Ugut Saman Harakah: Saman Saya Dulu Sebelum Ugut Saman Orang Lain

28 FEBRUARI 2015

Saya terkejut membaca laporan media bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengugut untuk mengambil tindakan saman; kali ini terhadap lidah rasmi PAS iaitu Harakah. Bukan sahaja saya terkejut kerana kelakuan sebegitu tidak pernah ditunjukkan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini; saya lebih terkejut kerana Dato’ Seri Najib Tun Razak belum lagi menyaman saya walaupun pernah mengugut untuk berbuat begitu baru-baru ini.

Pada 4 Disember 2014, saya menerima surat undang-undang dari peguam Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur menuntut saya memberi penjelasan mengenai satu ceramah di Bandar Tun Razak. Ceramah saya itu mengkritik keputusan menghapuskan subsidi minyak dalam keadaan perbelanjaan kerajaan terus boros dan skandal 1MDB yang menelan dana rakyat.

Saya menjawab surat undang-undang itu pada 9 Disember 2014 dengan menegaskan bahawa isu subsidi dan keborosan perbelanjaan negara adalah isu berkepentingan awam. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus mengkritik kerajaan atas perbelanjaan yang boros sehingga memotong subsidi minyak untuk rakyat.

Sehingga sekarang saya masih belum mendapat maklumbalas dari Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya agak kecewa kerana sebelum itu teruja agar peguam-peguam saya boleh menyoalbalas Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah di kandang saksi.

Oleh kerana tiada maklumbalas dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor setakat ini, rakyat bolehlah beranggapan bahawa kenyataan saya yang mengkritik keborosan kerajaan sehingga pentadbiran beliau terpaksa memotong subsidi itu adalah betul.

Oleh yang demikian, saya menasihati Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya menyaman saya dahulu sebelum mengugut untuk menyaman pihak lain. Saya juga menggalakkan lebih ramai pihak mengkritik Dato’ Seri Najib Tun Razak dan jangan takut dengan ugutan saman kerana sehingga sekarang beliau masih belum menyaman sesiapa pun, lebih-lebih lagi pengkritik nombor 1 beliau iaitu Tun Mahathir Mohamad!

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.