All posts by rafiziramli

Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu Ke Pasaran Saham

Perjanjian pajakan tanah di antara Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) dan FELDA bertarikh 1 November 2011 memberikan kuasa dan hak milik kepada FGV untuk mengusahakan tanah-tanah yang kini dimiliki oleh FELDA mengikut syarat-syarat perjanjian.

Sejumlah 847,362 ekar tanah yang kini diuruskan oleh Felda Plantations Sdn Bhd terlibat di dalam urusan pajakan ini, yang menjadi syarat utama proses penyenaraian FGV ke Bursa. Tanpa tanah-tanah ini, penyenaraian tersebut akan gagal.

KEADILAN boleh mengesahkan bahawa kami telah mendapat salinan penuh perjanjian dan senarai tanah-tanah yang terlibat. Semakan kami menunjukkan bahawa dari sejumlah 847,362 ekar tanah yang dipajakkan ini, sejumlah 105,382 ekar adalah tanah-tanah yang telah diwartakan sebagai Tanah Rezab Melayu di seluruh negara.

Ini menimbulkan persoalan serius mengenai status tanah-tanah ini kerana tindakan memajakkan tanah-tanah ini kepada FGV boleh melanggar matlamat pewartaan Tanah Rezab Melayu. Kedudukan FGV selepas ini tidaklah boleh dikira sebagai sebuah syarikat yang berstatus Bumiputra kerana jumlah pegangan saham Bumiputra tidak dapat disahkan. Setakat ini, peneroka Felda hanya diperuntukkan 2.5% dari jumlah pegangan saham sementara kakitangan Felda pula hanyalah 3%. Selebihnya melibatkan badan-badan lain yang dijemput masuk oleh Tan Sri Isa Samad, termasuklah Louis Dreyfus sebuah syarikat antarabangsa yang dikuasai keluarga Yahudi terkenal dari Perancis.

Oleh yang demikian, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad wajar menjelaskan kepada rakyat kenapakah tanah-tanah berstatus rezab Melayu ini turut dipajakkan ke FGV yang disenaraikan di pasaran saham? Apakah jaminan bahawa tanah-tanah ini akhirnya tidak bertukar tangan atau pembangunannya tidak bertentangan dengan semangat pewartaan Tanah Rezab Melayu yang digubal hampir 100 tahun yang lalu?

KEADILAN juga menyeru supaya setiap Kerajaan Negeri di Semenanjung yang terbabit menolak sebarang usaha untuk membatalkan status Tanah Rezab Melayu yang melibatkan tanah 105,382 ekar ini.

Kami menunggu maklumbalas Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad sebelum memberikan lebih banyak maklumat mengenai Tanah Rezab Melayu seluas 105,382 ekar ini.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
28 MEI 2012

Asas FGVH Lemah, IPO Didorong Politik Bukan Ekonomi

KEADILAN mengulangi pendirian kami bahawa FELDA kini adalah terlalu dipolitikkan. Berdasarkan analisis terkini, kami percaya bahawa IPO ini didorong oleh politik dan bukannya berdasarkan kekukuhan kewangan FGVH. Kami merujuk kepada laporan semalam dari Wall Street Journal mengenai IPO FGVH, di mana kebimbangan telah dibangkitkan mengenai keuntungan FGVH kerana profil pokok kelapa sawit yang tersangat teruk.

Pada amnya, sesuatu syarikat akan cuba IPO di bursa apabila ia berada dalam kedudukan yang kukuh (untuk mendapatkan penilaian maksimum) atau apabila masa hadapan kewangan syarikat tersebut adalah ternampak sangat cemerlang. Bisnes FGVH bukanlah berada didalam kedudukan yang kukuh dan masa hadapan untuk pertumbuhan yang tinggi adalah sangat terhad. Prospektus IPO mendedahkan bahawa kedudukan sebenar FGVH di dalam pengurusan perladangan adalah memang lemah.

Pada asasnya, profil umur pokok sawit FGVH mendedahkan bahawa lembaga pengarah FELDA tidak memberi tumpuan sewajarnya kepada pengurusan penanaman pokok. Sangat mengejutkan adalah 53% daripada pokok-pokok sudah tua, 31% muda dan tidak matang dan hanya 16% pokok sawit pada tahap matang perdana. Bayangkan sebuah syarikat yang berprestasi hanya pada tahap 16% daripada potensi sebenarnya membuat percubaan IPO.

Sebagai perbandingan am, sebuah ladang yang sihat diurus dengan baik akan mempunyai profil pokok berusia 7% pokok tua, dan 15% muda dan belum matang dan 78% matang perdana.

FGVH perlu menanam balik dan menunggu selama sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum majoriti pokok pokok sawitnya menjadi matang perdana. Jadi jika anda membeli saham FGVH pada hari ini, kemungkinan besar anda perlu menunggu sekurang-kurangnya 10 tahun sebelum FGVH pulih ke tahap pengurusan perladangan yang baik.

Oleh demikian, jika pada asasnya FGVH memang tidak bersedia untuk IPO kerana pengurusan ladang yang lemah, mengapa pula Kerajaan dan FELDA tergesa-gesa untuk menyenaraikan?

FELDA dan kerajaan perlu menjawab mengapa mereka begitu gila sangat mengejar IPO ini. Adakah IPO ini sebenarnya satu corporate exercise yang didorong politik dan disokong oleh lembaga pengarah yang kual berpolitik? Adakah dorongan utama bertujuan untuk memperkayakan bank, dan penasihat, pengarah-pengarah FELDA dan juga untuk menyediakan pembayaran durian runtuh kepada peneroka untuk membeli sokongan politik di dalam pilihan raya yang akan datang? IPO FGVH adalah satu IPO yang sebesar RM10.2 billion, ianya yang kedua di dunia tahun ini dan pihak bank dan penasihat kepada IPO ini akan untung yuran berpuluh-puluh juta ringgit.

KEADILAN menuntut dari FELDA dan kerajaan satu pendedahan yang terperinci mengenai yuran-yuran yang bakal diterima oleh pihak bank dan penasihat, hasil daripada IPO ini yang tidak masuk akal.

WONG CHEN,
PENGERUSI BIRO PELABURAN DAN PERDAGANGAN

16 MEI 2012

Hanya 20% Pengurusan Tertinggi Felda Menyokong Penyenaraian

Pada 18 Oktober 2011 jam 11 pagi, pengurusan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGV) telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian FGV yang ketiga dipengerusikan oleh Tan Sri Isa Samad. Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGV dan penstrukturan korporat yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.

Boston Consulting Group (BCG) adalah salah satu daripada juru runding yang dilantik untuk menerajui proses penyenaraian ini. Selain menyediakan pelan langkah-langkah penyenaraian, BCG juga bertanggungjawab menilai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda mengenai tindakan Barisan Nasional menyenaraikan FGV dan aset-aset berkaitan Felda.

KEADILAN telah berjaya mendapatkan salinan laporan yang dibentangkan oleh BCG kepada pengurusan Felda dan FGV di dalam mesyuarat tersebut.
Mukasurat 4 dari laporan tersebut yang menyentuh mengenai kesediaan dan pandangan pengurusan Felda ada disertakan bersama.

Kesimpulan yang dibuat oleh BCG setelah menemuramah dan mengadakan kajiselidik melibatkan 30 orang pengurusan tertinggi Felda dalam bulan Oktober 2011 adalah seperti berikut:

1. Cabaran terbesar untuk menjayakan proses penyenaraian ini adalah pandangan pengurusan tertinggi Felda sendiri yang menentang keputusan tersebut;

2. Lebih separuh dari pengurusan Felda (55%) tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian ini;

3. Hanya 20% dari pengurusan tertinggi Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian; dan

4. 65% dari pengurusan tertinggi Felda percaya proses penyenaraian ini akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.

Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan Barisan Nasional mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri. Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka.

Tentangan pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda.

Makanya, adalah menjadi tanggungjawab Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Isa Samad untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.

Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak Barisan Nasional akan dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

16 MEI 2012

Tindakan NFC Memburu Rakyat Yang Disyaki Menjadi ‘Whistleblower’ Memalukan

Saya kesal dengan tindakan NFC dan Dato’ Ser Mohamad Salleh Ismail yang terus menerus memburu rakyat yang tidak bersalah untuk dikenakan hukuman berat kerana disyaki membantu pendedahan segala penyelewengan yang berlaku di NFC.

Terbaru, beliau secara bertubi-tubi membuat aduan dan memberi tekanan kepada Public Bank dan Bank Negara Malaysia untuk mengambil tindakan terhadap Encik Johari Mohamad yang dituduhnya membocorkan maklumat pembelian harta mewah di KL Eco City kepada saya.

Akibat tekanan ini, tindakan telah diambil oleh Public Bank dan Bank Negara Malaysia terhadap Encik Johari Mohamad. Beliau yang sudah tidak tahan dengan tekanan dan tindakan selama sebulan akhirnya membuat keputusan meletakkan jawatan dari Public Bank setelah berkhidmat berbelas tahun.

Tidak cukup dengan merosakkan periuk nasi rakyat yang tidak berdosa, Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan NFC terus memburu dengan mengenakan tekanan kepada Bank Negara pula. Hari ini, Encik Johari Mohamad akan disiasat dibawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) yang boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun.

Tindakan yang bersifat dendam kesumat ini sudah tentu dibincangkan dan mendapat restu Dato’ Seri Shahrizat Jalil, Ketua Wanita Umno. Sebelum ini, apabila ditanya apa tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang mendedahkan penyelewengan NFC, Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail sendiri mengatakan bahawa beliau akan berbincang dengan keluarga.

Tindakan dendam kesumat ini juga bertentangan dengan kenyataan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail bahawa beliau tidak berdendam dengan sesiapa kecuali saya dan beliau tidak akan mengambil tindakan terhadap sesiapa pun kecuali saya.

Jelasnya, beliau sedang berusaha untuk mengenakan tindakan terhadap semua yang beliau syaki membantu mendedahkan penyelewengan dan kekayaan peribadi keluarga beliau.

Beliau tidak sedar bahawa tindakan dendam kesumat itu memberi imej yang buruk terhadap Umno. Ahli Umno sendiri menolak penyelewengan yang dilakukan oleh keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil, maka sudah tentu mereka pun muak dengan sikap penting diri keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil yang akan terus mengheret Umno ke dalam skandal NFC yang tiada penghujungnya.

KEADILAN akan membantu sepenuhnya Encik Johari dari aspek bantuan guaman dan berusaha mendapatkan kerja baru supaya beliau tidak terus dimangsakan oleh dendam kesumat keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Saya mendesak Bank Negara Malaysia supaya tidak tunduk kepada tekanan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan keluarganya. Sungguh malang apabila semua institusi negara – dari PDRM, SPRM dan kini BNM – diheret oleh beliau semata-mata untuk menutup penyelewengan yang telah berlaku.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

14 MEI 2012

KENYATAAN ENCIK JOHARI MOHAMAD

Saya, Johari Mohamad, adalah seorang kakitangan Public Bank yang bertugas di cawangan Jinjang.

Pada 24 April 2012, saya menerima sepucuk surat dari majikan saya menyatakan saya didakwa melanggar tatacara dan disiplin tempat kerja berikutan satu aduan yang dibuat oleh Dato’ Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Aduan itu juga menuduh saya melanggar peruntukan Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 yang boleh disabitkan hukuman berat.

Saya telah melalui proses perbicaraan disiplin (domestic inquiry) di Public Bank. Akibat tekanan di tempat kerja dan pelbagai tindakan yang diambil terhadap saya, saya telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Saya telah pun menyerahkan surat perletakan jawatan ekoran aduan yang dibuat oleh Dato’ Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Hari ini pula, saya telah diarahkan untuk melaporkan diri bagi tujuan siasatan di bawah Akta BAFIA di Bank Negara jam 2 petang nanti. Saya kini disiasat pula oleh Bank Negara Malaysia di bawah BAFIA yang boleh membawa hukuman berat.

JOHARI MOHAMAD
PUBLIC BANK, CAWANGAN JINJANG

14 MEI 2012

Peneroka Felda Berhak Mendapat RM50,000 Satu Keluarga, Bukannya RM15,000

Pengumuman yang dibuat Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa setiap peneroka FELDA akan mendapat ganjaran RM15,000 selepas penyenaraian FELDA membuktikan sekali lagi bahawa pentadbiran Barisan Nasional membolot kekayaan sesama mereka, sedang rakyat diberikan hampas dan imbuhan kecil sahaja.

KEADILAN telah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) untuk menentukan berapakah nilaian sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi oleh peneroka FELDA. Proses ini turut melibatkan perbincangan dengan penganalisa pasaran untuk menentukan prestasi FGV dan harga setiap unit saham apabila disenaraikan kelak.

Berdasarkan prospektus penyenaraian, dana yang akan dikutip oleh FELDA selepas penyenaraian berjumlah RM5.6 bilion, sementara FGV pula akan mendapat suntikan dana tambahan berjumlah RM4.557 bilion.

Ini berikutan urusniaga berikut:

1. FELDA akan menjual 59% dari pegangannya sedia ada di dalam FGV (bersamaan 1,208,890,900 saham) kepada pelabur-pelabur baru

2. FGV akan menerbitkan saham baru berjumlah 980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur-pelabur baru

3. Harga penyenaraian setiap unit saham adalah RM4.65

4. Dana tambahan yang dikutip oleh FELDA adalah RM4.65 X 1,208,890,900 = RM5.6 bilion

5. Dana tambahan yang dikutip oleh FGV adalah RM4.65 X 980,000,000 = RM4.557 bilion

Jumlah keluarga peneroka FELDA di seluruh negara adalah 112,635 yang berhak mendapat keuntungan dari proses penyenaraian ini kerana tanah-tanah seluas 840,603 ekar yang diusahakan oleh Felda Plantatians Sdn Bhd adalah milik mereka. Tanah ini dipajakkan kepada FGV yang memberi nilaian besar kepada penyenaraian ini. Tanpa tanah yang diambil oleh FELDA atas nama peneroka ini, penyenaraian FGV akan gagal.

Oleh yang demikian, KEADILAN berpendapat Dato’ Seri Najib Tun Razak harus berterus terang kepada rakyat bahawa hanya 30% (berjumlah RM15,000 setiap keluarga) dari dana yang dikutip akan diagihkan kepada peneroka. Jumlah keseluruhan agihan ini adalah RM1.689 bilion.

Bakinya yang lebih besar (iaitu 70% dari jumlah dana yang dikutip) berjumlah RM3.942 bilion akan disimpan dan digunakan oleh pentadbiran beliau.

Maka, reaksi pertama KEADILAN kepada pengumuman beliau pada hari ini adalah:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak wajib mengagihkan KESEMUA dana yang dikutip oleh FELDA kepada peneroka. Ini bersamaan dengan RM50,000 setiap keluarga, bukannya RM15,000 yang diumumkan. KEADILAN mencabar beliau mengumumkan agihan keseluruhan RM50,000 ini; dan

2. Pentadbiran Barisan Nasional mestilah memperincikan bagaimanakah baki RM3.942 bilion akan dibelanjakan supaya ada ketelusan dan amanah.
Ini bukanlah kali pertama Dato’ Seri Najib Tun Razak berpura-pura mendahulukan rakyat sedangkan di belakang beliau dan suku sakat mengaut keuntungan besar dengan menggunakan nama rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

WONG CHEN
PENGERUSI, BIRO PERDAGANGAN DAN INDUSTRI

8 MEI 2012