Category Archives: 1MDB

Selepas Penjualan IPP Kepada Syarikat Asing, Harta Negara Mana Lagi Akan Dilelong Untuk Menutup Lubang Hutang 1MDB?

1MDB semalam mengumumkan penjualan aset penjana bebas (IPP) di bawah anak syarikatnya Edra Energy kepada konsortium China-Qatar yang akan memiliki 100% aset penjanaan. Ini adalah bertentangan dengan dasar negara selama ini bahawa aset-aset strategik seperti penjanaan dan pembekalan elektrik tidak boleh jatuh ke tangan syarikat asing dan tertakluk kepada had pegangan ekuiti asing sebanyak 49%.

Saya telah memfailkan dua usul di Parlimen untuk menghalang perkara ini dari berlaku.

Satu usul ialah untuk menghadkan bidaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada nilaian RM8 bilion bagi ekuiti Edra Energy untuk menghalang kerajaan dari menggunakan TNB untuk membayar hutang 1MDB. Saya berterima kasih kepada TNB yang bersetuju dengan pandangan saya itu bahawa nilaian bagi ekuiti aset-aset ini adalah sekitar RM8 bilion dan bidaan TNB sekitar nilaian itu akhirnya ditolak oleh kerajaan walaupun sepatutnya bidaan konsortium syarikat asing terbatal kerana melanggar had pegangan ekuiti.

Saya juga ada memfailkan satu usul tergempar untuk membincangkan keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti kepada syarikat asing semata-mata bagi membolehkan Edra Energy dijual kepada konsortium China-Qatar tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Sepanjang perkara ini dibawa, saya kesal kerana tidak ada seorang pun wakil rakyat atau pimpinan Umno yang bangun mempertahankan hak TNB serta kepentingan strategik negara. Kegagalan mereka bersuara mengiyakan pandangan rakyat terbanyak bahawa Umno tidak lagi peduli dengan kebajikan rakyat dan kepentingan negara kerana penjualan aset Edra ini kepada syarikat asing membawa kesan besar seperti berikut:

1. Risiko kepada kelangsungan dan kestabilan pembekalan elektrik di negara ini
2. Risiko kenaikan tariff bila konsesi-konsesi penjualan tenaga dirundingkan kembali dengan syarikat asing ini dalam tahun 2016 dan 2022
3. Risiko pekerja asing dibawa masuk yang mengganggu peluang pekerjaan rakyat Malaysia
4. Risiko lebih banyak kontrak IPP masa hadapan diberikan kepada syarikat asing
5. Risiko kesan kepada TNB di masa hadapan apabila kedudukan strategiknya dilunturkan akibat kehadiran syarikat asing gergasi ini

Saya telah mengulangi berkali-kali bahawa keberhutangan 1MDB akhirnya akan mengheret institusi-institusi kerajaan dan GLC untuk menutup hutangnya yang besar itu. Sebelum ini kita tahu aset-aset penting negara seperti tanah-tanah yang mahal telah dipindahkan kepada 1MDB.

Kemudian kita terkejut bila dana dari institusi rakyat seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga terpalit dengan 1MDB. Terkini, kita terpaksa pasrah menerima keputusan songsang menggadaikan keselamatan dan kelangsungan perbekalan elektrik negara kepada syarikat asing demi menyelamatkan 1MDB.

Saya pasti selepas ini lebih banyak harta negara akan dijual dan dilelong kepada syarikat asing demi untuk menutup lubang hutang 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Usul Tergempar Parlimen Bahas Pembukaan Sektor Penjanaan Elektrik Kepada Pelabur Asing

Saya telah memfailkan satu usul tergempar di bawah Peraturan 18 untuk menangguhkan Mesyuarat Majlis pada hari Rabu, 18 November 2015 untuk membahaskan satu usul tergempar yang berbunyi seperti berikut:

“Bahawa Dewan ini menggesa supaya YAB Menteri Kewangan, Dato’ Seri Najib Tun Razak membatalkan hasrat dan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membenarkan 1MDB melupuskan pegangannya di dalam Edra Global Energy Berhad sehingga 100% kepada pelabur asing seperti yang dirujuk di dalam surat kebenaran bagi perkara yang sama dari Suruhanjaya Tenaga kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 11 September 2015. Hasrat dan cadangan Kerajaan Persekutuan itu bertentangan dengan peraturan sedia ada yang menghadkan pegangan ekuiti oleh pelabur asing di dalam sektor penjanaan tenaga kepada maksimum 49% demi kepentingan negara.”

Bersama-sama ini saya sertakan surat pemberitahu usul dan juga surat dari Suruhanjaya Tenaga yang menjadi bukti bahawa Kerajaan Persekutuan telah pun memutuskan untuk menghapuskan had pegangan ekuiti dalam sektor tenaga seperti yang saya nyatakan sebelum ini.

   
    
 

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Arulkanda Jangan Hanya Berani Di Depan Penyokong Umno, Sahut Segera Cabaran Berdebat

Saya terkejut membaca laporan bahawa Presiden 1MDB, Arulkanda Abdullah sekali lagi menimbulkan isu yang dia tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa mengenai 1MDB; termasuklah saya dan Tony Pua.

Kenyataan itu dibuat dihadapan penyokong-penyokong Umno di ibu pejabat Umno sedangkan sebelum ini bila mana seluruh negara menantikan satu debat di antara beliau dan Tony Pua (kemudian digantikan dengan saya), beliau menikus dan lari berselindung di belakang pimpinan Umno dan kerajaan.

Arulkanda tahu bahawa Tony Pua akan terikat dengan ketetapan Parlimen berikutan keputusan bersama bahawa tanggungjawab beliau (Tony Pua) di dalam JK Kira-kira (PAC) lebih penting dari bersemuka dengan Arulkanda, maka sebarang perdebatan atau forum terbuka hanya akan melibatkan saya dan Arulkanda.

Oleh kerana beliau telah menyatakan secara terbuka kesediaan untuk berdepan dengan saya, maka saya akan menyahut kesediaan itu.

Saya akan menulis secara rasmi kepada Arulkanda Abdullah sebagai Presiden 1MDB hari ini untuk bersama-sama dalam satu perdebatan mengenai 1MDB pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan oleh penganjur kelak.

Saya juga akan menulis secara rasmi kepada Sinar Harian hari ini untuk menjadi penganjur bebas kerana Sinar Harian telah beberapa kali mengadakan forum atau perdebatan yang menemukan pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Format dan segala peraturan perdebatan adalah terpulang kepada Sinar Harian.

Saya berharap kesediaan saya melayan kembali ego Arulkanda tanpa syarat ini akan disambut oleh beliau. Jika beliau berdalih sekali lagi dan memberi pelbagai alasan, saya beranggapan beliau pun tidak berbeza dengan ahli-ahli politik Umno yang hanya berani mendabik dada di gelanggang sendiri di depan penyokong sendiri.

Jika beliau menolak cabaran debat ini sekali lagi, saya kira Arulkanda bukanlah seorang ahli professional kerana sikapnya yang sudah seperti pemimpin Umno, maka saya nasihati beliau menyertai Umno secepat mungkin.

Saya akan menunggu maklumbalas beliau.

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

Usul Tergempar Di Parlimen Mengenai Penjualan Aset IPP 1MDB Kepada Konsortium China-Qatar: Perdana Menteri Perlu Buat Kenyataan Segera

Sejak tarikh bidaan pembelian aset penjana bebas (“IPP”) 1MDB tamat Jumaat lalu, sehingga kini Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak belum mengeluarkan satu kenyataan bagi menyangkal kenyataan saya dan laporan media bahawa pentadbiran beliau telah secara senyap-senyap membatalkan had pegangan ekuiti sektor elektrik negara (iaitu syarikat asing hanya boleh memegang maksimum 49% pegangan dalam syarikat yang terlibat di dalam sektor elektrik negara).

Saya dimaklumkan bahawa pembatalan had pegangan ekuiti ini dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga sahaja tanpa dibawa berbincang di peringkat Jemaah Menteri. Malah, menteri yang terbabit iaitu Datuk Seri Maximus Ongkili iaitu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA) juga dilaporkan membantah keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti tersebut.

Saya mendapat maklumat bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pembida asing iaitu konsortium syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) akan diumumkan sebagai pembida yang berjaya dalam tempoh seminggu ini sedangkan perkara-perkara kontroversi berikut belum dijawab:

1. Bidaan konsortium China-Qatar itu dilaporkan tidak menepati syarat bidaan kerana ia milik 100% syarikat asing yang bertentangan dengan had pegangan ekuiti. Oleh itu, sewajarnya bidaan itu terbatal secara automatik kerana tidak menepati syarat

2. Sebarang keputusan untuk membuka sektor elektrik kepada syarikat asing perlu dibawa ke Jemaah Menteri dan Parlimen kerana ia membawa kesan besar kepada kedaulatan negara dan kebajikan rakyat

Saya perlu mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa jika beliau berkeras membatalkan had pegangan ekuiti asing demi untuk menyelamatkan 1MDB, ini akan membawa gelombang kemarahan baru rakyat terhadap beliau. Rakyat faham bahawa keputusan tersebut akan membawa kesan-kesan buruk berikut:

1. Membenarkan syarikat asing mengawal sepenuhnya operasi penjanaan elektrik yang menjadi pembekal utama bekalan elektrik negara akan mengundang risiko besar. Jika ada sebarang masalah di masa hadapan, bekalan elektrik negara boleh terganggu dan kenaikan tarif elektrik adalah tertakluk kepada pengaruh dan kehendak syarikat-syarikat asing ini

2. Syarikat-syarikat gergasi dari negara China mempunyai struktur kos yang berbeza dan lebih murah kerana mereka akan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan, tenaga kerja, kontraktor dan pembekal dari China. Ini akan memberikan kelebihan kepada mereka membida kontrak-kontrak penjana bebas (IPP) baru di masa hadapan kerana besar kemungkinan harga yang mereka tawarkan untuk membina IPP ini adalah lebih murah

3. Namun kesannya kepada rakyat dan negara adalah besar – secara langsung ini akan melemahkan industri tenaga negara kerana syarikat-syarikat tempatan seperti TNB dan syarikat tenaga tempatan lain tidak mampu bersaing. Saya menjangkakan jika ini berlaku, dalam tempoh 10 tahun TNB akan menjadi sebuah syarikat elektrik biasa dan bukan lagi gergasi tenaga yang boleh diamanahkan menjaga kepentingan rakyat dan negara seperti sekarang

4. Ini akan menyebabkan lebih ramai pekerja tempatan rakyat Malaysia yang kini berkhidmat di dalam sektor tenaga hilang pekerjaan kerana kerja mereka diambil oleh pekerja dari China yang dibawa masuk oleh syarikat-syarikat gergasi China ini

Saya menjangkakan jumlah rakyat Malaysia yang terbabit di dalam sektor tenaga ini adalah sekurang-kurangnya 40,000 orang. Sebahagian besar dari mereka adalah kakitangan TNB dan selebihnya dengan penjana bebas dan khidmat sokongan industri. Mereka mewakili 40,000 keluarga Malaysia yang mempunyai pengaruh besar dalam pilihanraya akan datang.

Oleh yang demikian, kepentingan dan kebajikan mereka perlu dibela dan tidak boleh dikesampingkan hanya kerana 1MDB perlu menutup lubang hutang yang dibuat sebelum ini.

Oleh kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak enggan memberi sebarang penjelasan dan tiada sebarang pengesahan bahawa had pegangan ekuiti syarikat asing akan dikekalkan, saya tidak ada pilihan lain kecuali memfailkan satu usul tergempar di bawah Peraturan Mesyuarat 18 Dewan Rakyat untuk menangguhkan sidang dewan pada hari Selasa (17 November 2015) bagi membincangkan perkara ini.

Usul tergempar itu akan difailkan pada hari Isnin, 16 November 2015 iaitu 24 jam sebelum usul tergempar boleh dibahaskan seperti yang ditetapkan di dalam Peraturan Mesyuarat.

Saya dimaklumkan keseluruhan tenaga kerja TNB akan mengadakan solat hajat pada hari ini di seluruh negara ekoran dari perkembangan yang membimbangkan ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak Cadang Hapuskan Had Maksimum Ekuiti Asing Demi Menutup Hutang 1MDB

Hari ini ialah hari akhir bagi pembida-pembida yang berhasrat membeli aset penjana bebas (IPP) milik 1MDB mengemukakan tawaran pembelian kepada 1MDB.

Beberapa laporan kebelakangan ini mengenai urusniaga penjualan aset IPP 1MDB ini membuka satu lagi kontroversi besar yang ada kesan kepada negara dan rakyat – iaitu pemilikan asing ke atas industri penjanaan elektrik negara.

Saya konsisten mempertahankan pendirian bahawa ada beberapa industri strategik yang mesti kekal di dalam pengendalian dan pemilikan nasional bagi menjamin kestabilan dan kelangsungan negara. Ini termasuklah industri air dan industri elektrik yang perlu dielakkan dari dimiliki oleh syarikat asing kerana bekalan air dan elektrik melibatkan kepentingan harian setiap rakyat Malaysia.

imdbedrautusan

Saya terkejut membaca kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTHHA), Datuk Seri Maximus Ongkili yang dilaporkan Utusan Malaysia bertarikh 5 November 2015 bahawa ada cadangan untuk membenarkan 1MDB melupuskan semua aset IPPnya kepada syarikat yang dimiliki 100% oleh negara asing.

Ini bertentangan dengar dasar kerajaan sedia ada bahawa had ekuiti maksimum pemilikan asing yang dibenarkan bagi aset-aset penjanaan elektrik di negara ini ialah 49% (bagi memastikan majority iaitu 51% masih dikawal syarikat tempatan).

Kenyataan Datuk Seri Maximus Ongkili itu mengiyakan desas desus bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup membatalkan peraturan had pemilikan asing itu demi membantu 1MDB mendapatkan harga bidaan yang lebih tinggi dari yang ditawarkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Laporan media semalam menyatakan bahawa harga yang dibida oleh TNB ialah sekitar RM8 bilion iaitu hampir sama dengan harga nilaian pasaran semasa. Harga itu juga padan dengan harga siling yang saya syorkan kepada Dewan Rakyat untuk ditetapkan melalui satu usul yang telah difailkan pada 2 November 2015.

Walau bagaimana pun, harga RM8 bilion itu adalah terlalu rendah berbanding dengan harga yang dikehendaki oleh 1MDB kerana ia telah mengambil hutang yang tinggi untuk membeli aset-aset itu dari Ananda Krishnan dan Genting pada harga lebih tinggi dari harga pasaran sebelum ini. Jika 1MDB mahu mengurangkan hutangnya seperti yang dijanjikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, harga jualan aset-aset ini mestilah lebih tinggi dari harga nilaian semasa.

Sebab itu saya khuatir bila mana harga bidaan pencabar terdekat 1MDB iaitu satu konsortium di antara syarikat gergasi China (China General Nuclear Power Corp Ltd) dan syarikat gergasi Qatar (Nebras Power QSC) ialah RM10 bilion iaitu RM2 bilion lebih tinggi dari harga pasaran (yang ditawarkan oleh TNB), pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencari helah untuk membenarkan bidaan tersebut walaupun ia melanggar peraturan sedia ada dari segi had pemilikan maksimum syarikat asing.

Jika bidaan dari konsortium China dan Qatar ini melanggar had pemilikan maksimum syarikat asing iaitu 49% maksimum ekuiti asing, sepatutnya bidaan ini terbatal secara sendiri. Saya khuatir pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sedia faham bahawa bidaan dalam bentuk sedia ada ini oleh konsortium China dan Qatar tidak menepati syarat – maka pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak akan menukar undang-undang sedia ada untuk membolehkan sektor elektrik negara kini dibuka kepada syarikat yang 100% dimiliki pegangan asing.

Saya memuji pendirian Datuk Seri Maximus Ongkili yang secara terbuka menyatakan beliau tidak bersetuju dengan cadangan membuka sektor elektrik negara kepada syarikat yang 100% dimiliki pegangan asing.

Saya akan memantau perkara ini dengan dekat dan tidak akan teragak-agak memulakan kempen seluruh negara mempertahankan sektor elektrik di negara ini dari dibuka kepada syarikat asing kerana ini akan membawa kesan besar kepada masyarakat dan negara di masa hadapan.

Oleh itu, saya menasihati Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan secara terbuka bahawa pentadbirannya tidak akan membatalkan had ekuiti asing dalam sektor elektrik hanya untuk membantu 1MDB menutup lubang hutangnya seperti mana yang sedang bertiup kencang sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN