1MDB, Jho Low Dan MO1 Yang Sabotaj Ekonomi Malaysia, Bukan Saya: Rahman Dahlan Patut Berani Berdebat Mengenai Penyenaraian Edra

Panglima utama kepada Dato’ Seri Najib Razak iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuduh saya berniat jahat dan ditafsirkan beliau sebagai usaha mensabotaj ekonomi negara. Dalam satu tulisan semalam, Datuk Seri Rahman mendakwa penglibatan 1MDB di dalam industri penjana bebas (IPP) telah berjaya menstrukturkan kembali perjanjian pembekalan tenaga bebas agar tidak berat sebelah seperti sebelum itu.

Tindakan serta-merta Datuk Seri Rahman menuduh saya cuba mensabotaj ekonomi negara (apabila saya menyeru supaya dana awam tidak terlibat di dalam penyenaraian Edra milik syarikat Kerajaan China) menunjukkan rasa cemas pentadbiran Dato’ Seri Najib mengenai cadangan penyenaraian itu. Rasa cemas itu sudah tentu berpunca dari kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa pembelian saham-saham Edra dari syarikat milik Kerajaan China oleh dana awam akan sekali lagi mengundang kemarahan rakyat.

Maka, alasan-alasan yang diberikan untuk menunjukkan “jasa” 1MDB (melalui Edra) kepada rakyat menjadi tidak keruan. Saya tunjukkan di bawah beberapa alasan yang tidak benar dan boleh dipatahkan dengan mudah:

i. Datuk Seri Rahman mendakwa oleh kerana 1MDBlah maka perjanjian pembekalan tenaga oleh penjana bebas (IPP) menjadi lebih adil lalu harga yang dibayar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada IPP adalah lebih murah. Akibatnya, keuntungan TNB meningkat berbanding sebelum ini.
(Rujuk perenggan: Berbanding mencatatkan kerugian dan memerlukan bantuan kerajaan sebagaimana berlaku pada masa lampau, terma dan kadar PPA yang adil di mana melibatkan 40 peratus dari kos, kini menyumbang kepada TNB yang turut mencatatkan keuntungan berbanding sebelum ini.)

Berhubung perkara ini, saya hanya ingin mengajukan satu soalan kepada Datuk Seri Rahman untuk menunjukkan bahawa alasan ini tidak benar: jika benarlah 1MDB (melalui Edra) telah menyebabkan perjanjian IPP lebih adil dan mengurang kos menjana dan membekal elektrik kepada rakyat, kenapa tarif elektrik tidak turun selari dengan penurunan kos dan keuntungan TNB seperti yang didakwa? Sebaliknya tarif elektrik menjadi lebih tinggi sejak pembabitan 1MDB di dalam industri penjanaan elektrik bebas.

ii. Datuk Seri Rahman mendakwa oleh kerana 1MDB jugalah tanggungan subsidi gas oleh PETRONAS adalah jauh lebih sedikit berbanding sebelum itu.
(Rujuk perenggan: Manakala bil subsidi gas Petronas bagi 2015 adalah satu pertiga dari apa yang perlu ditanggung pada 2012, penjimatan sebanyak RM10 bilion. Penjimatan besar ini dibelanjakan bagi pembangunan dan kebajikan yang memanfaatkan rakyat di kala kerajaan mengekalkan kadar elektrik rendah untuk semua.)

Saya tergelak membacanya kerana jelas Datuk Seri Rahman seolah-olah beranggapan rakyat jelata mudah diperbodohkan. Kos subsidi gas yang ditanggung oleh PETRONAS (kerana gas asli dijual lebih murah kepada penjana bebas berbanding harga pasaran) turun mendadak bukanlah disebabkan oleh “jasa” 1MDB seperti yang didakwa oleh Datuk Seri Rahman. Subsidi gas sekarang adalah jauh lebih rendah (berbanding tahun 2012 seperti yang didakwa) adalah kerana harga minyak mentah dunia telah jatuh mendadak sekarang berbanding tahun 2012 (lihat carta harga minyak mentah Brent di bawah, harga jatuh dari sekitar USD115 setong dalam tahun 2012 kepada sekitar USD50 setong dalam tahun 2016 – 2017).

 

Seluruh dunia tahu bahawa tarif elektrik masih kekal tinggi di Malaysia dan tidak pernah diturunkan (walaupun Datuk Seri Rahman mendakwa kos menjana elektrik turun mendadak kerana “jasa” 1MDB). Seluruh dunia juga tahu jumlah subsidi gas yang ditanggung PETRONAS turun mendadak selari dengan jatuhnya harga minyak mentah; bukannya disebabkan oleh “jasa” 1MDB.

Seluruh dunia juga tahu bahawa 1MDB menanggung hutang yang tinggi kerana membeli aset-aset penjanaan elektrik bebas dari syarikat kroni pada harga yang lebih tinggi dari nilaian. Seluruh dunia tahu aset-aset itu kemudiannya dijualkan sepenuhnya kepada syarikat milik Kerajaan China (iaitu China General Nuclear Power Corporation atau CGNPC) walaupun TNB membidanya untuk mengurangkan hutang-hutang 1MDB.

Kini, apabila CGNPC ingin menyenaraikan Edra (yang dibeli dari 1MDB) bagi tujuan mengutip kembali RM5 bilion dari jumlah asal RM9.83 bilion yang dibayar kepada 1MDB, ia samalah seperti rakyat Malaysia yang menanggung hutang 1MDB buat kali kedua jika saham-saham itu dibeli oleh dana-dana awam yang dimiliki rakyat seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji, PNB, PERKESO dan Khazanah.

Oleh itu seruan saya supaya dana-dana awam jangan terlibat membeli saham Edra adalah selari dengan kemahuan rakyat yang sudah serik dengan penyenaraian FGV satu ketika dahulu dan tanggungan hutang-hutang 1MDB yang sehingga kini tidak berkesudahan.

Lagi pun, jika benarlah Edra ini satu syarikat yang mempunyai potensi keuntungan yang tinggi seperti yang diwar-warkan, saya pasti CGNPC milik Kerajaan China itu mampu menjual saham-sahamnya kepada pelabur antarabangsa yang lain dari dana-dana antarabangsa tanpa perlu bergantung kepada dana awam milik rakyat Malaysia.

Isu menghalang dana awam dari terlibat dengan penyenaraian Edra ini adalah isu utama yang perlu diberi perhatian. Saya juga mempunyai banyak lagi jawapan-jawapan dan fakta-fakta untuk membidas hujah songsang Datuk Seri Rahman mengenai isu ini.

Hakikatnya, yang mensabotaj ekonomi Malaysia bukanlah orang seperti saya yang hanya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen pembangkang untuk memastikan dana awam tidak digunakan untuk pelaburan berisiko tinggi. Rakyat juga tahu bahawa pihak yang mensabotaj ekonomi Malaysia adalah Jho Low, 1MDB dan MO1 yang menyebabkan rakyat Malaysia menanggung hutang sehingga RM50 bilion.

Oleh itu, cara yang terbaik membincangkan perkara ini ialah melalui satu perdebatan terbuka yang disiarkan secara langsung baik di televisyen nasional (sama ada RTM, TV3 atau TV lain) dan melalui Facebook LIVE. Saya percaya banyak pihak yang berpengalaman luas menganjurkan perdebatan seperti Sinar Harian boleh menguruskan debat ini dengan cepat.

Sepatutnya jika Datuk Seri Rahman benar-benar yakin 1MDB telah banyak membantu rakyat Malaysia melalui pembabitannya di dalam industri penjanaan tenaga bebas; atau yakin bahawa potensi pelaburan di dalam Edra adalah baik (dan dana awam tidak perlu bimbang dengan risiko pelaburan), maka beliau tidak wajar gentar untuk berdepan dengan saya di dalam satu perdebatan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.