Category Archives: Ekonomi & Kewangan

Menjawab Najib Razak: Rakyat Tidak Merasa Kejayaan Ekonomi Yang Dijaja Perdana Menteri

Semalam, saya menulis satu rencana membentangkan fakta-fakta yang membuktikan nilai Ringgit telah jatuh teruk sejak Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Kewangan dan prestasi Ringgit berbanding matawang serantau lain adalah yang paling corot. Saya juga mengingatkan rakyat bahawa lemahnya nilai Ringgit adalah salah satu punca utama kenaikan harga barang kerana kita masih bergantung kepada import untuk barangan utama termasuklah makanan.

Pada hari yang sama selepas itu, Dato’ Seri Najib memuatnaik kemaskini terbaru di blog beliau menyenaraikan kejayaan-kejayaan ekonomi yang telah dicapai oleh pentadbiran beliau sejak setengah tahun lalu. Nukilan blog beliau itu boleh dibaca di https://www.najibrazak.com/bm/blog/kejayaan-malaysia-di-pertengahan-tahun/

Dato’ Seri Najib mengambil kesempatan mengkritik orang-orang seperti saya yang sering mempersoalkan prestasi pentadbiran ekonomi beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kata beliau (di dalam blog itu):

Tetapi malangnya, walaupun ekonomi Malaysia menerima pengiktirafan badan penarafan antarabangsa, keyakinan pelabur luar, ada “pakar ekonomi” pembangkang yang masih beria-ia memburukkan ekonomi negara hanya untuk kepentingan politik peribadi.

Hakikatnya, meskipun pihak pembangkang tidak habis-habis menyebarkan fitnah dan khabar angin keburukan negara dan keadaan ekonomi Malaysia, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan terus mengusahakan yang terbaik buat semua rakyat Malaysia, dan dalam hal ini bermakna kita akan terus mengalu-alukan pelaburan asing selagi mana ia memberi tambah nilai kepada ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan buat rakyat.

Walaupun berdepan dengan pelbagai skandal dan krisis keyakinan, Dato’ Seri Najib tahu bahawa cabaran sebenar beliau ialah mengatasi kesusahan rakyat yang terbeban dengan kenaikan harga barang, kenaikan gaji yang rendah serta kebanjiran pekerja asing yang menyempitkan lagi peluang pekerjaan.

Beliau tahu golongan pengundi atas pagar tidak begitu terpengaruh dengan skandal kewangan 1MDB atau tindakan undang-undang Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhubung penyelewengan 1MDB. Sebaliknya, golongan pengundi atas pagar yang bakal menentukan keputusan PRU14 lebih cenderong mengikuti isu GST, kenaikan harga barang, bagaimana menaikkan gaji dan kebimbangan mengenai pekerja asing.

Sebab itu Dato’ Seri Najib cukup sensitif apabila prestasi ekonomi negara semasa pentadbiran beliau dipersoalkan. Beliau tahu jika rakyat tidak yakin beliau boleh membaiki kedudukan ekonomi, beliau akan kalah PRU14 nanti.

Lalu di dalam blog terkini, beliau menyenaraikan kesemua (kononnya) kejayaan ekonomi yang telah dicapai: pertumbuhan ekonomi yang makin rancak, nilai Ringgit yang makin mengukuh, pelaburan asing yang tinggi, projek mega seperti MRT, Jaringan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Keretapi Laju KL-Singapura (HSRL) dan lain-lain.

Malangnya, semua angka-angka besar (selalu dirujuk sebagai “headline economic data”) yang sering dijaja oleh Dato’ Seri Najib kebelakangan ini tidak diterjemahkan kepada peningkatan mutu hidup rakyat. Lebih ringkasnya, rakyat tidak merasa pun kejayaan-kejayaan ekonomi yang diwar-warkan itu kerana ia tertumpu di kalangan beberapa kelompok sahaja.

Ukuran sebenar peningkatan mutu ekonomi rakyat dilihat dari 3 perkara besar: berapa gaji yang diperolehi dan peningkatan gaji, berapa kos menyara keluarga yang perlu ditanggung (kedua-dua ini boleh diukur dari “pendapatan boleh belanja” atau disposable income) dan berapa banyak peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan kelulusan mereka.

Kejayaan-kejayaan ekonomi yang dijaja oleh Dato’ Seri Najib itu dilihat menguntungkan golongan tertentu sahaja: projek-projek besar yang disebut rata-ratanya menggunakan pekerja asing dan kepakaran asing, pertumbuhan ekonomi yang dibanggakan tidak pula diterjemahkan kepada gaji yang lebih tinggi kepada rakyat dan nilai Ringgit yang mengukuh tidak pun menurunkan harga barang.

Saya berani menyebut semua perkara ini kerana INVOKE sedang menyiapkan dua kajiselidik besar mengenai sentimen rakyat terhadap prestasi ekonomi di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib. Setakat ini kami sudah menyiapkan 50% dari kajiselidik dan dijangka akan dapat dibentangkan kepada rakyat dalam tempoh sebulan.

Dapatan kajiselidik sentimen rakyat setakat ini dengan jelas menunjukkan tahap ketidakpuasan hati terhadap keadaan ekonomi yang sangat tinggi dan bertentangan dengan “berita-berita kejayaan ekonomi” yang cuba diwar-warkan Dato’ Seri Najib.

Saya yakin apabila keputusan kajiselidik itu diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi, Dato’ Seri Najib perlu mengambil kira sama ada beliau berani memanggil PRU14 dalam tahun ini ketika rata-rata rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan prestasi pentadbiran ekonomi beliau.

Kepada Pakatan Harapan pula: masanya sudah tiba untuk mengimbangi tumpuan yang (kadang-kadang) terlampau ke atas isu 1MDB dan mula memberi tumpuan yang sewajarnya kepada cara-cara membantu rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Ringgit Tercorot Sejak Najib Jadi Perdana Menteri

Minggu lalu, jentera propaganda Barisan Nasional cuba menularkan satu laporan Bloomberg yang menyebut matawang Ringgit menunjukkan prestasi lebih baik berbanding matawang lain bagi suku pertama 2017. Laporan ini kemudiannya dijadikan alasan untuk membidas pihak-pihak yang sering menyuarakan kebimbangan mengenai kejatuhan nilai Ringgit (termasuklah saya), kononnya kritikan kami selama ini tidak benar.

Nilai matawang Ringgit adalah sangat penting kerana peratusan barang import yang digunakan oleh rakyat masih kekal tinggi, terutamanya bahan-bahan makanan. Lebih-lebih lagi harga petrol dan diesel dikira berdasarkan harga rujukan di dalam Dollar AS, maka jika pun harga minyak mentah dunia telah turun, harga petrol dan diesel boleh kekal tinggi akibat nilai Ringgit yang rendah.

Nilai Ringgit ditentukan oleh permintaan dan penawaran di pasaran matawang yang banyak dipengaruhi oleh iklim ekonomi negara. Oleh itu, kedudukan nilai Ringgit yang rendah dan prestasinya di belakang matawang serantau yang lain memberi gambaran kelemahan pentadbiran ekonomi dan kewangan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Alasan yang selalu digunakan oleh jentera propaganda Dato’ Seri Najib ialah kejatuhan mawatang Ringgit adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia disebabkan nilai Dollar AS yang mengukuh, bukannya disebabkan oleh kelemahan ekonomi Malaysia. Mereka yang membawa alasan ini akan memberi contoh bahawa semua matawang serantau yang lain telah jatuh jika dibandingkan dengan Dollar AS, bukannya Ringgit semata-mata.

Oleh itu, saya telah mengambil sedikit masa untuk mengumpulkan data kadar tukaran matawang Ringgit dan matawang lain (iaitu Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Korea Selatan) berbanding dengan Dollar AS bermula dari tahun 2007 hingga ke akhir Mei 2017. Tujuannya ialah untuk menentukan perkara-perkara berikut:

1. Bagaimana prestasi matawang Ringgit berbanding matawang lain sejak Dato’ Seri Najib menjadi Menteri Kewangan (dari tahun 2008 hingga 2017)?

2. Bagaimana prestasi matawang Ringgit berbanding matawang lain sejak isu dana 1MDB masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib (dari tahun 2015 hingga 2017)?

Data kadar tukaran matawang berbanding Dollar AS boleh diperolehi secara percuma dari laman Bank Dunia (rujuk laman http://knoema.com/WBGEM2017Mar/world-bank-global-economic-monitor-monthly-update)

Saya sertakan jadual berikut yang menunjukkan kadar tukaran purata matawang serantau berbanding Dollar AS:

Kadar tukaran matawang tempatan (Local Currency Unit, LCU) berbanding Dollar AS

Daripada jadual ini, saya membuat analisa untuk menilai prestasi Ringgit sejak Dato’ Seri Najib menjadi Menteri Kewangan dan berita dana 1MDB masuk ke akaun peribadi beliau menjadi pengetahuan umum.

Analisa ini dirumuskan di dalam jadual berikut:

Analisa di atas menunjukkan perkara-perkara berikut:

1. Selain dari Indonesia dan Vietnam, matawang Ringgit adalah yang paling teruk berbanding Singapura, Thailand, Filipina dan Korea Selatan jika dibandingkan dengan nilai pada tahun 2007 (iaitu nilai asal sebelum Dato’ Seri Najib menjadi Menteri Kewangan). Sejak tahun 2008, nilai Ringgit telah susut 27.7% sedangkan nilai matawang naik 6.8%.

Walaupun Thailand mengalami pelbagai kacau bilau sejak tahun 2008 (termasuklah tunjuk perasaan baju merah dan kuning), nilai Bath hampir tidak berubah sejak 2008 yang menunjukkan alasan kononnya semua matawang jatuh berbanding Dollar AS adalah tidak tepat.

2. Lebih teruk lagi, kejatuhan nilai Ringgit sebenarnya jauh lebih cepat berbanding matawang lain sejak berita dana 1MDB masuk ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib dilaporkan oleh Wall Street Journal. Kejatuhan Ringgit berbanding tahun 2015 (iaitu sebelum berita itu dilaporkan) adalah sebanyak 12.3% iaitu tertinggi berbanding matawang lain di rantau ini.

Saya menampilkan analisa ini supaya Dato’ Seri Najib tidak mudah mencuci tangan tidak mahu memikul tanggungjawab dengan kemerosotan nilai Ringgit, yang membawa kesan langsung kepada rakyat akibat kenaikan harga barang dan inflasi.

Bukan sahaja kepimpinan beliau sebagai Menteri Kewangan telah menyebabkan nilai Ringgit menjadi lemah, skandal 1MDB jelas ada kesan besar kepada nilai Ringgit dari analisa yang menunjukkan kadar kejatuhan nilai Ringgit adalah lebih tinggi berbanding matawang lain.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Cuepacs Merayu Naik Gaji 3%: Tubuh Suruhanjaya Perundingan Gaji Negara (SPGN) Untuk Menetapkan Gaji Pekerja Secara Bersama

Saya membaca laporan media mengenai kenyataan Dato’ Azih Muda, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memohon kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam sebanyak tiga peratus dalam Bajet 2018.

Sementara saya memahami keperluan kenaikan gaji itu kepada kakitangan awam dan seluruh warga pekerja amnya (termasuklah jutaan lagi pekerja swasta yang mungkin tidak mempunyai perwakilan seperti Cuepacs), saya ingin menegaskan bahawa kakitangan awam dan golongan pekerja keseluruhannya tidak perlu seolah-olah “mengemis” kepada majikan untuk mendapat kenaikan gaji kerana itu adalah hak mereka.

Sejak dari awal menjadi ahli politik, saya berpendirian dasar tenaga kerja negara mestilah dibangunkan ke arah memastikan golongan pekerja (baik sektor awam atau swasta) dapat menikmati kadar kenaikan gaji yang sihat setiap tahun setelah ditolak kenaikan harga barang.

Semakan saya dengan perangkaan terkini menunjukkan kenaikan gaji bersih pekerja Malaysia (setelah ditolak kenaikan harga barang) adalah antara yang terendah di rantau ini berbanding ekonomi yang setaraf dengan Malaysia.

Saya merujuk dua perangkaan mengenai kenaikan gaji bersih seperti berikut:

i. Perangkaan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan kenaikan gaji bersih rakyat Malaysia sekitar 2.6% (2015) dan 4.6% (2016) menggunakan kadar inflasi rasmi. Jika diambil kira kenaikan harga barang yang dipercayai lebih tinggi dari kadar inflasi rasmi, besar kemungkinan pekerja Malaysia sebenarnya tidak mendapat sebarang kenaikan gaji bersih bagi tahun 2015 dan 2016.

i. Perangkaan dari firma perunding sumber manusia antarabangsa iaitu Korn Ferry Hay Group yang menunjukkan kadar kenaikan gaji bersih pekerja Malaysia bagi tahun 2016 adalah antara yang paling rendah bagi rantau ini dan dengan ekonomi yang setanding. Lebih malang, laporan Korn Ferry Hay Group mengunjurkan Malaysia adalah satu-satunya negara yang kenaikan gaji bersihnya kekal rendah bagi tahun 2017 sekitar 2% berbanding India dan Indonesia yang dijangka mencatat kenaikan gaji bersih yang lebih baik.

Oleh sebab itu, cara mendapatkan kenaikan gaji yang digunakan sekarang oleh Ceupacs dan kesatuan-kesatuan sekerja yang lain tidak lagi berkesan kerana kedudukan yang tidak setara di antara majikan, kerajaan dan kesatuan sekerja. Akibatnya, setiap tahun kakitangan awam (terutamanya yang paling bawah) seolah-olah terpaksa mengemis kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan sedikit kenaikan gaji yang memang hak mereka.

Saya kini sedang menumpukan kepada tiga isu rakyat terbesar iaitu:

1. Mengawal harga barang dan menghentikan kenaikan kos sara hidup yang mendadak
2. Menambah peluang pekerjaan dan menaikkan gaji pekerja awam dan swasta agar setimpal dengan kerja dan kos sara hidup
3. Mengurangkan pekerja asing

Saya telah menghuraikan keperluan campur tangan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kenaikan gaji bersih pekerja awam dan swasta yang memadai dengan nilai kerja mereka. Ini dapat dicapai dengan menggubal undang-undang yang mewajibkan pihak majikan, kesatuan sekerja dan Kerajaan Persekutuan sama-sama bersetuju menetapkan kenaikan gaji bersih yang perlu dipatuhi oleh kesemua majikan kerajaan dan swasta setiap tahun.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya peranan dan bidang kuasa Majlis Perundingan Gaji Negara (yang sedia ada) dinaiktaraf sebagai satu suruhanjaya bebas yang menetapkan kenaikan gaji tahunan yang perlu dipatuhi oleh semua majikan di negata ini.

Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah menubuhkan satu Majlis Perundingan Gaji Negara yang fungsinya untuk memberi syor kadar gaji minima yang ingin dikuatkuasakan. Ia adalah satu badan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dengan bidang kuasa yang ada sekarang, Majlis Perundingan Gaji Negara tidak mampu berfungsi untuk memperbetulkan herotan gaji pekerja Malaysia yang dikekang rendah sejak beberapa dekad. Mewujudkan satu badan yang tertakluk kepada menteri dan berperanan untuk mengesyorkan samalah seperti melepaskan batuk di tangga, kerana semua pihak tahu badan itu tidak mempunyai taring.

Saya mengesyorkan supaya majlis sedia ada dinaiktaraf dari segi kuasanya, bidang tugasan dan sumbernya menjadi satu badan bebas yang setara dengan sebuah suruhanjaya yang tidak tertakluk kepada kerajaan.

Ia boleh dinamakan Suruhanjaya Perundingan Gaji Negara (“SPGN”) yang bertanggungjawab merundingkan kenaikan gaji tahunan untuk mencapai permuafakatan bersama di antara pekerja, majikan dan kerajaan.

Saya telah menulis kepada wakil-wakil kesatuan sekerja seluruh negara untuk mendapat sokongan mereka kepada cadangan ini.

Saya juga percaya jika Saudara Khairy Jamaluddin benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat, beliau juga boleh menganjurkan satu sesi dialog TN50 untuk membincangkan cara-cara menaikkan gaji rakyat, termasuklah cadangan saya ini supaya kenaikan gaji bersih ditetapkan bersama melalui satu suruhanjaya dan perlu dipatuhi oleh semua majikan awam dan swasta.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Ekonomi Berkembang Tetapi Kadar Kenaikan Gaji Makin Berkurang: Apa Jawapan Khairy Dan TN50?

2 minggu lalu, kerajaan Barisan Nasional dengan gah mewar-warkan bagaimana pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% dalam suku pertama 2017 sebagai bukti kejayaan pentadbirannya. Ada yang mendakwa segala skandal yang bersabit 1MDB hanyalah dakyah politik kerana ia tidak mempunyai kesan pun kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Ramai yang sering bertanya kepada saya mengapa mereka tidak dapat merasakan keadaan ekonomi yang baik meskipun Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun. Jika ekonomi Malaysia dikatakan begitu baik seperti angka pertumbuhan KDNK yang diumumkan, mengapa ramai rakyat yang menghadapi kekangan kewangan dalam menjalani kehidupan seharian.

Perkara ini perlu diberi yang lebih supaya rakyat dapat menilai bahawa bukan semua pertumbuhan ekonomi itu mengalirkan kebaikan ekonomi kepada rakyat. Ada yang hasil ekonominya dipusatkan di kalangan beberapa pihak sahaja, ada yang ekonomi berkembang kerana lebih banyak pekerjaan bergaji murah yang diwujudkan.

Secara mudahnya, pertumbuhan KDNK negara merujuk kepada ukuran bagaimana ekonomi negara menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan. Ini boleh dicapai dengan dua cara – menambah pekerjaan atau menambah produktiviti.

Majikan boleh mengambil lebih ramai pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan tetapi pekerja dibayar gaji yang sama kerana kerjanya sama. Atau majikan boleh menggunakan teknologi atau menambahbaik proses untuk menghasilkan lebih banyak barangan/ perkhidmatan dengan bilangan pekerja yang sama atau kurang; tetapi pekerja kini melakukan kerja yang bernilai lebih tinggi dan wajar dibayar lebih tinggi.

Di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertumbuhan KDNK lebih didorong oleh produktiviti. Walau bagaimana pun, semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak (2011-2015), pertumbuhan yang didorong oleh produktiviti menurun (dari 59.07% kepada 34.80% daripada jumlah pertumbuhan KDNK) manakala pertumbuhan yang didorong pertambahan pekerjaan meningkat dengan ketara (daripada 40.93% kepada 65.2% daripada jumlah pertumbuhan KDNK ).

(Rujuk mukasurat 5, Laporan Produktiviti Negara 2015/2016 yang dilampirkan bersama).

Download (PDF, 10.75MB)

Ini diterangkan dengan lebih baik oleh carta yang saya sertakan dari laporan tersebut.

Ini bermakna jika pihak majikan mengambil lebih ramai pekerja, mereka bukannya meningkatkan produktiviti pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan atau perkhidmatan (seterusnya meningkatkan pertumbuhan KDNK). Sebab itu pertumbuhan KDNK yang diumumkan kerajaan perlu diperhalusi untuk menentukan sama ada pertumbuhan itu hanya dipacu oleh lebih banyak pekerja yang dibayar gaji yang murah untuk menambah pekerjaan; atau pertumbuhan itu berpunca dari kerja-kerja yang lebih bernilai tinggi dan dibayar gaji yang lebih tinggi.

Dalam tempoh yang sama bagi tahun 2011 hingga 2015, kita telah melihat beberapa rekod pekerja asing yang berdaftar melonjak naik iaitu daripada 1.82 juta orang (2010) kepada 2.14 juta orang (2015). Menurut Persekutuan Majikan Malaysia, anggaran jumlah pekerja asing yang berdaftar dan tidak berdaftar adalah sekitar 6 juta orang pada 2016, ini bersamaan dengan kira-kira 40% daripada jumlah tenaga kerja di negara ini.

Oleh itu, walaupun saiz ekonomi dilihat semakin meningkat, tetapi ia turut dikongsi bersama lebih ramai orang yang kebanyakannya pekerja asing.

Sebaliknya, jika pertumbuhan KDNK negara ini didorong oleh produktiviti, setiap pekerja akan mendapat imbuhan yang lebih besar kerana jumlah pekerja tidak perlu ditambah dengan mendadak (dengan membawa pekerja asing) dan hasil ekonomi dikongsi dengan lebih adil.

Rujuk carta di bawah dari mukasurat 5 Laporan Produktiviti 2015/16 yang secara jelas menunjukkan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib, kadar kenaikan jumlah imbuhan kepada pekerja (dalam bentuk gaji, caruman dan pampasan) sebenarnya telah menurun dari 5.3% (2011) kepada 3.8% (2015).

 

Oleh itu, pertumbuhan KDNK yang didorong oleh pekerjaan berkemahiran rendah akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan tetapi tidak meningkatkan tahap gaji. Kebelakangan ini fenomena ini berleluasa dengan peningkatan pekerjaan berkemahiran rendah yang dibayar gaji yang rendah kerana diisi oleh pekerja asing.

Keadaan ini menerangkan kenapa angka pertumbuhan KDNK nampak baik di atas kertas tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa yang terpaksa bekerja setiap hari dengan kadar pertumbuhan upah yang rendah dan tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup.

Pertumbuhan gaji sebenar (selepas ditolak inflasi) bagi 2017 dijangka jatuh pada kadar terendah di rantau Asia (bagi ekonomi yang setanding dengan Malaysia) iaitu sekitar 2.30%. Bulan lepas (April 2017), kadar inflasi telah pada tahap 5.1% iaitu tahap tertinggi dalam 8 tahun.

Oleh sebab itulah, saya akan terus mengacau Khairy Jamaluddin untuk menjawab soalan-soalan ini sebelum beliau sibuk menjelajah negara menjual mimpi pada tahun 2050. Kalau beliau boleh memilih untuk tidak menjawab soalan dari Malaysiakini dengan kasar, beliau tidak boleh terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai isu pekerjaan dan kos sara hidup.

Saya masih menunggu jawapan daripada Khairy Jamaluddin mengenai peluang untuk berdialog dengan 300 orang pimpinan pembangkang dalam sesi TN50 untuk saya tanyakan soalan yang paling mudah: apa tindakan Dato’ Seri Najib sekarang untuk mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya kepada rakyat?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Komitmen Mengurangkan Pekerja Asing Mengikut Fasa Menjelang 2030

Saya dan pasukan penyelidik yang membantu telah mengkaji masalah kebanjiran dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sejak beberapa bulan yang lalu. Saya percaya isu reformasi tenaga kerja (“labour reform”) adalah salah satu isu yang paling penting kerana melibatkan jumlah rakyat yang terbanyak.

Pengakuan Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa jumlah pekerja asing telah pun melebihi jumlah rakyat Malaysia berbangsa India tahun lepas bukan lagi satu perkara yang mengejutkan.

Unjuran beliau bahawa menjelang tahun 2034, jumlah pekerja asing akan mencecah 7.5 juta orang dan menjadi kumpulan kedua terbesar selepas Melayu/Bumiputra menjelang 2040 mengatasi rakyat Malaysia berbangsa Cina, India, Iban, Kadazan dan kumpulan Bumiputra yang lain; memberi gambaran hala tuju negara ini di bawah Umno/Barisan Nasional.

Lebih merumitkan, sebarang perbincangan jujur mengenai reformasi tenaga kerja di negara ini akan menjadi caca merba kerana pertembungan pihak-pihak berkepentingan seperti berikut:

1. Proses membawa masuk, mengawalselia dan menguruskan pekerja asing telah menjadi industri besar di negara ini. Konsesi bernilai berbilion ringgit diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu yang mendapat untung besar untuk melakukan saringan kesihatan, membayar kos permit yang tinggi, ejen-ejen dan pelbagai karenah birokrasi lain. Akibatnya, sebarang keputusan untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing sudah tentu akan mengganggu periuk nasi golongan berkepentingan ini yang selalunya rapat dengan pimpinan Umno/Barisan Nasional;

2. Ada beberapa industri yang tidak sepatutnya menggunakan pekerja asing tetapi telah selesa dengan lambakan pekerja asing yang dianggap lebih rendah kos buruhnya dan lebih sedang diurus kerana mereka tidak bertukar-tukar kerja. Sebarang usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing akan mendapat bantahan kuat dari pelobi industri-industri ini.

Masalahnya bebanan dan kesan buruk dari lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing ini benar-benar telah mengatasi kebaikan kos buruh yang lebih rendah yang sering diwar-war sebagai sebab kenapa Malaysia tidak boleh mengurangkan pekerja asing.

Lambakan dan kebergantungan tersebut adalah salah satu punca utama pengangguran di kalangan rakyat Malaysia apabila tenaga kerja Malaysia yang tidak berpendidikan tinggi dikira tidak sesuai (atau tidak mampu bersaing) untuk kerja-kerja yang tidak memerlukan kemahiran teknikal.

Apa perlunya restoran-restoran dan kedai-kedai menggaji pekerja asing sebagai pelayan sedangkan kerja-kerja tersebut boleh dibuat dengan baik (dengan latihan) oleh pekerja tempatan? Apa perlunya kilang-kilang yang tidak memerlukan kemahiran teknikal dan khusus menggaji pekerja asing sedangkan kerja-kerja tersebut sepatutnya diisi oleh rakyat tempatan.

Jika pun ada isu mengenai kesesuaian dan sikap pekerja tempatan yang suka bertukar kerja (seperti yang selalu juga disebut sebagai punca majikan lebih gemarkan pekerja asing), ini adalah isu-isu yang perlu ditangani bersama dengan cara membudayakan perspektif kerja yang lebih baik di kalangan pekerja tempatan.

Sebab itu saya menyeru supaya Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia membentangkan senarai industri-industri yang dibenarkan membawa masuk pekerja asing dan industri-industri yang menggunakan pekerja asing walaupun sebenarnya tidak termasuk di dalam senarai yang diluluskan. Saya yakin ada banyak industri yang tidak dibenarkan membawa masuk pekerja asing tetapi oleh kerana kelompongan dasar dan prosedur di pihak kerajaan, industri-industri ini secara berterusan menggunakan pekerja asing dan menafikan hak pekerja rakyat Malaysia.

Saya menyeru supaya semua pihak memberi fokus kepada usaha-usaha untuk mencapai konsensus nasional agar ada komitmen dan rancangan di peringkat tertinggi kerajaan untuk mengurangkan lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing menjelang tahun 2030.

Saya kini sedang menyiapkan satu kertas dasar mengenai reformasi tenaga kerja yang akan memperincikan sasaran peratusan pekerja asing berbanding pekerja rakyat Malaysia menjelang 2030 serta langkah-langkah ke arah mencapai sasaran itu.

Kertas dasar itu akan dibentangkan di dalam satu wacana dasar yang dianjurkan oleh I-CPI (INVOKE Centre for Policy Initiatives) pada 14 Mei 2017 bermula jam 1 petang di Hotel Empire, Subang.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN