Pemegang Konsesi UiTM Kota Samarahan Juga Dianugerahkan Konsesi Lebuhraya

Pemegang konsesi penswastaan UiTM yang terakhir mengikut jawapan bertulis Perdana Menteri kepada soalan Parlimen saya ialah Rekajaya Projek Sdn Bhd yang dianugerahkan konsesi penswastaan UiTM Kota Samarahan. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat ini dikuasai oleh pasangan ahli perniagaan bernama Dato’ Mohamed Raffe b K. Chekku dan isterinya Datin Nilufar Yusupova melalui Rafulin Holdings Sdn Bhd.

(Sila semak carian SSM bagi Rekajaya Projek Sdn Bhd dan Rafulin Holdings Sdn Bhd)

Download (PDF, 200KB)

Download (PDF, 200KB)

Sementara saya tidak mempersoalkan kebebasan ahli-ahli perniagaan seperti Dato’ Mohamed Raffe untuk menjalankan perniagaan masing-masing, kaedah rundingan terus yang digunakan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan berselindung di sebalik alasan pendekatan “private finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan atau dipengaruhi yang membuka ruang kepada rasuah yang merugikan rakyat.

Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat.

Selain konsesi penswastaan UiTM kampus cawangan Kota Samarahan, syarikat yang dikawal oleh Dato’ Mohamed Raffe juga dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur Kuala Selangor (atau LATAR) melalui satu konsortium Kuala Lumpur Kuala Selangor Expressway Berhad. Konsesi lebuhraya LATAR ini adalah selama 40 tahun.

Syarikat-syarikat yang dikawal oleh Dato’ Mohamed Raffe boleh diibaratkan sebagai pakar perunding konsesi yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan konsesi-konsesi sebegini sementara pembinaannya diberikan kepada syarikat bukan Bumiputra sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan bumiputra yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur.

Semakan ke atas carian syarikat SSM dan laman web syarikat-syarikat terbabit menunjukkan bahawa kos pembinaan kedua-dua konsesi yang dianugerahkan kepada syarikat Dato’ Mohamed Raffe dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat; atas pertimbangan berikut:

1. Kontraktor akhir yang membina kampus-kampus ini atau lebuhraya adalah syarikat pembinaan sedia ada seperti Binapuri Holdings. Syarikat-syarikat ini boleh sahaja turut serta dalam satu tender terbuka pembinaan kampus tanpa perlu melalui syarikat konsesi seperti sekarang. Akhirnya projek dikendalikan kontraktor bukan bumiputra walaupun Umno memberi alasan ia perlu dianugerahkan melalui konsesi untuk memberi peluang kepada kontraktor Bumiputra

2. Projek sebenarnya dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan sendiri melalui Bank Pembangunan milik penuh Kerajaan Persekutuan. Sekiranya kampus-kampus ini dibina sendiri tanpa diswastakan, Kerajaan Persekutuan boleh sahaja meminjam dari Bank Pembangunan tetapi kos yang ditanggung rakyat adalah jauh lebih murah

Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputra disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno. Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak.

Saya juga sertakan jawapan bertulis Perdana Menteri yang mengesahkan syarikat-syarikat yang memenangi anugerah konsesi penswastaan UiTM ini sebagai bukti fakta sepanjang pendedahan.

Download (PDF, 34KB)

RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

25 Jun 2014

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.