Category Archives: 1MDB

Yang Dipertua Dewan Rakyat Menolak Rang Undang-Undang Persendirian Pemisahan Fungsi Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan, Usul 1MDB Difailkan 2 November 2015

usul1mdb

Saya telah memfailkan satu Rang Undang-undang Persendirian untuk memisahkan fungsi Perdana Menteri dari Menteri Kewangan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat iaitu sebelum atau pada 23 September 2015. Rang Undang-undang Persendirian itu difailkan melalui emel kepada Setiausaha Dewan Rakyat seperti mana soalan-soalan Parlimen dan urusan lain difailkan.

Saya telah mendapat jawapan rasmi dari Yang Dipertua Dewan Rakyat semalam (3 November 2015) yang menyatakan bahawa Dewan Rakyat menolak Rang Undang-undang Persendirian itu yang tidak akan disenaraikan di dalam Aturan Dewan atas alasan berikut:

Download (PDF, 974KB)

1. Tidak menepati Peraturan Mesyuarat 27 iaitu perlu dihantar secara bertulis – saya menghormati kuasa Yang Dipertua yang berhak menafsirkan Peraturan Mesyuarat. Walau bagaimana pun, selama ini sebarang pemberitahu termasuklah pemberitahu soalan-soalan diuruskan melalui emel dan telah diterima dengan baik oleh Setiausaha Dewan Rakyat

2. Bertentangan dengan Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 – alasan ini bermakna Dewan Rakyat tidak akan membenarkan apa-apa Rang Undang-undang Persendirian yang cuba memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan selagi Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969 tidak dipinda. Ini juga bermakna selagi Barisan Nasional berkuasa, sebarang usaha untuk menggubal undang-undang untuk membina tata kelola yang lebih baik dengan memisahkan fungsi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan tidak akan dibenarkan dibawa ke Dewan Rakyat

Saya berpendapat pendirian ini akan mengurangkan kebebasan Parlimen dan merendahkan kedudukan Parlimen yang sepatutnya setaraf dengan cabang eksekutif kerajaan dari segi bidang kuasanya.

Oleh yang demikian, saya akan memfailkan kembali Rang Undang-undang Persendirian ini secara surat bertulis mengikut Peraturan Mesyuarat 27 dan berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkannya untuk dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam sidang depan.

Download (PDF, 1.03MB)

Saya juga telah memfailkan usul untuk menghadkan harga yang akan dibayar oleh TNB terhadap aset-aset IPP milik 1MDB pada 2 November 2015 dan telah menerima pengesahan dari Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat. Saya percaya Dewan Rakyat mesti memberikan isyarat yang jelas bahawa ia akan campur tangan di dalam sebarang urusniaga besar yang melibatkan kepentingan dan dana awam seperti ini.

Oleh yang demikian, saya berharap Yang Dipertua Dewan Rakyat mempertimbangkan agar usul ini dibenarkan untuk dibahaskan apabila ia dimasukkan di dalam Aturan Mesyuarat dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Timbalan Menteri Kewangan Mengesahkan Bahawa Pelaburan Kwsp Di Dalam 1MDB Berisiko Tinggi

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani semalam menyatakan pendirian kerajaan bahawa pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di dalam 1MDB dianggap tidak membawa risiko kepada KWSP.

Alasan yang diberikan oleh beliau adalah seperti berikut:

1. Jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB adalah kecil berbanding dana KWSP

2. 1MDB membayar kadar faedah (“coupon rate”) yang tinggi di atas pelaburan KWSP iaitu di antara 7.7% – 9.85% (pelaburan KWSP di dalam Jimah Energy Ventures) dan di antara 8.25% – 8.35% (pelaburan KWSP di dalam Panglima Power Sdn Bhd)

Timbalan Menteri Kewangan sebenarnya tidak sedar bahawa jawapan beliau itu secara langsung mengesahkan bahawa pelaburan KWSP di dalam 1MDB sebenarnya mempunyai risiko tinggi.

Pertamanya, jumlah pelaburan KWSP di dalam 1MDB bukannya kecil dan berjumlah RM1.72 bilion. Jumlah RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP. Timbalan Menteri Kewangan sepatutnya tidak mengambil ringan sebarang urusniaga yang melibatkan simpanan wang rakyat tidak kiralah berapa jumlahnya. Dalam perkara ini, pelaburan KWSP di dalam 1MDB yang berjumlah RM1.72 bilion adalah cukup besar.

Keduanya, ukuran sama ada sesuatu pelaburan bon itu mempunyai risiko tinggi itu atau tidak bergantung kepada kadar faedah (“coupon rate”) yang perlu dibayar oleh peminjam (“bond issuer”) kepada pemegang bon (“bond holder”). Oleh itu, untuk menilai sama ada pelaburan KWSP di dalam bon 1MDB adalah berisiko tinggi atau tidak, kadar faedah yang tinggi dibayar oleh 1MDB kepada KWSP berbanding kadar faedah bon-bon lain adalah bukti pelaburan itu sebenarnya berisiko tinggi.

Kadar faedah (“coupon rate”) yang biasa dibayar oleh institusi kerajaan (termasuk GLC utama) selalunya tidak jauh bezanya dari kadar faedah (“coupon rate”) yang dibayar oleh kerajaan. Bon-bon kerajaan pada kadar semasa selalunya melibatkan kadar faedah (“coupon rate”) tidak melebihi 5%, maka bon institusi kerajaan (seperti 1MDB yang dimiliki kerajaan) sepatutnya tidak jauh berbeza dari 5%.

Jawapan Timbalan Menteri Kewangan semalam menunjukkan bon 1MDB yang dipegang oleh KWSP melibatkan kadar faedah (“coupon rate”) yang jauh lebih tinggi dari bon-bon institusi kerajaan sehingga mencecah dua kali ganda lebih tinggi (mencecah 9.85%). Kadar yang lebih tinggi sehingga mencecah dua kali ganda ini adalah tindakbalas pasaran kepada risiko pelaburan di dalam 1MDB yang menyebabkan pasaran menetapkan 1MDB membayar kadar faedah (“coupon rate”) yang lebih tinggi kerana risiko kewangan 1MDB.

Oleh yang demikian, saya mengulangi desakan saya sebelum ini bahawa KWSP dan semua badan kerajaan yang lain mengambil tindakan segera untuk melupuskan sebarang pegangan bon atau pelaburan di dalam 1MDB kerana risiko kewangan yang tinggi seperti yang diterjemahkan di dalam kadar faedah (“coupon rate”) yang tinggi.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Bank Negara Malaysia Wajar Batalkan Semua Lesen Kewangan 1MDB Jika Peguam Negara Enggan Dakwa 1MDB Di Mahkamah

Saya mengucapkan tahniah di atas keberanian dan sikap professional Bank Negara Malaysia (BNM) yang membatalkan kelulusan-kelulusan di bawah Akta Kawalan Matawang (Exchange Control Act) yang diberikan kepada 1MDB sebelum ini ekoran keengganan Kamar Peguam Negara mendakwa 1MDB di mahkamah walaupun kertas siasatan oleh BNM mengesyorkan pendakwaan.

Perkara ini telah lama ditimbulkan terutamanya dari aspek pengubahan wang haram (anti money laundering). Saya faham sepenuhnya bahawa kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan adalah kuasa Peguam Negara. Oleh yang demikian, besar kemungkinan apa-apa siasatan di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (termasuklah mengenai pengubahan wang haram) tidak berkesudahan dengan pendakwaan 1MDB ke mahkamah walaupun disyorkan oleh BNM.

Oleh itu, saya mencadangkan supaya Bank Negara Malaysia menggunakan kesemua kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah kewangan 1MDB seperti berikut:

1. BNM wajar membatalkan semua lesen kewangan yang diberikan kepada 1MDB sebelum ini di bawah bidang kuasanya yang diperlukan oleh 1MDB untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat yang terbabit dengan instrumen kewangan (jika ada);

2. BNM wajar membatalkan semua permit atau kelulusan pemindahan wang yang pernah diberikan selama ini;

3. BNM wajar menolak sebarang permohonan permit atau kelulusan pemindahan wang yang baru supaya dananya tidak lagi boleh dipindahkan sesuka hati;

4. BNM wajar menolak sebarang permohonan lesen atau permit baru bersabit dengan sebarang urusan kewangan yang baru di bawah bidang kuasanya untuk memastikan 1MDB tidak boleh membuat perjanjian atau urusan kewangan yang baru

Jika Kamar Peguam Negara enggan menggunakan kuasanya di bawah Perlembagaan untuk mendakwa 1MDB seperti yang disyorkan oleh kertas siasatan BNM, maka BNM sewajarnya menggunakan kuasanya yang lain untuk memastikan masalah 1MDB terus berlanjutan hingga membawa kesan kepada ekonomi negara.

Satu jalan yang paling berkesan ialah melumpuhkan operasi kewangan dan urusniaga pemindahan dana oleh 1MDB yang dikawalselia oleh BNM mengikut undang-undang. Apabila 1MDB dikekang dari terus membuat pinjaman atau memindahkan dana, saya pasti Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada pilihan lain kecuali menutup 1MDB dan menyelesaikan masalah kewangannya secara muktamad.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Tanggungan Hutang 1MDB Boleh Mansuhkan Hutang PTPTN Bagi 1.7 Juta Peminjam

Cukai Lebih Tinggi_1

Saya merujuk kepada laporan mengenai dialog Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat yang antara lainnya memetik kenyataan beliau bahawa pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN hanya dapat dibuat sekiranya rakyat sanggup membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi.

Visi pendidikan percuma yang merangkumi pemansuhan hutang PTPTN dan rombakan semula pembiayaan pendidikan tinggi negara adalah salah satu lontaran idea oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadi isu hangat menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Sebagai seorang aktivis pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN, saya telah mengutarakan beberapa kaedah dan kos bagaimana dasar ini boleh dilaksanakan, iaitu:

1. Hutang yang diambil oleh PTPTN boleh dibayar secara ansuran sebanyak RM2 bilion setiap tahun

2. Pemansuhan yuran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi kesemua pelajar IPTA (dianggarkan 470,000 bagi tahun 2013) dianggarkan RM791 juta setiap tahun

3. Kos menyediakan elaun sara hidup bagi 400,000 pelajar IPTA dan 150,000 pelajar IPTS dianggarkan RM2.75 bilion setahun

4. Kos menyediakan satu tabung pinjaman pendidikan IPTS tanpa faedah sebanyak RM450 juta setahun

Oleh yang demikian, saya yakin dasar pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN dapat dilaksanakan dengan peruntukan RM6 bilion setahun oleh kerajaan bagi tujuan ini.

Selepas 2 tahun Barisan Nasional meneruskan pentadbiran di Putrajaya sejak PRU13, rakyat telah menyaksikan pelbagai skandal besar yang melibatkan dana rakyat terutamanya 1MDB. Mengambil kira kadar tukaran matawang yang merudum dan faedah, saya menganggarkan hutang terkini 1MDB sudah mencecah RM50 bilion.

Hutang RM50 bilion ini besar kemungkinan akan ditanggung oleh kerajaan memandangkan 1MDB terus terperangkap dengan kemelut kewangannya yang tidak berkesudahan. Sekiranya sumber kewangan negara tidak dialihkan kepada 1MDB, jumlah yang diberikan kepada 1MDB lebih dari cukup untuk membiayai dasar pendidikan percuma dan memansuhkan hutang PTPTN seperti berikut:

1. Jumlah hutang tertunggak oleh peminjam PTPTN setakat 31 Mac 2015 adalah RM13.3 bilion melibatkan 1,716,475 peminjam seperti jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan kepada Parlimen baru-baru ini. Jumlah RM13.3 bilion hanyalah sebahagian kecil dari sumber kewangan berjumlah RM50 bilion yang telah dialihkan kepada 1MDB;

2. Belanja kewangan 1MDB yang mencecah RM5.8 bilion dalam tempoh 3 tahun (seperti dilaporkan oleh 1MDB dalam jawapannya mengenai ke mana wang telah dibelanjakan) adalah hampir kepada jumlah RM2 bilion setiap tahun; iaitu jumlah yang diperlukan untuk memansuhkan terus hutang PTPTN

Oleh sebab itu, skandal 1MDB yang terbongkar setakat ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan sebenarnya mampu untuk memansuhkan hutang PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma sekiranya kekayaan negara disalurkan bagi membina sistem pendidikan yang terbaik, bukannya dibazirkan di dalam projek-projek yang berakhir menjadi skandal seperti 1MDB.

Malah, saya yakin sekiranya tanah-tanah kerajaan di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi yang dianugerahkan kepada 1MDB diserahkan kepada satu tabung pendidikan untuk dimajukan, hasil pelaburan itu akan dapat membangunkan jutaan rakyat Malaysia menjadi modal insan kepada negara di masa hadapan.

Saya berharap rakyat Malaysia semakin membuka mata dan menyedari bahawa dasar pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN dapat dilaksanakan tanpa menaikkan cukai seperti yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Selesai Masalah 1MDB Dalam 6 Bulan: Apa Yang Dijual, Digadai, Dilelong?

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam bahawa masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan dari sekarang. Kenyataan beliau itu adalah konsisten dengan pengumuman kononnya proses rasionalisasi kewangan 1MDB akan mengambil masa 6 bulan sejak bulan lepas.

Sejak membawa isu 1MDB bersama-sama dengan YB Tony Pua dan Ahli Parlimen yang lain, saya tidak pernah mempersoalkan mengenai kemungkinan hutang-hutang 1MDB (yang setakat 31 Disember 2014 berjumlah RM42 bilion) itu boleh dibayar. Ada banyak cara bagaimana hutang korporat boleh dibayar dan bukanlah sukar untuk mencari jalan menyelesaikan hutang RM42 bilion itu.

Kebimbangan utama saya dan sebahagian besar rakyat yang lain ialah apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat demi menyelamatkan 1MDB yang bermasalah itu?

Rekod pentadbiran Barisan Nasional dalam menyelamatkan syarikat-syarikat yang berkait dengan kepentingan elit pemerintah (“ruling elite”) sejak tahun 1980an lagi telah menunjukkan bagaimana mudahnya Barisan Nasional menggunakan dana awam untuk menyelamatkan kepentingan mereka. Dahulunya, dana PETRONAS sering menjadi mangsa setiap kali ada syarikat lain yang bermasalah.

Setakat ini, rakyat telah mengetahui bahawa badan-badan pelaburan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT, melalui anak syarikat) semuanya telah terdedah kepada risiko kewangan 1MDB apabila mereka ada urusniaga kewangan dengan 1MDB (sama ada dalam bentuk pinjaman yang diberikan, bon yang dipegang dan lain-lain).

Jika sebelum ini pun pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan mudahnya mengheret tabung-tabung awam ini membantu 1MDB, apakah jaminan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa tabung-tabung ini tidak digunakan secara senyap-senyap untuk menyelamatkan 1MDB?

Saya juga sedia maklum bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang berusaha untuk merundingkan urusniaga kewangan dengan bank-bank dan pihak berkuasa Negara-negara Teluk bagi tujuan membantu 1MDB. Ini mungkin sebahagian kecil dari pelbagai jalan yang diusahakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menyuntik dana ke dalam 1MDB.

Tidak ada negara, bank atau institusi kewangan di dalam dunia ini yang akan memberikan bantuan kewangan secara percuma kepada 1MDB dalam keadaan kewangannya yang tenat seperti sekarang. Sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat-syarat yang begitu ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang mereka tanggung.

Oleh yang demikian, saya bimbang apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan, ini bermakna sudah ada persetujuan-persetujuan mengenai urusniaga kewangan dengan pihak ketiga yang besar kemungkinan akan merugikan rakyat.

Saya menyeru supaya sebelum sebarang urusniaga kewangan yang melibatkan suntikan dana kepada 1MDB dipersetujui, butiran setiap urusniaga kewangan itu (baik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, badan pelaburan milik rakyat, agensi kerajaan atau pun pihak swasta/pihak ketiga) perlulah dibentangkan secara terperinci di Parlimen dan dibahaskan terlebih dahulu.

Soalan-soalan berikut perlu dijawab secara terperinci oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi setiap urusniaga kewangan itu:

1. Apa terma terperinci yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat?

2. Berapa jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam?

3. Adakah urusniaga itu melibatkan apa-apa harta atau tanah milik awam?

4. Adakah pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain yang tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi ditanggung/dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi milik Kerajaan Malaysia?

5. Adakah Kerajaan Malaysia memberikan sebarang jaminan untuk menanggung hutang/suntikan dana baru ini?

6. Siapakah individu-individu terbabit (di depan dan di belakang) yang merundingkan dan akan mendapat keuntungan dari urusniaga itu?

Proses membentangkan secara terperinci sebarang urusniaga kewangan baru melibatkan 1MDB adalah penting untuk mengelakkan berulangnya skandal-skandal yang mana harta-harta kerajaan dan jaminan kerajaan diberikan kepada 1MDB sehingga merugikan rakyat. Kita juga tidak mahu walau satu sen pun lagi dana awam diberikan kepada 1MDB selepas ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN