Cuepacs Merayu Naik Gaji 3%: Tubuh Suruhanjaya Perundingan Gaji Negara (SPGN) Untuk Menetapkan Gaji Pekerja Secara Bersama

Saya membaca laporan media mengenai kenyataan Dato’ Azih Muda, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memohon kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam sebanyak tiga peratus dalam Bajet 2018.

Sementara saya memahami keperluan kenaikan gaji itu kepada kakitangan awam dan seluruh warga pekerja amnya (termasuklah jutaan lagi pekerja swasta yang mungkin tidak mempunyai perwakilan seperti Cuepacs), saya ingin menegaskan bahawa kakitangan awam dan golongan pekerja keseluruhannya tidak perlu seolah-olah “mengemis” kepada majikan untuk mendapat kenaikan gaji kerana itu adalah hak mereka.

Sejak dari awal menjadi ahli politik, saya berpendirian dasar tenaga kerja negara mestilah dibangunkan ke arah memastikan golongan pekerja (baik sektor awam atau swasta) dapat menikmati kadar kenaikan gaji yang sihat setiap tahun setelah ditolak kenaikan harga barang.

Semakan saya dengan perangkaan terkini menunjukkan kenaikan gaji bersih pekerja Malaysia (setelah ditolak kenaikan harga barang) adalah antara yang terendah di rantau ini berbanding ekonomi yang setaraf dengan Malaysia.

Saya merujuk dua perangkaan mengenai kenaikan gaji bersih seperti berikut:

i. Perangkaan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan kenaikan gaji bersih rakyat Malaysia sekitar 2.6% (2015) dan 4.6% (2016) menggunakan kadar inflasi rasmi. Jika diambil kira kenaikan harga barang yang dipercayai lebih tinggi dari kadar inflasi rasmi, besar kemungkinan pekerja Malaysia sebenarnya tidak mendapat sebarang kenaikan gaji bersih bagi tahun 2015 dan 2016.

i. Perangkaan dari firma perunding sumber manusia antarabangsa iaitu Korn Ferry Hay Group yang menunjukkan kadar kenaikan gaji bersih pekerja Malaysia bagi tahun 2016 adalah antara yang paling rendah bagi rantau ini dan dengan ekonomi yang setanding. Lebih malang, laporan Korn Ferry Hay Group mengunjurkan Malaysia adalah satu-satunya negara yang kenaikan gaji bersihnya kekal rendah bagi tahun 2017 sekitar 2% berbanding India dan Indonesia yang dijangka mencatat kenaikan gaji bersih yang lebih baik.

Oleh sebab itu, cara mendapatkan kenaikan gaji yang digunakan sekarang oleh Ceupacs dan kesatuan-kesatuan sekerja yang lain tidak lagi berkesan kerana kedudukan yang tidak setara di antara majikan, kerajaan dan kesatuan sekerja. Akibatnya, setiap tahun kakitangan awam (terutamanya yang paling bawah) seolah-olah terpaksa mengemis kepada Perdana Menteri untuk mendapatkan sedikit kenaikan gaji yang memang hak mereka.

Saya kini sedang menumpukan kepada tiga isu rakyat terbesar iaitu:

1. Mengawal harga barang dan menghentikan kenaikan kos sara hidup yang mendadak
2. Menambah peluang pekerjaan dan menaikkan gaji pekerja awam dan swasta agar setimpal dengan kerja dan kos sara hidup
3. Mengurangkan pekerja asing

Saya telah menghuraikan keperluan campur tangan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kenaikan gaji bersih pekerja awam dan swasta yang memadai dengan nilai kerja mereka. Ini dapat dicapai dengan menggubal undang-undang yang mewajibkan pihak majikan, kesatuan sekerja dan Kerajaan Persekutuan sama-sama bersetuju menetapkan kenaikan gaji bersih yang perlu dipatuhi oleh kesemua majikan kerajaan dan swasta setiap tahun.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya peranan dan bidang kuasa Majlis Perundingan Gaji Negara (yang sedia ada) dinaiktaraf sebagai satu suruhanjaya bebas yang menetapkan kenaikan gaji tahunan yang perlu dipatuhi oleh semua majikan di negata ini.

Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 telah menubuhkan satu Majlis Perundingan Gaji Negara yang fungsinya untuk memberi syor kadar gaji minima yang ingin dikuatkuasakan. Ia adalah satu badan di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Dengan bidang kuasa yang ada sekarang, Majlis Perundingan Gaji Negara tidak mampu berfungsi untuk memperbetulkan herotan gaji pekerja Malaysia yang dikekang rendah sejak beberapa dekad. Mewujudkan satu badan yang tertakluk kepada menteri dan berperanan untuk mengesyorkan samalah seperti melepaskan batuk di tangga, kerana semua pihak tahu badan itu tidak mempunyai taring.

Saya mengesyorkan supaya majlis sedia ada dinaiktaraf dari segi kuasanya, bidang tugasan dan sumbernya menjadi satu badan bebas yang setara dengan sebuah suruhanjaya yang tidak tertakluk kepada kerajaan.

Ia boleh dinamakan Suruhanjaya Perundingan Gaji Negara (“SPGN”) yang bertanggungjawab merundingkan kenaikan gaji tahunan untuk mencapai permuafakatan bersama di antara pekerja, majikan dan kerajaan.

Saya telah menulis kepada wakil-wakil kesatuan sekerja seluruh negara untuk mendapat sokongan mereka kepada cadangan ini.

Saya juga percaya jika Saudara Khairy Jamaluddin benar-benar ikhlas mahu membantu rakyat, beliau juga boleh menganjurkan satu sesi dialog TN50 untuk membincangkan cara-cara menaikkan gaji rakyat, termasuklah cadangan saya ini supaya kenaikan gaji bersih ditetapkan bersama melalui satu suruhanjaya dan perlu dipatuhi oleh semua majikan awam dan swasta.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.