Perjanjian Jual Beli Malaysia Hall Perth Dengan Syarikat Berbeza, Kaitan Pemilik Syarikat Dengan Ahli Politik UMNO

Saya telah mendedahkan semalam bagaimana sebuah syarikat iaitu Miltech International Pty Ltd telah menjual bangunan Malaysia Hall Perth kepada Kerajaan Malaysia pada harga yang 58% lebih mahal dari harga pasaran (yang dibeli hanya 9 bulan sebelum dijual kembali kepada Kerajaan Malaysia).

Saya sertakan kini muka depan Perjanjian Jual Beli di antara Kerajaan Malaysia (yang diwakili oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan) dengan Mil-Tech Sdn Bhd.

Download (PDF, 389KB)

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat (carian syarikat disertakan) menunjukkan bahawa Mil-Tech Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dimiliki oleh seorang ahli perniagaan bernama Datuk Adi Munawar Md Din dan isteri beliau Datin Norafida Abu Samah.

Download (PDF, 533KB)

Berdasarkan dokumen carian hartanah Malaysia Hall Perth yang saya tunjukkan semalam, bangunan itu dijual kepada Kerajaan Malaysia oleh sebuah syarikat bernama Miltech International Pty Ltd.

Saya sertakan bersama carian syarikat Australia bagi Miltech International Pty Ltd yang menunjukkan bahawa syarikat tersebut dikawal dan dimiliki secara majoriti oleh Datuk Adi Munawar Md Din.

Download (PDF, 1.87MB)

Maka, saya boleh simpulkan bahawa individu yang bertanggungjawab menjual bangunan Malaysia Hall Perth kepada Kerajaan Malaysia pada harga 58% lebih tinggi dari harga pasaran adalah Datuk Adi Munawar Md Din melalui pegangan beliau di dalam Miltech International Pty Ltd dan Perjanjian Jual Beli dengan Mil-Tech Sdn Bhd.

Semakan latar belakang Datuk Adi Munawar Md Din menunjukkan beliau seorang ahli perniagaan yang ada beberapa kepentingan perniagaan bersama dengan beberapa pemimpin Umno setempat. Syarikat utama beliau ialah Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd (PJZSB) yang mana beliau sendiri adalah Presiden. Pengerusi PJZSB adalah Dato’ Ruslan Ali Omar dan Timbalan Presiden PJZSB adalah Dato’ Dr Hj Baderisham Hj Jolly (semak http://www.pjzsb.com/about-us/top-management/).

Dato’ Ruslan Ali Omar dikenali sebagai salah seorang veteran Umno dan merupakan Pengerusi Penaja Veteran Umno Bahagian Bukit Bintang (semak http://veteranumnowp.blogspot.my/2012/05/veteran-umno-pembela-ahli-ahli-veteran.html). Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KUB Berhad, sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Umno. Beliau dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah KUB Berhad bersama-sama Dato’ Hafarizam Harun iaitu peguam Umno dalam tahun 2011.

Dato’ Dr Hj Baderisham Hj Jolly adalah bekas calon Umno di DUN Lembah Jaya, Ampang dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu. Ucapan beliau dalam salah satu kempen PRU13 boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=s3bLgwbkW7c. Beliau adalah bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang.

Fakta-fakta yang saya tampilkan ini menimbulkan beberapa perkara khusus yang perlu dijawab oleh Menteri Pendidikan (sekarang) Dato’ Seri Mahadzir Khalid dan Menteri Pendidikan Tinggi (ketika itu) Dato’ Seri Khaled Nordin:

1. Kenapa Kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian jual beli dengan Mil-Tech Sdn Bhd yang tidak memiliki bangunan Malaysia Hall Perth? Walaupun kedua-dua syarikat dimiliki dan dikawal oleh orang yang sama iaitu Dato’ Adi Munawar Md Din, secara undang-undangnya Kerajaan Malaysia memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat yang tidak memiliki bangunan tersebut. Apakah perjanjian-perjanjian tambahan yang telah dimeterai untuk memastikan hakmilik dan hak-hak Kerajaan Persekutuan yang lain dilindungi sepenuhnya?

2. Keterlibatan Dato’ Adi Munawar Md Din dengan pemimpin Umno di peringkat bahagian seperti Dato’ Ruslan Ali Omar dan Dato’ Baderisham Jolly menimbulkan syak wasangka sama ada hubungan baik dan kepentingan perniagaan bersama dengan pimpinan Umno membuka jalan kepada Kerajaan Malaysia membeli bangunan ini dari dato’ Adi Munawar pada harga yang lebih tinggi berbanding harga pasaran?

Saya menampilkan kes ini untuk menunjukkan bagaimana masalah penyelewengan berlaku dari peringkat atasan hinggalah ke bawah dan merupakan punca utama kesengsaraan rakyat yang kini terpaksa menanggung GST gara-gara Kerajaan Persekutuan kekurangan hasil.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.