat propaganda beliau menaburkan fitnah kononnya saya yang mendesak Kerajaan Persekutuan mengapungkan harga minyak mengikut pasaran dunia, sedangkan tuntutan saya selama bertahun-tahun ialah:

1. Mengekalkan subsidi melalui kaedah harga siling supaya apabila harga melepasi satu paras yang membebankan, Kerajaan Persekutuan menggunakan keuntungan dari hasil minyak negara yang jika tidak dikembalikan sebagai subsidi, hanya akan mengkayakan Kerajaan Persekutuan yang boleh berbelanja lebih boros

2. Memastikan harga melalui kaedah penetapan harga minyak automatik terkawal (automatic pricing mechanism atau APM) menjadi lebih telus dengan menterjemahkan kejatuhan harga minyak mentah dunia kepada harga petrol yang lebih rendah kepada pengguna (bukannya tidak menurunkan harga petrol dan diesel walaupun harga minyak mentah dunia telah jatuh)

Malaysia masih lagi menjana pendapatan yang tinggi dari hasil minyak dan gas. Bagi setiap tong minyak atau gas (bersamaan satu tong) yang dijual, Kerajaan Persekutuan mengutip dua jenis pendapatan lumayan seperti berikut:

1. Pendapatan langsung (“income derived directly from the crude oil or natural gas”) dalam bentuk royalti minyak, lesen, permit, GST, duti dan cukai keuntungan petroleum pada 38% (atau “petroleum income tax, PITA”)
2. Pendapatan tidak langsung (“income derived indirectly from the crude oil or natural gas through downstream manufacturing or processing or business activities from downstream”) dalam bentuk GST, lesen, duti dan cukai keuntungan korporat

Bagi tujuan menunjukkan keuntungan Kerajaan Persekutuan apabila harga minyak mentah dunia meningkat, saya hanya akan merujuk kepada pendapatan langsung kerana ia berkadar langsung dengan harga minyak mentah dunia tanpa ada unsur kerugian kerana kos operasi dan lain-lain.

Saya rujuk penyata pendapatan negara yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib semasa Bajet2017 yang menunjukkan anggaran pendapatan langsung dari hasil minyak adalah seperti berikut:

Cukai keuntungan petroleum, PITA – RM11 bilion
Permit dan lesen – RM4 bilion
Hasil minyak dari pesisir luar pantai bersama Malaysia-Thailand (MTJA) – RM2 bilion
Jumlah pendapatan langsung – RM17 bilion

Jumlah royalti yang perlu dibayar kepada Kerajaan Persekutuan sebenarnya bergantung kepada perjanjian carigali yang ditandangani dengan syarikat minyak yang meneroka. Sejak tahun 1974, aktiviti carigali dan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia dimeterai di bawah 4 jenis perjanjian (mengikut masa dan keadaan) yang menentukan berapa banyak royalti, lesen dan hasil lain yang perlu dibayar terus kepada Kerajaan Persekutuan, seperti berikut:

1. Perjanjian carigali di bawah “production sharing contract” (PSC) tahun 1975 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 38.1% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 15% dari pengeluaran keseluruhan

2. Perjanjian carigali di bawah “production sharing contract” (PSC) tahun 1985 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 42.2% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 70% dari pengeluaran keseluruhan

3. Perjanjian carigali di bawah “revenue over cost” (R/C) sekitar tahun 2010 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 42.31% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 5% dari pengeluaran keseluruhan

4. Perjanjian carigali di bawah “deepwater contract” (deepwater) sejak tahun awal 2000 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 30.1% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 10% dari pengeluaran keseluruhan

(Anggaran % hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan dibuat oleh CCOP atau Coordinating Committee for Geoscience Program in East and South East Asia).

Berdasarkan angka-angka ini, saya rumuskan perbandingan jumlah pendapatan langsung Kerajaan Persekutuan apabila harga minyak mentah naik kepada USD55 setong bagi Januari dan Februari 2017 dan apabila harga minyak mentah diunjurkan mencecah harga purata tahunan USD60 setong bagi 2017; berbanding harga yang digunakan untuk mengira jumlah pendapatan dalam Bajet 2017 iaitu USD40 setong. Saya sertakan kiraan di dalam Lampiran B.

Download (PDF, 35KB)

Kesimpulan-kesimpulan penting dari kiraan ini adalah sepert berikut:

  • Pertambahan pendapatan langsung kepada Kerajaan Persekutuan setiap hari dalam Januari & Februari 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet2017 RM17,525,930
  • Unjuran pertambahan pendapatan langsung kepada Kerajaan Persekutuan setiap hari bagi 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet2017 RM23,367,906
  • Unjuran pertambahan pendapatan langsung kepada Kerajaan Persekutuan bagi 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet2017 RM8,529,285,690

Dengan pertambahan hasil sebanyak RM18 juta sehari bagi Januari dan Februari, kemudian dijangka meningkat kepada RM23 juta sehari apabila harga minyak mentah semakin meningkat ke arah USD60 setong, adalah sangat tidak bertanggungjawab jika wang ini tidak dikembalikan kepada rakyat.

Hasil pertambahan RM9 bilion ini perlu dibentangkan kepada Parlimen dan Dato’ Seri Najib perlu memperincikan bagaimana RM9 bilion ini akan digunakan, apatah lagi ini tahun pilihanraya dan saya sangat khuatir ia disalahgunakan untuk berkempen bagi mengekalkan Umno/BN.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg