Pelaburan SRC Alami Susutnilai RM204 Juta Sedangkan Kakitangan Kerajaan Dari Badan Berkanun Dinafikan Hak Pencen

21 APRIL 2015

Dalam satu sidang media di Parlimen pada 1 April 2015, saya telah mendedahkan bagaimana pelaburan SRC International Sdn Bhd (sebuah anak syarikat 1MDB sebelum dipindahmilik kepada Kerajaan Malaysia) telah mengalami susutnilai (impairment) berdasarkan penyata kewangan terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014 yang telah diaudit.

Penyata kewangan terkini itu telah menunjukkan sebanyak RM115 juta telah dicatatkan sebagai susutnilai pelaburan SRC.

Selain dari pelaburannya sendiri, SRC juga telah menubuhkan sebuah syarikat usahasama (joint venture) dengan sebuah syarikat dari Timur Tengah iaitu Aabar untuk melabur di dalam aset perlombongan. SRC memegang 50% kepentingan di dalam syarikat usahasama ini yang melibatkan pelaburan sebanyak RM184 juta. Ini terkandung di dalam nota kewangan 11 seperti yang dilampirkan.

jv1

Bagi tahun kewangan yang sama, SRC berpandangan bahawa pelaburan di dalam syarikat usahasama itu tidak akan membawa pulangan yang memberangsangkan. Oleh yang demikian, SRC telah mencatatkan susutnilai (impairment) bagi pelaburan dalam usahasama ini sebanyak RM89 juta seperti yang dinyatakan di dalam sambungan nota kewangan 11.

jv2

Ini bermakna, bagi tahun kewangan 2014 sahaja, kerugian melalui susutnilai yang dicatatkan oleh SRC dari pelaburan dalam perlombongan arang batu di Mongolia telah mencecah RM204 juta (iaitu RM115 juta dari pelaburan sendiri dan RM89 juta melalui syarikat usahasama).

Oleh kerana dana yang digunakan oleh SRC untuk melabur adalah dari pinjaman sebanyak RM4 bilion yang diberikan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), kerugian RM204 juta setahun bukanlah jumlah yang kecil apatah lagi jika diambil kira sebanyak RM3.1 bilion dari pelaburan SRC dikategorikan sebagai pelaburan yang tidak mempunyai maklumat dan tidak dapat diaudit oleh juru audit.

Sejak saya membawa isu SRC, ramai pesara kerajaan yang tampil meluahkan rasa marah terutamanya pesara-pesara dari badan-badan berkanun yang dinafikan hak mereka untuk mendapat pencen apabila badan berkanun itu diswastakan. Mereka ini terdiri dari kakitangan kerajaan yang menyertai sektor kerajaan dan diserapkan ke badan-badan berkanun seperti Bank Simpanan Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ada beribu-ribu pesara dari kalangan mereka yang telah dinafikan hak untuk mendapatkan pencen pada kala dana pencen dilaburkan oleh SRC/1MDB dalam pelaburan yang tidak diketahui seperti ini.

Saya akan mula membawa kes pesara-pesara ini untuk menuntut pampasan sewajarnya dari kerajaan setelah dana pencen dilaburkan sewenang-wenangnya oleh 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Pengeluaran Caruman KWSP Berperingkat Pada Umur 55 Tahun Dan 60 Tahun

16 APRIL 2015

Saya sedia maklum cadangan oleh Barisan Nasional untuk menaikkan had umur pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari 55 tahun hingga 60 tahun. Cadangan ini dibuat berasaskan pertimbangan-pertimbangan berikut:

1. Untuk menyelaraskan had umur pengeluaran caruman kepada had umur persaraan baru yang ditetapkan kerajaan iaitu 60 tahun

2. Mengambil kira jumlah caruman yang rendah pada umur 55 tahun sehingga dibimbangi pesara akan menggunakan sepenuhnya caruman yang dikeluarkan dalam tempoh 4-5 tahun selepas dikeluarkan

3. Dibimbangi tanpa caruman yang mencukupi, pesara-pesara swasta akan dihimpit kesempitan hidup berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi

Saya mengambil inisiatif mendapatkan sendiri penerangan dari KWSP untuk memahami kenapa dasar baru ini hendak diperkenalkan.

Sementara saya bersetuju bahawa caruman pekerja-pekerja swasta adalah terlalu rendah hingga menyebabkan jumlah simpanan mereka tidak mencukupi bagi menghadapi zaman persaraan, saya tidak bersetuju sekiranya mereka “dihukum” dengan tidak membenarkan mereka mengeluarkan caruman mereka pada umur 55 tahun.

Caruman yang rendah dan kesempitan hidup akibat kos sara hidup yang tinggi tidak wajar dipersalahkan kepada pencarum-pencarum kerana ia berpunca dari kegagalan Kerajaan Persekutuan seperti berikut:

1. Barisan Nasional sejak dari pentadbiran Tun Mahathir Mohamad telah menggalakkan dasar gaji rendah yang pro-majikan atas alasan untuk menggalakkan pelaburan. Malah, Barisan Nasional secara besar-besaran membenarkan kemasukan tenaga buruh tidak mahir dari negara luar untuk mengekalkan gaji purata pada kadar yang rendah. Barisan Nasional juga menolak dasar gaji minima selama berpuluh-puluh tahun. Akibat dari dasar-dasar ini, gaji pekerja swasta (dan kerajaan) kekal rendah sedangkan konglomerat besar untung berbilion ringgit tiap-tiap tahun. Oleh kerana dasar pro-majikan yang menggalakkan dasar gaji rendah inilah caruman KWSP pekerja-pekerja swasta kekal rendah sehingga persaraan.

2. Kos sara hidup meningkat secara keseluruhannya berpunca dari dasar-dasar Barisan Nasional yang mengambil jalan pintas demi menyelesaikan masalah kewangan Perbendaharaan Negara yang berpunca dari keborosan dan penyelewengan di bawah Barisan Nasional sendiri. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Barisan Nasional telah menghapuskan subsidi petrol dan diesel, menaikkan tariff elektrik dan terbaru memperkenalkan GST yang meletakkan beban cukai kepada rakyat terbanyak. Oleh yang demikian, walaupun pekerja swasta mengeluarkan caruman pada umur 60 tahun, jika kenaikan harga barang tidak dibendung jumlah simpanan mereka pada umur 60 tahun masih tidak dapat menangani kos sara hidup akibat kenaikan kos yang berterusan.

Oleh itu, saya menyeru supaya pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dan pengurusan KWSP membatalkan hasrat menaikkan had umur pengeluaran simpanan kepada 60 tahun. Janganlah ditambah kemarahan rakyat di saat rakyat benar-benar terkesan dengan pelaksanaan GST.

Mengambil kira pertimbangan-pertimbangan di atas, saya mengsyorkan supaya pencarum KWSP dibenarkan membuat pengeluaran secara berperingkat pada umur 55 tahun dan 60 tahun. Misalnya, pencarum boleh membuat pilihan mengeluarkan simpanan pada nisbah 60:40 (iaitu 60% pada umur 55 tahun dan baki 40% pada umur 60 tahun), atau 50:50 atau 60:40. Pilihan nisbah pengeluaran ini bolehlah diserahkan kepada pencarum masing-masing.

Selain itu, saya juga berpendapat pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak perlu menggantung pelaksanaan GST serta-merta sehinggalah persoalan gaji rendah diselesaikan terlebih dahulu. KWSP pula perlu menggiatkan taklimat dan kursus pelaburan selepas pengeluaran caruman kepada pencarum-pencarum agar mereka dilatih untuk membuat pelaburan berhemah demi melindungi simpanan mereka di hari tua.

Saya yakin jika Barisan Nasional meneruskan juga cadangan menaikkan had umur pengeluaran KWSP ini, ia satu lagi isu yang akan terus melemahkan Barisan Nasional.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Hapuskan Cukai Ke Atas Petrol Dan Diesel Yang Digunakan Industri Dan Perniagaan

1 APRIL 2015

Baru-baru ini, isu harga barang yang tidak turun selari dengan penurunan harga minyak telah menimbulkan banyak kontroversi sehingga menjadi isu berbaur perkauman. Rakyat tidak tahu bahawa harga petrol dan diesel yang dibayar oleh industri dan perniagaan sebenarnya tidak turun kerana dikenakan cukai tambahan oleh kerajaan.

Menteri Kewangan mengesahkan perkara ini dalam jawapan bertulis kepada saya seperti berikut:

parlimenpetroltax
parlimenpetroltax2

Jawapan ini mengesahkan bahawa sebahagian dari sebab kenapa harga barang tidak turun ialah kerana pengilang dan industri telah dikenakan cukai bermula Januari 2015. Saya mengunjurkan kutipan cukai dari petrol dan diesel bagi tahun 2015 boleh mencecah RM900 juta bila mana kutipan bagi dua bulan pertama sahaja telah mencecah RM158 juta. Sektor-sektor yang dikenakan pula adalah sektor yang melibatkan kegunaan harian rakyat terutamanya penerbangan, pembinaan dan perkilangan.

Dengan pengenalan GST bermula hari ini yang sudah tentu membebankan rakyat, saya menyeru supaya kerajaan menghapuskan cukai ke atas petrol dan diesel yang digunakan di dalam industri dan perniagaan supaya kos perniagaan tidak terus naik. Tindakan mengenakan cukai secara senyap ke atas peniaga/industri dan menyalahkan mereka tidak menurunkan harga adalah tindakan yang tidak jujur dan membebankan rakyat.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

SRC Mencatat Susutnilai Pelaburan Sebanyak RM115 Juta Bagi Tahun 2014

1 APRIL 2015

Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis beliau minggu lepas telah mengesahkan bahawa sebanyak RM3.81 bilion dana pencen yang diambil oleh SRC International Sdn Bhd (bekas anak syarikat 1MDB) telah dilaburkan di dalam aset-aset sumber asli dan batu-bara di Mongolia dan beberapa tempat lain.

Saya juga telah mendedahkan bahawa daripada jumlah ini, sebanyak RM3.1 bilion adalah Pelaburan Tahap 3 iaitu pelaburan yang juru audit tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenainya.

Setiap tahun mengikut peraturan audit kewangan, pengurusan syarikat perlu membuat nilaian terkini mengenai pelaburan. Ini dibuat dengan membandingkan nilai pelaburan itu seperti yang dimasukkan di dalam penyata kewangan dengan jumlah pendapatan (earning potential) yang akan dibawa oleh pelaburan itu di masa hadapan. Sekiranya nilaian pelaburan adalah lebih rendah dari jumlah pendapatan (earning potential), pengurusan syarikat terpaksa melakukan susutnilai (impairment) ke atas nilaian pelaburan itu.

Proses ini lebih mudah bagi aset dan pelaburan yang nilaiannya ada rujukan di pasaran seperti hartanah, pegangan saham yang disenaraikan dan bon. Proses perbandingan nilaian menjadi lebih sukar bagi aset atau pelaburan yang tiada maklumat pasaran; iaitu aset atau pelaburan yang diklasifikasikan sebagai Pelaburan Tahap 3.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, mengikut penyata kewangan terkini yang diaudit, saya boleh mengesahkan bahawa SRC International Sdn Bhd telah terpaksa merekodkan susutnilai (impairment) sebanyak RM115 juta ke atas pelaburannya seperti berikut:

impairmentnote

Malah, daripada kerugian sebelum cukai berjumlah RM164 juta, susutnilai pelaburan sebanyak RM115 juta ini adalah kerugian/perbelanjaan paling besar seperti yang diterangkan di dalam nota penyata kewangan berikut:

note6p&l

Susutnilai pelaburan berjumlah RM115 juta ini membimbangkan kerana pelaburan SRC ini menggunakan dana pencen awam melalui pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP.

Oleh kerana juru audit sendiri tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai pelaburan sebanyak RM3.1 bilion yang kononnya bersabit aset batu bara di Mongolia dan tempat-tempat lain, ada kemungkinan besar bahawa risiko susutnilai sebenar adalah jauh lebih besar. Saya tidak terkejut sekiranya SRC terus akan mencatatkan susutnilai pelaburan dalam tahun-tahun akan datang apabila pelaburan yang tidak diketahui itu gagal menjana pendapatan kepada SRC.

Saya mengulangi pendirian sebelum ini bahawa pengurusan dana awam melalui SRC ini sebenarnya lebih sensitif dari pinjaman-pinjaman yang dibuat oleh 1MDB kerana ia melibatkan dana pencen. Apatah lagi apabila minggu ini Kerajaan Persekutuan memohon belanjawan tambahan yang sebahagian besarnya (lebih dari RM1 bilion) untuk disuntik ke dalam KWAP. Apakah suntikan dana ke dalam KWAP yang diluluskan melalui belanjawan tambahan minggu ini bersabit dengan risiko KWAP tidak mampu menampung keperluan pembayaran pencen (tanpa suntikan dana baru) yang sebahagiannya boleh dikaitkan dengan hutang RM4 bilion kepada SRC ini?

Oleh sebab itu, saya menyeru supaya Perdana Menteri memasukkan audit terhadap SRC ke dalam senarai syarikat-syarikat 1MDB yang perlu diaudit oleh Ketua Audit Negara. Saya juga akan menulis kepada Tun Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka bersuara di dalam Umno untuk menyelamatkan dana pencen rakyat dengan memastikan SRC memulangkan RM4 bilion yang telah diambil dari KWAP.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Kos Penyenggaraan ACJ320 Adalah Sebanyak RM690 Juta Sepanjang 15 Tahun

31 MAC 2015

Saya telah mendedahkan sebelum ini bahawa Kerajaan Malaysia telah membeli sebuah jet peribadi baru untuk kegunaan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri melalui satu perjanjian sewa-beli. Jet ACJ320 ini telah dibeli pada harga RM465 juta.

Kos RM465 juta itu hanyalah bagi pembelian jet dan tidak termasuk kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan jet tersebut. Kos-kos ini yang sering dirujuk sebagai OMM (Operation, Maintenance & Management) dianugerahkan di dalam satu lagi kontrak berasingan yang dipanggil kontrak OMM.

Kontrak OMM bagi jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319 telah dianugerahkan kepada Jet Premier One Sdn Bhd (JPO) iaitu syarikat yang sama yang menjual jet peribadi baru ACJ320. Kerajaan Malaysia telah membayar sejumlah seperti yang berikut bagi penyenggaraan, operasi dan pengurusan jet ACJ319 seperti rekod kewangan JPO yang saya perolehi:

Tahun 2007 hingga 2010: RM110 juta
Tahun 2011 hingga 2015: RM194 juta
Khidmat disambung 2016 hingga 2022: RM408 juta

Ini bermakna, sejak tahun 2007 hingga 2015, rakyat Malaysia telah menanggung RM304 juta bagi kos penyenggaraan, operasi dan pengurusan jet ACJ319 sedia ada.

Saya boleh mendedahkan bahawa kontrak penyenggaraan, operasi dan pengurusan (OMM) jet ACJ320 yang baru pula telah ditetapkan pada RM46 juta setahun. Ini bermakna bagi tempoh 15 tahun jet ACJ320 ini akan menelan belanja penyenggaraan, operasi dan pengurusan sebanyak RM690 juta. Jika ditambah dengan kos OMM bagi jet sedia ada ACJ319 bagi tempoh tujuh tahun akan datang, jumlah OMM bagi dua buah jet peribadi Perdana Menteri adalah RM1.098 bilion.

Jika jumlah ini dicampur dengan pembayaran kos sewa beli bagi jet baru ACJ320 sebanyak RM465 juta, jumlah yang perlu ditanggung rakyat bagi dua buah jet-jet peribadi kegunaan Perdana Menteri ini akan mencecah RM1.563 bilion bagi tempoh 15 tahun akan datang.

Jumlah itu bersamaan dengan 25% dari jumlah kutipan bersih GST bagi tahun 2015 (selepas ditolak kos dan penghapusan SST) yang dianggarkan sebanyak RM6 bilion sahaja. Ini bermakna Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak boleh melenting jika rakyat beranggapan bahawa rakyat membayar cukai GST sebahagiannya untuk menampung kemewahan gaya hidup beliau dan Jemaah Menteri yang mewah menggunakan jet-jet peribadi ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

%d bloggers like this: