Saya rujuk Lampiran A yang saya sertakan bersama iaitu jadual harga purata RON95 seperti yang didagangkan di pasaran terbuka di Singapura sepanjang Februari 2017 (yang dilaporkan oleh Platts di dalam laporan MOPS) iaitu harga rujukan untuk menentukan harga RON95 bagi Mac 2017.
Oleh kerana tiada perubahan ketara dari segi harga minyak mentah dunia iaitu stabil sekitar USD56 setong bagi Februari, dan kadar tukaran matawang Ringgit:USD yang berubah pada nilai yang kecil (lihat carta di bawah):
Harga RON95 sewajarnya kekal pada harga RM2.30 seliter mengikut formula yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan seperti di dalam Lampiran A.
Pun begitu, saya mengulangi desakan sebelum ini supaya harga siling pada nilai harga maksima RM2.00 seliter bagi RON95 diperkenalkan secepat mungkin kerana Kerajaan Persekutuan mampu menanggung subsidi minyak yang sewajarnya dikembalikan kepada rakyat.
Semasa harga minyak mentah turun mendadak dalam tahun 2014, Kerajaan Persekutuan tidak menurunkan harga petrol dan diesel yang dijual kepada rakyat. Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengutip cukai dari rakyat biasa secara diam-diam tanpa dimaklumkan kepada rakyat. Apabila saya membongkarkan perkara ini dalam tahun 2014 mengenai cukai yang dikutip secara senyap (iaitu dianggarkan berjumlah RM633 juta bagi bulan Disember 2014 sahaja, rujuk http://rafiziramli.com/2015/01/cukai-minyak-rm633-juta-perlu-diasingkan-sebagai-tabung-pengimbang-harga-minyak/), barulah pentadbiran Dato’ Seri Najib menukar kaedah penetapan harga minyak.
Walau bagaimana pun, helah Dato’ Seri Najib adalah licik apabila beliau mengambil kesempatan kejatuhan harga minyak mentah dunia dalam tahun 2014 dan 2015 itu untuk menghapuskan terus subsidi minyak yang diberikan kepada rakyat selama berdekad lamanya. Alat propaganda beliau menaburkan fitnah kononnya saya yang mendesak Kerajaan Persekutuan mengapungkan harga minyak mengikut pasaran dunia, sedangkan tuntutan saya selama bertahun-tahun ialah:
1. Mengekalkan subsidi melalui kaedah harga siling supaya apabila harga melepasi satu paras yang membebankan, Kerajaan Persekutuan menggunakan keuntungan dari hasil minyak negara yang jika tidak dikembalikan sebagai subsidi, hanya akan mengkayakan Kerajaan Persekutuan yang boleh berbelanja lebih boros
2. Memastikan harga melalui kaedah penetapan harga minyak automatik terkawal (automatic pricing mechanism atau APM) menjadi lebih telus dengan menterjemahkan kejatuhan harga minyak mentah dunia kepada harga petrol yang lebih rendah kepada pengguna (bukannya tidak menurunkan harga petrol dan diesel walaupun harga minyak mentah dunia telah jatuh)
Malaysia masih lagi menjana pendapatan yang tinggi dari hasil minyak dan gas. Bagi setiap tong minyak atau gas (bersamaan satu tong) yang dijual, Kerajaan Persekutuan mengutip dua jenis pendapatan lumayan seperti berikut:
1. Pendapatan langsung (“income derived directly from the crude oil or natural gas”) dalam bentuk royalti minyak, lesen, permit, GST, duti dan cukai keuntungan petroleum pada 38% (atau “petroleum income tax, PITA”)
2. Pendapatan tidak langsung (“income derived indirectly from the crude oil or natural gas through downstream manufacturing or processing or business activities from downstream”) dalam bentuk GST, lesen, duti dan cukai keuntungan korporat
Bagi tujuan menunjukkan keuntungan Kerajaan Persekutuan apabila harga minyak mentah dunia meningkat, saya hanya akan merujuk kepada pendapatan langsung kerana ia berkadar langsung dengan harga minyak mentah dunia tanpa ada unsur kerugian kerana kos operasi dan lain-lain.
Saya rujuk penyata pendapatan negara yang dibentangkan oleh Dato’ Seri Najib semasa Bajet2017 yang menunjukkan anggaran pendapatan langsung dari hasil minyak adalah seperti berikut:
Cukai keuntungan petroleum, PITA – RM11 bilion
Permit dan lesen – RM4 bilion
Hasil minyak dari pesisir luar pantai bersama Malaysia-Thailand (MTJA) – RM2 bilion
Jumlah pendapatan langsung – RM17 bilion
Jumlah royalti yang perlu dibayar kepada Kerajaan Persekutuan sebenarnya bergantung kepada perjanjian carigali yang ditandangani dengan syarikat minyak yang meneroka. Sejak tahun 1974, aktiviti carigali dan pengeluaran minyak dan gas di Malaysia dimeterai di bawah 4 jenis perjanjian (mengikut masa dan keadaan) yang menentukan berapa banyak royalti, lesen dan hasil lain yang perlu dibayar terus kepada Kerajaan Persekutuan, seperti berikut:
1. Perjanjian carigali di bawah “production sharing contract” (PSC) tahun 1975 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 38.1% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 15% dari pengeluaran keseluruhan
2. Perjanjian carigali di bawah “production sharing contract” (PSC) tahun 1985 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 42.2% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 70% dari pengeluaran keseluruhan
3. Perjanjian carigali di bawah “revenue over cost” (R/C) sekitar tahun 2010 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 42.31% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 5% dari pengeluaran keseluruhan
4. Perjanjian carigali di bawah “deepwater contract” (deepwater) sejak tahun awal 2000 – anggaran hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak 30.1% dan jumlah pengeluaran harian dari blok-blok minyak di bawah perjanjian ini dianggarkan 10% dari pengeluaran keseluruhan
(Anggaran % hasil langsung kepada Kerajaan Persekutuan dibuat oleh CCOP atau Coordinating Committee for Geoscience Program in East and South East Asia).
Berdasarkan angka-angka ini, saya rumuskan perbandingan jumlah pendapatan langsung Kerajaan Persekutuan apabila harga minyak mentah naik kepada USD55 setong bagi Januari dan Februari 2017 dan apabila harga minyak mentah diunjurkan mencecah harga purata tahunan USD60 setong bagi 2017; berbanding harga yang digunakan untuk mengira jumlah pendapatan dalam Bajet 2017 iaitu USD40 setong. Saya sertakan kiraan di dalam Lampiran B.
Kesimpulan-kesimpulan penting dari kiraan ini adalah sepert berikut:
- Pertambahan pendapatan langsung kepada Kerajaan Persekutuan setiap hari dalam Januari & Februari 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet2017 RM17,525,930
- Unjuran pertambahan pendapatan langsung kepada Kerajaan Persekutuan setiap hari bagi 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet2017 RM23,367,906
- Unjuran pertambahan pendapatan langsung kepada Kerajaan Persekutuan bagi 2017 menggunakan harga semasa berbanding yang dibentangkan Bajet2017 RM8,529,285,690
Dengan pertambahan hasil sebanyak RM18 juta sehari bagi Januari dan Februari, kemudian dijangka meningkat kepada RM23 juta sehari apabila harga minyak mentah semakin meningkat ke arah USD60 setong, adalah sangat tidak bertanggungjawab jika wang ini tidak dikembalikan kepada rakyat.
Hasil pertambahan RM9 bilion ini perlu dibentangkan kepada Parlimen dan Dato’ Seri Najib perlu memperincikan bagaimana RM9 bilion ini akan digunakan, apatah lagi ini tahun pilihanraya dan saya sangat khuatir ia disalahgunakan untuk berkempen bagi mengekalkan Umno/BN.
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di
Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan
Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg
2 thoughts on “Harga RON95 Sepatutnya Kekal RM2.30 Seliter, Kerajaan Persekutuan Untung RM18 Juta Sehari Dari Kenaikan Harga Minyak Mentah Dalam Januari Dan Februari 2017”